Monday, March 24, 2014

KAJANG LANGKAH AWAL KE PUTRAJAYA - DR WAN AZIZAH


KAJANG: Calon PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan  kemenangannya pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang sebagai membuktikan keberkesanan 'Langkah Kajang'.
Beliau juga menyifatkan kemenangan ini sebagai langkah pertama menuju Putrajaya, dengan peningkatan undi di kebanyakan saluran 5, 6 dan 7 yang merupakan saluran undi golongan muda.
Kemenangan itu juga, katanya lebih manis apabila Pakatan Rakyat berjaya meningkatkan undi Melayu, selain berjaya memenangi dua kawasan Melayu yang dahulunya dimenangi BN.
"Peningkatan undi Melayu terhadap kita menunjukkan trend yang positif yang boleh memberikan kemenangan dan terus ke Putrajaya," kata beliau kepada media.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di pusat penjumlahan undi, Kompleks Sukan MPKj, Bandar Baru Bangi, sejurus selepas diumumkan sebagai Adun baru Kajang.
Dalam pada itu, Wan Azizah menjelaskan penurunan majoriti diperolehi PKR kali ini terkesan dengan jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah berbanding pilihan raya umum (PRU) lalu.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pengundi Dun Kajang yang memilih beliau sebagai wakil rakyat selain jentera parti dari PKR, PAS dan DAP yang bertungkus-lumus sepanjang kempen selama ini.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai pengarah PRK Kajang, Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang berperanan sepanjang kempen ini," ujarnya.
Presiden PKR itu turut mengulangi komitmen untuk menunaikan semua perkara yang terkandung dalam manifestonya sebagai langkah awal khidmatnya kepada penduduk Kajang.
Dr Wan Azizah memenangi kerusi Dun Kajang dengan majoriti 5,379 undi.
Beliau meraih 16,741 undi manakala calon BN memperolehi 11,362.

Thursday, March 6, 2014

RAMAI TIDAK TAHU ADA TABUNG SERANGAN BINATANG BUAS

KUCHING: Masih ramai di negara ini tidak tahu mangsa serangan binatang buas boleh memohon bantuan menerusi tabung khas yang diwujudkan pada 2005, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
  
Katanya bagi tempoh 2007 hingga tahun lepas, Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas membantu 348 mangsa di seluruh negara membabitkan jumlah RM1.7 juta.
  
Kedah mencatatkan penerima terbanyak dengan 123 orang, diikuti Kelantan (69), Sarawak (43), Terengganu (30), Perak (19), Perlis (14), Pahang (13), Negeri Sembilan (12), Selangor (8), Melaka dan Sabah (masing-masing 5), Johor (4) dan Pulau Pinang (3), katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
  
Beliau berkata kes paling banyak membabitkan serangan ular (190 kes), buaya (42), babi hutan (36) dan beruang (2).
  
Dalam usaha meningkatkan lagi perlindungan, bermula tahun lepas liputan tabung itu diperluas kepada serangan haiwan akuatik seperti ikan pari dan obor-obor, katanya.
  
"Kadar bantuan berdasarkan kepada tahap kecederaan yang dialami mangsa dengan kadar maksimum RM20,000 bagi mangsa yang meninggal dunia, koma atau hilang upaya kekal. Bagi kes hilang upaya sebahagian, kadar bantuan ditentukan berdasarkan peratusan kategori kecederaan," katanya.
  
Tabung yang diluluskan Kabinet pada 2004 itu diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertanggungjawab menyediakan laporan terperinci kes untuk dijadikan asas permohonan bantuan.
  
Antara binatang yang melayakkan mangsa menerima bantuan ialah gajah, seladang, babi hutan, beruang, harimau, ular sawa, ular-ular berbisa dan primat (beruk, kera, siamang, ungka, lotong dan kongkang). – Bernama

Followers