Sunday, July 13, 2014

KENAIKAN OPR 3.25 PERATUS, BEBANKAN RAKYAT


NAZLI IBRAHIM | .

SHAH ALAM: Belum pun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan, peminjam perumahan dan kenderaan terlebih dahulu dipaksa berhadapan dengan kenaikan bayaran ansuran pinjaman mereka.

Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, hal ini berikutan pengumuman terbaru Bank Negara menaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang sekaligus menyebabkan meningkatnya kadar berian pinjaman asas (BLR).

“Kenaikan BLR ini tentunya akhirnya akan membawa kepada kenaikan kadar faedah pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi, sewa beli barangan keperluan kelengkapan rumah dan lain-lain.

“Orang yang sedia ada mempunyai pinjaman perumahan juga akan berdepan kadar pinjaman lebih tinggi yang bermakna dah tentu membawa kepada kenaikan kos pinjaman.

“Pengguna membuat pinjaman membeli kereta, rumah dan pinjaman lain pastinya terpaksa membayar kadar faedah lebih tinggi,” kata Dr Rosli ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Jelas beliau, peningkatan bayaran pinjaman ini juga menyebabkan kos sara hidup meningkat lebih tinggi dalam suasana peningkatan pendapatan yang lembab.

Dr Rosli yang mengakui BNM tidak mempunyai banyak pilihan polisi yang boleh dilaksanakan bagaimanapun berkata, kerajaan haruslah mengambil langkah membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri dengan harga lebih rendah.

“Tujuan sebenar BNM adalah bagi mencapai keseimbangan kewangan dalam dan luar negara dan mengawal tekanan inflasi disebabkan pertumbuhan pinjaman ekoran pertumbuhan ekonomi yang sederhana.

“Bagaimanapun kerajaan harus sedar ini menyebabkan meningkatnya kos sara yang memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana khususnya,” kata beliau.

Dr Rosli berkata, kerajaan harus memastikan harga rumah terkawal dengan menentukan harga rumah kos rendah dan sederhana dengan cara pengurangan harga bahan binaan.

Kerajaan juga boleh mengkaji untuk menaikan gaji kakitangan awam.

“Sudah masa kerajaan kaji semula gaji kakitangan awam supaya dengan kenaikan baru dapat membantu mereka menghadapi kos sara yang makin tinggi.

“Kerajaan juga kena fikir semula nak kenakan GST sebab beri kesan kos sara. Kena tangguhkan atau lupakan terus,” kata Dr Rosli lagi.

Khamis lalu, BNM mengumumkan OPR dinaikan sebanyak 25 mata kepada 3.25 peratus. - SELANGORKINI

Wednesday, July 9, 2014

PAS KECAM ZIONIS MAKIN KEJAM BUNUH RAKYAT PALESTIN

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera zionis Israel yang bertindak ganas ke atas rakyat Palestin ketika ini menyebabkan lebih 50 rakyat di bumi Gaza itu terbunuh.

Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata tindakan ganas Israel menggunakan jet F16, roket, dan kereta kebal untuk menyerang dan memusnahkan bangunan yang menempatkan pejuang Hamas.

"Tindakan Israel itu menyebabkan 100 orang awam cedera malah berpuluh-puluh bangunan dan rumah dimusnahkan. Inilah sikap kejam Zionis bukan sahaja merampas bumi Gaza bahkan merosakkan segala tanaman buah zaitun yang diusahakan oleh rakyat Palestin," katanya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, PAS sentiasa berdiri teguh bersama-sama Hamas untuk mempertahankan bumi Gaza serta mahukan pembebesan diberikan kepada rakyat Palestin.

PAS juga menggesa dunia antarabangsa khususnya negara-negara Islam membantah keras apa yang dilakukan oleh Israel selain bersatu untuk mempertahankan hak dan penduduk Palestin.

"Kita doakan rakyat Gaza bersabar dan istiqamah terus mempertahankan bumi Palestin.

"Sepanjang Ramadan ini, kita dan seluruh pimpinan serta rakyat negara ini akan terus mendoakan agar bumi Gaza diberi perlindungan oleh Allah SWT dan kekuatan kepada mereka untuk menentang zionis," katanya.

Justeru, PAS menyeru badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar mendesak Israel menghentikan segera serangan dan pembunuhan ke atas rakyat Palestin.

Dilaporkan Isreal telah melepaskan serangan pada 3 Julai ketika rakyat Palestin sedang bersahur, kini serangan terus dilakukan oleh Israel.

Sumber daripada Pusat Informasi Palestin (PIC) melaporkan pesawat tempur Zionis menyerang dua pos keamanaan milik Brigade Izzuddin Al Qassam, sayap tentera Hamas di barat Rafah, Jalur Gaza di bahagian selatan dan di Kampung Tufah serta Wilayah Maqusi. -HARAKAHDAILY 8/7/2014

Sunday, July 6, 2014

PONDOK MILITAN : DEWAN ULAMA PAS SANGKAL MASHITAH

SITI UMI KALSOM | .
KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan  Pengerusi Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) Datuk Dr Mashitah Ibrahim apabila mengaitkan institusi pondok dengan fahaman ekstremis dan gerakan militan.

Menurut Pemangku Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Nik Zawawi Salleh, apabila menyebut pelajar pondok ini terlibat dengan militan dan ia melahirkan kumpulan-kumpulan militan, ia sekali gus memberi memberi gambaran buruk terhadap institusi pondok.

"Apa yang dituduh oleh Dr Mashitah ini adalah fitnah yang sangat besar, yang beliau sendiri tidak boleh mengemukakan bukti dengan cara yang lengkap.

"Kita rasakan ini adalah satu tuduhan yang sangat besar kepada masyarakat pondok dan pelajar-pelajar pondok," katanya kepadaHarakahdaily.

Nik Zawawi berkata institusi pondok telah melahirkan ulama-ulama yang banyak menyumbang ilmu kepada negara apatah lagi ia merupakan satu-satunya institusi yang menjaga kepentingan agama Islam negara ini.

Ia termasuk bekas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri, ujarnya.

Beliau juga menolak dakwaan mengatakan institusi pondok mempunyai dana yang besar sehingga boleh berdiri sendiri bahkan menyalurkan dana kepada gerakan pemisah seperti di Thailand.

Hakikatnya, kata beliau institusi pondok mempunyai kewangan yang tidak mencukupi dan mustahil boleh menyalurkan kepada pihak lain.

"Ini benda yang sangat tidak logik dan tuduhan yang jahat, daripada seorang yang penuh muslihat. Beliau sekadar merapu sahaja.

"Beliau hendak mengadakan-adakan perkara yang tidak ada supaya menampakkan dirinya macam menyebelahi kerajaan. Padahal apa yang disebut ini langsung tidak ada asas kebenarannya," kata Nik Zawawi lagi.

Beliau berkata, sepatutnya Mashitah patut berfikir bagaimana kerajaan boleh menyumbang kepada institusi pondok yang dimiliki oleh rakyat, bukannya cuba mematikan institusi pondok pada hari ini dengan menarik balik bantuan berkapita seperti mana berlaku di Kelantan.

Terdahulu, Mashitah mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang bagi memantau dan menapis kewujudan sekolah pondok yang kononnya ada menyebarkan fahaman ekstremis.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan tidak perlu undang-undang baru kerana pihak berkuasa agama negeri mempunyai kuasa untuk memantau perkara itu mengikut peraturan yang sedia ada.

Bahkan tegas Jamil Khir, berdasarkan maklumat di peringkat kementerian tiada mana-mana sekolah pondok yang dikaitkan dengan gerakan ekstremis. - HARAKAHDAILY 4/7/2014

*Penulis ialah pelajar KUIZM yang menjalani latihan praktikal di Harakahdaily.

Thursday, July 3, 2014

LARANG PUASA : PAS TUNTUT PENJELASAN CHINA

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS akan menuntut penjelasan daripada Beijing berhubung laporan bahawa penjawat awam, pelajar dan guru dilarang berpuasa sepanjang bulan Ramadhan ini khususnya di wilayah Xinjiang.

Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata jika laporan itu benar, ianya adalah suatu tindakan yang melanggar hak beragama dan hak asasi manusia.

"Jika laporan ini benar, PAS membantah larangan ini kerana ianya bercanggah dengan hak asasi manusia khususnya hak beragama.

"Ia juga bercanggah dengan dasar negara lain di dunia termasuk Amerika Syarikat dan Britain," katanya sambil merujuk sikap yang ditunjukkan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Perdana Menteri Britain David Cameron.

Obama pada Isnin lalu menyampaikan ucapan selamat berpuasa 'Ramadhan Kareem' kepada seluruh umat Islam di dunia sempena kehadiran bulan yang mulia ini.

"Saya mahu menyatakan harapan terbaik kepada umat Islam di Amerika dan di seluruh dunia. Ramadan Kareem.

"Ramadhan adalah masa untuk refleksi diri dan ketaatan. Satu masa apabila umat Islam berpuasa pada siang hari dan melakukan solat tarawih pada malam hari, " kata Obama dalam satu kenyataan video.

Sementara itu, Cameron dalam mesej Ramadhan kepada masyarakat Islam pula memuji sikap umat Islam di negara itu yang banyak bersedekah dan menderma kepada komuniti yang memerlukan khususnya pada bulan Ramadhan.

"Sekali lagi tahun ini kerajaan menyokong program program Iftar (berbuka) beramai-ramai, dengan ratusan komuniti.

"Marilah saya ucapkan kepada kamu sekali lagi, 'Ramadhan Mubarak'," kata beliau.

Beberapa media antarabangsa semalam melaporkan Umat Islam di rantau Xinjiang, China yang bekerja sebagai penjawat awam, pelajar dan guru-­guru dilarang daripada berpuasa pada bulan Ramadhan.

Pihak berkuasa China mendakwa sekatan puasa adalah bertujuan untuk memastikan kesihatan pekerja kerajaan tidak terjejas. - HARAKAHDAILY 3/7/2014

Tuesday, July 1, 2014

PAS DESAK KEMBALIKAN JAWATAN PROF. REDZUAN

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS mendesak agar Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dikembalikan jawatannya sebagai Pengarah UMcedel dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, Perdana Menteri seterusnya wajib memberikan jaminan kebebasan akademik kepada ahli-ahli akademik di negara ini agar mereka dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

"Saya juga menyeru supaya seluruh masyarakat sivil agar bangkit menyatakan keprihatinan ke atas nasib yang menimpa Prof Redzuan. Hal ini tidak boleh kita diamkan begitu sahaja," ujarnya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.

Berikut kenyataan penuh beliau.

PAS memandang serius tindakan universiti tertua di negara ini, Universiti Malaya (UM) yang mengarahkan ahli akademik terkemuka, Prof Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman supaya meletakkan jawatan sebagai Pengarah University of Malaya Centre for Democracy and Elections (UMcedel) serta tidak menyambung perkhidmatan Prof Redzuan sebagai Dekan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Apa yang mengejutkan, kedua-dua tindakan ini dikatakan diambil hasil dari desakan politik pihak tertentu di Kementerian Pendidikan yang tidak senang dengan kajian-kajian berkaitan politik negara yang dijalankan oleh UMcedel di bawah kepimpinan Prof Redzuan.

Dengan mengambil tindakan sebegini ke atas Prof Redzuan, jelas menunjukkan bahawa janji perlaksanaan transformasi politik yang dilaungkan oleh Perdana Menteri untuk memberi ruang kebebasan bersuara yang lebih luas kepada rakyat, adalah suatu pembohongan semata-mata.

Bukan setakat kerajaan yang ada hari ini tidak boleh berkompromi dengan sebarang kritikan dari parti pembangkang, tetapi sudah sampai ke tahap tidak boleh berlapang dada di atas hasil kajian yang dijalankan oleh ahli-ahli akademik non-partisan. Dalam dunia akademik, apa jua dapatan di dalam sesuatu kajian itu adalah terbuka untuk dicabar dan dinilai semula.

Jika tidak berpuas hati dengan dapatan yang diperolehi oleh Profesor Redzuan dan UMcedel, kerajaan Umno dan BN boleh sahaja mengemukakan sebarang hasil kajian balas untuk seterusnya dinilai secara akademik. Tetapi bukan dengan mengambil tindakan ‘menghukum’ Prof Redzuan kerana tidak selesa dengan kajian beliau.

Saya ingin menegaskan bahawa Perdana Menteri dan timbalannya yang juga merupakan Menteri Pendidikan harus bertanggungjawab dan membuat penjelasan umum berhubung dengan arahan kepada UM yang dikaitkan dengan Kementerian Pendidikan agar Prof Redzuan diketepikan sebagai Pengarah UMcedel dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM.

Campur tangan politik sempit kepartian di dalam hal ehwal akademik dan pengurusan universiti adalah perbuatan yang amat jijik kerana ianya bukan sahaja menzalimi individu terbabit, bahkan ianya juga mencemar reputasi insititusi pendidikan terulung di negara ini dan seterusnya memburukkan lagi pandangan dunia terhadap intitusi pengajian tinggi di Malaysia.

Dalam keadaan kedudukan ranking UM dan universiti-universiti di negara ini semakin merudum jika hendak dibandingkan dengan negara-negara serantau yang lain, tidak dapat dibayangkan apakah yang menguasai cara berfikir dan bekerja para penggubal dasar, pegawai-pegawai kementerian, pentadbir-pentadbir universiti di negara ini selain dari hanya semata-mata untuk membodek dan menyatakan hanya perkara-perkara yang sedap didengar kepada para menteri dan ahli politik pemerintah.

Kongkongan kuku besi ke atas sistem pendidikan di Malaysia menjadikan negara kita semakin tertinggal di belakang. Lihat sahaja di dalam laporan yang dikeluarkan oleh The Times Higher Education Asia University Rankings 2014 yang dikeluarkan beberapa minggu lalu menyaksikan tidak ada satu pun universiti awam di Malaysia yang menduduki kedudukan 100 universiti terbaik di Malaysia.

Selepas kajian ranking ini dikeluarkan, kita tidak mendengar sebarang ulasan samada dari Perdana Menteri atau timbalannya tentang apakah langkah-langkah segera yang bakal diambil kerajaan untuk memperbaiki kualiti universiti awam di negara kita. Rupa-rupanya ‘langkah’ pertama yang diambil kerajaan ialah dengan tidak menyambung perkhidmatan seorang tokoh akademik yang berwibawa!

Bagi pihak PAS, saya mendesak agar Prof Redzuan dikembalikan jawatannya sebagai Pengarah UMcedel dan Dekan Fakulti Sastera.

Perdana Menteri seterusnya wajib memberikan jaminan kebebasan akademik kepada ahli-ahli akademik di negara ini agar mereka dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

Saya juga menyeru supaya seluruh masyarakat sivil agar bangkit menyatakan keprihatinan ke atas nasib yang menimpa Prof Redzuan. Hal ini tidak boleh kita diamkan begitu sahaja.

Politik sempit dan sikap balas dendam yang diamalkan hingga memangsakan tokoh-tokoh dan institusi-institusi yang memberi sumbangan kepada negara, harus dihentikan demi masa depan negara yang lebih gemilang. - HARAKAHDAILY 1/7/2014

Sunday, June 29, 2014

MCA BIADAB KAITKAN PAS DENGAN PENGKHIANAT

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyelar kenyataan biadab Pengerusi Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen yang mengaitkan PAS dengan pengkhianat.

Chai meminta pihak polis dan Pendaftar Pertubuhan (ROS)  memeriksa setiap ahli PAS untuk melihat sama ada pengaruh jihad yang dilaungkan bekas pemimpin Dewan Ulamak PASyang telah dipecat, Ustaz Lotfi Ariffin telah menyerap kepada ahli PAS.

"Kenyataan biadab dari seorang pemimpin MCA, apa alasan untuk beliau menyuruh polis siasat seluruh ahli-ahli PAS, adakah kami semua pengganas.

"Kalau macam itu, penglibatan anggota polis, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam pengganas Sulu, maka keseluruhan anggota polis dan TLDM juga ingin disiasat," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang kesal dengan kenyataan MCA itu dan mengganggap ia sebagai tidak berasas serta mencari publisiti murahan.

"Kalau ini kenyataan dari pimpinan MCA, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu meneliti semula pelantikan mereka di dalam kabinet.

"Bila diberikan jawatan, MCA tidak mengenang budi bercakap hanya untuk mencari publisiti tanpa membuat kajian terlebih dahulu. Najib serta Umno perlu menelitinya kembali," sambung beliau lagi. -HARAKAHDAILY 29/6/2014

Thursday, June 26, 2014

Peralat Melayu & Bumiputera untuk kayakan kroni

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR:Siasatan yang dilakukan terhadap projek konsesi pembinaan kampus UiTM mendapati, wujud syarikat Bumiputera yang bukan sahaja mempunyai 'kepakaran' dalam rundingan konsesi dengan kerajaan malah menyerahkan pula projek yang diperolehi kepada syarikat bukan Bumiputera.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, kaedah rundingan terus yang digunakan pentadbiran Najib dengan berselindung di sebalik “private finance initiatives” (PFI) begitu mudah disalahgunakan dan terdedah kepada amalan rasuah.
"Melalui kaedah rundingan terus ini, ahli perniagaan yang mempunyai akses dengan pimpinan Umno dan pegawai tinggi kerajaan berpeluang mendapat konsesi-konsesi yang diikat dalam tempoh yang lama dan boleh merugikan rakyat," ujarnya.
Beliau memberi contoh syarikat yang diberi konsesi membina kampus UiTM Kota Samarahan iaitu Rekajaya Projek Sdn Bhd yang turut dianugerahkan konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) melalui satu konsortium.
Syarikat-syarikat yang dikuasai ahli perniagaan ini, tambahnya boleh diibaratkan sebagai "pakar perunding konsesi" yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun ujar beliau, sebaik berjaya mendapatkan konsesi-konsesi pembinaan, projek pembinaan diberikan pula kepada syarikat bukan Bumiputera sama ada melalui perkongsian (joint venture) atau sub-kontrak.

"Di dalam kes pembinaan Lebuhraya LATAR dan UiTM cawangan Kota Samarahan, pembinaannya dikendalikan oleh Binapuri Holdings Berhad, sebuah syarikat pembinaan bukan Bumiputera yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur," dedah beliau.
Rafizi menambah, semakan mendapati kos pembinaan dua projek konsesi itu dibiayai melalui pinjaman dengan Bank Pembangunan Berhad, sebuah bank milik penuh kerajaan.

"Saya mengambil contoh konsesi penswastaan UiTM cawangan Kota Samarahan ini untuk menunjukkan bagaimana kaedah PFI yang dijadikan alasan untuk memberi anugerah konsesi kepada ahli-ahli politik Umno dan rakan perniagaan mereka sebenarnya samalah dengan Kerajaan Persekutuan menanggung sendiri kos pembiayaan tanpa perlu diikat dengan perjanjian konsesi 23 tahun yang membebankan rakyat," ujarnya.
Beliau berkata, alasan kononnya kontraktor Bumiputera berpeluang dianugerahkan projek melalui program konsesi juga diragui kerana jelas projek yang diperolehi diserahkan pula kepada syarikat bukan Bumiputera.
Rafizi turut mempertikaikan pembiayaan projek melalui Bank Pembangunan, sebuah bank milik penuh Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, jika kampus-kampus tersebut dibina sendiri kerajaan dengan meminjam dari Bank Pembangunan, pasti kos yang ditanggung adalah jauh lebih murah.

"Siri penswastaan UiTM menjadi bukti bagaimana nama Melayu dan Bumiputera disalahgunakan untuk mengkayakan kroni Umno.
"Saya akan terus bersuara mendesak kebertanggungjawaban dan ketelusan di dalam kaedah PFI supaya Umno tidak sewenang-wenangnya menganugerahkan konsesi yang akan membebankan rakyat kelak," ujar beliau. - HARAKAHDAILY, 26/6/2014

Followers