Sunday, July 21, 2013

'Minta adik kakak semua undi ambo' - Che Long

Khairul Azlam Mohamad, 21 Jul 2013
BESUT: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut yang berbaki tiga hari lagi menyaksikan calon PAS, Endot@Azlan Yusof atau lebih mesra dengan panggilan Che Long semakin popular.

Nama Che Long mula meniti dari ‘bibir ke bibir’ dan ‘mulut ke mulut’ di kalangan rakyat khususnya kepada para pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut.

Tinjauan Harakahdaily, ke suatu program Jom Bersama Che Long yang diadakan di Markaz Unit Peti Undi (UPU) Kampung Baharu, kelmarin mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Antara salebriti tanahair yang turut memeriahkan program tersebut adalah Abby Abadi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.

“Ambo mintalah kepada semua adik-kakak yang ada di sini dan yang boleh mengundi minta undi ambo pada pilihan raya kali ini, insya Allah.

“Undilah PAS, undi ambo untuk mempastikan kemenangan kepada PAS dengan menjadikan 16:16 kerusi Dun antara BN dengan Pakatan Rakyat. Itu sahajalah yang dapat saya katakan,” rayu Che Long ketika berucap pada majlis tersebut.

Menurut beliau, masa kempen berbaki yang tinggal beberapa hari lagi perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk bertemu dengan para pengundi.

Katanya, demi perjuangan Islam perasaan letih dan malas yang ‘bersarang’ perlu diketepikan buat seketika ini.

“Maaf, ambo mempunyai jadual kempen yang padat sepanjang tempoh waktu berkempen ini.

“Rasa letih, tak larat dan malas yang ada kena buang tepi dulu buat masa ini. Demi untuk kemenangan dan perjuangan Islam,” jelasnya yang sering menjadi ‘buruan’ pihak media.

Thursday, July 11, 2013

DOAKAN KESELAMATAN UMAT ISLAM MESIR

Salmah Mat Husain HARAKAHDAILY, Foto: Rizal Tahir, 11 Jul 2013
KOTA BHARU: Umat Islam di Malaysia khususnya Kelantan diseru mendoakan keselamatan umat Islam di Mesir yang kini sedang bergolak.

Imam Qaryah Ramadhan, Sheikh Hisyam Abdul Bari berkata, hanya doa yang mampu menyelamatkan umat Islam di sana, kerana tajamnya doa sebagaimana janji Allah sendiri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat sunat tarawih di khemah Qaryah Ramadan, di sini malam tadi.

Beliau turut menceritakan bagaimana seorang ulama Mesir yang cacat penglihatan telah berani tampil mendoakan kejatuhan Muammar Ghadafi 30 tahun dahulu.

“Dia mendoakan dengan berkata Muammar akan dihina sebelum kematiannya, jenazahnya tidak akan diterima bumi serta dia akan lari membawa diri dengan penuh air di lorong kecil yang penuh najis.

“Selepas kejatuhannya, Muammar sememangnya melalui saat-saat itu, itulah antara berkat doa dari hamba Allah, kerana tajamnya doa,”ujarnya.

Kerana itu, tambahnya sekiranya rakyat Malaysia dan Kelantan bersimpati dengan nasib umat Islam di sana, bantulah mereka dengan doa.

Beliau juga melahirkan keyakinannya apa yang berlaku di Mesir serta pergolakan di negara lain di Timur Tengah akibat konspirasi musuh Islam apa lagi Mesir dan Al Azhar adalah benteng agama suci itu.

Sheikh Hisyam seterusnya berkata Islam tidak akan menang di tangan Arab, sebaliknya orang luar.

Sambungnya, Imam Bukhari, Abu Hanifa dan beberapa orang lagi insan ternama dalam Islam bukan dari Arab.

Sheikh  Ahmad Tamim Mahmood pula berkata, ketegangan dunia khususnya serangan terhadap Islam tidak pernah berakhir sejak dari dahulu  hingga kiamat.

Berlaku di Timur tengah kini satu kospirasi terhadap umat Islam oleh kuffar untuk menjatuhkan umatnya.

Friday, July 5, 2013

MESIR DAN KEJATUHAN MORSI

Dr Mujahid Yusof Rawa, 04 Jul 2013
Morsi Diguling

Semasa artikel ini ditulis Morsi iaitu Presiden Mesir pertama yang dilantik secara demokratik telahpun digulingkn oleh tentera. Ini berpandukan kepada kenyataan pihak Tentera bahawa Morsi sudahpun berada dalam tahanan rumah manakala pemimpin Ikhwan yang lain juga turut ditahan.

Di Medan Tahrir, penentang Morsi merayakan berita tersebut manakala perhimpunan pro-Morsi dan penyokong Ikhwan di Rabaa’ Adawiah masih terkejut dengan perkembangan ini. Namun respons penggulingan ini tidak akan berakhir begitu mudah malah Mesir dijangka akan berada dalam keadaan krisis yang panjang dan sekali lagi akan mendapat perhatian dunia.

Demokrasi Melampau

Adakah istilah ‘demokrasi melampau’? Sebelum revolusi rakyat pada 25 Jan 2011 rakyat Mesir tidak pernah memahami erti demokrasi kerana sejak penggulingan Raja Farouk oleh Gamal Abdul Naser dan kemudian Anwar Saddat yang mati di bunuh, Hosni Mubarak meneruskan legasi penguasaan tentera yang membenam demokrasi di Mesir.

Penguasaan tentera tidak hanya dalam bidang politik dan menentukan kepimpinan negara tetapi tentera menguasai hampir 40% agihan ekonomi Mesir. Penguasaan tentera hampir sukar untuk dihapuskan bagi membuka jalan kepada demokrasi untuk menentukan masadepan politik Mesir. Dua tahun setelah Mubarak dijatuhkan dengan kekuatan rakyat demokrasi seolah masih mencari wajahnya yang sebenar apabila Morsi menjadi mangsa demokrasi melampau.

Gambaran penggulingan Morsi seolah-olah memberi isyarat bahawa rakyat boleh buang siapa sahaja Presiden yang mereka rasa tidak layak walaupun Presiden Morsi dilantik secara demokratik dan terma perlantikannya hanya akan berakhir 3 tahun lagi.

Para analisis menggambarkan kebimbangan mereka apakah jaminan Presiden akan datang tidak akan diperlakukan dengan cara demokrasi melampau ini? Adakah di atas nama demokrasi, Mesir akan menuju ke arah anarki? Atau adakah kebangkitan rakyat dalam revolusi 25Jan yang mahukan kuasa tentera dikurangkan hanya akan mengukuhkan lagi cengkaman tentera? Berbagai persoalan yang memerlukan jawapan kepada masadepan peneraju Arab Spring di Mesir.

Ikhwan Gagal?

Salah satu faktor yang dikatakan menyebabkan kepimpinan Morsi dipertikaikan ialah tanggapan bahawa Ikhwan telah mendominasi politik Mesir sedangkan kebangkitan rakyat adalah terjemahan berbagai pihak. Tanggapan bahawa Morsi tidak mewakili kehendak rakyat dan hanya mewakili kelompoknya adalah asas yang menjadi kempen penentang Morsi. Perlu diingatkan bahawa Morsi memenangi Pilihanraya Presiden dengan meraih 52% sahaja sokongan rakyat. Golongan liberal sekular tiada pilihan calon mereka kerana Morsi yang mewakili parti Kebebasan dan Keadilan adalah cabang politik Ikhwan yang dilihat lebih tersusun dan mempunyai penyokong akar umbi yang kuat.

Kemenangan Morsi dilihat sebagai terjemahan kepada kekuatan Ikhwan yang wujud sekian lama (hampir 85 tahun) dan berjaya kekal dalam suasana politik yang tidak menyebelahinya sepanjang proses itu. Kegagalan Ikhwan mentadbir negara yang cuba digambarkan oleh musuh politiknya dari kalangan liberal sekular akan meninggalkan bekas yang buruk kepada Ikhwan malah ia adalah isyarat kepada potensi kegagalan mana-mana parti Islam yang mahukan kuasa politik di mana-mana negara lain.

Ikhwan Muslimin dianggap sebagai paling kanan dan menjadi idola kepada hampir semua gerakan Islam dunia malah mempunyai cawangannya di hampir seluruh dunia Islam khususnya. Propaganda ini berjaya membunuh dua burung dengan satu batu atau serampang dua mata untuk meranapkan cita-cita politikal Islam yang menyertai proses demokrasi hari ini.

Masa Depan Partisipasi Islamis

Istilah Islamis menggambarkan kelompok penyertaan gerakan Islam dalam gerakan politik dan sivil sebagai salah satu komitmen terhadap proses demokrasi. Ia berbeza dengan istilah teroris yang bergerak di luar kerangka demokrasi yang mengimani cara keganasan sebagai mencapai matlamat Islamnya.

Ikhwan di Mesir selama ini menegaskan dirinya sebagai entiti yang meyakini cara aman untuk memenangkan cita-citanya, malangnya sebelum Revolusi 25 Jan, Ikhwan tiada banyak pilihan melainkan terpaksa berhadapan dengan tekanan yang kuat dari regim tentera. Walaupun tertindas begitu lama, namun ia mampu menyesuaikan diri dengan keadaan tanpa hilang pengaruh dan kekuatan prinsipnya.

Setelah Revolusi Rakyat, Ikhwan muncul sebagai entiti yang paling berpengaruh dan tersusun berbanding dengan golongan lain. Pasti nya penyertaan dalam proses demokrasi post Revolusi memberikan Ikhwan kelebihan lantas memenangi Pilihanraya Presiden setahun yang lalu. Dari sudut prinsip demokrasi, Ikhwan telah memenangi pilihanraya melalui Parti Kebebasan dan Keadilan secara demokratik namun kemenangannya terus diragui dari sudut keyakinan dan tindakan politiknya yang sering disalahtanggap.

Malah kemenangan Ikhwan tempoh hari dianggap sebahagian sebagai kebangkitan Islamic Fascism. Kejatuhan Morsi pasti akan memberi kesan yang besar kepada persoalan partisipasi politikal Islam dalam proses demokrasi.

Memberi Keadilan

Adakah benar dakwaan terhadap Morsi? Ataukah ianya tuduhan yang tidak berasas malah sengaja direka secara terancang untuk mengapuskan pengaruh Islam yang terlibat dalam proses demokrasi? Morsi sering mengulangi aduannya bahawa saki baki regim Mubarak masih menguasai beberapa kementerian di mana Morsi gagal untuk membentuk struktur barunya. Ini tidak termasuk dakwaan sabotaj kepada kerajaannya dengan menimbulkan krisis kekurangan tenaga, minyak yang membawa kesan kepada keselesaan rakyat. Rakyat menuduh Morsi gagal dan alasan membuangnya menjadi semakin kukuh pada pandangan awam yang rata-rata berada pada pendapatan US 2.5 dollar seorang.

Faktor ekonomi menjadi tekanan terhadap Morsi namun ramai yang mempertikaikan kemampuan untuk reformasi ekonomi dalam jangka masa setahun dan Morsi tidak boleh dipersalahkan. Kementerian Dalam Negeri masih dalam penguasaan saki-baki Mubarak menyebabkan sukar bagi Morsi mengembalikan keadaan stabil dalam negara kerana terlalu banyak sabotaj ke atas inisiatif Morsi.

Reaksi Pro-Morsi

Penganalisis masih menanti reaksi penyokong Morsi yang kebanyakannya ialah dari anggota Ikhwan dan para aktivisnya dan simpatiannya. Kebimbangan para analisis berpandukan kepada keupayaan Ikhwan untuk menggerakkan penyokongnya yang bertebaran di seluruh Mesir bagi membalas tindakan terhadap penggulingan Morsi.

Ikhwan terkenal dengan keberanian, disiplin ahlinya dan kesediaan mereka untuk mempertahankan ideologinya dan sebarang kenyataan yang provokatif mampu untuk menambahkan minyak ke atas api yang sedang membara. Walaupun demikian hingga saat ini, Ikhwan masih senyap dan tetap menyatakan bahawa mereka akan terus membantah tindakan penggulingan Morsi dengan cara aman.

Namun siapa yang boleh beri jaminan bahawa kerapuhan yang ada di Mesir berupaya untuk mencetuskan kekacuan kelompok yang sukar untuk dikawal.

Amerika Bersuara

Obama mengeluarkan kenyataan bahawa Amerika mengambil berat apa yang berlaku dan meminta supaya demokrasi dikembalikan dalam suasana yang telus dan mahkan penguasaan tentera dikembalikan kepada kuasa awam.

Malah Obama mahukan tindakan undang-undang tidak dikenakan ke atas Morsi dan penyokongnya. Sudah tentu Amerika akan bertindak balas kerana Amerika mempunyai kepentingan besar di Mesir. Mesir adalah negara Arab pertama yang mengiktirafi Israel pada tahun 1979, sebelum ini Mesir mendapat bantuan ekonomi dan ketenteraan yang besar. Setelah revolusi, bantuan awal US 250 juta diberikan atas semangat reformasi demokrasi dan US 1billion dijanjikan untuk perkembangan selanjutnya ketika Morsi membuat lawatan ke Amerika baru-baru ini.

Amerika juga berharap Mesir terus kekal menjadi rakan bagi mengimbangi kuasanya memelihara kewujudan Israel. Morsi tidak dilihat dapat memenuhi kehendak ini berpandukan kepada sikap Ikhwan yang keras terhadap Israel.

Definisi Kuasa Rakyat

Pelik memahami perkembangan di Mesir kerana Revoulusi Rakyat 25 Jan mahukan kuasa tentera dikawal tetapi perhimpunan terkini di Tahrir Square menjemput kuasa Tentera untuk menggulingkan Morsi.

Apakah matlamat awal revolusi dikhianati dengan memberikan kuasa kepada tentera hanya setelah 2 tahun revolusi? Apakah kehendak rakyat hanya boleh disampaikan melalui tentera? Lebih penting ialah apakah makna demokrasi jika perlantikan seseorang boleh dibatalkan di jalanraya tanpa peti-peti undi?

Para penentang Morsi menegaskan bagaimana mereka tidak turun ke jalanraya sedangkan Morsi gagal membentuk kerajaannya secara demokratik? Mesir akan melalui fasa-fasa yang menyukarkan dalam menemui wajah sebenar demokrasi setelah terlalu lama dicengkam otokrasi. Kesan reaksi selanjutnya sukar dibayangkan kerana selagi tentera terus mempunyai kata putus dan kedua kelompok berkonflik mahu menyatakan sikapnya, Mesir akan menyaksikan konflik berterusan.

Menarik kata-kata Qaradhawi seorang ulamak besar yang menjadi penyokong terkuat revolusi rakyat di Mesir bahawa “Bagaimana kita boleh bersabar dengan Mubarak selama 30 tahun, tapi tidak boleh bersabar dengan Morsi setahun? - http://drmujahid.com

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Tuesday, July 2, 2013

MENGENAL KELOMPOK PENENTANG DR. MURSI

Nasaie Ismail, 02 Jul 2013
Mengapa Mesir begitu penting kepada pihak yang cukup takut dengan pemerintahan Dr Muhammad Mursi?

Samada kumpulan tamarrud atau kuasa-kuasa besar dunia. Elok kita lihat kelompok yang bangkit atas nama 'Tamarrud' sehari dua ini. Tiga tokoh utama Tamarrud ini merupakan orang yang berhajatkan jawatan Presiden Mesir pasca Mubarak.Hamdan Sobahi dan Amru Musa calon yang tewas dalam pusingan pertama pilihanraya Presiden. Manakala Muhammad Al Barada'ie pula bekas bakal calon Presiden yang tidak tercalon pun dalam pilihanraya tersebut.

Sebelum revolusi, Barada'ie yang pernah berkhidmat dengan agensi PBB telah melancarkan kempen untuk pembaharuan Mesir dengan meletakkan beliau sebagai calon Presiden yang akan berlawan dengan Mubarak. Ketika itu beliau menjalinkan hubungan dengan Ikhwan dan Dr Muhammad Mursi menjadi timbalan beliau dalam Pakatan Politik tersebut. Harapan beliau Ikhwan akan memberi sokongan kepada beliau sebagai calon Presiden. Malang bagi beliau apabila Ikhwan memutuskan untuk meletakkan calon Presiden iaitu Khairat As Syatir seorang dermawan yang banyak membuat kebajikan kepada rakyat. Manakala Mursi sebagai calon simpanan sekiranya pencalonan As Syatir ditolak. Maka hilang nama Barada'ie dalam senarai calon Presiden. Jadi asasnya tiga orang pemimpin Tamarrud ini adalah bekas calon yang tewas atau tidak tercalon dalam pilihanraya Presiden.

Manakala kelompok berikutnya ialah bekas-bekas kroni rejim Hosni Mubarak dahulu yang cukup bimbang jika kerajaan Mursi ini kuat dan mampi melaksanakan reformasi politik dan ekonomi, kedudukan mereka terancam akibat jenayah berat yang mereka lakukan dizaman Mubarak.Ibarat tali gantung atau penjara sentiasa terbayang di kepala. Sebab itulah dengan apa jalan sekalipun Mursi mesti dijatuhkan atau sekurang-kurangnya diganggu sepanjang masa agak pemerintahan menjadi semakin buruk.

Kelompok ketiga pula ialah sebahagian rakyat yang sememangnya marah dengan pemerintahan Mursi yang bagi mereka selama 1 tahun tiada perubahan seperti mereka kehendaki.Krisis petrol, sampah, roti sebagai makanan asasi, kemiskinan dan jenayah menjadi hambatan. Harus dilihat bagaimana dua kelompok teratas tadi yang memangkin kemarahan rakyat tersebut. Dengan kerjasama polis, gengster, hakim dan kakitangan kanan kerajaan yang setia dengan Mubarak dahulu, mereka tidak henti-henti melakukan sebotaj. Untuk menukar syarikat pembersihan sampah pun sukar dilakukan kerana sudah lama ia dikuasai oleh samseng-samseng yang besar rangkaiannya. Hakikat inilah yang melanda Malaysia juga khususnya di bandar-bandar besar. Ada kerajaan dalam kerajaan iaitu samseng yang mentadbir Chow Kit dan hampir keseluruhan lorong dalam Kuala Lumpur. Untuk berniaga tidak perlu bersusah ke PBT, cukup membayar kepada samseng yang menjadi 'penjaga kawasan' dan mereka akan selesaikan. Sebab itu kalau kita lihat kadang-kadang ada sebahagian perniagaan yang dijalankan secara salah sehingga mengganggu teruk jalan tetapi tiada tindakan.Sebab mereka sudah jadi raja setelah merasuah pihak berkuasa.

Balai dekat dengan sarang pengedaran dadah, pelacuran dan judi di sesuatu tempat tetapi tiada masalah.Sebab Big Bos sudah bayar pada Jeneral. Anda tonton filem Gengster arahan anak Yusuf Haslam itu adalah sebahagian hakikat besar yang melanda negara.Hal yang sama melanda seluruh negara khususnya Mesir ini. Lebih hebat daripada itu mereka menguasai puluhan ribu stesen Petrol dan NGV dan telah melakukan sebotaj catuan petrol sehingga mendatangkan kemarahan rakyat.

Mursi memerintah setahun tanpa Dewan Rakyat dan terbaru Dewan Senat pula dibubar oleh kroni Mubarak yang masih menguasai pemerintahan. Pihak polis yang tidak memberi kerjasama dan pelbagai kesulitan yang mereka wujudkan untuk mengganggu perubahan yang akan dibuat. Jika di negara dunia ketiga yang lain biasanya rakyat marah dengan permasalahan itu disebabkan pemerintahnya yang rasuah, membazir dan hidup dengan kemewahan. Sedangkan 1 tahun menjawat jawatan Presiden, Mursi hidup lebih susah dan bergaji lebih kecil daripada sebelumnya.

Negara-negara luar pula khususnya negara haram Israel cukup bimbang jika pintu sempadan Mesir dikawal oleh bukan kroninya di zaman Mubarak. Ia akan memberi kelebihan berganda kepada Hamas yang menguasai Ghaza. Begitu juga dengan kebergantungan ekonomi dan keperluan asasi negara haram ini yang terjalin erat dizaman Mubarak akan terganggu.Israel mengimport gas asli dari Mesir untuk kegunaan rakyatnya. Maka tidak hairan pemimpin Tamarud ini sanggup bekerjasama dengan Israel.

Hal yang terbesar bagi saya ialah kedudukan Terusan Suez yang merupakan laluan terpenting dunia duduk di dalam Mesir. Kapal-kapal daripada Barat mahupun Timur yang hendak berdagang antara satu sama lain mesti melalui Terusan Suez.Jika tidak menggunakan terusan laluan menjadi terlalu jauh berganda-ganda untuk sampai ke denstinasi masing-masing. Maka jika kerajaan yang tidak mesra Amerika mahupun kuasa-kuasa besar lain yang memerintah Mesir maka ialah suatu malapetaka besar bagi mereka. Sebab itulah melalui apa jalan sekalipun Mursi mesti ditumbangkan.Amerika boleh membiayai sebarang gerakan untuk menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat tersebut. Pentingnya Terusan Suez ini dapat dilihat ketika zaman Jamal Abdul Nasir menjadi Presiden Mesir, ketika beliau berusaha untuk memilik negarakan Terusan Suez, ia telah mengundang segera tentera-tentera bersekutu dari tiga ke empat buah negara hendak menyerang Mesir. Inilah hakikat yang penting.

Manakala yang terakhirnya, jika Mesir aman dan membangun dengan baik, ia menjadi ancaman kepada negara Barat. Dalam keadaan mereka sedang bergelut dengan kemelut ekonomi yang parah, tiba-tiba Mesir yang hanya dipisahkan dengan Laut Mediteranium itu membangun pesat. Kerana semenangnya potensi Mesir besar. Maka rakyat dalam negara mereka akan menonton kehebatan ini dan tidak mustahil mereka akan menukar anutan mereka selepas itu.

Harus diingat Islam datang bukan untuk menakutkan, tetapi untuk menyelamat, mensejahterakan dan mengangkat martabat manusia dan negara. Sepatutnya jika mereka ikhlas, mereka tidak bimbanh dengan perubahan Mesir.

Apapun kita berserah pada Allah untuk menyelamatkan negara Mesir ini. Begitu juga Syria, Palestin dan lain-lain.

Haiyi Asyir, Kaherah.

*Penulis adalah bekas setiausaha akhbar kepada Presiden PAS

Tuesday, June 25, 2013

SELEPAS DIPINDAH LAGI HUKUMAN TUNGGU MAJOR ZAIDI

Mohd Sabri Said,HARAKAHDAILY 25 Jun 2013
PULAU PINANG: Pegawai Pemerintah Skudron 12 Pengkalan Tentera Udara Malaysia Butterworth Major Zaidi Ahmad yang membuat laporan polis kes dakwat tidak kekal kini berhadapan dengan satu lagi tindakan iaitu melakukan kesalahan yang bertentangan dengan Akta Angkatan Tentera 1972.

(Major Zaidi, isteri dan rakannya selepas membuat laporan polis apabila mendapati dakwat kekal tidak kekal. Kerananya, pelbagai masalah ditujukan kepada beliau)

Jika sabit kesalahan beliau akan kehilangan kelayakan untuk terus menerima elaun penerbangan sebanyak RM4000 sebulan.

Major Zaidi, isterinya, Puan Shafinah Abdul Hamid serta Juruteknik TUDM Butterworth, Jamal Ibrahim tampil membuat lapuran polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD) Kepala Batas Pada 1 Mei lalu iaitu selepas mengundi awal pada Pilihanraya Umum ke 13.

Lapuran dibuat di hadapan L/Kpl Sharil Aida Sabu pada jam 10.58 pagi berkaitan cap jari pengundi yang mudah hilang bila dibasuh menggunakan sabun atau pencuci pingan mangkuk.

Major Zaidi membuat laporan polis selepas dakwat yang sepatutnya kekal dijari beliau tidak kekal selepas membuang undi awal.

Hari ini, Zaidi telah dimaklumkan oleh pihak atasan bahawa Panglima Tentera Udara telah mengarahkan agar beliau dikenakan pertuduhan melakukan kesalahan bertentangan dengan Akta Angkatan Tentera 1972.

Jika pertuduhan itu dikenakan terhadap beliau dan didapati bersalah mengikut peraturan sedia ada secara automtik beliau akan hilang kelayakan untuk terus menerima elaun penerbangan RM4000 sebulan (walaupun pembicaraan belum
bermula).

Minggu lepas beliau ditukarkan kembali ke Pengkalan TUDM Butterworth dari Kuala Lumpur dan diarahkan membuat tugas-tugas selain penerbangan.

Wednesday, June 12, 2013

23 PETANI PENYOKONG PAKATAN DINAFI DAPAT SUBSIDI

Rizal Tahir,HARAKAHDAILY 11 Jun 2013

(Para petani membuat laporan polis ekoran mereka disekat dari mendapat sabsidi pertanian dari Kerajaan Persekutuan)

TUMPAT: Seramai 23 orang petani yang menjadi ahli Pertubuhan Peladang Kawasan Tumpat, membuat laporan polis terhadap Pengerusi JKKKP Bendang Pak Yong.

Laporan itu dibuat oleh seorang wakil petani Mat Daud Mat Ail, terhadap Pengerusi JKKKP itu kerana tidak mahu ‘mengecop’ serta menandatangani borang pendaftaran pesawah terhadap petani berkenaan.

Alasan yang diberikan Pengerusi JKKKP itu beliau belum menerima arahan dari pihak atasan berhubung urusan cop borang pendaftaran pesawah.

Dengan tindakan terhadap petani yang juga penyokong Pakatan Rakyat berkenaan, mereka tidak akan mendapat kemudahan insentif subsidi dari pihak kerajaan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaburan, Mohd Zaki Ibrahim (gambar), ketika ditemui media berkata, antara kemudahan subsidi yang ternafi dengan tindakan itu adalah baja padi, skim racun, subsidi membajak dan subsidi jualan padi.

“Apabila JKKKP tidak menandatangani borang berkenaan, bererti tiga keistimewaan berkenaan tidak akan diperolehi oleh petani pro Pakatan Rakyat,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media semalam selepas laporan polis dibuat.

Zaki bagaimanapun berkata, masaalah petani lain yang diberi sokongan oleh pihak Umno khususnya Dun Pengkalan Kubur, belum tentu dapat menanam padi dengan baik.

Ini kerana, dengan menyekat petani seramai 23 orang itu menyukarkan petani lain untuk menanam padi mereka.

“Kerumitan akan berlaku contohnya aliran air, apa lagi petani yang diluluskan oleh kerajaan tanahnya di bahagian tengah,”ujarnya.

Sehubungan itu beliau menyeru Adun Pengkalan Kubur, Datuk Nor Zahidi Omar menyelesaikan masaalah berkenaan seberapa segera.

Jelasnya, sebagai seorang wakil rakyat yang berwibawa seharusnya Zahidi tidak bersikap sedemikian.

Sementara itu Penghulu Bendang Pak Yong, Mohd Azmi Ibrahim, ketika ditemui pula melahirkan kebimbangan perakara yang sama akan berlaku pada petani di kampung sekitar di bawah seliaan Kada.

Jelasnya, mereka juga adalah petani dari penyokong Pakatan Rakyat.

“Saya mendapat maklumat dari petani pihak pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan Tumpat memaklumkan hanya dapat memproses borang petani setelah ianya dicap dan ditandangani oleh JKKKP Mukim,”ujarnya.

Wednesday, June 5, 2013

EXCO AGAMA SELANGOR AMBIL PENDEKATAN PENERANGAN

haulah Azwar, HARAKAHDAILY 05 Jun 2013

(Sallehen ketika ditemui di pejabat barunya hari ini)


SHAH ALAM: Exco baru untuk Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi akan mengambil pendekatan penerangan dalam melaksanakan tugasnya.

"Bagi saya program penerangan adalah amat penting bagi  memberi kesedaran kepada umat Islam. Mengapa Islam melarang kita minum, menjual, mempromosi  arak, pergi tempat pusat hiburan.

"Ini adalah kerana untuk mengelak berlakunya gejala sosial, keruntuhan akhlak, ketuntuhan rumahtangga, berlakunya zina, pembuangan bayi dan sebagainya," kata Sallehen Mukhyi dalam sidang media pertama di pejabat SUK Selangor hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta agar rakyat Malaysia mengubah  cara pemikiran bagi tangani masalah isu arak, judi, pusat hiburan melalui  Exco Hal Ehwal Islam.

Beliau berkata, semenjak mengangkat sumpah sebagai Exco, berbagai soalan yang dimainkan oleh rakyat dan media bagi menangani isu ini.

"Antara soalan yang sering dipersoalkan apakah tindakan saya sebagai Exco Agama dalam tangani isu arak, judi, pusat hiburan. Apakah Hudud perlu dilaksanakan di negeri Selangor.

"Bagi saya rakyat perlu ubah cara pemikiran tersebut kerana untuk tangani isu berkenaan ia perlu memberi kefahaman terlebih dahulu kepada seluruh rakyat termasuklah kepada non-muslim agar mereka faham apakah yang di maksudkan hudud dna lain-lain.

"Siapakah yang layak menerima hudud. Siapakah yang mempunyai kuasa menutup kilang arak dan sebagainya," kata beliau.

Sallehen yang menang dalam pilihan raya lalu di Dun Sabak dilantik sebagai Exco bagi mewakili PAS dalam penggal ini. Selain beliau, tiga Exco PAS sebelum ini dilantik semula. Mereka adalah Dr Halimah Ali, Iskandar Samad dan Dr Ahmad Yunus.

Bagi Sallehen, kerja penerangan ini pula memerlukan penglibatan semua pihak bukan hanya Exco Agama sahaja bahkan juga para ustaz dan alim ulama.

Sallehen menjelaskan lagi, bagi tangani isu arak, rampas lesen arak, tutup pusat hiburan bukan kuasa Exco Agama dan kerajaan negeri Selangor sepenuhnya tetapi ia dibawah pengurusan pihak berkuasa di peringkat Pusat dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

“Kita tidak ada kuasa sepenuhnya menutup tempat hiburan, rampas lesen arak. Tetapi kita akan bantu PBT dan lain-lain untuk tangani isu ini dari semasa ke semasa dengan mengadakan perbincangan bersama demi kepentingan umat Islam di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihak kerajaan negeri tidak ada mengeluarkan lesen baru untuk tutup pusat hiburan, menjual arak untuk penggal lalu.

"Namun saya difahamkan semasa zaman pemerintahan kerajaan Umno dulu lagi  ada lesen quata  lama di keluarkan  untuk arak dan sebagai," jelas beliau.

Islam, katanya, memang melarang umatnya mengambil arak, pergi tempat yang mendekati zina iaitu pusat hiburan.

Maka dengan itu program penerangan agama ini perlu di laksanakan di institusi masjid, edaran risalah dan sebagainya agar rakyat Malaysia faham dengan jelas.

"Insya Allah perbincangan bersama PBT, dan badan berwajib akan diadakan dalam tangani isu berkenaan dengan baik agar tidak melukai hati mana-mana pihak kerana di Malaysia kehidupannya adalah berbagai bangsa dan agama yang perlu di hormati," jelasnya lagi.

Followers