Sunday, April 29, 2012

TINDAKAN POLIS LANGKAU PERINTAH MAHKAMAH

Khairil Abdul Rahim,29 Apr 2012 HARAKAHDAILY
TEMERLOH, 29 April:PAS mengecam tindakan ganas polis terhadap peserta Bersih 3.0 semalam kerana melangkaui perintah mahkamah sedangkan mereka berhimpun untuk menuntut keadilan dalam pilihan raya umum (PRU).

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perintah mahkamah tidak mengizinkan perhimpunan di Dataran Merdeka sebaliknya tindakan polis pula meliputi kawasan lain.

(Tuan Guru Abdul Hadi menerima cenderahati daripada Tuan Ibrahim selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kuala Krau.)

“Bayangkan tembakan gas pemedih mata dan semburan air kimia dilepaskan di Datarn Maybank, Masjid Jamek dan berhampiran Masjid Negara dan dalam keadaan peserta sudah mahu bersurai.


“Mereka yang berhimpun di ibu negara bukan suka-suka tetapi menuntut sistem yang adil dalam PRU yang amat dipertikaikan pada masa ini sedangkan ketelusan dalam sistem pemilihan pemimpin amat penting dalam sesebuah negara demokrasi,” katanya.


Pesuruhjaya PAS Pahang itu berucap mengulas kekecohan dan provokasi perhimpunan duduk bantah di Kuala Lumpur semalam, semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya dalam Mesyuarat Agung PAS Kuala Krau di Darul Hikmah, Kerdau di sini hari ini.

Mesyuarat Agung kali ke-26 tersebut dirasmikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.


Tuan Ibrahim yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau, melahirkan rasa hairan setelah Bersih 3.0 dianggap tiada ancaman oleh Menteri Dalam Negeri dan diluluskan akta perhimpunan yang baru seiring dengan transformasi dibawakan Perdana Menteri, sebaliknya menerima reaksi dan layanan yang keras daripada polis.


“Rakyat berhimpun menuntut sistem yang adil adalah mencegah mungkar. Mungkar bukan saja minum arak tetapi juga penipuan dalam sistem memilih pemimpin.


“Sepatutnya semua pihak sedar bahawa 8 tuntutan Bersih adalah demi untuk memastikan pemimpin benar-benar dipilih secara adil, mewakili rakyat  dan tanpa sebarang penipuan yang akhirnya dikembalikan kebaikannya kepada negara ini juga,” tegasnya.


Dalam pada itu Tuan Ibrahim turut menganggap borang pinjaman bank untuk membeli saham yang diagihkan Felda dan ditanda tangan peneroka baru-baru ini tidak sah dari segi syarak kerana mereka dipaksa dan tidak faham isi perjanjian dalam bahasa Inggeris itu.


“Ada peneroka yang menghubungi saya menyatakan rasa kesal kerana dipaksa tanda tangan borang pinjaman bank dalam bahasa Inggeris. Mereka tidak tahu jumlah pinjaman dan untuk tempoh berapa lama beerhutang.


“Tentulah peneroka yang kebanyakannya berusia lanjut itu kesal kerana dipaksa terbabit dengan riba’ kerana faedah dikenakan 6.5 % tetapi dipaksa tanda tangan. Dari segi syara’ hutang itu tak sah kerana peneroka tak faham isi perjanjian,” katanya.


Tambahnya, peneroka mengharapkan durian runtuh sebagaimana yang diuar-uarkan, malangnya hutang dan riba pula yang diberikan kepada peneroka sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holding Bhd. (FGVH) ke Bursa Malaysia.


Tuan Ibrahim turut mengingatkan peneroka, sebagai institusi kewangan sesebuah bank apabila menghutangkan wang mereka perlukan cagaran justeru jika jaminan saham tidak mencukupi risikonya nanti ialah slip pendapatan peneroka akan jadi cagaran.


Mengenai PRU, Tuan Ibrahim mengingatkan hampir 70% pengundi kawasan parlimen Kuala Krau terdiri daripada peneroka Felda justeru beliau meminta warga tanah rancangan itu bertindak bijaksana dengan memilih Pakatan Rakyat  yang komited untuk mengubah nasib mereka dan generasi seterusnya.

Friday, April 27, 2012


SALAHUDIN DIHALANG MASUKI SKUDAI KIRI

Harakahdaily,27 April 2012

   



JOHOR BAHRU: Kehadiran Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ke di Kampung Skudai Kiri di sini semalam didakwa dihalang sekumpulan lelaki sehingga tercetus sedikit kekecohan.

Salahuddin yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon MB Johor jika Pakatan menguasai negeri itu pada PRU 13, dihalang kira-kira 20 lelaki dipercayai penyokong Umno daripada bertemu penduduk.

Insiden tersebut berlaku kira-kira jam 11.45 pagi di mana Salahuddin yang turut ditemani Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat mahu memenuhi jemputan penduduk yang mahu mengadu berhubung masalah tanah.

Difahamkan penduduk tidak puas hati dengan pihak kerajaan yang mahu membangunkan kawasan tersebut tanpa pampasan yang setimpal.
Mereka juga kuatir tanah rizab Melayu yang mereka duduki itu akan terancam akibat daripada pembangunan yang akan dilaksanakan.

Menurut Suhaizan, ketika kumpulan mereka bersama wartawan masuk ke kawasan kampung tersebut mereka telah dilayan dengan cukup kasar dan biadap.

"Kumpulan Umno Skudai Kiri telah mengetuk-getuk kenderaan kami dan menghalau rombongan kami masuk ke kampung tersebut.Kami tidak melayan mereka dan terus masuk kampung tersebut.

"Jam 12.00  tengahari, saya sampai ke kumpulan penduduk kampung yang telah menunggu kami. Setelah saya membuat kenyataan media kepada wartawan yang turut sama dalam rombongan. Kumpulan Umno Skudai Kiri telah menjerit “ Suhaizan berambus, engkau orang luar”," ceritanya.

Selepas itu katanya, Ketua Kampung datang berjumpanya lalu mengarahkan rombongan keluar.

Beliau bagaimanapun mereka bertegas tidak mahu keluar dan akhirnya ketua kampung mengalah dan membenarkan kami berjumpa penduduk selama 10 minit.

Selapas itu, barulah Salahuddin ditemani rakannya Onn Jaafar cuba bertemu penduduk tetapi malangnya dihalang sekumpulan lelaki yang berkumpul di hadapannya.

Sedikit kekecohan berlaku sehingga memaksa pasukan polis datang untuk menenangkan keadaan.

"Dengan senyuman Salahuddin menyapa mereka dan menjelaskan kenapa beliau datang ke kampung tersebut.

"Dengan bantuan pihak polis Salahuddin dapat berjumpa dengan penduduk dan beliau telah ditunjukkan oleh penduduk kampung kesan daripada projek pembangunan yang akan di laksanakan oleh pihak kerajaan," kata Suhaizan.

Mengulas insiden itu juga, Suhaizan berkata perbuatan kumpulan Umno Skudai Kiri sangat memalukan rakyat Negeri Johor.

Kedudukan Skudai Kiri yang berada di kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) seharusnya memiliki pemikiran yang terbuka.

"80 % rakyat di Negeri Johor bersikap terbuka hanya tinggal 20% lagi yang kurang bernasib baik kerana berfikiran 20 tahun kebelakang.

"Pihak Umno Bahagian Pulai yang diketuai oleh Datuk Nurjazlan Mohammad seharusnya memimpin Umno Skudai kiri keluar daripada pemikiran yang jumud dan tidak sealiran dengan perkembangan semasa khususnya di Johor Bahru," kata Suhaizan.

Monday, April 2, 2012

MASIH ADA RAKYAT MEREMPAT DI SEBALIK PEMBANGUNAN

Anis Nazri, HARKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 2 April: Ketika arus pembangunan dikatakan menjadi tumpuan utama, masih ada di kalangan rakyat yang hidup merempat dengan penuh kedaifan dan kesusahan.

Begitu juga ketika kerajaan mengatakan kenaikan harga gula tidak akan membebankan pengguna, ada rakyat yang hidupnya belum tentu dapat menikmati gula dalam minumannya.

Di Kampung Tawai, Gerik, Perak, Abd Rahim Hassan, 41, mendiami sebuah bilik di belakang rumah, bersama isteri dan dua orang anaknya.

Ruang bilik yang sempit menjadi tempat tinggal mereka sekeluarga di belakang rumah orang tuanya yang tidak mempunyai dinding untuk keselesaan mereka.

Abd Rahim tidak mampu memiliki atau menyewa rumah dan tiada pekerjaan tetap.

Sebelum ini, beliau bekerja sebagai pembantu peniaga di pasar-pasar malam bagi menyara isteri dan dua orang anak dengan pendapatan yang tidak menentu.

Malangnya, ketika hidupnya serba kekurangan, beban kemiskinan beliau menjadi semakin berat setelah terpaksa berhenti bekerja sejak tiga bulan lalu, kerana menghidapi penyakit injap jantung yang rosak.

Penyakit dialaminya menyebabkan beliau tidak mampu melakukan sebarang kerja dan sering mengalami keletihan, di samping terpaksa berulang-alik tiga kali seminggu untuk berjumpa doktor di Hospital Gerik.

Disebabkan tidak ada punca pendapatan untuk menanggung sara hidup mereka sekeluarga, isterinya Fadzlina Mat Yusof, 40, kini bekerja sebagai pencuci pejabat secara kontrak.

Gaji yang diterima sebanyak RM250 sebulan masih tidak mencukupi untuk membeli keperluan harian mereka, apatah lagi untuk anak-anak yang masih kecil.

Menurut Abd Rahim, sebelum menghidapi penyakit ini, beliau tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana pihak dan tidak berputus asa berusaha untuk keluar dari kemiskinan hidup yang ditanggungnya selama ini.

Tetapi segala usahanya menjadi buntu kerana keuzurannya dan kini terpaksa bergantung hidup dengan pendapatan dari gaji isterinya semata-mata.

Kesusahan yang ditanggung beliau mendapat perhatian daripada PAS Kawasan Lenggong yang menziarahinya di rumah, dengan membawa beberapa bantuan berupa bekalan makanan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong, Razman Zakaria ketika memberitahu Harakahdaily berkata, pihaknya dimaklumkan keluarga ini tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak, selain mempunyai ibu bapa yang sudah uzur.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada sesiapa yang ingin memberi sumbangan atau bantuan kepada keluarga ini bagi meringankan bebanan mereka sekeluarga.

Kepada sesiapa yang prihatin dan ingin menyampaikan sumbangan, bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Abd Rahim di talian 012-532 8152 atau menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 0810-0062904-52-2.

Thursday, March 29, 2012

ANTARA HINA ISLAM DENGAN DITUDUH HINA MAHKAMAH

Harakahdaily, 29 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal dengan hukuman yang dikenakan terhadap tiga wanita atas tuduhan melakukan aksi tidak sopan dengan menari tiang dengan hanya denda sebanyak RM25 seorang.

“Bagi DPPM, hukuman yang dikenakan terhadap wanita bertiga ini amat ringan serta tidak berbaloi berbanding kesalahan yang mereka lakukan,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).

Justeru, katanya DPPM merasa terkejut dengan hukuman itu kerana berpendapat kesalahan yang mereka lakukan amat serius dan berat.

Jelasnya, perbuatan yang mereka lakukan merupakan suatu dosa besar di sisi agama Islam kerana membuka aurat dan mendorong perbuatan zina kepada pengunjung yang hadir.

Sehubungan itu, ujarnya DPPM merasa khuatir kerana industri seks dan pelacuran yang dibuat di pusat-pusat hiburan, rumah-rumah urut serta hotel bajet menjadi semakin berkembang dalam masyarakat.

“Apa yang dilakukan oleh tiga wanita Islam ini menunjukkan perbuatan lucah dan tidak sopan semakin berani dibuat dengan keadaan yang lebih terbuka.

“Yang dirisaukan adalah berapa ramai lagi gadis Melayu beragama Islam yang mungkin terjebak dengan kegiatan sama,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Lebih dari itu, kata beliau hukuman yang dikenakan itu tidak mampu mendidik dan memberi pengajaran berharga kepada mereka yang terlibat.

Beliau menambah, hukuman itu hanya menjadi bahan ketawa dan perlecehan masyarakat terutama mereka yang terlibat dengan aktiviti tersebut.

Menurutnya, mungkin selepas ini lebih ramai akan terlibat dengan perbuatan tidak bermoral seperti itu memandangkan hukumannya hanya denda dan peringatan sahaja.

“Kes ini membuktikan kerajaan BN tidak mampu membendung perbuatan maksiat di kalangan masyarakat, malah memandang ringan perbuatan tersebut,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya apalah pembelaan yang boleh diharapkan dari sebuah kerajaan yang kononnya memperjuangkan Islam di negara ini jika agama Islam terus diperlekehkan.

“Amat memelikkan jika mereka yang melakukan perbuatan ini dianggap menghina Islam hanya dijatuhkan hukuman denda RM25 seorang, sebaliknya seorang imam yang dituduh menghina mahkamah dipenjara setahun.

“Mungkin inilah definisi keadilan ‘Islam’ sebenar menurut perspektif mereka yang berkuasa pada hari ini,” ujarnya.

Saturday, March 24, 2012

KRONI DAPAT RM 859 JUTA, RAKYAT DAPAT RM500 JE

Abdul Aziz Mustafa, 23 Mac 2012


(Kepada kroni itu bagi RM250 juta, kepada kroni ini pula RM589 juta - Mohamad Sabu)

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Kroni Umno, Tan Sri Tajudin Ramli dapat RM589 juta sedangkan rakyat berpendapatan rendah sekadar mendapat RM500 sahaja, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini hari ini yang melaporkan, pengurusuan Danaharta Nasional Bhd melupuskan hutang Tajudin sebanyak RM589 juta sebagai sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah yang dicapai dengan beberapa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bulan lalu.

"Dengan segala riuh rendah yang tidak terkawal, rakyat berpendapatan rendah digula-gulakan dengan hanya RM500 sekali bagi sahaja.

"Pada masa yang sama, Tajudin boleh ketawa berdekah-dekah kerana sebesar RM589 juta diberikan percuma kepadanya," kata Mohamad.

Beliau menyifatkan kerajaan yang membelanjakan wang rakyat sesuka hati tanpa rasa bersalah adalah kerajaan yang sama sekali tidak bertanggung jawab.

"Kepada kroni itu bagi RM250 juta, kepada kroni ini pula RM589 juta.

"Itu kepada keluarga (Ketua Wanita Umno, Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) dan kepada Tajudin, bolehkah dipercayai isteri dan anak Perdana Menteri tidak dapat apa-apa?

"Bagaimana pula dengan pembesar Umno yang lain serta keluarga mereka? Adakah anak serta menantu perdana-perdana menteri sebelum ini tidak dapat apa-apa?" Mohamad mempersoalkan.

Beliau meminta rakyat berfikir, adakah selepas menang di dalam pilihan raya akan datang, para pemimpin Umno dan kroni-kroni mereka tidak akan berbelanja sesama sendiri dengan lebih ganas lagi selepas menang pilihan raya akan datang.

"Dalam pada hendak menghadapi pilihan raya pun tidak takut langsung dan tidak rasa bersalah sedikit pun kerajaan Umno menggasak RM589 juta untuk kroninya, bayangkan apabila menang pilihan raya nanti," Mohamad mengingatkan.

Pembantaian wang rakyat itu, katanya, belum lagi termasuk pelbagai penyiksaan ke atas rakyat yang dijangka akan "dihempuk" oleh Umno ke tas rakyat seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pemotongan pelbagai subsidi seperti subsidi minyak yang pasti diikuti kenaikan harga barang yang mendadak dan meruncing, kenaikan tarif dan palbagai penyiksaan lain.

"Satu-satu pilihan yang ada untuk mengelakkan pembantaian wang rakyat dan penyiksaan itu ialah memastikan Umno dikalahkan dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Penyelesaian luar mahkamah yang dicapai oleh Tajudin dengan beberapa GLC itu adalah berikutan persetujuannya untuk menarik balik rayuannya pada 7 Disember, 2009 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap beberapa litigan dan GLC termasuk Telekom Malaysia Bhd, Naluri Corporation, Celcom (M) Bhd, Atlan Holding Bhd dan Kumpulan CIMB Group.

Tiga tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Tajudin membayar jumlah berkenaan kepada Danaharta, jumlah wang yang beliau berhutang ketika pembelian kontroversi saham MAS pada tahun 1994, yang membuka jalan bagi hartawan untuk memiliki syarikat penerbangan nasional itu.

Pada masa yang sama, mahkamah juga membatalkan tuntutan balas RM13 bilion yang difailkan oleh Tajudin terhadap GLC berkenaan.

Followers