Monday, April 2, 2012

MASIH ADA RAKYAT MEREMPAT DI SEBALIK PEMBANGUNAN

Anis Nazri, HARKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 2 April: Ketika arus pembangunan dikatakan menjadi tumpuan utama, masih ada di kalangan rakyat yang hidup merempat dengan penuh kedaifan dan kesusahan.

Begitu juga ketika kerajaan mengatakan kenaikan harga gula tidak akan membebankan pengguna, ada rakyat yang hidupnya belum tentu dapat menikmati gula dalam minumannya.

Di Kampung Tawai, Gerik, Perak, Abd Rahim Hassan, 41, mendiami sebuah bilik di belakang rumah, bersama isteri dan dua orang anaknya.

Ruang bilik yang sempit menjadi tempat tinggal mereka sekeluarga di belakang rumah orang tuanya yang tidak mempunyai dinding untuk keselesaan mereka.

Abd Rahim tidak mampu memiliki atau menyewa rumah dan tiada pekerjaan tetap.

Sebelum ini, beliau bekerja sebagai pembantu peniaga di pasar-pasar malam bagi menyara isteri dan dua orang anak dengan pendapatan yang tidak menentu.

Malangnya, ketika hidupnya serba kekurangan, beban kemiskinan beliau menjadi semakin berat setelah terpaksa berhenti bekerja sejak tiga bulan lalu, kerana menghidapi penyakit injap jantung yang rosak.

Penyakit dialaminya menyebabkan beliau tidak mampu melakukan sebarang kerja dan sering mengalami keletihan, di samping terpaksa berulang-alik tiga kali seminggu untuk berjumpa doktor di Hospital Gerik.

Disebabkan tidak ada punca pendapatan untuk menanggung sara hidup mereka sekeluarga, isterinya Fadzlina Mat Yusof, 40, kini bekerja sebagai pencuci pejabat secara kontrak.

Gaji yang diterima sebanyak RM250 sebulan masih tidak mencukupi untuk membeli keperluan harian mereka, apatah lagi untuk anak-anak yang masih kecil.

Menurut Abd Rahim, sebelum menghidapi penyakit ini, beliau tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana pihak dan tidak berputus asa berusaha untuk keluar dari kemiskinan hidup yang ditanggungnya selama ini.

Tetapi segala usahanya menjadi buntu kerana keuzurannya dan kini terpaksa bergantung hidup dengan pendapatan dari gaji isterinya semata-mata.

Kesusahan yang ditanggung beliau mendapat perhatian daripada PAS Kawasan Lenggong yang menziarahinya di rumah, dengan membawa beberapa bantuan berupa bekalan makanan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong, Razman Zakaria ketika memberitahu Harakahdaily berkata, pihaknya dimaklumkan keluarga ini tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak, selain mempunyai ibu bapa yang sudah uzur.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada sesiapa yang ingin memberi sumbangan atau bantuan kepada keluarga ini bagi meringankan bebanan mereka sekeluarga.

Kepada sesiapa yang prihatin dan ingin menyampaikan sumbangan, bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Abd Rahim di talian 012-532 8152 atau menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 0810-0062904-52-2.

No comments:

Post a Comment

Followers