Thursday, July 29, 2010

FDI : Mustapa tidak bertanggungjawab, hina rakyat



Abdul Aziz Mustafa HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR, 29 Julai: Jawapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai kejatuhan pelaburan langsung luar (FDI) ke negara ini adalah tidak bertanggungjawab dan menghina pemikiran rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Mustapa mendakwa, FDI ke negara ini merudum begitu teruk ke tahap terburuk sehingga 81 peratus kerana Malaysia berada pada tahap pembangunan yang berbeza dengan jiran-jirannya.
"Mustapa enggan mengakui kegagalan kerajaan khususnya Kemneterian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencipta peluang-peluang pelaburan di negara ini dengan berdalihkan ketiadaan pembangunan infrastruktur di negara ini seolah-olah negara ini maju sangat berbanding India atau Vietnam.

"Kalau Malaysia hebat sangat dari segi infrastruktur dan berada pada tahap pembangunan berbeza berbanding jiran-jirannya seperti Vietnam dan Indonesia, mengapa pembinaan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar menjadi fokus Rancangan Malaysia Ke-10?" Mahfuz mempersoalkan.
Mahfuz juga menolak dakwaan Mustapa yang cuba mengaitkan kejatuhan terburuk FDI itu kerana kerajaan tidak berminat menarik pelaburan kategori rendah seperti pemprosesan dan pemasangan.

"Kerajaan yang tak berminat atau pelabur yang sebenarnya tidak berminat untuk melabur di negara ini yang terkenal dengan budaya rasuah parti pemerintahnya?
"Tidak cukup dengan kegagalan dan ketiadaan kebolehan menjalankan tugas, cakap berlagak pula untuk mewajarkan kegagalan. Inilah akibat dari sindrom DBS Umno - dah bodoh, sombong.
"Sebab itulah saya sifatkan jawapan Mustapa bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah menghina pemikiran rakyat kerana nampak sangat beliau cuba memperbodohkan rakyat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Sepatutnya, kata beliau, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan timbalannya mengakui kelemahan mereka untuk menarik kemasukan FDI ke negara ini dan memohon maaf dari rakyat kerana tidak berkebolehan menjalankan tugas mereka.
"Reaksi menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan timbalannya tak ubah seperti yang disebutkan pepatah Melayu, diri sendiri tak tahu menari, salahkan tanah tinggi rendah - mereka menyalahkan segala-galanya termasuk blog kecuali diri mereka sendiri," katanya.
Sepatutnya lagi, kata Mahfuz lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan timbalannya meletakkan jawatan kerana kegagalan yang amat memalukan itu.

Perangai enggan mengaku kelemahan diri sendiri yang sudah sebati dengan Umno itu, katanya lagi. akan menghancurkan negara.
Mahfuz mengaitkan sikap itu dengan keyakinan bahawa mereka tidak akan dibuang.
"Tidak hairan kalau tidak ada accountability dan responsibility langsung di pihak menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan timbalannya kerana mereka yakin sangat mereka tidak akan dibuang kerja.

"Tambahan pula Najib sering dikaitkan dengan sikap yang lebih mengutamakan ‘tukang kipas’ daripada kepandaian dan kerajinan membuat kerja.
"Beliau juga dikatakan membuat perlantikan untuk mengambil hati dan menutup mulut pengkritik yang ditakutinya.

"Dan, lebih dari semua itu, kegagalan mereka adalah kegagalan Najib sendiri, takkan Najib nak membuang mereka dan dirinya sendiri," kata Mahfuz.

Tuesday, July 27, 2010

FDI MERUDUM ANGKARA PENTADBIRAN ANAK BERANAK


HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR, 27 Julai: Penjelasan Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group), Datuk Seri Nazir Tun Razak mengenai merudum pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini mengingatkan rakyat kepada pentadbiran nepotisme, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).


"Kenyataan jurucakap baru kabinet (Datuk Seri) Najib, iaitu adiknya sendiri, mengingatkan rakyat Malaysia kepada budaya pentadbiran nepotisme yang dipelopori di zaman Tun Dr Mahathir atau pentadbiran 'anak beranak' yang dipraktikkan oleh Tun Abdullah (Ahmad Badawi).


"Mungkinkah Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) ini wajar dipanggil 'pentadbiran adik beradik' pula?" katanya.
Kenyataan dari jurucakap baru kabinet Najib itu juga, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, menunjukkan bahawa anggota-anggota kabinet serta Najib sendiri telah bankrap atau muflis idea bagaimana hendak menjanakan ekonomi Malaysia.


"Mereka adalah ibarat burung unta yang menyembunyikan kepala masing-masing dalam tanah. Tunggu masa sahaja sebelum mereka ditendang keluar oleh rakyat," katanya.
Menurutnya, memandangkan tidak ada komen atau apa-apa kenyataan langsung daripada anggota-anggota kabinet Najib atau beliau sendiri berkenaan kejatuhan pelaburan langsung asing sehingga 81 peratus itu, sekurang-kurangnya kenyataan Nazir itu menunjukkan, maka kerajaan Najib mengakui benarnya kejatuhan itu.


"Jelaslah ia ia bukan rekaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau sebab-sebab yang tidak munasabah lain yang diberi," katanya.
Mahfuz bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada Nazir kerana perlantikannya sebagai jurucakap kerajaan abangnya.

Monday, July 26, 2010

PELABURAN MERUDUM SEBANYAK 81 PERATUS



Abdul Aziz Mustafa HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR, 26 Julai: Kejatuhan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak 81 peratus ke negara ini menghilangkan kelayakan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.


Merudumnya pelaburan asing itu menunjukkan betapa buruknya tahap pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, katanya.


"Dalam sebuah negara Perdana Menteri adalah Ketua Pegawai Eksekutuf (CEO) yang bertanggungjawab untuk membawa pulangan yang lumayan pada negara dari sejumlah wang yang telah dibelanjakan.


"Kejatuhan kedatangan pelabur asing sebanyak 81% telah menghilangkan kelayakkan Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
"Najib seharus berundur secara terhormat demi untuk menyelamatkan satu Malaysia "rakyat didahulukan pencapaian diutamakan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
KPI dan NKRA diperkenalkan oleh pentadbiran Najib untuk mengukur adalah pencapaian dalam pengurusan.


"Dalam sektor korporat perkembangan begini adalah gambaran gagalnya seorang CEO. CEO seperti ini akan dipecat kerana tidak produktif dan gagal membawa pulangan keuntungan kepada syarikat. Kejatuhan 81% kemasukan pelabur asing adalah satu pencapaian buruk dan memalukan.


"Bersediakah Najib untuk berundur?
"Tentu tidak dan Najib akan kata business as usual. Inilah budaya 'tidak apa' Umno yang merosakkan negara," kata Mahfuz.


Beliau melihat kejatuhan pelaburan asing yang begitu teruk itu adalah akibat dari gejala rasuah dan kepincangan sistem perundangan negara sehingga persepsi pelabur antarabangsa terhadap Malaysia begitu buruk sekali.


Menurut beliau, bagi pelabur asing, mereka akan melabur di tempat lain selain Malaysia apabila di Malaysia mereka berhadapan dengan rentetan birokrasi yang kronik dan juga terpaksa membayar tukang-tukang lobi yang mewakili ahli-ahli kabinet dan isteri serta keluarga mereka.
"Fenomena ini membawa kepada rasuah berleluasa. Di Malaysia Umno mengamalkan konsep who you know, not what you know. Kalau hendak kelulusan menteri, perlu bekerjasama dengan balaci-balacinya." kata beliau.


Menurut beliau lagi, pelabur-pelabur asing juga tidak berminat kepada Malaysia apabila melihat kepincangan sistem perundangan dan keadilan negara.
"Kes Lingamgate, kes rampasan kuasa Umno Barisan Nasional (BN) di Perak, kes sodomi kedua dan lain-lain memberi gambaran law of rule bukan rule of law," katanya.


Begitu juga dengan kepincangan pengurusan di Sime Darby, Felda, Maybank dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain, kata beliau, kesemuanya memberi tanggapan buruk kepada pelabur-pelabur asing.


"Mereka melihat di Malaysia tidak ada budaya accountability dan responsibility.
"Sime Darby rugi berbillion, ahli lembaga pengarah masih ada, tidak ada sesiapa yang dikenakan tindakan undang-undang atau diberhentikan.


"Maybank buat pelaburan bodoh di Indonesia dengan membeli Bank Internasional Indonesia, CEOnya dilantik jadi menteri kabinet, sekarang jadi Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC). Felda susut rizab tunai berbillion ringgit, Najib terus jadi Perdana Menteri yang menguruskan Felda dan (Datuk) Ahmad Maslan terus jadi Timbalan Menteri.
"Mana dia accountability dan responsibility? Pelabur tidak akan melabur di negara yg tidak ada budaya accountability dan responsibility," tegas beliau.


Laporan Pelaburan Dunia 2010 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menunjukkan jumlah FDI ke Malaysia terus mencatatkan penurunan mendadak pada tahun lalu.


Jumlah itu berkurangan RM19.04 bilion berbanding RM23.47 bilion yang diterima pada tahun 2008 (Perangkaan diambil kira berdasarkan nilai US$1 = RM3.20650).
Perangkaan tahun lalu yang hanya bernilai RM4.43 bilion juga tidak mencerminkan separuh daripada apa yang lazimnya diterima oleh Malaysia pada 1995 hingga 2005.


Prestasi Malaysia juga dianggap memalukan jika dibandingkan dengan ekonomi Thailand dan Indonesia yang tidak mengecut dengan teruk di sebalik menerima tempiasan krisis kewangan dunia itu.


Thailand kehilangan RM14.24 bilion manakala Indonesia pula hanya berkurangan RM8.32 billion dalam FDI mereka, tahun lalu.


Kejatuhan mendadak itu yang dikatakan paling buruk dalam 15 tahun menyaksikan jumlah terkumpul FDI yang mengalir keluar melebihi jumlah pelaburan yang diterima sebanyak RM3.21 bilion.

Sunday, July 25, 2010

MALAM TAHAN TANPA BICARA SARAT DENGAN MESEJ BENCI ISA


Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY


PETALING JAYA, 25 Julai: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mencipta sedikit kelainan dalam menyampaikan mesej bantahan terhadap akta itu dengan menyalurkannya melalui seni dan hiburan.


Meneruskan kempen 50 Tahun ISA: Mansuh Sahaja! Bukan Pinda!, GMI dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Dr. Nasir Hashim, menganjurkan Malam Seni Tahanan Tanpa Bicara malam tadi yang diisi dengan pelbagai persembahan menarik termasuk deklamasi puisi daripada beliau sendiri.


Majlis sederhana di dewan orang ramai, Jalan Nuri, Seksyen 7, Kota Damansara itu sarat dengan mesej dan kritikan terhadap kerajaan yang masih berdegil mahu mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyaksikan penderitaan tahanan dan keluarga mereka.
Selepas ucapan Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dan Dr. Nasir, persembahan dimulakan dengan deklamasi sajak oleh bekas tahanan ISA, Rishamuddin Rais yang juga seniman yang lantang mengkritik kerajaan Umno/Barisan Nasional.


Dengan gaya bersahaja, beliau menyampaikan sajak bertajuk "Janji Lelaki Itu" yang mengisahkan kehidupan seorang tahanan ISA di Kem Kamunting dan bagaimana penderitaan yang terpaksa ditanggung keluarganya.


Turut mengambil tempat, penyanyi lagu-lagu reformasi, Meor dan Nik yang menyampaikan lima buah lagu yang sarat dengan mesej kritikan terhadap Umno/BN.
Kartunis Zunar juga tidak melepaskan peluang mempamerkan kartun-kartun terbaru ciptaannya yang dinamakan Karram iaitu kartun-katun yang haram, berkisar mengenai skandal dan salah guna kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas-bekas Perdana Menteri terdahulu.


Beberapa kartun yang dimuatkan dalam komik terbitannya telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas alasan mengancam keselamatan negara.
Kartun yang berbentuk sindiran tajam terhadap kepimpinan Umno BN itu berjaya menggamatkan suasana dengan gelak ketawa kira-kira seratus yang hadir.


Turut mencuri perhatian hadirin, persembahan teater daripada rumah anak-anak teater yang bertajuk "Red Eyes".


Ia mengandungi mesej kebosanan dan tekanan yang dihadapi rakyat dengan pemerintahan Najib yang penuh retorik dan tidak pernah mengambil kira kesusahan yang ditanggung rakyat akibat penyelewengan dan salah guna kuasa kerajaannya.


Sementara itu, Syed Ibrahim yang ditemui selepas majlis berakhir berkata, program berkenaan merupakan salah satu cara yang digunakan GMI untuk mendesak akta zalim itu dimansuhkan memandangkan program sebelum ini banyak berbantuk ceramah dan penerangan tanpa hiburan.


Beliau juga memberitahu, pihaknya telah menghantar surat kepada parti-parti politik khususnya Pakatan Rakyat agar program GMI diperbanyakkan di setiap negeri.
"Desakan mansuhkan ISA ini bukan hanya tugas GMI tetapi perlu melibatkan semua pihak khususnya Pakatan Rakyat. Kita mahu Pakatan Rakyat lebih ke hadapan dalam membawa isu ini," katanya.


Bersempena Ramadhan yangakan tiba pada Ogos yang merupakan bulan ISA, beliau juga berharap agar program tidak dihentikan sebaliknya penerangan mengenai kezaliman ISA perlu diselitkan dalam tazkirah-tazkirah di surau dan masjid.

Thursday, July 22, 2010

KUASA POLITIK BARU PERLU GANTI UMNO


Dzulfikar Mashoor HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 22 Julai: "Kekecewaan orang Melayu terhadap Umno sudahpun diketahui umum, sebab itu perlu ada politik baru di kalangan Melayu yang tidak rela membiarkan kepimpinan ini terus merosakkan bangsa dan negara."

Demikian maklum balas Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) petang tadi, mengulas rancangan 'Perpaduan Melayu' yang dipopularkan oleh beberapa pemimpin Umno belakangan ini.

Menurut beliau, budaya berpolitik yang diamalkan oleh Umno telahpun tergelincir dari landasan kebudayaan Melayu yang sebenar.

Katanya, perbincangan itu sudah tergelincir dari landasan yang sebenar kerana lebih untuk mempertahankan kepimpinan pemimpin dan parti politik tertentu walaupun mereka diketahui umum mengamalkan rasuah, pecah amanah, tidak menghayati keharmonian kaum dan tutup ruang demokrasi.

Sedangkan, katanya, kekuatan orang-orang Melayu yang sebenar adalah kembali berpegang teguh pada ajaran Islam.
"Kalau nak bincang tentang perpaduan Melayu, mengapa tidak pergi pada kekuatan sebenarnya, iaitu Islam," ujar beliau.

"Kekuatan Islam yang membentuk budaya orang-orang Melayu yang tinggi, tidak suka pada politik murahan dan pinggiran, amanah dan sangat menjaga maruah bangsa dari terjebak dengan politik yang tidak sihat."

Baginya, orang-orang Melayu seharusnya dididik dengan budaya berfikir yang lebih dinamik supaya tidak terperngaruh dengan anasir-anasir tidak sihat ciptaan pihak tertentu yang berkuasa.

Melihat pada kemusnahan budaya Melayu dalam Umno, beliau berkata, orang Melayu tidak perlu menunggu perpaduan Melayu melalui parti perkauman itu demi melakukan perpaduan mahupun perubahan dalam masyarakat.

Sebaliknya, perubahan paradigma dan budaya orang Melayu seharusnya diperkasakan melalui badan bukan kerajaan (NGO) berwajib serta dalam parti-parti alternatif yang popular di kalangan Melayu.

"Perubahan ini tidak perlu Umno, perpaduan atau perubahan ini sebenarnya perlu (kuasa politik) yang lain, perlu dibuat berperingkat di semua peringkat," tegasnya.

Beliau turut menolak formula popular di kalangan pemimpin Umno kononnya orang-orang Melayu seharusnya mendahulukan perpaduan Melayu melalui Umno walaupun segelintir kepemimpinan parti perkauman tersebut dilihat tidak berbudaya Melayu yang sebenar.
"Bukan Umno sahaja yang Melayu," tegasnya.

Wednesday, July 21, 2010

JANGAN TERPERANGKAP MAINAN MEDIA



Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 21 Julai: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa (gambar) mengajak pemimpin dan ahli PAS di semua peringkat tidak terjerumus dalam mainan media Umno berhubung isu kerjasama Umno-PAS.

Peringatan itu dilontarkan bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan di kalangan rakyat berhubung kenyataan balas pemimpin yang sering diputar belit media arus perdana.

"Saya selaku Timbalan Presiden PAS ingin menegaskan bahawa semua ahli dan pimpinan PAS supaya jangan terikut-ikut dengan rentak yang dimainkan oleh media arus perdana.

"Kebelakangan ini, isu kerjasama antara PAS dan Umno kembali dipaparkan oleh media-media arus perdana sehingga mengelirukan sebahagian ahli PAS dan masyarakat Malaysia umumnya.
"Malah, pihak media telah mendapatkan beberapa pandangan daripada pemimpin-pemimpin PAS di peringkat pusat, negeri dan kawasan berhubung perkara ini," katanya dalam satu kenyataan.

PAS, katanya sangat percaya media-media pro-Umno ini akan menimbulkan persepsi baru sehingga boleh merapuhkan wehdah atau kesatuan dalaman PAS sendiri.
"PAS masih lagi berpegang dengan ketetapan yang telah dibuat dalam muktamar-muktamar yang lalu.

"PAS akan terus memfokuskan kepada gerak kerja mendepani Pilihanraya Umum Ke-13 untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru," katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok menyeru kepada seluruh pimpinan dan ahli agar dapat melipatgandakan usaha untuk memantapkan organisasi terutama diperingkat cawangan dan kawasan serta menambahkan keahlian baru PAS semaksimum mungkin.

Isu kerjasama PAS-Umno terus dimainkan Umno dan juga media pro mereka dalam usaha memancing PAS dan mahu melihat PAS berpecah.

Terbaru, akhbar Utusan Malaysia hari ini sekali lagi memutarbelitkan kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan sehingga menggambarkan beliau pro-kerjasama PAS-Umno.
Akhbar itu kononnya memetik tulisan dari blog Nasrudin namun secara jelas beberapa perkataan diubah bagi kepentingan politik Umno-BN.

Nasruddin ketika mengulas perkara itu berkata, beliau kesal dengan sikap akhbar tersebut yang cuba memesongkan maksud sebenar tulisannya dalam blog http://episodeperjuangan.blogspot.com/.

"Tulisan saya diambil secara tidak beramanah dan Utusan telah menjatuhkan etika kewartawanan."Saya memberi peringatan kepada pihak akhbar tersebut dan minta supaya membuat permohonan maaf secara terbuka," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai khususnya ahli dan penyokong PAS merujuk sendiri tulisan asal di blog beliau dan tidak mudah menerima bulat-bulat laporan Utusan yang juga alat propaganda Umno BN.

Monday, July 19, 2010

MELAYU LEBIH MULIA TANPA UMNO



Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 19 Julai: “Melayu akan lebih kukuh dan mulia tanpa Umno, dan Malaysia akan lebih maju tanpa Umno," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana meyakini kuasa politik melayu akan hilang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

"Saya ucap terima kasih kepada Tan Sri Harussani kerana begitu kasyaf tentang politik negara yang nampak kuasa politik Melayu iaitu Umno akan hilang.

"Dan kita yakin kuasa politik baru akan wujud yang dikuasai Melayu serta semua kaum yang ditunjangi Pakatan Rakyat suatu masa nanti," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, pagi tadi.

Hadir sama ialah seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, orang Melayu tidak perlu risau jika PAS dan Umno tidak bersatu kerana hak orang Melayu lebih terbela tanpa Umno.

Umno, katanya sudah jelas terbukti sebuah parti yang menghakis kepentingan Melayu bukan membela Melayu.

Salahudin pula memberitahu, PAS tidak pernah membuat sebarang keputusan untuk menghantar mana-mana pihak atas tujuan menjalin kerjasama politik dengan Umno.

"Kita dah tutup buku kerjasama dengan Umno.

"Dakwaan (kerjasama) itu satu ftnah, mereka cuba menghakiskan kepercayaan penyokong dan ahli PAS terhadap pemimpin PAS," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Katanya, PAS sudah memutuskan akan tetap komited bersama Pakatan Rakyat dan isu kerjasama dengan Umno tidak berbangkit.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan wujud perbezaan pandangan antara Muhyidin dengan Najib berhubung isu kerjasama ini, Mahfuz berkata Muhyidin seperti mempunyai agenda dalaman menjatuhkan Presidennya.

Muhyidin jelasnya sedang berusaha meyakinkan pemimpin dan ahli Umno lain bahawa Najiblah punca kuasa politik Melayu yang diperjuang parti itu terhakis.

"Muhyidin sedang bina imej untuk jadi hero Melayu dalam Umno.

"Dia sedang mengambil kesempatan mengajak pemimpin Umno lain tikam Najib daripada belakang," katanya.

Followers