Tuesday, April 19, 2011

PEMILIHAN : JANGAN TERIKUT PALUAN GENDANG LAWAN


Aziz Muda HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 19 April: Para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS diingatkan agar tidak terpengaruh dengan gendang yang dipukul oleh pihak lawan, berhubung soal pemilihan sebarang jawatan dalam parti, yang memainkan sentimen kepuakan antara golongan ulama dan profesional.

Gendang tersebut dibunyikan untuk tujuan memecahbelahkan perpaduan antara para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS yang seharusnya disambut dengan bijak, dengan tidak terpengaruh dengan rentak yang dipalu oleh mereka.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika mengingatkan perkara itu menegaskan, sebaliknya realiti sebenar di dalam PAS tidak timbul antara golongan ulama dan profesional kerana kesemua pemimpinnya berjuang atas landasan parti yang kukuh untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air.

Menurut beliau, walaupun di dalam PAS sememangnya terdapat kalangan profesional, mereka juga tetap berkemampuan dan berkelayakan menjadi pemimpin dalam parti seperti juga pemimpin-pemimpin lain yang berjuang atas dasar Islam, sekali gus pasti tidak akan lari dari matlamat perjuangan PAS itu sendiri.

Katanya, itulah realiti yang perlu disedari oleh setiap pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS yang turut mendasari perpaduan dalam parti, sehingga menyebabkan pihak lawan berusaha keras memalu gendang tersebut dengan begitu kencang terutama menjelang muktamar agung PAS Jun ini.

"Gendang seperti itu juga turut dipalu oleh mereka menjelang muktamar-muktamar agung PAS yang lalu. Jadi, kita mesti bijak menangani perkara itu.

"Jangan pula perpaduan yang sudah sebegitu kukuh yang terdapat dalam parti dipecahkan sendiri oleh kita hanya kerana terpengaruh dengan rentak yang dimainkan oleh mereka terutama menerusi media utama mereka," katanya ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, tegas beliau, PAS sememangnya mengalu-alukan pertandingan bagi sebarang jawatan dalam parti kerana ia bukan sekadar membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin dan terhadap ahli-ahlinya, tetapi akan lebih memantapkan lagi parti berhubung kepimpinannya.

Alu-aluan itu bukan hanya tertakluk bagi jawatan parti di peringkat kepimpinan paling kecil di cawangan dan bahagian, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi yang melibatkan jawatan Presiden, Timbalan dan Naib.

"Bagi jawatan Presiden sendiri, jika ada pencalonan yang diterima oleh pemimpin lain untuk menentang saya, saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya pun bukan untuk menjadi pemimpin selamanya. Sebaliknya, saya sendiri pun dah semakin berumur dan memang memerlukan barisan pelapis," tegas beliau.

Jadi jika ada pencalonan terhadap seseorang pemimpin PAS untuk memegang sebarang jawatan dalam parti yang melibatkan pelbagai latar belakang dan pendidikan, katanya, ia sepatutnya disambut oleh para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS dengan semangat perpaduan yang tinggi kerana di dalamnya pasti terkandung hikmah amat besar bagi PAS.

Sebelum itu, ketika diminta mengulas mengenai pencapaian PAS dalam PRN Sarawak Ke-10 yang berlangsung 16 April lalu, beliau menegaskan, pencapaian tersebut tidak boleh diukur dari segi demokrasi kerana PRN Sarawak Ke-10 itu bukan berlangsung dalam suasana demokrasi sebenar yang diamalkan di negara ini.

"Kalau PRN Sarawak Ke-10 itu berlangsung dalam suasana demokrasi seperti di negara-negara luar, PAS pasti akan menang kerana ia tidak akan menyekat rakyat untuk membuat pemilihan seperti yang dikehendaki oleh mereka dengan berbagai sekatan oleh para pemimpin BN," tegasnya.

Namun, realiti yang berlaku di Sarawak jelas menyekat PAS dari menyampaikan maklumat kepada rakyat oleh pihak BN dengan berbagai cara terutama menerusi media, sehingga rakyat hanya disogokkan dengan pelbagai propaganda dari BN menerusi media cetak dan elektorik seperti tv dan radio yang masuk ke rumah-rumah setiap penduduk di serata tempat.

Manakala di pihak PAS dan Pakatan Rakyat, peluang itu disekat dengan ketat, tidak seperti di negara-negara luar yang turut memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin pembangkang muncul di media cetak utama, radio dan tv.

"Ini menjadikan PAS gagal menyampaikan maklumat sebenar termasuk menjelaskan dasar-dasar parti kepada orang ramai, sehingga menyebabkan rakyat Sarawak berjaya dipengaruhi oleh BN untuk terus mengundi mereka, walaupun BN ternyata sudah ditolak begitu jauh oleh mereka yang berpendidikan dan terdedah dengan maklumat yang benar seperti di bandar-bandar," katanya.

Keadaan itu, katanya, disusuli pula dengan pelbagai tindakan tidak demokratik lain oleh pihak BN terhadap rakyat Sarawak termasuk menerusi penggunaan jentera kerajaan dengan begitu berleluasa, politik wang, politik ugut dan sebagainya yang jelas melambangkan demokrasi di negara ini masih belum maju.

Sungguhpun begitu, peningkatan sokongan dari rakyat Sarawak terhadap PAS secara keseluruhannya menerusi PRN Sarawak Ke-10 itu, tegas beliau, jelas membuktikan rakyat Sarawak juga tidak selama-lamanya boleh terus diperbodohkan oleh pihak BN yang sekali gus turut membawa petanda PAS mempunyai harapan yang cerah di negeri itu pada masa akan datang.

"Perkembangan yang baik ini perlulah dimanfaatkan dengan baik oleh setiap jentera PAS di semua peringkat dengan terus berusaha gigih menyampaikan risalah perjuangan parti kepada seluruh rakyat Sarawak dan Sabah dari semasa ke semasa, seperti juga yang perlu terus dilakukan di Semenanjung," ujar beliau.

ADUN PR DIFITNAH TIDAK HADIR HARI KEPUTERAAN SULTAN


Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 19 April: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim kesal dengan fitnah yang disebarkan puak Umno yang mendakwa tiada seorang pun Adun Pakatan Rakyat Perak menghadiri Majlis Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-83 Tahun hari ini.

Fitnah itu disebarkan dalam blog Umno ruangbicarafaisal.blogspot.com jam 9.58 pagi tadi namun artikel bertajuk "DAP, PAS dan PKR Boikot Hari Keputeraan Sultan Perak" itu kemudiannya dibuang dari blog tersebut.

Khalil berkata, beliau dan Adun-Adun PKR, DAP dan PAS yang lain tidak menerima sebarang jemputan untuk menghadiri majlis itu.

"Bagi mengesahkan perkara yang sama sebentar tadi saya telah menghatar khidmat sistem pesanan ringkas (sms) kepada semua adun PR.

"Sehingga sekarang saya menerima respons segera dari hampir 20 Adun PR yang memaklumkan mereka tidak menerima apa-apa jemputan ke istana pada hari ini," jelas Khalil yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat negeri melalui twitternya.

Khalil ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi juga mempersoalkan tindakan menarik balik artikel tersebut jika dakwaan tersebut benar.

"Setelah periksa blog tersebut, saya artikel tersebut telah dibuang. Kenapa buang kalau betul dakwaan kami boikot majlis ini? Mungkin mereka takut lalu membuang artikel itu," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Tegasnya juga, dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana beliau sendiri menutup pejabat khidmat masyarakatnya dan semua pekerja bercuti.

"Dakwaan ini tidak berasas sama sekali sedangkan pada hari ini pejabat saya ditutup dan semua kakitangan saya bercuti. Selain itu saya juga mengibarkan bendera Perak," tegasnya.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai perbuatan yang boleh menimbulkan pandangan yang salah kepada Adun Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau merafak sembah tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sempena hari keputeraan baginda hari ini.

Thursday, April 14, 2011

TUGAS IMAM IMARAHKAN MASJID : BUKAN CANTIK SAJA


Azamin Amin

JITRA, 14 April: Para Imam perlu bermuafakat dengan masyarakat untuk mengimarahkan masjid supaya dapat berfungsi dengan baik dan bukan hanya berfikir untuk mencantikkannya semata-mata.

Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak berkata, tanggung jawab imam sangat besar kerana dikehendaki memantau dan menyelesaikan masalah dalam masyarakat.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Multaqa Bersama Imam-Imam seluruh Negeri Kedah di Hotel Regency Kelab Golf Darul Aman, Jitra baru-baru ini.

Dalam ucapannya Ustaz Azizan menyeru para imam supaya mengamalkan sifat kemanusiaan dan ukhwah dengan masyarakat.

Ini katanya, boleh dicapai dengan menunjukkan Islam sebagai agama toleransi sekaligus menarik perhatian orang bukan Islam untuk mendekati dan memahami Islam.

"Kita kena berusaha, berjaya atau tidak berserah kepada Allah.

"Inilah hasrat saya, seronok jika dapat tengok masyarakat jadi masyarakat yang beriman," katanya.

Selain itu, tambah Azizan, kerajaan negeri akan membuka Pusat Tahfiz Sains di Pulau Tuba, Langkawi pada masa terdekat bagi melahirkan para ulama dan imam yang dapat membantu negeri khususnya masyarakat setempat

Dalam majlis yang sama, kerajaan negeri memperuntukkan hadiah bagi dua kategori masjid iaitu Masjid Bandar dan Luar Bandar.

Hadiah disampaikan oleh Ustaz Azizan kepada para pemenang iaitu RM3500 bagi tempat pertama, RM2500 bagi tempat kedua, RM1500 bagi tempat ketiga dan 18 masjid yang terpilih mendapat saguhati RM1000.

Kerajaan negeri juga memberikan tauliah kepada imam-imam di setiap daerah.

Turut hadir Exco Agama Islam, Mohamad Taulan Rasul dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Datuk Khairudin Zain....Tulisan asal dalam Harakah cetak

Monday, April 4, 2011

JUDI ; KELANTAN BERI PENERANGAN KEPADA MCA


Harakahdaily

KOTA BHARU, 4 April: Kerajaan negeri Kelantan telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak sebelum membuat polisi mengharamkan judi di Kelantan, kata Datuk Takiyudin Hassan kepada rombongan Presiden MCA.

(Gambar: Chua senyum gembira bersama Ahmad Yaakub)

"Pihak Kerajaan Negeri terlebih awal mengadakan beberapa perjumpaan dan persetujuan (consensus), pertama memanggil pertubuhan-pertubuhan masyarakat, keduanya ketua-ketua agama, dan ketiga merumuskan resolusi yang mengambil kira aspek moral dan sosial.

"Kemudian dijadikan polisi mengharamkan peremis menjual judi," kata Takiyudin dalam pertemuan di Kota Darul Naim itu petang semalam.

Preiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek bersama Ketua Pemudanya, Datuk Dr Wee Ka Siong dan beberapa pimpinan MCA lagi mengunjungi Kota Bharu semalam bagi membincangkan isu pengharaman judi di negeri itu.

Rombongan itu disambut oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub. Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan turut disertai Datuk Haji Anuar Tan Abdullah, Datuk Haji Takiyudin Hassan, Mohd Zaki Ibrahim dan lain-lain.

Dalam pertemuan ini, Takiyudin (gambar) selaku Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan telah memberikan penjelasan apa yang berlaku dalam isu judi ini.

Dalam penjelasan itu, beliau berkata, judi telah mula diharamkan di Kelantan sejak 20 tahun lalu lagi selepas beberapa siri perbincangan dibuat dengan pelbagai pihak.

Ia berbeza dengan isu arak kerana kerajaan negeri membenarkan ia dijual kepada orang bukan Islam namun judi diharamkan untuk semua pihak. Keputusan ini dicapai selepas beberapa perjumpaan itu dibuat.

Berhubung dengan dakwaan mengatakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bertindak terhadap peniaga, sebenarnya ia dibuat bersama dengan polis selepas mendapat ‘search warrant’ untuk semua premis.

Afidavit MPKB adalah jelas berdasarkan warrant mahkamah, kata Takiyudin.

Tindakan penguatkuasaan berlaku dengan menyenaraikan tiket-tiket loteri yang didapati dijual di kedai berkenaan dan kemudian saman dikeluarkan, katanya.

"Tiga premis yang disita ialah kedai makan nasi daun pisang dan dua buah kedai buku. Mereka telah bayar compound dan tiket-tiket yang dirampas telah diserah balik," jelas beliau.

Presiden MCA pula dalam pertemuan itu menafikan laporan bahawa beliau berkata, judi adalah budaya orang Cina.

"Tujuan MCA hanya mahu penjelasan dan menegaskan bahawa MCA juga tidak menggalakkan masyarakat Tionghua berjudi dan dinyatakan perjudian bukan budaya.

"Apa yang ingin disampaikan ialah masyarakat Cina diberi hak sama ada nak berjudi atau tidak berjudi," katanya.

Apabila diminta penjelasan oleh Datuk Anuar Tan, yang inginkan penjelasan terhadap kenyataan beliau dalam surat khabar Cina pada 11 Mac, yang melaporkan "judi dengan kepercayaan agama sesetengah orang Cina”

Chua berkata, "Apa pun sumber dari surat khabar, ia bukan kenyataan tepat sebagaimana maksud sebenar."

Dr. Wee Ka Siong kemudian mencelah, “MCA sebenarnya tidak menerima judi sebagai budaya orang Cina dan perjuangan MCA hanya untuk (dapatkan) hak orang bukan Islam.”

Followers