Wednesday, March 27, 2019

PENJELASAN PRESIDEN PAS BUKAN BODEK

KOTA BHARU: Penjelasan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang cuba memperbetulkan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai diktator diangggap tidak berbangkit soal membodek.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato' Ahmad Yakob berkata, budaya membodek tidak timbul dalam isu tersebut seperti yang dibangkitkan Presiden PAS.
"Tidak berbangkit bodek-membodek kerana apa yang Tuan Guru cakap itu merupakan satu kebenaran. Kalau hendak bodek sekalipun ia tidak ke mana juga.
"Bagi saya, perkara seperti itu merupakan kelemahan dalam Pakatan Harapan. Kelemahan itu boleh dibaca rakyat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.
Tindakan Presiden PAS menjelaskan istilah diktator terhadap perdana menteri dianggap Presiden PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai cuba membodek Dr Mahathir.
Sedangkan dalam masa yang sama anggota parlimen Port Dickson juga mengakui perdana menteri tidak diktator.
Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar sebelum ini mengelarkan Dr Mahathir sebagai bekas diktator ketika temubual bersama media Singapura. – HARAKAHDAILY 27/3/2019

GAZA MENANGIS LAGI, KITA WAJIB PEDULI


HARI ini masuk hari ketiga kota Gaza dibedil oleh reJim zionis, pembantaian skala besar dihadapkan kepada umat Islam Palestin yang berjuang untuk membebaskan al-Quds. Gaza adalah penjara terbesar di atas dunia ini, dengan kepadatan penduduk seramai dua juta jiwa, tiada ruang selamat untuk berlindung jika serangan udara dihalakan kepada batas jalur yang sempit ini.
Tembok tinggi simen, juga jalur pantai mengepung wilayah yang menjadi kubu HAMAS ini, apatah lagi nasib umat Islam Palestin ini yang berjiran dengan Mesir yang tolol dan sekutu kuat US serta Israel. Bedilan udara zionis meratah jasad manusia yang tak berdosa serta melanggar konvensyen Geneva. Al-Qassam, sayap tentera HAMAS juga melakukan tindak balas semerta termasuk berjaya menyerang bandar dan wilayah Askeelon di sebelah Israel.
Pertembungan antara Islam dengan kelompok Yahudi adalah melalui denai sejarah yang panjang. Di zaman ar-Rasul SAW, kelompok Yahudi Bani An-Nadhir, Bani Qainuqa', Bani Quraizah telah mengkhianati baginda yang mulia, sehingga kemuncaknya berlaku peperangan Khaibar pada bulan Muharram tahun tujuh hijrah.
Di zaman moden kelompok Yahudi telah menubuhkan gerakan zionis pada tahun 1897 di Bassel, di mana 300 orang sarjana Yahudi yang dipimpin oleh Teodor Hezl telah menggagaskan matlamat dan nuansa kelompok Yahudi yang bercita-cita menguasai dunia. Matlamat mereka mewujudkan "The greater Israel", mereka ingin menjadikan Palestin sebagai pusat pemerintahan dan menguasai Baitul Maqdis.
Cita-cita ini didukung oleh Empayar Pax Britanica, British meluncurkan Perjanjian Balfour dan seterusnya Perjanjian Porthmouth. Khilafah Islam yang terakhir, khilafah Uthmaniah telah menjaga setiap inci tanah suci umat Islam ini dengan airmata dan darah. Peperangan antara Tentera British yang dipimpin oleh Sir Lord Allenby dengan tentera Islam Khilafah Uthmaniah telah menyaksikan kemenangan empayar British pada tahun 1917.
Cita-cita Zionist semakin terbuka dengan kemenangan Sekutu mereka, British dalam peperangan merebut tanah Palestin. Impian ini semakin terbentang luas untuk digapai apabila berlakunya kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada Mac 1924. Gerakan Islam menjadi benteng paling hadapan menentang kewujudan negara Israel yang diimpikan oleh zionis.
Sheikh Izzudin Al-Qassam terbujur syahid pada tahun 1935 dalam perlawanan menentang British yang menjajah Palestin. Ikhwanul Muslimin yang dipimpin oleh Hasan al-Banna telah menggerakkan kempen besar-besaran untuk menyelamatkan Palestin dan Baitul Maqdis. Kemuncaknya perang di Palestin pada tahun 1948 menyaksikan lebih 10,000 anggota-anggota Ikhwanul Muslimin bertempur di Tanah Suci ketiga umat Islam ini, sehingga mereka dikhianati oleh pemerintah Mesir (dipanggil pulang ke Mesir dan dipenjarakan).
Umat Islam Tanah Melayu dalam sejarahnya tidak menyepikan diri dalam isu bumi israk ini. Pada tahun 1935, Dr Burhanuddin al-Helmy telah mendekam di penjara Palestin akibat menyertai bantahan terhadap British yang ingin mewujudkan sebuah negara haram kepada orang Yahudi di tanah Palestin. Almarhum sekali lagi dipenjarakan oleh British di Singapura pada tahun 1937 kerana memprotes sikap British dalam isu Palestin dalam akhbar "Taman Bahagia".
Hizbul Muslimin, ormas yang bertujuan menentang British dan menegakkan pemerintahan Islam di Tanah Melayu juga dalam himpunan mereka di Maahad Ehya as-Sharif Gunung Semanggol pada Mac 1948 telah mengemukakan usul menyelamatkan Palestin. Jawatankuasa menyelamatkan Palestin dipengerusikan oleh Dr Burhanuddin al-Helmy, menyiapkan memo bantahan kepada PBB dan juga menjalankan kempen menyelamatkan Baitul Maqdis.
PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1951, sentiasa memberikan kesedaran kepada rakyat untuk peka akan nasib Palestin. Dr Burhanuddin al-Helmi, sebagai ideologue PAS dalam tahun 50-an dan 60-an tidak pernah menyepikan isu Baitul Maqdis. Beliau menyebut dengan jelas dalam ucapan Dasar Yang Dipertua PAS, bagaimana kewujudan Israel adalah duri dalam daging kepada umat Islam di Asia Barat, bahkan kepada umat Islam di seluruh belahan dunia. Begitulah sejarah yang terakam dalam kepimpinan PAS, merasa berbahagi kepedihan dengan rakyat Palestin yang ditindas.
PAS menghantar pelbagai misi bantuan kepada umat Islam Palestin, mengadakan pelbagai seminar, wacana, diskusi intelektual, forum bagi menyelamatkan Palestin. HAMAS menjadi teman baik PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Sheikh Ahmad Yasin, diundang ke Ijtimak Alami yang diadakan di Rusila pada tahun 1988. Dalam Parlimen, ahli-ahli legislatif PAS mengemukan usul berkaitan nasib Palestin.
Krisis yang berlaku di Asia Barat adalah usaha jahat Amerika dan zionis untuk melakarkan peta berdarah baru bagi menggantikan Perjanjian Sykes Picot 1916. Makar ini sebenarnya bagi menjamin keutuhan dan keselamatan negara haram Israel bagi menguasai sepenuhnya sumber tenaga "emas hitam", termasuk menguasai laluan strategik perairan dan juga udara, Obses dengan pelaburan dan monopoli pasaran Asia Barat.
Gerakan Islam jangan larut dengan pelbagai polemik dan intriq, hanya disibukkan dengan wacana kekuasaan. Antara tugasan besar mereka ialah mengembalikan semula Baitul Maqdis, memperjuangkannya dengan konsisten, termasuk melibatkan sama pelbagai jaringan sivil untuk sama-sama membebaskan tanah Palestin. – HARAKAHDAILY 27/3/2019
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

PAS kecam Trump untuk mengiktiraf Bukit Golan kepada Israel

PAS berpandangan tindakan terbaru Donald Trump ini adalah melampau dan boleh menambahkan keganasan yang mengancam keamanan dunia.
Tindakan ini jelas menunjukkan kesombongan Presiden Amerika Syarikat yang dipengaruhi zionis dengan tidak menghormati pemilik asal bumi Palestin dan meneruskan agenda peluasan kuasa zionis di Palestin.
PAS mengekalkan pendirian tidak mengiktiraf cadangan Dua-Negara (Two-State) dan menolak sebarang tindakan hegemoni zionis yang hanya mendatangkan ketegangan di rantau Timur Tengah dan dunia keseluruhannya.
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Rejab 1440 / 25 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 25/3/2019

Tuesday, March 26, 2019

KOMPASTI DARI UDARA

KOMPASTI

Masjid Taqwa

Sekolah Rendah Agama Al Munir


TIADA KELAB MALAM DI KELANTAN SEJAK 1990


KOTA BHARU: "Sudah 30 tahun rakyat Kelantan berada di bawah kepimpinan ulama dan tiada kelab malam di negeri itu.
Rohani Ibrahim"Kalau ada pun di luar Kelantan itu tiada kaitan dengan rakyat negeri ini. Kalau ada yang pergi ke situ itu masalah peribadi dalam kes terpencil yang tidak boleh dikaitkan dengan seluruh rakyat Kelantan," kata Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.
Baru-baru ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia Azhar Harun dilapor berkata, rakyat Kelantan balik ke negeri itu untuk mengundi menyokong hudud sedangkan ketika berada di Kuala Lumpur mereka pergi ke kelab malam.
Rohani yang juga Ketua Muslimat PAS Kota Bharu berkata, Pengerusi SPR terbabit sepatutnya memohon maaf kerana cuba menghina rakyat Kelantan dengan pandangan yang jelik.
“Era Malaysia Baharu sekarang banyak perkara pelik berlaku yang menggambarkan kecelaruan minda mereka,” katanya. - HARAKAHDAILY 26/3/2019

Haji: Bukan sahaja soal istito’ah

NUR AIN MANAF 25 MARCH 2019

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata dalam soal haji perkara yang perlu dibincangkan bukan sahaja istito’ah (kemampuan) kerana terdapat dua perkara iaitu kemampuan dan keinginan.
Menurut beliau, penubuhan Tabung Haji adalah bagi mengumpul semua deposit awal bakal jemaah haji.
Tambahnya, ia digunakan sebagai modal perniagaan dengan harapan keuntungan serta dana dipulangkan kembali kepada bakal jemaah haji dalam bentuk subsidi.
“Maka perkara yang perlu dilakukan adalah bukan merancang sebanyak mana untuk diberikan subsidi berdasarkan sebanyak mana duit yang ada.
“Namun sebaliknya, perlu merancang perkara yang perlu diusahakan bagi mendapat pendapatan untuk menampung sebanyak mungkin keperluan subsidi,” ujarnya.
“Justeru itu, cara berfikir perlu dibetulkan, dengan harapan dapat mengembalikan hak rakyat untuk mengerjakan ibadah haji sepertimana hasrat penubuhan Tabung Haji dalam negara Malaysia,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini. –HARAKAHDAILY 25/3/2018

MP PAS bangkit sikap pentadbiran UKM

SYAHIRAH SALLEH 

KUALA LUMPUR: Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) terpaksa menyewa sebuah dewan di luar kampus bagi meneruskan forum bicara eksklusif bersama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berlangsung pada malam ini.
Difahamkan forum Bicara Tokoh bersama Tuan Guru Abdul Hadi Awang di bawah tajuk Pembangunan Masyarakat Madani dijadualkan berlangsung pada jam 7:45 malam ini telah dipindahkan di dewan Bangi Convention Center, terletak tidak jauh dari UKM.
Isu ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit yang mempersoalkan tindakan pentadbiran UKM yang dikatakan berdolak dalik memberi alasan untuk memberi kelulusan tempat forum diteruskan di UKM.
"Dato' Yang Dipertua, untuk masa akhir ini, suka saya sentuh sedikit tentang isu terbaru di UKM, program anjuran mahasiswa yang menjemput YB Marang, Presiden PAS, terpaksa diadakan di luar kampus kerana pihak pentadbir berdalih dengan 1001 alasan untuk memberikan kelulusan tempat.
"Sedangkan program dijadualkan malam ini bukan bersifat politik, tetapi bersifat akademik, ilmiah yang bertajuk pembangunan masyarakat madani, Ikatan Studi Islam terpaksa menyewa dewan di luar kampus bagi meneruskan program yang dirancang sejak November 2018 lagi.
"Saya menuntut penjelasan YB berkenaan, isu ini agar kerana kita tidak mahu adanya sikap double standard kerajaan PH dalam kebebasan mahasiswa bersuara," katanya ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Untuk rekod, forum bual bicara eksklusif bersama Ahli Parlimen Marang yang diadakan di kampus universiti tempatan bukan satu perkara baharu, malah sebelum ini figura ini pernah dijemput oleh beberapa institusi pengajian tinggi lain seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Ketika zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), parti pembangkang telah disekat atau dilarang berforum di kampus pendidikan tinggi namun selepas tampuk pemerintahan negara beralih kepada Pakatan Harapan, sekatan itu telah dilonggarkan.
Keterbukaan ini dilihat apabila Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah mempelawa lebih ramai tokoh politik termasuk daripada pihak pembangkang untuk berkongsi idea di universiti awam.
Ia bertujuan merealisasikan dasar kementerian untuk menjadikan universiti sebagai medan intelektual terbuka. – HARAKAHDAILY 25/3/2019

Followers