Friday, August 23, 2013

HIMPUNAN PERINGATI SYUHADA DI MESIR

bu Marwan, HARAKAHDAILY 23 Ogs 2013
KAHERAH: Para penyokong Presiden Dr Muhammad Morsi dijangkakan bergerak di masjid-masjid dan mengadakan himpunan besar-besaran selepas solat Jumaat di seluruh Mesir pada hari ini.

Himpunan yang dinamakan sebagai ‘himpunan memperingati syuhada’ dijangka akan menghimpunkan ratusan ribu penyokong ‘anti-rampasan kuasa tentera’ di seluruh Mesir.

Mereka bukan sahaja terdiri dari penyokong Ikhwan Muslimin, tetapi juga dari kalangan golongan intelek, anak-anak muda dan NGO yang menentang keganasan polis dan rampasan kuasa tentera.

Kemarahan kebanyakan rakyat terhadap kezaliman rejim tentera kini kian memuncak apabila ribuan rakyat awam yang berhimpun secara aman terutamanya di Dataran Rabaa dan Dataran Nahdhah telah dibunuh dengan kejam.

Ini ditambah lagi dengan keputusan mahkamah tertinggi Mesir membebaskan bekas Presiden Hosni Mubarak dari penjara dan kini dipindah kepada ‘tahanan rumah’.

Himpunan aman pada hari ini dijangka akan sekali lagi berhadapan dengan keganasan polis dan tentera.

Sebelum ini, selain dari mereka yang ditembak mati, ribuan rakyat awam diseluruh Mesir juga telah tangkap.

Keganasan polis boleh di saksikan dengan menggunakan ‘penembak tepat’ yang menggunakan peluru hidup terhadap rakyat awam yang berhimpun secara aman.

Tembakan gas pemedih mata juga turut dihalakan ke ruang solat di dalam masjid-masjid tempat berhimpun.

Sebelum ini, walaupun perintah berkurung dari jam 7 malam hingga 6 pagi berjalan di lapan daerah, hampir setiap malam rakyat telah keluar ke jalan-jalan raya bagi membantah rampasan kuasa tentera dan keganasan polis dan tentera terhadap rakyat awam.

Himpunan setiap malam bukan sahaja telah diadakan di Kota Kaherah tetapi juga di Alexandria, Giza, Suez, Arish, Sinai dan Fayum.

Kini lambang tangan ‘4 Rabaa’ menjadi simbol anak-anak muda dan rakyat awam menyatakan bantahan mereka terhadap pembunuhan kejam di Dataran Rabaa dan seluruh Mesir.

Himpunan pada hari ini dilihat menjadi penentu kepada masa depan Ikhwan Muslimin dan hala tuju Mesir di bawah junta tentera yang merampas kuasa.

Monday, August 19, 2013

SUDAH 4 BULAN KAKITANGAN KUIN TIDAK DIBAYAR GAJI?

Muhammad Faizal, HARAKAHDAILY 19 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah sehingga sekarang gagal menyelesaikan gaji kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang telah tertunggak selama empat bulan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada sidang media menjelaskan tindakan tersebut umpama mendera 268 orang kakitangan yang terpaksa berdepan dengan kesulitan kerana tidak mendapat gaji.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Kedah sepatutnya lebih perihatin dan mengambil tindakan segera untuk menyelesai tunggakan gaji yang memasuki bulan keempat.

"Saya kesal dengan tindakan kerajaan BN Kedah yang sehingga sekarang gagal menyelesaikan tunggakan empat bulan gaji kepada 268 kakitangan KUIN.

"Ini merupakan satu penderaan kepada mereka, yang mana kebanyakkan mereka terpaksa berhadapan dengan tunggakan hutang, apatah lagi pada Hari Raya lepas mereka menyambut dalam keadaan kewangan yang tidak mencukupi," jelasnya di Pejabat Agung PAS pagi ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang berdiam diri tanpa memberitahu jawatan mereka yang berada di dalam Kuin.

"Kita juga ingin mengetahui pendirian kerajaan negeri mengenai kedudukan jawatan kakitangan mereka di dalam Kuin.

"Ini perlu dijelaskan bukannya berdiam diri, kalau mereka hendak dipecat ia perlu diberitahu tetapi perlu diingat pemecatan mereka mestilah mengikut kontrak perjanjian bukan dengan cara membeku gaji mereka," sambung beliau lagi.

Jelasnya lagi, tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang mengatakan Insaniah Holding Sdn Bhd tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri adalah amat mendukacitakan.

"Macam mana Mukhriz boleh kata Insaniah Holding tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri, sedangkan ia merupakan anak syarikat kepada Kuin yang merupakan syarikat kepada kerajaan negeri.

"Ini jelas terkandung dalam minit mesyuarat Lembaga Pengarah Kuin pada 29 Mei 2009 yang meluluskan penubuhan Insaniah Holding.

"Saya tak tahu dari mana maklumat beliau dapat, sebagai Menteri Besar beliau perlu lebih perihatin dan mengkaji dalam soal ini," sambung beliau lagi.

Mahfuz menegaskan kerajaan negeri perlu menyelesaikan segera pembayaran tunggakan gaji kakitangan serta lebih prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh mereka.

Katanya lagi, jika ingin melakukan rombakan segalanya perlu mengikut perjanjian kontrak yang telah dipersetujui.

Saturday, August 17, 2013

FIRAUN MODEN ULANGAN SEJARAH FIRAUN ZAMAN NABI MUSA

Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, 17 Ogs 2013
Tindakan ganas oleh regim pemimpin diktator General Abdel Fatah el-Sisi di Mesir dilakukan dengan nada sunyi yang memekakkan dari Amerika dan Israel lahir daripada kebimbangan mereka terhadap kebangkitan Gerakan Islam di Mesir dan kemunculan semula sistem khilafah yang telah berjaya dihapuskan pada tahun 1923 di Turki.

Ketakutan mereka ini mengingatkan kita kepada tindakan ganas dan kejam di era pemerintahan Firaun. Oleh sebab takut dan yakin akan munculnya seorang anak lelaki yang bakal menjatuhkan kerajaan mereka, lalu Firaun telah bertindak ganas terhadap mana-mana anak lelaki yang lahir dan terus mereka dibunuh.

Namun pembunuhan tersebut gagal menghalang lahir dan kemunculan Nabi Musa sehingga akhirnya Firaun dijatuhkan. Kini di dalam era moden ini, ketakutan itu muncul kembali.

Kalau Firaun dahulu hanya membunuh kanak- kanak lelaki, kini semua peringkat umur dibunuh kerana semua pihak menjadi penyumbang kepada kesedaran rakyat bagi mempertahankan pemimpin yang dipilih.

Nyata firaun moden lebih zalim dari firaun di era Nabi Musa. Firaun el-Sisi langsung tidak mengambil pengajaran dari apa yang telah berlaku. Halangan dan tindakan ganas akan pasti gagal seperti usaha menahan kemunculan 'Nabi Musa' di zaman dulu.

Tindakan ganas Firaun moden menghalang kemarahan rakyat dan kebencian akan diterjemahkan dengan kerelaan mereka untuk terus berjuang sehingga pimpinan pilihan rakyat Dr Mohamad Mursi kembali semula ke tampuk pemerintahan.

Kemunculan Nabi Musa telah mengubah landskap politik di sekitar Mesir, Jordan, Syria (Wilayah Syam). Kegilaan Firaun moden ini dijangka akan menyebabkan berlakunya satu perubahan besar senario politik Timur Tengah. Kebangkitan semula Islam inilah yang sangat ditakuti oleh rejim Firaun moden kini khususnya ketakutan oleh Amerika dan Israel.

Thursday, August 15, 2013

REAKSI KERAS TERHADAP KONFLIK TERKINI DIMESIR

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 15 Ogs 2013
Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim tentera di Mesir yang bertindak kejam dan melakukan jenayah terhadap rakyatnya sendiri sehingga menyebabkan ratusan terkorban dan ribuan cedera parah.

PAS menyeru kepada komuniti antarabangsa termasuklah Kerajaan Malaysia supaya melaksanakan langkah drastik terhadap rejim tentera pimpinan Jeneral Abdul Fatah As-Sisi yang merampas kuasa dari rakyat Mesir itu.

Pertama, semua pihak terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), OIC, Liga Arab mestilah mengecam tindakan kekerasan rejim tentera yang tidak sah itu dan seterusnya memberikan tekanan diplomatik terhadap mereka yang melaksanakan coup d'├ętat terhadap kerajaan yang dipilih secara demokrasi pimpinan Presiden Muhammad Morsi.

Kedua, pihak yang melakukan jenayah dan bertindak kejam terhadap penyokong Presiden Morsi mestilah disiasat oleh satu Suruhanjaya Bebas Antarabangsa supaya tindakan mengikut tatacara undang-undang dapat dilakukan.

Ketiga, kuasa yang diberikan oleh rakyat kepada Presiden Morsi mestilah dikembalikan, manakala penyelesaian kepada krisis di Mesir perlu mengikut lunas demokrasi tanpa campurtangan asing dan pihak tentera.

PAS sekali lagi ingin mengingatkan komuniti antarabangsa bahawa kegagalan menyelesaikan konflik di Mesir ini akan membawa akibat yang lebih buruk terhadap keamanan rantau Asia Barat kerana ianya akan melahirkan aktiviti tindakbalas yang lebih keras, di mana iklim politik, ekonomi dan keamanan dunia juga akan turut terjejas.

Sehubungan dengan itu, PAS menyeru supaya semua penyokong dan ahli PAS, dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan ini supaya menunjukkan solidariti dengan turut sama menyertai Himpunan Munajat Perdana 100k anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat, Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, bersama dengan parti-parti politik dan NGO dalam negara kita pada hari Sabtu 17 Ogos ini.

Marilah kita terus bermunajat memohon kepada Allah SWT supaya kezaliman dihancurkan dan keamanan dikembalikan dalam konflik di Mesir ini.

Presiden PAS

Wednesday, August 14, 2013

KUTUK SERANGAN REJIM MESIR, MUNAJAT MALAM INI

Harakahdaily, 14 Ogos 2013


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk serangan besar-besaran tentera Mesir di bawah Presiden Interim Adly Mansour di negara tersebut.

Kejadian terbaharu pada hari ini apabila pasukan tentera menggempur ribuan demonstran melalui gas pemedih mata serta tembakan peluru hidup mengakibatkan saat ini lebih 200 orang mati syahid manakala lebih 8,000 orang cedera.

“DPPM menganggap kejadian terbaharu ini sebagai tindakan paling kejam, zalim dan di luar peri kemanusiaan rejim Mesir terhadap rakyatnya sendiri,” ujar Ketua DPPM, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan.

Ia berlaku di Medan Raba'ah dan di Madinah Nasr di mana pasukan tentera menggempur para demonstran melalui gas pemedih mata dan penembak tepat di atas bangunan.

Katanya, lebih membimbangkan lagi apabila ambulans tidak dibenarkan masuk ke medan Rabiatul Adawiyah yang menyaksikan banyak pertumpahan darah.

“Apakah kerajaan kudeta Mesir mahu menukarkan negaranya sama seperti Syria yang sudah bergolak selama 3 tahun?

“Apakah pemimpin kudeta Jeneral Abdul Fattah As Sisi mahu membunuh ratusan ribu rakyatnya sendiri sama seperti Basyar Al Assad lakukan terhadap rakyat di negaranya?

“Berapa ramai lagi harus mati syahid terbunuh oleh kekejaman kerajaan kudeta Mesir?” ujar beliau.

Katanya, DPPM menegaskan bahawa kezaliman yang dilakukan oleh rejim Mesir pada hari ini tidak akan menyelesaikan konflik berdarah di negara tersebut.

Beliau menegaskan, semakin rakyat dizalimi, semakin ramai bangkit menolak kerajaan kuku besi negara tersebut.

Menurutnya, membunuh rakyat yang tidak bersalah tidak akan mematikan hasrat jutaan rakyat yang menuntut keadilan melalui proses demokrasi yang tulen.

Beliau berkata, hanya meja rundingan serta menyerahkan kembali mandat kuasa negara kepada kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat iaitu Dr Mohammad Morsi mampu mengembalikan keamanan dan kestabilan di negara itu.

Selain itu, ujar beliau DPPM mempersoalkan apakah tindakan kerajaan Malaysia dalam menangani konflik terkini di Mesir.

Malaysia, kata Nasrudin sepatutnya mengambil langkah terkehadapan dengan menyatakan bantahan secara lantang terhadap tindakan kerajaan kudeta Mesir.

Tambahnya, DPPM juga menggesa kerajaan Malaysia memutuskan hubungan dengan kerajaan kudeta Mesir sehingga keamanan dan kerajaan yang sah kembali berkuasa.

“Tidak ada gunanya kerajaan mengiktiraf kerajaan haram yang telah membunuh ribuan rakyatnya serta merampas kuasa secara zalim daripada pemimpin yang sah di negara tersebut,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Justeru, malam ini, katanya sejurus selesai solat Maghrib berjamaah, DPP kawasan-kawasan diarahkan supaya anjur majlis solat dan Munajat Perdana di kawasan masing-masing secara serentak untuk menghantar bantuan doa kepada rakyat Mesir yang sedang dibantai teruk oleh rejim.

Followers