Monday, August 23, 2010

GUNA DINAR, DIRHAM BAYAR ZAKAT FITRAH


Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Rakyat Kelantan diseru menunaikan bayaran zakat fitrah tahun ini menggunakan dinar atau dirham Kelantan.

Selain sebagai tanda sokongan kepada usaha Kelantan, ianya juga sebagai mengembalikan syiar Islam yang sejak dahulu menggunakan dinar dan dirham sebagai mata wang.

"Balik Kelantan, bayar zakat fitrah dengan dirham Kelantan," kata Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Berbuka Puasa Persatuan Anak Darul Naim (Persada) Kuala Lumpur dan Selangor, di ibu negara kelmarin.

Turut berucap pada majlis itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyatakan hasratnya untuk membayar zakat fitrah tahun ini menggunakan dinar dan dirham.

Hasrat sama juga turut dizahirkan para Exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta pemimpin PAS negeri itu.

Selain itu, rakyat Kelantan termasuk yang berada di perantauan turut diseru membayar zakat fitrah dengan dinar atau dirham.

Isu dinar dan dirham yang diperkenal Kelantan menjadi kontroversi apabila kerajaan pusat menganggap ianya bertentangan dengan undang-undang.

Menurut mereka, hanya kerajaan Persekutuan melalui kelulusan Bank Negara, boleh mengeluarkan mata wang.

Kelantan bagaimanapun berpendapat, pengeluaran dinar dan dirham tersebut hanyalah untuk kegunaan rakyat negeri itu sesama mereka atau sebagai perhiasan.

No comments:

Post a Comment

Followers