Monday, August 30, 2010

SAMAN PETRONAS DEMI MARUAH RAKYAT- NIK AZIZ


Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Tindakan memfailkan saman terhadap Petronas adalah atas dasar menjaga kehormatan harta rakyat negeri Kelantan yang telah dirampas oleh Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, sebagai ketua kerajaan bertanggungjawab, beliau perlu memastikan hak rakyat Kelantan dikembalikan walau terpaksa ke mahkamah.

"Wajib atas saya sebagai ketua kerajaan dan penolong-penolong saya menjaga harta Kelantan dengan apa cara sekalipun samaada dengan rundingan, termasuk juga melalui mahkamah.

"Kami hari ini datang kerana menunuaikan tugas agama menjaga harta rakyat Kelantan iaitu petroleum, gas dan sebagainya," kata Nik Aziz pada sidang media selepas selesai memfailkan saman berkenaan dan menunaikan solat hajat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pagi tadi.

Mursyidul Am PAS itu turut berkata, dalam al-Quran ada dinyatakan mengenai lima perkara yang mesti dijaga iaitu akidah, nyawa, harta, nasab dan maruah.

Justeru, beliau dan exco kerajaan negeri memilih untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah sebagai jalan penyelesaian memandangkan tuntutan secara rundingan agar royalti petroleum dikembalikan kepada negeri tidak diendahkan Kerajaan Persekutuan.

"Kami datang ke mahkamah ini kerana saya sebagai ketua negeri dan rakan-rakan daripada exco mahu mempertahankan harta kami," katanya lagi.

Tambahnya, beliau bagi pihak kerajaan negeri yang mewakili rakyat Kelantan amat berharap agar mahkamah dapat mengadili kes itu seadil-adilnya kerana soal keadilan terkandung dalam al-Quran yang wajib diikuti oleh orang Islam.

"Kami berdoa kepada Allah S.W.T minta semua yang mengendalikan urusan harta kami ini iaitu peguam, hakim dan sebagainya supaya terbuka pintu hati mereka, ingat kepada keadilan. Keadilan ini wajib ditunai dan diseru dalam al-Quran sebelum ada PBB di muka bumi ini, sebelum ada apa-apa akta di dunia ini," katanya lagi.

Kira-kira jam 9.30 pagi tadi kerajaan Kelantan memfailkan saman di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.

Selepas itu, Tuan Guru Nik Aziz yang diiringi kepimpinan kerajaan negeri, ahli-ahli parlimen PAS, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan kira-kira 200 orang menunaikan solat hajat di Masjid Wilayah.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, mereka yakin berada di pihak yang benar kerana segala fakta mengenai royalti petroleum termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974 jelas membuktikan Kelantan berhak mendapat royalti tersebut.

"Kita sebelum ini teleh menghubungi Petronas, Perdana Menteri dan membuat kenyataan yang menjelaskan kedudukan Kelantan dari segi hak petroleum seperti mana perjanjian petroleum 1974 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974," katanya.

Menurutnya juga, tiada sebarang kekeliruan dalam perjanjian itu dan mendapat sokongan bekas pengerusi petronas pertama, Tengku Razaleigh Hamzah yang menandatangani perjanjian tersbut bagi pihak Petronas dengan negeri-negeri termasuk Kelantan.

Dalam perjanjian tersebut dinyatakan bahawa jika pengeluaran petroleum dan gas berlaku sama ada di daratan atau di lautan sesuatu negeri, maka negeri tersebut berhak mendapat royalti sebanyak lima peratus setahun.

Namun, royalti berkenaan tidak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan sejak tahun 2004.

Manakala peguam kanan Tommy Thomas yang mewakili kerajaan Kelantan optimis untuk memnenagi kes tersebut berdasarkan pengalaman beliau berhadapan dengan Kerajaan Terengganu dalam kes yang sama.

"Kita yakin boleh menang kes ini dan kita sangat berharap dapat menang untuk mengembalikan hak rakyat Kelantan," katanya.

Sunday, August 29, 2010

TIDAK FAHAM AGAMA PUNCA POLEMIK


Rizal Tahir HARAKAHDAILY
KOTA BHARU, 29 Ogos: Isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana ianya antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu ini menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni.

“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.

“Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid”, katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu, yang kini hangat diperkatakan.

“Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, tindakan mempolemikkan isu tersebut juga bukan sahaja akan menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam, malah bertentangan dengan sunnah Nabi.

“Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi,” ujarnya.

Dalam Islam menurutnya, Muaalaf ditafsir dengan tiga golongan iaitu mereka yang baru memeluk Islam, belum Islam tetapi cenderung memeluk Islam dan orang bukan Islam tetapi menghormati dan tidak menentang Islam.

“Jadinya dalam tiga ini hanya satu sahaja yang kita guna. Dua lagi kita biarkan menyebabkan masyarakat kita semakin jauh dengan yang bukan Islam,” ujarnya.

Menyentuh mengenai tidak menutup aurat ketika memasuki masjid, Tuan Guru berkata, mungkin masalah penjaga masjid tidak memberitahu kepadanya.

Tuan Guru berkata demikian sewaktu majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan media anjuran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), di rumah anak yatim Taman Sabariah.

Seramai lebih 170 orang anak yatim menerima sumbang wang hari raya dari PMBK.

Saturday, August 28, 2010

UMNO TENTANG MAJLIS FATWA


Abdul Aziz Mustafa HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Tindakan Umno mengapi-apikan isu bukan Islam memasuki Masjid dilihat menentang keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan, mempolitikkan kunjungan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu.

Muzakarah Kali Ke-90 jawatankuasa tersebut yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, mengikut keputusan itu, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

"Nyatalah histeria Umno dan konco-konconya itu memalukan umat Islam dengan tindakan mereka yang bukan-bukan sehingga perkara yang diputuskan halal pun diharamkan oleh mereka," kata Mahfuz.

Keharusan tersebut juga sebagai cara menunjukkan keindahan Islam kepada bukan Islam.

Umat Islam juga dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya.

"Umat Islam janganlah mengizinkan diri mereka diperbodohkan oleh politik perkauman Umno," jelasnya.

Dalam pada itu Teo Nie Ching menjelaskan beliau hanya mahu menyampaikan sumbangannya bagi memperbaiki pagar seperti yang diminta oleh pihak pengurusan surau tersebut.

Mengenai tindakan memasuki ruang solat utama di surau itu, Teo berkata, beliau hanya memenuhi jemputan.

"Pada hari tersebut mereka menjemput saya masuk.

"Saya tidak dinasihatkan oleh (pengurusan) surau untuk memakai tudung. Saya (pun pada mulanya) tidak menyangka saya boleh masuk surau itu," jelasnya.

Friday, August 27, 2010

DINAR,DIRHAM BOLEH RUNTUHKAN EKONOMI YAHUDI


HARAKAHDAILY
KOTA BHARU, 26 Ogos: Datuk Husam Musa berkata, penggunaan sistem dinar dan dirham secara tidak langsung akan memberi pulangan ekonomi yang lebih tinggi kepada umat Islam, sedangkan golongan Yahudi semakin runtuh.

“Kerana itu mereka sedaya mungkin akan menghalang serta mengkritik dengan pelbagai dakyah untuk menakutkan umat Islam sendiri yang ingin menggunakan sistem terbabit,” ujarnya.

Justeru itu, katanya golongan Yahudi serta penentang agama Islam yang lain sehabis mungkin akan menentang umat Islam menggunakan mata wang syariat dinar dan dirham, kerana sistem itu akan merugikan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat Kelantan itu berkata, sekiranya umat Islam akan bersatu menggunakan Dinar dan Dirham dalam urusan jual beli, golongan tersebut akan mengalami kerugian yang tenat.

Beliau berkata demikian ketika meraikan rombongan Persatuan Maahad Tahfiz al-Quran Malaysia (Permata), yang diketuai pengerusinya, Ustaz Nazaruddin Jalaludin.

Permata dalam rangka pertemuannya dengan Husam untuk menyatakan sokongan pihak berkenaan terhadap penggunaan Dinar dan Dirham.

Pada masa yang sama, Permata bercadang untuk membayar gaji menggunakan kaedah itu kepada kakitangannya di seluruh negara.

Beliau seterusnya memberitahu, Dinar dan Dirham bukan mata wang, sebaliknya seumpama penukaran barang belian seperti kupon dan cek sebagai alat kewangan.

“Kalau kita boleh membeli barangan di majlis-majlis tertentu menggunakan kupon, kenapa Dinar dan Dirham tidak boleh, sedangkan ianya disebut sendiri oleh Allah dalam al-Quran,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan negeri akan memberi penerangan secara hikmah kepada mereka yang tidak memahami perkara itu.

Nazaruddin ketika berucap pada pertemuan itu memberitahu pihaknya akan menggunakan Dinar dan Dirham sebagai bayaran gaji kepada kakitangannya.

Jelasnya, walaupun ianya tidak dibayar sebanyak seratus peratus menggunakan sistem tersebut, namun sekurang-kurang ia akan dilaksanakan sebagai menyatakan sokongan pihak mereka terhadap usaha kerajaan negeri.

Pada masa yang sama, pihaknya juga akan turun ke bawah untuk mengadakan ‘road show’ bagi memberi penerangan kepada rakyat berhubung perkara itu.

“Ramai yang masih kabur berhubung perkara ini,” ujarnya.

Sehingga kini, sebanyak 58 buah sekolah tahfiz di seluruh negara bergabung di bawah Permata.

Dianggarkan sebanyak RM30,000 hingga RM70,000 dibelanjakan setiap bulan untuk pengurusan dan pembayaran gaji kakitangan guru di bawah Permata.

Monday, August 23, 2010

GUNA DINAR, DIRHAM BAYAR ZAKAT FITRAH


Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Rakyat Kelantan diseru menunaikan bayaran zakat fitrah tahun ini menggunakan dinar atau dirham Kelantan.

Selain sebagai tanda sokongan kepada usaha Kelantan, ianya juga sebagai mengembalikan syiar Islam yang sejak dahulu menggunakan dinar dan dirham sebagai mata wang.

"Balik Kelantan, bayar zakat fitrah dengan dirham Kelantan," kata Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Berbuka Puasa Persatuan Anak Darul Naim (Persada) Kuala Lumpur dan Selangor, di ibu negara kelmarin.

Turut berucap pada majlis itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyatakan hasratnya untuk membayar zakat fitrah tahun ini menggunakan dinar dan dirham.

Hasrat sama juga turut dizahirkan para Exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta pemimpin PAS negeri itu.

Selain itu, rakyat Kelantan termasuk yang berada di perantauan turut diseru membayar zakat fitrah dengan dinar atau dirham.

Isu dinar dan dirham yang diperkenal Kelantan menjadi kontroversi apabila kerajaan pusat menganggap ianya bertentangan dengan undang-undang.

Menurut mereka, hanya kerajaan Persekutuan melalui kelulusan Bank Negara, boleh mengeluarkan mata wang.

Kelantan bagaimanapun berpendapat, pengeluaran dinar dan dirham tersebut hanyalah untuk kegunaan rakyat negeri itu sesama mereka atau sebagai perhiasan.

Sunday, August 22, 2010

DINAR : TIADA MASALAH JIKA RAKYAT KELANTAN SETUJU

Written by Nazri Abdullah HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, tiada masalah jika kerajaan Kelatan mahu menggunakan dinar emas dan dirham perak sesama rakyat negeri itu.

Menurutnya selagi rakyat negeri itu bersetuju menggunakan dinar dan dirham sebagai alat pertukaran, maka tidak timbul sebarang masalah.

"Undang-undang kata Bank Negara sahaja yang dibenarkan kerajaan persekutuan, keluarkan wang sebagai mata wang.

"Kalau nak ganti itu memang salah, tetapi kalau nak guna sesama dia tidak salah saya rasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di satu majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau lagi, kejayaan penggunaan dinar dan dirham bergantung kepada keyakinan masyarakat terhadap wang berkenaan.

Berucap sebelum itu, beliau juga berkata, kerajaan Kelantan bagaimanapun mesti memberi penerangan secara meluas agar rakyat negeri itu itu keliru dengan nilai dinar dan dirham tersebut.

"Tapi nak guna dirham untuk seluruh negara tak bolehlah. Kerajaan Kelantan tak ada kuasa di bawah undang-undang.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga tidak boleh dipersalahkan sekiranya masyarakat tidak mahu menggunakan dinar dan dirham tersebut.

Turut berucap di majlis anjuran Persatuan Anak Darul Naim Selangor dan Wilayah Persekutuan (PERSADA) itu ialah exco kanan kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa.

Husam berkata, dinar adalah bersifat pelengkap kepada ringgit dan kedua-duanya boleh digunakan.

Alasan tidak munasabah

Beliau turut membidas pihak yang yang mendakwa mengguna dinar akan merugikan kerana mudah dipalsukan dengan menganggap alasan tersebut tidak munasabah.

"Ringgit pun boleh dipalsukan, tapi bank negara boleh membezakan yang tulen dan palsu.

"Dinar pun ada alat yang boleh bezakan yang tulen atau palsu.

Selain itu dinar jelasnya lebih stabil kerana ianya aset yang sentiasa berkembang dan harganya meningkat mengikut masa berbanding mata wang dunia.

"Kalau judi bola boleh dihalalkan, tapi hairan kenapa tak boleh iktiraf dinar dan dirham," katanya.

Saturday, August 21, 2010

WASPADA TIUPAN API PERKAUMAN UMNO BN


Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 20 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua lapisan rakyat dalam negara ini agar dapat bertenang dan menilai dengan adil akan tiupan api perkauman yang saban hari semakin menebal oleh pimpinan Umno BN.

“Kepada seluruh rakyat dalam negara kita, marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik songsang mainan Umno BN ini, dengan kita sama-sama meletakkan negara di landasan yang sepatutnya dalam menghadapi cabaran zaman yang mendatang, ke arah suasana yang lebih adil dan aman di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, lewat hari ini.

Justeru, menurutnya, permasalahan yang dibangkitkan oleh Presiden MCA berbentuk resolusi dari kongres ekonomi yang dianjurkan oleh parti itu baru-baru ini adalah merupakan satu lagi manifestasi kegagalan Barisan Nasional dalam memahami kehendak keadilan yang perlu dilaksanakan terhadap rakyat pelbagai kaum dalam negara kini.

Beliau berkata, keadaan itu tambah merumitkan apabila MCA yang merupakan satu parti yang dianggotai oleh golongan elit dan kaya yang tidak membela nasib rakyat bawahan berketurunan Cina yang memerlukan.

Kegagalan itulah juga, ujarnya yang turut dikongsi bersama oleh parti MIC.

Menurutnya, orang Melayu dalam negara ini juga tidak boleh lagi terus percaya bahawa Umno akan membela nasib mereka, setelah selama puluhan tahun rakyat sama-sama melihat bagaimana sistem yang ada dalam negara ini ini menuju kepada pengagihan hasil ekonomi negara kepada kelompok Umno-putra.

Katanya, ketidakadilan ini bukan sahaja dirasai oleh pelbagai kaum yang wujud dalam negara ini, bahkan juga berlakunya diskriminasi terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang berlainan fahaman politik dengan kerajaan yang dipimpin oleh Umno-BN.

“Bukan itu sahaja, politik perkauman sempit dan laungan bersifat rasis kini telah menjadi bahan ugutan dan senjata untuk meraih sokongan oleh pimpinan BN di kala terdesak, seolah-olah rakyat dengan begitu senang boleh dipengaruhi pada zaman langit terbuka ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Followers