Friday, December 20, 2013

PAS CAWANGAN KAMPUNG PADANG TEMBAK KEHILANGAN SEORANG 'MUJAHID' YANG ISTIQAMAH

19  Dis 2013 - Khamis... Lebih kurang pukul 3.00 a.m bersamaan 16 Safar 1435 , Tn Hj Zainon bin Nengah telah kembali ke rahmatullah di hospital Teluk Intan . Ramai yang terkejut dan sedih mendengar berita itu.

Pas cawangan Kpg Pdg Tembak merakamkan ucapan Takziah kepada keluarga Allahyarham Tn Hj Zainon semoga keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapinya.











"Semoga Allah membesarkan pahalamu dan membaikkan kesabaranmu dan mengampunkan bagi si matimu.”

Jasa dan pengorbanan Allahyarham sangat banyak hanya Allah yang Maha Mengetahui didoakan semoga mendapat ganjaran pahala di sisi Allah swt.

Allahyarham telah menyatakan hasratnya untuk berhenti mengedar harakah bermula tahun 2014 disebabkan masalah kesihatan.

Solat janazah telah dilaksanakan di Masjid At Taqwa selepas solat zohor dengan kehadiran yang ramai daripada saudara mara dan sahabat handai. 

AL FATIHAH

Sunday, December 15, 2013

BANJIR : KEPERLUAN PERSEKOLAHAN SANGAT DIPERLUKAN

KUALA LUMPUR: Bantuan berupa barangan persekolahan antara yang paling diperlukan oleh mangsa banjir yang terjejas di beberapa negeri khususnya di Pahang sebelum ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Suhaizan Kaiat berkata, ini kerana sesi persekolahan 2014 akan bermula tidak lama lagi dan mereka memerlukan bantuan tersebut bagi keperluan anak-anak mereka.

"Dalam keadaan sesi persekolahan baru akan dibuka sikit masa lagi, mangsa banjir sangat-sangat memerlukan bantuan persekolahan. Ini sangat mendesak.
"Bagi Dewan Pemuda PAS, kita menyeru rakyat Malaysia dan warga perihatin untuk memberi sumbangan dalam bentuk pakaian sekolah, beg dan kasut," katanya kepada Harakahdaily.

Selain itu katanya, ramai dikalangan mangsa banjir kini mengalami trauma akibat bencana itu.

Ini kerana ada yang pertama kali mengalami banjir besar sebegitu tanpa sempat membuat persediaan sehingga kediaman dan barangan mereka rosak sepenuhnya.

"Satu lagi yang juga sangat diperlukan ketika ini adalah khidmat sokongan dan kaunseling.

"Mereka memerlukan suntikan semangat dan sokongan kita semua," katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, bantuan kewangan masih juga diperlukan dan bagi mereka yang mehu menyumbang, boleh menyalurkannya melalui akaun Maybank: 564025400100 atas nama Tabung Kemanusiaan Pemuda.

Bagi bantuan selain kewangan, boleh menghubungi Ketua Bilik Gerakan Banjir DPPM yang diketuai oleh Pegawai DPPM, Yusapiza Ya’acob di talian hotline: 017 2692944.

Friday, December 13, 2013

KENAPA MASALAH SUNNI DAN SYIAH DITIMBULKAN SEKARANG?

KUALA LUMPUR: Fasal 7(1) Perlembagaan PAS menetapkan bahawa hukum tertinggi kepada PAS ialah Al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas yang nyata. 

“Inilah sumber hukum para Ahli al Sunnah wal Jama’ah,” tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan. 

Beliau menegaskan, ini dengan sendirinya memberi makna bahawa setiap ahli PAS wajib menganut mazhab Ahli al Sunnah wal jama’ah, dan tidak diizinkan mazhab yang lain di luar dari Ahlus Sunnah waljama’ah dalam PAS. 

“Perkara ini tidak ada dalam perlembagaan parti lain, termasuk Umno sendiri yang berdegar Ahli al Sunnah wal Jama’ah. 

“Oleh kerana berprinsipkan Ahli al Sunnah waljama’ah inilah maka Jawatankuasa Disiplin PAS boleh bertindak terhadap aliran mazhab yang lain dalam PAS, bukan sahaja dalam kes disiplin salah laku terhadap pentadbiran PAS,” jelas beliau lagi.
Kenyataan penuh Presiden PAS di Harakahdaiky 13 Dis 2013 

Saturday, November 30, 2013

ELAUN KAFA SELANGOR PALING TINGGI DI MALAYSIA

SHAH ALAM: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan terus memperjuangkan nasib guru-guru bimbingan kelas agama dan fardu ain (Kafa) dengan kenaikan elaun sebanyak RM1,500.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan negeri, Dr Halimah Ali berkata, elaun guru Kafa merupakan elaun paling tinggi di Malaysia kerana kerajaan Pakatan Rakyat telah menaikkan elaun mereka sebanyak dua kali.

Dalam sesi penggulungan, katanya, kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa memantau keadaan guru-guru Kafa sebagai modal insan yang diamanahkan untuk memastikan insan yang mereka didik menjadi ‘khalifah fil ardh’.

Beliau berkata, mengenai sekolah agama menengah kerajaan negeri sedang mengkaji dasar penyediaan institusi pendidikan agama supaya kumpulan yang utama didahulukan keperluannya.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan dengan mengambil kira aset premis atau sekolah dan tanah serta tenaga modal insan sedia ada agar tidak terlalu membebankan tanggungan rakyat.

"Antara inisiatif yang  mahu diambil oleh kerajaan negeri memaksimakan SRA yang sedia ada untuk di guna dengan permulaan sekolah menengah Kafa," katanya.

Beliau menjelaskan, mulai 2014, sembilan Kafa menengah akan dimulakan di seluruh Selangor kecuali Sabak Bernam kerana Sabak Bernam sudah mempunyai tujuh Sekolah Menengah Agama (SMA).

"Kita harus sedar, tanggungjawab menyediakan jenis sekolah pilihan rakyat mana mana golongan ibu bapa adalah jatuh di bawah kementerian pendidikan, kerajaan Pusat." tegasnya.
Share on Myspace

Tuesday, November 26, 2013

SAHABATKU JEFRI CHUA ( TIM. PENGERUSI DHPP TERENGGANU)

Saya catatkan di sini antara perkara yang paling menyentuh hati berlaku pada hari Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini dan saya kreditkan tulisan ini kepada sahabat baik saya Saudara Jefri Chua, Timbalan Pengerusi DHPP Terengganu.

Saya mengenali Jefri Chua sebagai seorang kawan dan sahabat. Selalu apabila ada kesempatan bertemu, kami selalu duduk berbincang, berkongsi pendapat dalam banyak hal, walau tak selalunya pendapat kami selari tetapi beliau mempunyai sikap menghormati pendapat orang lain dan bersedia untuk berbincang.

Di Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini, beliau dengan mesra datang ke tempat duduk perwakilan PAS Setiu, mengambil tempat di sebelah saya dan sambil mengikuti perbahasan dari perwakilan, sebagaimana biasa sikap ramahnya dengan tak pernah surut, beliau berceloteh memberikan pendapat tentang perkara itu ini juga bertanya tentang itu ini... 

Ditunjukkan kepada saya gambar beliau memegang sebuah buku tulisan Datuk Ismail Kamus bertajuk ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ yang sedang dibacanya. Saya hanya memberikan komentar ringkas, “buku ini sebuah buku yang baik untuk dibaca, isinya mudah difahami...”

Tanpa diduga, saya terkedu serta mengalirkan air mata, bila beliau bertanya soalan yang tak dijangka, "Apa yang you rasa bila suatu hari nanti saya menjadi seorang Islam?"

Jawab saya, "Sayalah antara manusia yang paling gembira ketika itu dan paling awal mengucapkan tahniah!"

Beliau menyambung lagi, "Sebenarnya saya sedang berfikir ke arah itu, tetapi berikan saya sedikit masa kerana saya juga mempunyai isteri dan anak-anak. Kalau saya seorang diri sahaja, mudah..."

Kata beliau lagi, "kalau dihitung purata umur rakyat Malaysia, saya masih mempunyai masa sekitar 20 tahun lagi untuk membuat kebaikan..." ujarnya penuh bermakna.

Saya mengenali Jefri yang saya panggil Jeff sebagai seorang yang berprinsip, komitmen dalam melakukan kerja, sanggup menongkah arus dalam mengambil tindakan.

Mungkin beliau satu-satunya teman berbangsa Tionghua yang belum Islam tetapi sanggup mop lantai Masjid Pengadang Baru. Selalu mengikuti kuliah pagi Jumaat Tuan Guru Presiden di Masjid Rusila.

Kelibatnya tak sukar untuk ditemui walaupun dalam program-program parti yang berbentuk keislaman.

Peranannya dalam meraih sokongan pengundi Tionghua kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13 baru-baru ini tak siapa yang mampu menafikannya. Caranya dan pemikirannya agak kreatif.

Beliau menunjukkan kepada saya gambar beberapa orang perwakilan muktamar yang sedang mendirikan solat di atas lantai di satu sudut Stadium Malawati ketika rehat sesi muktamar.

Saya tanya, “Apa yang Jeff nak buat dengan gambar ini?”

Jawabnya, “Saya nak post dalam fb, nak tunjuk kepada kawan-kawan fb saya yang berbangsa Cina bahawa Islam ini sangat mudah, solatnya boleh didirikan di mana-mana sahaja...”

Sekali lagi mata saya berkaca dengan air mata yang bergenang.

Jeff sahabatku... saya menunggu untuk memeluk tubuhmu sebagai seorang saudara Islam sambil mengucapkan tahniah nanti! Saya berkeyakinan bahawa ianya tersangat hampir!

 http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/23791-sahabatku-jefri-chua

Friday, November 22, 2013

SEPULUH ARAHAN PRESIDEN SIMPULKAN UCAPAN DASAR

SHAH ALAM: Ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar PAS Pusat ke-59 kali ini mencatat kelainan apabila Tuan Guru Abdul Hadi Awang di fasa akhir ucapannya menyebut sepuluh arahan yang patut dilaksanakan aktivis PAS di setiap peringkat organisasi.

Sepuluh arahan itu menyentuh peranan yang perlu dilaksanakan oleh Dewan, Lajnah, Badan Perhubungan PAS negeri dan Wilayah Persekutuan bagi merealisasikan tema “Rahmat Untuk Semua”.

Sepuluh arahan yang terkandung dalam ucapan dasar Presiden itu adalah:

  1. Semua pihak dalam Dewan, Lajnah, Badan Perhubungan PAS Negeri dan Wilayah serta Kawasan mestilah mempunyai kefahaman yang jelas terhadap tema ”RAHMAT UNTUK SEMUA”, dan seterusnya bertindak merangka perancangan dan strategi pelaksanaan agar intipati ini dapat berada dalam masyarakat dan difahami bahawa dasar Islam ini dibawa oleh PAS. Jadikanlah tema ini sebagai sesuatu yang benar bernafas, bukan sekadar slogan kosong yang sedap didengar sebagai halwa telinga untuk Muktamar semata-mata.
  2. Badan Perhubungan PAS Negeri-Negeri dan Wilayah Persekutuan juga perlu lebih dinamik dalam gerakerja tersusun yang mempunyai sasaran bulanan dan tahunan, menambahkan ahli yang berkualiti, mendekati medan baharu dalam masyarakat, dan mempunyai sekurang-kurangnya 50% program di kalangan ahli baharu atau masyarakat awam di luar lingkungan ahli jamaah. Penentuan petunjuk prestasi perlu dibangunkan, sebagai sasaran kerja yang lebih terarah. Kukuhkan organisasi parti dengan berbagai ilmu pengurusan, kepimpinan perlu dibajai dengan tarbiyah untuk membentuk diri seterusnya mengikhlaskan niat perjuangan. Usaha yang berterusan untuk mengaktifkan ILHAM, dan modul-modul pembinaan diri ahli di berbagai peringkat mestilah diperkukuhkan dengan menjadikannya sebagai salah satu sasaran tahunan.
  3. Sabah dan Sarawak adalah rakan penting dalam pembentukan Malaysia. Rakyat di sana telah bersama dalam referendum yang melahirkan negara Malaysia, maka hargailah hasil yang turut sama dibina oleh rakyat Sabah dan Sarawak ini. Maka seluruh jentera PAS di medan ini perlulah berusaha gigih untuk menyedarkan rakyat tentang hak mereka ini supaya tidak dibuli oleh UMNO-BN disetiap masa dan ketika. Badan Perhubungan PAS di Sabah dan Sarawak pula perlulah melengkap dan memperkemaskan organisasi, mempertingkatkan kerja dakwah, menghilangkan phobia masyarakat di sana terhadap PAS, dan seterusnya merakyatkan PAS supaya diterima sebagai parti yang berupaya menjadi tempat bergantung mereka.
  4. Dewan Ulama pula merupakan nadi denyutan jamaah yang perlu bertindak pantas menjadi jurubicara jamaah dan menjelaskan isu di sekitaran dengan merujuk kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah, ijma dan qiyas. Bahan-bahan penerbitan dalam pelbagai rupa dan bentuk yang bersesuai dengan masyarakat perlu lebih dinamik dan bertenaga menjelaskan pendirian jamaah khususnya menterjemahkan Islam bagi menangani masalah semasa, juga membantu kerajaan negeri melaksanakan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh alam. Perbincangan ilmiah dan seminar khusus dalam memahami persoalan maqasid syariah, siyasah syari’yyah, perlu dijalankan dari masa ke semasa untuk menangani ketidakfahaman dalam masyarakat kita ini dan seterusnya menyediakan penyelesaian yang sesuai untuk sepanjang zaman.
  5. Dewan Pemuda pula mestilah sentiasa dinamik, melengkapkan diri dengan ilmu Islam dan kefahamannya, serta bersedia menyambung legasi perjuangan kepimpinan terdahulu sehingga mampu untuk melakukan islah di dalam masyarakat Malaysia yang masih sarat dengan berbagai fikrah yang berlawanan dengan Islam. Inovasi baharu dakwah perlu diterokai. Pemuda juga perlu mendepani isu semasa nasional, tempatan dan antarabangsa; dan mampu mengenengahkan permasalahan ummah dan mencadangkan penyelesaiannya dengan menonjolkan Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam.  Program siyasah yang bersifat inklusif perlulah diterokai untuk mendekatkan diri kepada masyarakat awam di luar sana.
  6. Dewan Muslimat perlulah mendepani berbagai isu dalam bahasa yang mudah dan menyentuh hati nurani masyarakat dalam negara kita ini, bahkan menerokai isu-isu antarabangsa. Program dalaman seperti tarbiyah wajar dimantapkan lagi, sejajar dengan keperluan semasa terutamanya untuk berdepan dengan zaman penggunaan pelbagai media supaya Dewan Muslimat berperanan besar dalam masyarakat terkini yang meletakkan kaum wanita menjadi penentu kepada wajah umat dan negara.
  7. Dewan Himpunan wajar untuk diperkembangkan peranan mereka dengan mempunyai modul-modul latihan khusus kepada ahlinya. Modul ini perlu dibangunkan, untuk melahirkan ahli Dewan Himpunan yang mampu bergerak dengan lebih baik lagi sebagai satu dari sayap parti yang penting, menjadi jambatan atau pintu yang menghubungkan rahmat Islam perjuangan PAS kapada kaum bukan Islam.
  8. Kawasan dan Cawangan perlu mempunyai sasaran kerja yang jelas yang dan dipantau oleh pimpinan negeri. Zaman mesyuarat tanpa fail dan tidak berkala itu adalah sudah berlalu. Program dalaman seperti program tarbiyah dan latihan mestilah menjadi agenda yang penting dalam aktiviti Kawasan dan Cawangan.
  9. Ahli dan kepimpinan PAS yang memikul amanah sebagai Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis dan Anggota Lembaga Pengarah, Ketua Kampung dan semua yang berkaitan perlulah melaksanakan amanah dengan sepenuhnya mengikut adab dan batas-batas akhlak, kerana peranan mereka yang telah dipilih oleh rakyat ini adalah sebagai wajah depan PAS. Prestasi mereka akan dipantau, dinilai dan akan dibantu oleh jemaah sekiranya terdapat kelemahan dalam melaksanakan tugas mereka. Semua dari kalangan mereka ini akan dijemput menyertai forum, perbincangan meja bulat, bengkel dan sesi latihan yang bersesuaian supaya lebih mahir dan dapat membantu dalam menjalankan tugas masing-masing.
  10. Ahli – ahli PAS secara keseluruhannya perlulah mempunyai disiplin dan akhlak yang tinggi, merapatkan saf ahli, mempunyai hubungan dengan Allah yang kuat, berada dalam suasana sentiasa dahagakan ilmu, dan seterusnya terlibat dalam aktiviti majlis ilmu, usrah, tamrin, muqayyam dan sebagainya dengan pelbagai pendekatan yang sesuai dengan waqi’ dan keupayaan masing-masing.

Tuesday, November 19, 2013

VDP PETRONAS : DULU 77 KINI TINGGAL 11 SYARIKAT BUMIPUTRA

Harakahdaily, 19 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Daripada 77 syarikat bumiputera bertaraf Program Pembangunan Vendor (VDP) yang dilantik, kini cuma tinggal 11 sahaja apabila pengurusan Petronas menutup sebelah mata penghapusan secara sistematik program itu yang kononnya terpaksa dilakukan akibat kegagalan beberapa syarikat serta aktiviti monopoli dan rasuah.

“Tetapi agak menghairankan apabila monopoli masih dibiarkan berlaku di luar program VDP,” dakwa Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, lebih memburukkan keadaan apabila syarikat asing diberi ‘lampu hijau’ 70% untuk menguasai sesebuah kontrak dengan mengguna-pakai perjanjian usahasama yang tidak saksama dan tidak menguntungkan syarikat tempatan.

Berikut ialah penuh kenyataan MTEM.

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengucapkan syabas kepada Petronas yang telah begitu bermurah hati menganugerahkan kontrak sebesar RM10 billion kepada enam syarikat ‘tempatan’ selama 5 tahun bagi projek ‘Pan Malaysia Integrated Offshore HUC/TMM’ baru-baru ini. Sesungguhnya ia merupakan satu rekod diluar kebiasaan berdasarkan tempoh serta nilai  kontrak yang diwar-warkan.

MTEM tidak berminat untuk mempersoalkan kelayakan mahupun status  keMelayuan yang ada pada syarikat-syarikat yang telah dilantik oleh Petronas. Walaubagaimanapun, sekiranya dibandingkan jumlah tersebut dengan bajet perbelanjaan sebanyak RM200 billion Petronas, peruntukan RM10 billion cuma sekitar 5% sahaja.

Jika dibandingkan pula dengan amanat YAB Perdana Menteri yang mahu Petronas memperuntukkan sebanyak RM100 billion untuk Program Pembangunan Vendor (VDP) bagi 22 skop kerja melalui agenda pemerkasaan Bumiputera, sudah tentulah jumlah RM10 billion menjadi kecil sekali.

Jika agenda Pemerkasaan Bumiputera dijadikan ukuran, maka tugas Presiden dan CEO Petronas pasti sukar sekali. Program VDP bukan sahaja wajib diperkuatkan, bahkan mesti dijadikan penunjuk prestasi utama (KPI) kepada keberkesanan pentadbiran seorang Ketua Pegawai Eksekutif.

Semenjak mengambil alih teraju Petronas, beliau nampaknya kurang berkesan dalam memperkasakan usahawan Melayu di Petronas.

Dakwaan ini ada asasnya. Sebagai contoh, dalam rantaian kerja ‘Exploration & Production (E&P)’ skop untuk kerja-kerja upstream seperti Drilling & Completion, Seismic Monitoring dan sebagainya masih dimonopoli syarikat asing; manakala kerja-kerja Pembangunan seperti Engineering, Design &  Construction (termasuklah skop kerja Hook Up Commissioning & Topside  Major Maintenance yang baru dianugerahkan Petronas) yang dahulunya  banyak diberi kepada syarikat Bumiputera kini dikuasai syarikat tertentu  sahaja. Lebih memburukkan keadaan apabila Petronas mewajibkan  usahasama dengan syarikat asing. 

Akibatnya, syarikat-syarikat Melayu yang dahulunya begitu berjaya, tiba-tiba terkeluar daripada senarai pendek Petronas.

Petronas juga dilihat sukar untuk mengiktiraf kepakaran tempatan. Sebagai  contoh, khidmat ‘chemical fluid for deepwater drilling’ bernilai RM700  juta boleh diberi kepada dua buah syarikat asing; tetapi khidmat  ‘chemical fluid for shallow water drilling’ yang bernilai RM1.6 bilion hanya diberi kepada sebuah syarikat tempatan, sedangkan masih ada beberapa syarikat Bumiputera lain yang mampu melaksanakannya.

Bahkan dilaporkan ada syarikat Bumiputera yang telah membina kilang kimia mereka di Gebeng, Kuantan dengan mendapat pinjaman bank tetapi hampir ‘gulung tikar’ apabila peluang mereka dinafikan Petronas.

Hakikatnya, daripada 77 syarikat bertaraf VDP yang dilantik kini cuma tinggal 11 sahaja apabila pengurusan Petronas menutup sebelah mata penghapusan secara sistematik program VDP yang kononnya terpaksa dilakukan akibat kegagalan beberapa syarikat serta aktiviti monopoli dan rasuah. Tetapi agak menghairankan apabila monopoli masih dibiarkan berlaku di luar program VDP.

Lebih memburukkan keadaan apabila syarikat asing diberi ‘lampu hijau’ 70% untuk menguasai sesebuah kontrak dengan mengguna-pakai perjanjian usahasama yang tidak saksama dan tidak menguntungkan syarikat tempatan.

MTEM percaya bahawa masih terlalu banyak ruang untuk kontraktor dan pembekal Bumiputera memainkan peranannya di Petronas.

Program VDP sebagai contoh perlu diperkuatkan dan bukan disempitkan, manakala tempoh perlaksanaannya dilanjutkan daripada 5 tahun kepada sekurang-kurangnya  10 tahun.

Ini bagi memberi peluang kepada sesebuah syarikat melaksanakan modul perniagaan yang berkesan dan menyeluruh, merangkumi aspek pelaburan, pembangunan dan latihan.

Petronas juga tidak perlu takut untuk  melaksanakan ‘carve-out’ suatu kaedah pembahagian kontrak yang terbukti  berjaya dilaksanakan untuk projek KV MRT contohnya.

MTEM berharap agar Petronas lebih ikhlas dan lebih yakin kepada kemampuan usahawan dan kontraktor Minyak & Gas tempatan; terutama  dalam melaksanakan kerja-kerja yang jauh lebih teknikal dan rumit.

Hal ini  telah dibuktikan melalui kejayaan beberapa syarikat Bumiputera mendapat pengiktirafan antarabangsa setelah menyiapkan projek-projek upstream  bersama syarikat minyak asing di Malaysia dan di luar negara.

Mereka dihormati kerana kualiti kerja yang bermutu dan efisien serta tawaran harga  yang kompetitif. Malang sekali apabila mereka sering dianaktirikan apabila berurusniaga di Malaysia.

MTEM berpendapat bahawa polisi baru yang sedang direncanakan oleh  Petronas harus dirombak semula agar kembali mengutamakan tenaga serta kepakaran anak watan.

Usahasama dengan syarikat asing, sekiranya perlu mestilah mengutamakan kebajikan syarikat tempatan disamping memastikan berlakunya proses pertukaran teknologi dan ilmu.

Akhir sekali, penglibatan vendor Melayu dan Bumiputera dalam melaksanakan kerja-kerja di Petronas harus digandakan agar mampu mencapai agenda pemerkasaan Bumiputera serta Wawasan 2020 sebagaimana yang diimpikan oleh pemimpin negara dulu dan sekarang.

Followers