Monday, August 4, 2014

SABOTAJ AIR : SISTEM PENDAWAIAN PAM DIPOTONG

SELANGOR KINI | .

BESTARI JAYA: Kerajaan Negeri Selangor akan meminta bantuan daripada polis dan Rela untuk ditempatkan di kawasan kolam Hang Tuah di Bestari Jaya ekoran terdapat cubaan sabotaj pengeluaran bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dr Yunus Hairi berkata langkah itu akan diambil kira ekoran sudah dua kali berlaku sabotaj itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi, sekumpulan pihak tidak bertanggungjawab bertindak memotong sistem pendawaian di enam pam di kolam Hang Tuah itu.

Bagaimanapun, Dr Yunus berkata pemotongan itu tidak menggugat pengaliran air kepada penduduk ekoran pendawaian yang dipotong itu adalah dari sungai ke kolam.

“Tiada barang bernilai selain sistem pendawaian dan tidak memberi kesan kepada pengepaman ekoran paip yang dipotong adalah dari sungai ke kolam.

“Jadi ia tidak mengganggu. Bagaimanapun kita melihat perkara ini secara serius kerana operasi ini sangat penting kepada penduduk,” katanya ketika ditemui di kolam terbabit.

Dr Yunus berkata dalam pengurusan negeri menuju ke kelas pertama, namun disebabkan pemikiran pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan pengurusan negeri terjejas.

“Pengeluaran air ini sangat penting terutama musim kering bagi sesebuah empangan.

“Namun terdapat segelintir pemikiran kelas ketiga menyebabkan ia berlaku,” katanya.

Beliau berharap semua pihak dan masyarakat yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu kerajaan negeri.

“Saya akan arahkan pihak Lembaga Urus Air Selangor untuk membuat laporan polis seterusnya memperbaiki kerosakan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan membawa masalah itu ke dalam mesyuarat jawatankuasa air bagi mencari penyelesaian.

“Kita akan menambah anggota keselamatan supaya mengawal di semua pam-pam ini.

“Malah, kebajikan petugas juga akan diambil kira bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Sebelum ini, sekitar jam 3 pagi, pasukan yang bertugas mengendalikan pam-pam di kawasan HORAS Bestari Jaya telah diugut oleh sekumpulan samseng bersenjata supaya meninggalkan kawasan itu.

Thursday, July 31, 2014

GAZA : APAKAH PEMIMPIN ISLAM DIJANGKITI PENYAKIT BACUL?

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sama sekali tidak dapat menerima keadaan yang terus dideritai warga Gaza setelah keganasan Israel berlarutan sejak 8 Julai lalu.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bukan sahaja umat dan pemimpin Islam seluruh dunia kelihatan kaku untuk bertindak ketika keganasan itu bermula pada awal Ramadhan, malah ia berlarutan sehingga ketika umat menyambut Idulfitri, rakyat Gaza dihujani bom dan mortar setiap jam.

"Apakah pemimpin Islam di seluruh dunia menjadi dayus sehingga membiarkan keadaan ini berterusan tanpa sebarang usaha untuk menghentikan pembunuhan massa terang-terangan atau melakukan suatu tindakan drastik menghantar tentera dari semua negara-negara Islam untuk mempertahankan bumi Gaza dan melindungan nyawa orang awam Gaza?" tanya beliau dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sama sekali tidak dapat menerima keadaan yang terus dideritai warga Gaza setelah keganasan Israel berlarutan sejak 8 Julai lalu.

Setakat semalam 1,053 orang kebanyakannya warga awam dan lebih 300 orang kanak-kanak terbunuh, lebih 6,000 orang cedera.

Bukan sahaja umat dan pemimpin Islam seluruh dunia kelihatan kaku untuk bertindak ketika keganasan itu bermula pada awal Ramadhan, malah ia berlarutan sehingga ketika umat menyambut IdulfFitri, rakyat Gaza dihujani bom dan mortar setiap jam.

Apakah pemimpin Islam di seluruh dunia menjadi dayus sehingga membiarkan keadaan ini berterusan tanpa sebarang usaha untuk menghentikan pembunuhan massa terang-terangan atau melakukan suatu tindakan drastik menghantar tentera dari semua negara-negara Islam untuk mempertahankan bumi Gaza dan melindungan nyawa orang awam Gaza?

Selama mana lagi umat Islam harus menunggu? Adakah masyarakat antarabangsa hanya mahu menjadi penonton dan terus menghitung bilangan nyawa yang terbunuh setiap hari berita disiarkan dalam media?

Kami berpendapat ini bukan masanya untuk hanya bermesyuarat dan mengeluarkan kenyataan mengutuk atau kekesalan akan tetapi sudah sampai masanya untuk segera memberi respons ketenteraan ke atas rejim Israel yang tidak menerima bahasa diplomatik lagi melainkan bahasa tentera.

Sudah terlalu jelas, akibat sokongan penuh negara imperialis dunia seperti Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan Kanada terhadap zionis Israel, negara haram itu tidak mempedulikan apa sahaja kecaman yang diisytiharkan oleh masyarakat dunia. Malah apa sahaja resolusi PBB yang dikaitkan dengan jenayah perang yang dilakukan oleh Israel semuanya tidak diendahkan oleh negara pengganas itu.

Malangnya ramai pemimpin Islam yang dayus, malah yang menjadi pengkhianat kepada nasib warga Palestin di Gaza  nampaknya semakin terdedah bila ada yang bersikap sunyi dan membisu ke atas apa yang berlaku di Gaza. Ada pemimpin kerajaan di negara OIC berkomplot bersama dengan Israel  dari awal serangan Israel bermula.

Tidak dapat dinafikan lagi Mesir kini menjadi rakan Israel paling rapat untuk menjayakan serangan ke atas Gaza. Di bawah rejim Fatah Al Sisi yang disokong oleh Saudi Arab dan Amerika Syarikat,  pihak pertahanan Mesir telah berkomplot dengan Mosaad Israel untuk merencanakan serangan ke atas Gaza sementera Mesir berperanan untuk mengetatkan kawalan menutup pintu Rafah yang menjadi satu-satunya pintu keluar dan masuk ke Gaza melalui darat.

Mapim tidak melihat penyelesaian yang lain melainkan angkatan tentera dari negara-negara Islam seperti Turki, Iran, Indonesia dan Malaysia mesti segera dihantar ke Gaza. Jika Israel boleh bertindak secara unilateral mengenakan kepungan militari ke atas Gaza yang melanggar undang-undang antarabangsa, kenapa negara-negara Islam tidak boleh bertindak secara mutilateral ke atas Israel supaya tentera Israel menghentikan keganasan.

Kini sudah terdapat beberapa negara bukan Islam yang jauh lebih tegas terhadap Israel seperti Afrika Selatan, Brazil dan Venezuela. Namun negara-negara Islam sehingga kini hanya mampu mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan Israel tetapi tidak mampu bertindak secara konkrit memaksa Israel menghentikan keganasan yang dianggap lebih barbarik dari Hitler.

Negera -negara Islam menjadi bacul dan dayus untuk bertindak kerana terlalu ghairah mempertahankan kedudukan dan kuasa politik masing-masing atas nyawa ribuan warga muslim yang terancam oleh keganasan rejim Israel.

Mapim mendesak supaya negara-negara Islam menghantar tentera pelindung rakyat awam di Gaza segera dan tidak terus membiarkan pembunuhan massa oleh rejimIsrael, negara teroris dunia. -HARAKAHDAILY 30/7/2014

Thursday, July 24, 2014

MH17 : PAS GESA BUAT SAMBUTAN NEGARA TERHADAP JENAZAH

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan kepada pihak kerajaan Malaysia untuk membuat sambutan negara terhadap jenazah rakyat Malaysia yang terlibat dengan insiden pesawat malang MH17 yang akan tiba ke negara ini.

Ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, sambutan rasmi negara itu bagi menzahirkan rasa penghormatan negara terhadap mangsa yang terlibat.

"Kita perlu menyambut mereka sebagai wira negara kita, kerana pemergian mereka satu kehilangan besar bagi negara dan kita semua.

"Mereka telah dibunuh secara kejam yang sama sekali tidak boleh diterima oleh kita semua.

"Sambutan ini juga sebagai tanda kita mengutuk serangan tidak bertamadun ke atas pesawat awam tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Semalam kumpulan pertama mayat nahas MH17 tiba di Belanda dengan sambutan istiadat dan deretan orang ramai.

Tentera Belanda yang beruniform lengkap menerima 40 keranda kayu berisi mayat mangsa yang ditempatkan satu persatu di lapangan terbang Eindhoven di selatan negara itu dalam majlis penuh istiadat sebagai penghormatan terakhir dengan orang ramai berbaris di kiri dan kanan jalan.

Malaysia semalam turut mengadakan sidang parlimen khas dan membawa usul mengutuk serangan ke atas pesawat tersebut.

Malaysia juga menuntut keadilan ke atas insiden itu dengan pihak bertanggung jawab diheret ke muka pengadilan.

Kerajaan juga dalam usaha membawa pulang jenazah rakyat Malaysia untuk dikebumi di sini sebelum Aidilfitri. - HARAKAHDAILY 24/7/2014

Friday, July 18, 2014

RIBUAN DEMO DIKEDUTAAN , BANTAH REJIM ZIONIS

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ribuan umat Islam hari ini berhimpun di hadapan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara bagi menyatakan bantahan terhadap kezaliman sekutunya rejim Zionis Israel yang sedang meratah nyawa rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Himpunan anjuran Pemuda PAS Malaysia bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam itu bermula di sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan Masjid As-Syakirin, KLCC sebelum berarak ke bangunan kedutaan.

Rata-rata mereka membawa kain rentang dan plakad mengutuk kekejaman tentera rejim yang membunuh rakyat Palestin tanpa perikemanusiaan.
Mereka turut berarak sambil menjunjung bendera Palestin bersaiz besar.
Antara mereka yang hadir adalah Naib Presiden PAS, Datuk Tuanb Ibrahim Tuan Man, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Abd Samad dan juga Dr Riduan Mohd Nor.

Tuan Ibrahim ketika ucapannya memberitahu keganasan yang berlaku di Gaza adalah kerana sokongan yang diberikan Amerika kepada Israel.

Jelasnya, Israel tidak akan berani bertindak sedemikian rupa jika tidak ada kuasa besar dunia yang berada dibelakang sambil memberi bantuan senjata kepada negara zionis itu.

"Kita mohon Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) campur tangan dalam isu keganasan ini dan jika gagal Setiausaha Agung PBB digesa meletakkan jawatan dengan segera.

"Kita juga meminta seluruh dunai menghantar bantuan kepada penduduk Palestin agar Israel takut serta menghentikan kezaliman yang dilakukannya," ucapnya.

Beliau bersama wakil MAPIM dan IKRAM telah masuk menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan Amerika melalui Ketua Keselamatan Kedutaan.

"Saya yakin apa yang kita tuntut itu tidak akan dipenuhi oleh kuasa besar (Amerika) dalam desakan menghentikan keganasan.

"Tetapi kita akan terus memberi sokongan dan tekanan kepada Israel serta Amerika agar mereka akur pada desakan yang dilakukan ini, saya memohon semua pihak dapat bergerak bagi memberi sokongan sepenuhnya kepada Gaza," sambung beliau lagi.

Serangan tentera rejim Zionis ke atas Gaza masuk hari ke-12 hari ini di mana mereka mula melakukan serangan darat di samping serangan udara dan laut.

Israel mengerahkan 56,000 tentera darat mereka, lengkap dengan senjata berat menyerang Gaza bermula petang semalam.

Sehingga kini jumlah gugur syahid di Gaza mencecah 240 orang manakala 1770 lagi cedera.

Majoriti mereka adalah orang awam terdiri daripada orang tua, wanita dan kanak-kanak. - HARAKAHDAILY 18/7/2014

Monday, July 14, 2014

KENALI TIGA MUSUH UTAMA UMAT ISLAM


HARAKAHDAILY | .

DALAM hidup ini, khususnya umat Islam, mereka menghadapi tiga kelompok utama yang sentiasa mahu mengeluarkan mereka daripada landasan perjuangan Islam.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dalam tazkirahnya di Harakah.

“Musuh pertama umat manusia dan Islam ialah Iblis dan syaitan. Musuh ini ada sejak zaman nabi Adam lagi. Pada ketika itu belum ada kaum Yahudi mahupun Nasrani. Iblis dan syaitan kekal hingga ke hari ini dan terus berusaha memesongkan manusia dan umat Islam daripada jalan kebenaran.

“Musuh kedua umat Islam ialah golongan Yahudi dan Nasrani. Khususnya Yahudi, bukanlah saya bermaksud kesemuanya tetapi sebahagian besarnya. Perlu diingat bahawa ramai kalangan nabi dan rasul diutuskan kepada kaum Yahudi seperti nabi Ishak, Yaakub, Yusuf, Musa dan Isa,” tegas Ustaz Azman.

Sementara golongan ketiga ialah golongan munafik. Kelompok ini merupakan duri dalam daging kepada perjuangan Islam sejak zaman nabi Muhammad lagi. Antara tokoh munafik yang paling tekenal ialah Abdullah bin Ubai.

Menurut Ustaz Azman lagi, golongan munafik ini kadangkala penambilannya lebih alim daripada kebanyakan umat Islam biasa, kelihatan lebih lunak dan baik di hadapan umat Islam sama ada dari segi berpakaiannya, ucapannya, mahu pun tingkah lakunya. Tetapi pada masa yang sama merekalah yang menghalang Islam daripada terlaksana sepenuhnya.

Beliau mengambil contoh bagaimana Abdullah bin Ubai berjaya memujuk penduduk Madinah supaya tidak terlibat dalam Perang Badar. Hasil pujukan secara halus, sebahagian penduduk Madinah menarik diri daripada menyertai nabi.

Oleh hal yang demikian beliau menyeru agar umat Islam sentiasa berhati-hati dengan tipu muslihat ketiga-tiga golongan tersebut.HARAKAHDAILY 14/7/2014

Sunday, July 13, 2014

KENAIKAN OPR 3.25 PERATUS, BEBANKAN RAKYAT


NAZLI IBRAHIM | .

SHAH ALAM: Belum pun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan, peminjam perumahan dan kenderaan terlebih dahulu dipaksa berhadapan dengan kenaikan bayaran ansuran pinjaman mereka.

Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, hal ini berikutan pengumuman terbaru Bank Negara menaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang sekaligus menyebabkan meningkatnya kadar berian pinjaman asas (BLR).

“Kenaikan BLR ini tentunya akhirnya akan membawa kepada kenaikan kadar faedah pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi, sewa beli barangan keperluan kelengkapan rumah dan lain-lain.

“Orang yang sedia ada mempunyai pinjaman perumahan juga akan berdepan kadar pinjaman lebih tinggi yang bermakna dah tentu membawa kepada kenaikan kos pinjaman.

“Pengguna membuat pinjaman membeli kereta, rumah dan pinjaman lain pastinya terpaksa membayar kadar faedah lebih tinggi,” kata Dr Rosli ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Jelas beliau, peningkatan bayaran pinjaman ini juga menyebabkan kos sara hidup meningkat lebih tinggi dalam suasana peningkatan pendapatan yang lembab.

Dr Rosli yang mengakui BNM tidak mempunyai banyak pilihan polisi yang boleh dilaksanakan bagaimanapun berkata, kerajaan haruslah mengambil langkah membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri dengan harga lebih rendah.

“Tujuan sebenar BNM adalah bagi mencapai keseimbangan kewangan dalam dan luar negara dan mengawal tekanan inflasi disebabkan pertumbuhan pinjaman ekoran pertumbuhan ekonomi yang sederhana.

“Bagaimanapun kerajaan harus sedar ini menyebabkan meningkatnya kos sara yang memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana khususnya,” kata beliau.

Dr Rosli berkata, kerajaan harus memastikan harga rumah terkawal dengan menentukan harga rumah kos rendah dan sederhana dengan cara pengurangan harga bahan binaan.

Kerajaan juga boleh mengkaji untuk menaikan gaji kakitangan awam.

“Sudah masa kerajaan kaji semula gaji kakitangan awam supaya dengan kenaikan baru dapat membantu mereka menghadapi kos sara yang makin tinggi.

“Kerajaan juga kena fikir semula nak kenakan GST sebab beri kesan kos sara. Kena tangguhkan atau lupakan terus,” kata Dr Rosli lagi.

Khamis lalu, BNM mengumumkan OPR dinaikan sebanyak 25 mata kepada 3.25 peratus. - SELANGORKINI

Wednesday, July 9, 2014

PAS KECAM ZIONIS MAKIN KEJAM BUNUH RAKYAT PALESTIN

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera zionis Israel yang bertindak ganas ke atas rakyat Palestin ketika ini menyebabkan lebih 50 rakyat di bumi Gaza itu terbunuh.

Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata tindakan ganas Israel menggunakan jet F16, roket, dan kereta kebal untuk menyerang dan memusnahkan bangunan yang menempatkan pejuang Hamas.

"Tindakan Israel itu menyebabkan 100 orang awam cedera malah berpuluh-puluh bangunan dan rumah dimusnahkan. Inilah sikap kejam Zionis bukan sahaja merampas bumi Gaza bahkan merosakkan segala tanaman buah zaitun yang diusahakan oleh rakyat Palestin," katanya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, PAS sentiasa berdiri teguh bersama-sama Hamas untuk mempertahankan bumi Gaza serta mahukan pembebesan diberikan kepada rakyat Palestin.

PAS juga menggesa dunia antarabangsa khususnya negara-negara Islam membantah keras apa yang dilakukan oleh Israel selain bersatu untuk mempertahankan hak dan penduduk Palestin.

"Kita doakan rakyat Gaza bersabar dan istiqamah terus mempertahankan bumi Palestin.

"Sepanjang Ramadan ini, kita dan seluruh pimpinan serta rakyat negara ini akan terus mendoakan agar bumi Gaza diberi perlindungan oleh Allah SWT dan kekuatan kepada mereka untuk menentang zionis," katanya.

Justeru, PAS menyeru badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar mendesak Israel menghentikan segera serangan dan pembunuhan ke atas rakyat Palestin.

Dilaporkan Isreal telah melepaskan serangan pada 3 Julai ketika rakyat Palestin sedang bersahur, kini serangan terus dilakukan oleh Israel.

Sumber daripada Pusat Informasi Palestin (PIC) melaporkan pesawat tempur Zionis menyerang dua pos keamanaan milik Brigade Izzuddin Al Qassam, sayap tentera Hamas di barat Rafah, Jalur Gaza di bahagian selatan dan di Kampung Tufah serta Wilayah Maqusi. -HARAKAHDAILY 8/7/2014

Followers