KUALA LUMPUR:
Daripada 77 syarikat bumiputera bertaraf Program Pembangunan Vendor
(VDP) yang dilantik, kini cuma tinggal 11 sahaja apabila pengurusan
Petronas menutup sebelah mata penghapusan secara sistematik program itu
yang kononnya terpaksa dilakukan akibat kegagalan beberapa syarikat
serta aktiviti monopoli dan rasuah.
“Tetapi agak menghairankan
apabila monopoli masih dibiarkan berlaku di luar program VDP,” dakwa
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dalam satu kenyataan.
Menurut
kenyataan itu, lebih memburukkan keadaan apabila syarikat asing diberi
‘lampu hijau’ 70% untuk menguasai sesebuah kontrak dengan mengguna-pakai
perjanjian usahasama yang tidak saksama dan tidak menguntungkan
syarikat tempatan.
Berikut ialah penuh kenyataan MTEM.
Majlis
Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengucapkan syabas kepada Petronas yang
telah begitu bermurah hati menganugerahkan kontrak sebesar RM10 billion
kepada enam syarikat ‘tempatan’ selama 5 tahun bagi projek ‘Pan Malaysia
Integrated Offshore HUC/TMM’ baru-baru ini. Sesungguhnya ia merupakan
satu rekod diluar kebiasaan berdasarkan tempoh serta nilai kontrak yang
diwar-warkan.
MTEM tidak berminat untuk mempersoalkan
kelayakan mahupun status keMelayuan yang ada pada syarikat-syarikat
yang telah dilantik oleh Petronas. Walaubagaimanapun, sekiranya
dibandingkan jumlah tersebut dengan bajet perbelanjaan sebanyak RM200
billion Petronas, peruntukan RM10 billion cuma sekitar 5% sahaja.
Jika
dibandingkan pula dengan amanat YAB Perdana Menteri yang mahu Petronas
memperuntukkan sebanyak RM100 billion untuk Program Pembangunan Vendor
(VDP) bagi 22 skop kerja melalui agenda pemerkasaan Bumiputera, sudah
tentulah jumlah RM10 billion menjadi kecil sekali.
Jika agenda
Pemerkasaan Bumiputera dijadikan ukuran, maka tugas Presiden dan CEO
Petronas pasti sukar sekali. Program VDP bukan sahaja wajib
diperkuatkan, bahkan mesti dijadikan penunjuk prestasi utama (KPI)
kepada keberkesanan pentadbiran seorang Ketua Pegawai Eksekutif.
Semenjak mengambil alih teraju Petronas, beliau nampaknya kurang berkesan dalam memperkasakan usahawan Melayu di Petronas.
Dakwaan
ini ada asasnya. Sebagai contoh, dalam rantaian kerja ‘Exploration
& Production (E&P)’ skop untuk kerja-kerja upstream seperti
Drilling & Completion, Seismic Monitoring dan sebagainya masih
dimonopoli syarikat asing; manakala kerja-kerja Pembangunan seperti
Engineering, Design & Construction (termasuklah skop kerja Hook Up
Commissioning & Topside Major Maintenance yang baru dianugerahkan
Petronas) yang dahulunya banyak diberi kepada syarikat Bumiputera kini
dikuasai syarikat tertentu sahaja. Lebih memburukkan keadaan apabila
Petronas mewajibkan usahasama dengan syarikat asing.
Akibatnya, syarikat-syarikat Melayu yang dahulunya begitu berjaya, tiba-tiba terkeluar daripada senarai pendek Petronas.
Petronas
juga dilihat sukar untuk mengiktiraf kepakaran tempatan. Sebagai
contoh, khidmat ‘chemical fluid for deepwater drilling’ bernilai RM700
juta boleh diberi kepada dua buah syarikat asing; tetapi khidmat
‘chemical fluid for shallow water drilling’ yang bernilai RM1.6 bilion
hanya diberi kepada sebuah syarikat tempatan, sedangkan masih ada
beberapa syarikat Bumiputera lain yang mampu melaksanakannya.
Bahkan
dilaporkan ada syarikat Bumiputera yang telah membina kilang kimia
mereka di Gebeng, Kuantan dengan mendapat pinjaman bank tetapi hampir
‘gulung tikar’ apabila peluang mereka dinafikan Petronas.
Hakikatnya,
daripada 77 syarikat bertaraf VDP yang dilantik kini cuma tinggal 11
sahaja apabila pengurusan Petronas menutup sebelah mata penghapusan
secara sistematik program VDP yang kononnya terpaksa dilakukan akibat
kegagalan beberapa syarikat serta aktiviti monopoli dan rasuah. Tetapi
agak menghairankan apabila monopoli masih dibiarkan berlaku di luar
program VDP.
Lebih memburukkan keadaan apabila syarikat asing
diberi ‘lampu hijau’ 70% untuk menguasai sesebuah kontrak dengan
mengguna-pakai perjanjian usahasama yang tidak saksama dan tidak
menguntungkan syarikat tempatan.
MTEM percaya bahawa masih terlalu banyak ruang untuk kontraktor dan pembekal Bumiputera memainkan peranannya di Petronas.
Program
VDP sebagai contoh perlu diperkuatkan dan bukan disempitkan, manakala
tempoh perlaksanaannya dilanjutkan daripada 5 tahun kepada
sekurang-kurangnya 10 tahun.
Ini bagi memberi peluang kepada
sesebuah syarikat melaksanakan modul perniagaan yang berkesan dan
menyeluruh, merangkumi aspek pelaburan, pembangunan dan latihan.
Petronas
juga tidak perlu takut untuk melaksanakan ‘carve-out’ suatu kaedah
pembahagian kontrak yang terbukti berjaya dilaksanakan untuk projek KV
MRT contohnya.
MTEM berharap agar Petronas lebih ikhlas dan
lebih yakin kepada kemampuan usahawan dan kontraktor Minyak & Gas
tempatan; terutama dalam melaksanakan kerja-kerja yang jauh lebih
teknikal dan rumit.
Hal ini telah dibuktikan melalui kejayaan
beberapa syarikat Bumiputera mendapat pengiktirafan antarabangsa setelah
menyiapkan projek-projek upstream bersama syarikat minyak asing di
Malaysia dan di luar negara.
Mereka dihormati kerana kualiti
kerja yang bermutu dan efisien serta tawaran harga yang kompetitif.
Malang sekali apabila mereka sering dianaktirikan apabila berurusniaga
di Malaysia.
MTEM berpendapat bahawa polisi baru yang sedang
direncanakan oleh Petronas harus dirombak semula agar kembali
mengutamakan tenaga serta kepakaran anak watan.
Usahasama dengan
syarikat asing, sekiranya perlu mestilah mengutamakan kebajikan
syarikat tempatan disamping memastikan berlakunya proses pertukaran
teknologi dan ilmu.
Akhir sekali, penglibatan vendor Melayu dan
Bumiputera dalam melaksanakan kerja-kerja di Petronas harus digandakan
agar mampu mencapai agenda pemerkasaan Bumiputera serta Wawasan 2020
sebagaimana yang diimpikan oleh pemimpin negara dulu dan sekarang.