Wednesday, November 3, 2010

BERI ZAKAT PUN DITUDUH 'RASUAH'


Hafiz Irwan HARAKAHDAILY

GUA MUSANG, 3 Nov: Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mempertikai laporan yang mendakwa Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi wang kepada masyarakat Orang Asal yang diislamkannya sebagai rasuah.

Abdul Halim berkata, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebenarnya menyampaikan wang zakat kepada tiga masyarakat Orang Asli selepas mengislamkannya di perkampungan Orang Asli, Sandrop.

“Bukan rasuah tapi zakat kepada tiga Orang Asli. Saya sudah mengesahkan perkara ini. Wang itu diberi kepada tiga Orang Asli selepas Tok Guru mengislamkan mereka.

“Zakat boleh dibayar di mana-mana atau pada bila-bila masa. Apatah lagi kepada saudara baru yang memeluk Islam. Takkanlah beri zakat kepada tiga orang itu rasuah,” katanya dalam sidang media di markas PAS di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendakwa Mursyidul Am PAS memberi wang kepada mereka yang terbabit sebagaimana dilaporkan akhbar Utusan Malaysia.

Akhbar berkenaan hari ini menyiarkan gambar Mursyidul Am PAS menyampaikan wang kepada Orang Asli selepas diislamkannya di perkampungan Orang Asli Sandrop.

Visual yang sama turut disiarkan berita TV3 malam tadi.

Ekoran itu, Timbalan SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tindakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz itu melanggar seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak mempunyai kuasa menyiasat atau mengambil tindakan ke atas Mursyidul Am PAS itu sekiranya kes tersebut benar-benar berlaku.

Justeru, Abdul Halim meminta SPR perlu bersikap terbuka dalam isu tersebut kerana ia boleh mencemar kredibiliti badan bebas itu selain dipandang sebagai berpihak.

“SPR biarlah terbuka, jangan melihat bila Tok Guru beri duit sikit lalu dikatakan rasuah. Kalau ia meragukan buatlah laporan polis atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysaia (SPRM).

“Jangan keluar kenyataan yang seolah-olah SPR boleh dilihat sebagai memihak,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim yakin pemberian ‘wang ihsan’ akan berleluasa di kawasan Dun Galas menjelang tempoh pilihan raya yang berbaki tidak sampai 24 jam lagi.

“Saya yakin ‘wang ihsan’ akan melebar di sini pada pilihan raya ini yang dikeluarkan kepada golongan-golongan tertentu yang dikelaskan sebagai golongan miskin terutama golongan atas pagar,” katanya.

“Walaupun sekarang ini ia diberi di tempat-tempat lain tapi akan diberi juga di sini kerana di sini juga ramai orang miskin. Ini menampakkan ‘wang ihsan’ itu diberi seolah sogokan untuk menarik undi,” katanya.

1 comment:

  1. assalamualaikum......

    kalau kita lihat, memang umno ni tidak tahu erti,konsep zakat...

    kalau dah zakat pun dia tidak tahu...apa kejadahnya tadbir negara...

    ReplyDelete

Followers