Rizal Tahir,HARAKAHDAILY | 11 Jun 2013 |
(Para petani membuat laporan polis ekoran mereka disekat dari mendapat sabsidi pertanian dari Kerajaan Persekutuan)
TUMPAT: Seramai 23 orang petani yang menjadi ahli Pertubuhan Peladang Kawasan Tumpat, membuat laporan polis terhadap Pengerusi JKKKP Bendang Pak Yong.
Laporan itu dibuat oleh seorang wakil petani Mat Daud Mat Ail, terhadap Pengerusi JKKKP itu kerana tidak mahu ‘mengecop’ serta menandatangani borang pendaftaran pesawah terhadap petani berkenaan.
Alasan yang diberikan Pengerusi JKKKP itu beliau belum menerima arahan dari pihak atasan berhubung urusan cop borang pendaftaran pesawah.
Dengan tindakan terhadap petani yang juga penyokong Pakatan Rakyat berkenaan, mereka tidak akan mendapat kemudahan insentif subsidi dari pihak kerajaan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaburan, Mohd Zaki Ibrahim (gambar), ketika ditemui media berkata, antara kemudahan subsidi yang ternafi dengan tindakan itu adalah baja padi, skim racun, subsidi membajak dan subsidi jualan padi.
“Apabila JKKKP tidak menandatangani borang berkenaan, bererti tiga keistimewaan berkenaan tidak akan diperolehi oleh petani pro Pakatan Rakyat,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media semalam selepas laporan polis dibuat.
Zaki bagaimanapun berkata, masaalah petani lain yang diberi sokongan oleh pihak Umno khususnya Dun Pengkalan Kubur, belum tentu dapat menanam padi dengan baik.
Ini kerana, dengan menyekat petani seramai 23 orang itu menyukarkan petani lain untuk menanam padi mereka.
“Kerumitan akan berlaku contohnya aliran air, apa lagi petani yang diluluskan oleh kerajaan tanahnya di bahagian tengah,”ujarnya.
Sehubungan itu beliau menyeru Adun Pengkalan Kubur, Datuk Nor Zahidi Omar menyelesaikan masaalah berkenaan seberapa segera.
Jelasnya, sebagai seorang wakil rakyat yang berwibawa seharusnya Zahidi tidak bersikap sedemikian.
Sementara itu Penghulu Bendang Pak Yong, Mohd Azmi Ibrahim, ketika ditemui pula melahirkan kebimbangan perakara yang sama akan berlaku pada petani di kampung sekitar di bawah seliaan Kada.
Jelasnya, mereka juga adalah petani dari penyokong Pakatan Rakyat.
“Saya mendapat maklumat dari petani pihak pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan Tumpat memaklumkan hanya dapat memproses borang petani setelah ianya dicap dan ditandangani oleh JKKKP Mukim,”ujarnya.
No comments:
Post a Comment