Friday, July 5, 2013

MESIR DAN KEJATUHAN MORSI

Dr Mujahid Yusof Rawa, 04 Jul 2013
Morsi Diguling

Semasa artikel ini ditulis Morsi iaitu Presiden Mesir pertama yang dilantik secara demokratik telahpun digulingkn oleh tentera. Ini berpandukan kepada kenyataan pihak Tentera bahawa Morsi sudahpun berada dalam tahanan rumah manakala pemimpin Ikhwan yang lain juga turut ditahan.

Di Medan Tahrir, penentang Morsi merayakan berita tersebut manakala perhimpunan pro-Morsi dan penyokong Ikhwan di Rabaa’ Adawiah masih terkejut dengan perkembangan ini. Namun respons penggulingan ini tidak akan berakhir begitu mudah malah Mesir dijangka akan berada dalam keadaan krisis yang panjang dan sekali lagi akan mendapat perhatian dunia.

Demokrasi Melampau

Adakah istilah ‘demokrasi melampau’? Sebelum revolusi rakyat pada 25 Jan 2011 rakyat Mesir tidak pernah memahami erti demokrasi kerana sejak penggulingan Raja Farouk oleh Gamal Abdul Naser dan kemudian Anwar Saddat yang mati di bunuh, Hosni Mubarak meneruskan legasi penguasaan tentera yang membenam demokrasi di Mesir.

Penguasaan tentera tidak hanya dalam bidang politik dan menentukan kepimpinan negara tetapi tentera menguasai hampir 40% agihan ekonomi Mesir. Penguasaan tentera hampir sukar untuk dihapuskan bagi membuka jalan kepada demokrasi untuk menentukan masadepan politik Mesir. Dua tahun setelah Mubarak dijatuhkan dengan kekuatan rakyat demokrasi seolah masih mencari wajahnya yang sebenar apabila Morsi menjadi mangsa demokrasi melampau.

Gambaran penggulingan Morsi seolah-olah memberi isyarat bahawa rakyat boleh buang siapa sahaja Presiden yang mereka rasa tidak layak walaupun Presiden Morsi dilantik secara demokratik dan terma perlantikannya hanya akan berakhir 3 tahun lagi.

Para analisis menggambarkan kebimbangan mereka apakah jaminan Presiden akan datang tidak akan diperlakukan dengan cara demokrasi melampau ini? Adakah di atas nama demokrasi, Mesir akan menuju ke arah anarki? Atau adakah kebangkitan rakyat dalam revolusi 25Jan yang mahukan kuasa tentera dikurangkan hanya akan mengukuhkan lagi cengkaman tentera? Berbagai persoalan yang memerlukan jawapan kepada masadepan peneraju Arab Spring di Mesir.

Ikhwan Gagal?

Salah satu faktor yang dikatakan menyebabkan kepimpinan Morsi dipertikaikan ialah tanggapan bahawa Ikhwan telah mendominasi politik Mesir sedangkan kebangkitan rakyat adalah terjemahan berbagai pihak. Tanggapan bahawa Morsi tidak mewakili kehendak rakyat dan hanya mewakili kelompoknya adalah asas yang menjadi kempen penentang Morsi. Perlu diingatkan bahawa Morsi memenangi Pilihanraya Presiden dengan meraih 52% sahaja sokongan rakyat. Golongan liberal sekular tiada pilihan calon mereka kerana Morsi yang mewakili parti Kebebasan dan Keadilan adalah cabang politik Ikhwan yang dilihat lebih tersusun dan mempunyai penyokong akar umbi yang kuat.

Kemenangan Morsi dilihat sebagai terjemahan kepada kekuatan Ikhwan yang wujud sekian lama (hampir 85 tahun) dan berjaya kekal dalam suasana politik yang tidak menyebelahinya sepanjang proses itu. Kegagalan Ikhwan mentadbir negara yang cuba digambarkan oleh musuh politiknya dari kalangan liberal sekular akan meninggalkan bekas yang buruk kepada Ikhwan malah ia adalah isyarat kepada potensi kegagalan mana-mana parti Islam yang mahukan kuasa politik di mana-mana negara lain.

Ikhwan Muslimin dianggap sebagai paling kanan dan menjadi idola kepada hampir semua gerakan Islam dunia malah mempunyai cawangannya di hampir seluruh dunia Islam khususnya. Propaganda ini berjaya membunuh dua burung dengan satu batu atau serampang dua mata untuk meranapkan cita-cita politikal Islam yang menyertai proses demokrasi hari ini.

Masa Depan Partisipasi Islamis

Istilah Islamis menggambarkan kelompok penyertaan gerakan Islam dalam gerakan politik dan sivil sebagai salah satu komitmen terhadap proses demokrasi. Ia berbeza dengan istilah teroris yang bergerak di luar kerangka demokrasi yang mengimani cara keganasan sebagai mencapai matlamat Islamnya.

Ikhwan di Mesir selama ini menegaskan dirinya sebagai entiti yang meyakini cara aman untuk memenangkan cita-citanya, malangnya sebelum Revolusi 25 Jan, Ikhwan tiada banyak pilihan melainkan terpaksa berhadapan dengan tekanan yang kuat dari regim tentera. Walaupun tertindas begitu lama, namun ia mampu menyesuaikan diri dengan keadaan tanpa hilang pengaruh dan kekuatan prinsipnya.

Setelah Revolusi Rakyat, Ikhwan muncul sebagai entiti yang paling berpengaruh dan tersusun berbanding dengan golongan lain. Pasti nya penyertaan dalam proses demokrasi post Revolusi memberikan Ikhwan kelebihan lantas memenangi Pilihanraya Presiden setahun yang lalu. Dari sudut prinsip demokrasi, Ikhwan telah memenangi pilihanraya melalui Parti Kebebasan dan Keadilan secara demokratik namun kemenangannya terus diragui dari sudut keyakinan dan tindakan politiknya yang sering disalahtanggap.

Malah kemenangan Ikhwan tempoh hari dianggap sebahagian sebagai kebangkitan Islamic Fascism. Kejatuhan Morsi pasti akan memberi kesan yang besar kepada persoalan partisipasi politikal Islam dalam proses demokrasi.

Memberi Keadilan

Adakah benar dakwaan terhadap Morsi? Ataukah ianya tuduhan yang tidak berasas malah sengaja direka secara terancang untuk mengapuskan pengaruh Islam yang terlibat dalam proses demokrasi? Morsi sering mengulangi aduannya bahawa saki baki regim Mubarak masih menguasai beberapa kementerian di mana Morsi gagal untuk membentuk struktur barunya. Ini tidak termasuk dakwaan sabotaj kepada kerajaannya dengan menimbulkan krisis kekurangan tenaga, minyak yang membawa kesan kepada keselesaan rakyat. Rakyat menuduh Morsi gagal dan alasan membuangnya menjadi semakin kukuh pada pandangan awam yang rata-rata berada pada pendapatan US 2.5 dollar seorang.

Faktor ekonomi menjadi tekanan terhadap Morsi namun ramai yang mempertikaikan kemampuan untuk reformasi ekonomi dalam jangka masa setahun dan Morsi tidak boleh dipersalahkan. Kementerian Dalam Negeri masih dalam penguasaan saki-baki Mubarak menyebabkan sukar bagi Morsi mengembalikan keadaan stabil dalam negara kerana terlalu banyak sabotaj ke atas inisiatif Morsi.

Reaksi Pro-Morsi

Penganalisis masih menanti reaksi penyokong Morsi yang kebanyakannya ialah dari anggota Ikhwan dan para aktivisnya dan simpatiannya. Kebimbangan para analisis berpandukan kepada keupayaan Ikhwan untuk menggerakkan penyokongnya yang bertebaran di seluruh Mesir bagi membalas tindakan terhadap penggulingan Morsi.

Ikhwan terkenal dengan keberanian, disiplin ahlinya dan kesediaan mereka untuk mempertahankan ideologinya dan sebarang kenyataan yang provokatif mampu untuk menambahkan minyak ke atas api yang sedang membara. Walaupun demikian hingga saat ini, Ikhwan masih senyap dan tetap menyatakan bahawa mereka akan terus membantah tindakan penggulingan Morsi dengan cara aman.

Namun siapa yang boleh beri jaminan bahawa kerapuhan yang ada di Mesir berupaya untuk mencetuskan kekacuan kelompok yang sukar untuk dikawal.

Amerika Bersuara

Obama mengeluarkan kenyataan bahawa Amerika mengambil berat apa yang berlaku dan meminta supaya demokrasi dikembalikan dalam suasana yang telus dan mahkan penguasaan tentera dikembalikan kepada kuasa awam.

Malah Obama mahukan tindakan undang-undang tidak dikenakan ke atas Morsi dan penyokongnya. Sudah tentu Amerika akan bertindak balas kerana Amerika mempunyai kepentingan besar di Mesir. Mesir adalah negara Arab pertama yang mengiktirafi Israel pada tahun 1979, sebelum ini Mesir mendapat bantuan ekonomi dan ketenteraan yang besar. Setelah revolusi, bantuan awal US 250 juta diberikan atas semangat reformasi demokrasi dan US 1billion dijanjikan untuk perkembangan selanjutnya ketika Morsi membuat lawatan ke Amerika baru-baru ini.

Amerika juga berharap Mesir terus kekal menjadi rakan bagi mengimbangi kuasanya memelihara kewujudan Israel. Morsi tidak dilihat dapat memenuhi kehendak ini berpandukan kepada sikap Ikhwan yang keras terhadap Israel.

Definisi Kuasa Rakyat

Pelik memahami perkembangan di Mesir kerana Revoulusi Rakyat 25 Jan mahukan kuasa tentera dikawal tetapi perhimpunan terkini di Tahrir Square menjemput kuasa Tentera untuk menggulingkan Morsi.

Apakah matlamat awal revolusi dikhianati dengan memberikan kuasa kepada tentera hanya setelah 2 tahun revolusi? Apakah kehendak rakyat hanya boleh disampaikan melalui tentera? Lebih penting ialah apakah makna demokrasi jika perlantikan seseorang boleh dibatalkan di jalanraya tanpa peti-peti undi?

Para penentang Morsi menegaskan bagaimana mereka tidak turun ke jalanraya sedangkan Morsi gagal membentuk kerajaannya secara demokratik? Mesir akan melalui fasa-fasa yang menyukarkan dalam menemui wajah sebenar demokrasi setelah terlalu lama dicengkam otokrasi. Kesan reaksi selanjutnya sukar dibayangkan kerana selagi tentera terus mempunyai kata putus dan kedua kelompok berkonflik mahu menyatakan sikapnya, Mesir akan menyaksikan konflik berterusan.

Menarik kata-kata Qaradhawi seorang ulamak besar yang menjadi penyokong terkuat revolusi rakyat di Mesir bahawa “Bagaimana kita boleh bersabar dengan Mubarak selama 30 tahun, tapi tidak boleh bersabar dengan Morsi setahun? - http://drmujahid.com

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

No comments:

Post a Comment

Followers