- Apr 08, 2014 ABDUL AZIZ MUSTAFA- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Hasrat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (
PAC) untuk memanggil lima kementerian berikutan Laporan Ketua
Audit Negara 2013 janganlah sekadar satu formaliti sahaja, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin.
"Rakyat
tidak mahu lagi ulang tayang apa yang berlaku pada tahun-tahun sebelum
ini di mana tindakan PAC memanggil pihak-pihak yang ditegur dalam
Laporan Ketua Audit Negara nampak sangat sekadar untuk melengkapkan siri
tindakan formal sahaja dan selepas itu tidak kedengaran sebarang
tindakan," katanya.
Semalam Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan
Mohamed berkata, pihaknya akan memanggil lima kementerian untuk
memberikan penjelasan dalam waktu terdekat berhubung Laporan Ketua Audit
Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.
Katanya, kelima-lima kementerian berkenaan adalah Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja
Raya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan.
Salahuddin berkata, ramai yang masih ingat pengakuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia
(SPRM) bahawa pihaknya hanya mengemukakan dua kes sahaja ke mahkamah
ekoran pelbagai kes yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara
2011.
"Susah hendak dibayangkan apa tindakan berkesan yang mampu
dibuat oleh PAC kalau SPRM pun hanya dapat mengemukakan dua kes sahaja
ke mahkamah sedangkan kerugian negara yang didedahkan dalam Laporan
Ketua Audit Negara 2011 dahulu bernilai puluhan bilion ringgit,"
katanya.
Begitu juga, kata Salahuddin, apabila bekas Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meminta menteri-menteri yang
diperlihatkan gagal dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 meletak
jawatan.
"Di Jepun bila kapal terbang terhempas di landasan,
menteri pengangkutan meletakkan jawatan. Di Malaysia jika kemalangan
kapal terbang, itu bukan masalah saya.
"Saya berharap untuk melihat lebih banyak peletakan jawatan," Dr Mahathir dilaporkan berkata.
Salahuddin
menambah, bukan sahaja tidak berlaku sebarang perletakan jawatan
seperti diharapkan Dr Mahathir, malah tindakan yang diambil berikutan
pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 itu amat mengecewakan
rakyat.
Ketika menyatakan hasratnya untuk memanggil lima
kementerian itu, Pengerusi PAC berkata, Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani perlu dipanggil berhubung kelewatan Empangan Paya
Peda di Besut, sementara Kementerian Pendidikan perlu memberikan
penjelasan mengenai pembinaan kampus Sultan Azlan Shah, Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang didapati tidak mengikut spesifikasi
mengakibatkannya gagal mendapat sijil layak menduduki (CF).
"Kementerian
Kesihatan perlu menjelaskan isu perolehan serta penyimpanan rekod aset
dan pengurusan program pembelian makanan manakala KDN akan diminta
memberi penjelasan berhubung isu pengurusan Rela dan peralatan untuk
Rela khususnya sepatu anggota," katanya.
Nur Jazlan berkata demikian dalam sidang
media
pembentangan Laporan Ketua Audit 2013 Siri 1 selepas bermesyuarat
dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang di bangunan Parlimen
semalam.
Jelasnya, Kementerian Pendidikan perlu memberi
penjelasan mengenai dana penyelidikan asas untuk hasilkan teori, konsep
dan idea baharu kerana berlaku ketirisan apabila dana berkenaan
dibelanjakan namun tidak ada kajian yang dihasilkan.
Tambah Nur
Jazlan selain kelima-lima kementerian berkenaan, PAC akan turut
memanggil Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan dan
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika waktu mengizinkan.
"Kementerian
Sumber Manusia perlu memberikan penjelasan mengenai pusat latihan belia
sementara Kementerian Pertahanan perlu menjelaskan isu pengurusan
Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.
"Biarpun KWSP
mempunyai prestasi yang baik, jumlah pelaburan antarabangsanya adalah
besar dan bertambah dari tahun ke tahun. PAC perlu penjelasan daripada
KWSP mengenai perancangan dan langkah-langkah kurangkan risiko dalam
pelaburan antarabangsa," jelas beliau.
Mengenai hasil Laporan
Ketua Audit Negara 2012 Siri 1, 2 dan 3 yang dibentangkan tahun lepas,
Nur Jazlan berkata 71 peratus audit melibatkan penambahbaikan peraturan
dan prosedur proses kerja sementara 29 peratus daripada audit melibatkan
salah guna kuasa dan salah laku serta kecuaian dalam pelaksanaan tugas.
Jelas
beliau, daripada 29 peratus kes punitif, sebanyak 121 kes dibawa untuk
tindakan dengan 92 kes sudah selesai dan 29 kes belum selesai.
"Daripada
92 kes yang selesai,26 kes melibatkan prosiding tatatertib dikenakan ke
atas pegawai sementara 53 kes tidak ada unsur 3P (pemantauan
penyampaian perkhidmatan)," kata Nur Jazlan.
Mereka yang diambil
tindakan melibatkan 152 orang dengan 76 orang dijatuhkan hukuman,
seorang dibuang kerja, 41 dikenakan surcaj, dua didenda, 32 diberi
amaran dan 76 lagi masih dalam prosiding tatatertib, katanya.