Tuesday, May 6, 2014

AJK DEWAN ULAMAK PAS PAHANG MENINGGAL DUNIA


KHAIRIL ABDUL RAHIM | .
DEWAN Ulamak PAS Pahang hari ini kehilangan ‘sebutir bintang’ apabila seorang ahli jawatan kuasanya, Ustaz Ahmad Bedawi Abdullah al-Hafiz, 67, kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Hassanuddin Salim, allahyarham dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Isnin lalu akibat ketumbuhan dalam perut.

“Allahyarham sepatutnya menjalani pembedahan tetapi berlaku komplikasi jantung dan buah pinggang dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 12 tengah malam tadi di sisi keluarga terdekat.

“Jenazahnya dibawa pulang ke rumahnya sekitar jam empat pagi di Kampung Desa Murni Sanggang sebelum disembahyang dan dikebumikan di kampung asalnya di Kampung Loyang,” katanya. (Gambar)

Ahmad Bedawi yang berkelulusan Tahfiz Qiraat dan Syariah daripada Universiti al-Azhar Mesir, sebelum bersara berkhidmat sebagai pensyarah di UKM Bangi.

Allahyarham sangat tegas dalam sudut agama dan keadilan. Antara yang diingati ramai ialah beliau pernah mendoakan penghapusan Akta Keselamatan Dalam ISA dalam satu majlis rasmi di UKM sehingga peristiwa itu menyebabkan beliau ditahan gaji dan pangkat sementara waktu.

Beliau juga pernah menjadi pengerusi kepada Pertubuhan Rumah Anak Yatim Darul Izzah Temerloh.

Selepas bersara, kebanyakan masanya dihabiskan dengan mengajar agama selain memimpin Dewan Ulamak PAS Temerloh.

Sementara itu, lebih 1,000 orang pemimpin PAS Pahang, anak murid dan kenalannya hadir solat jenazah dan mengiringi pengkebumiannya sekitar pukul 12 tengahari tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 11 orang cahaya mata

No comments:

Post a Comment

Followers