Friday, April 12, 2013

Dr Mahathir sedang usaha hancurkan negara - Salahudin

Harakahdaily, 12 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Saranan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa akan berlaku konfrantasi kaum jika Lim Kit Siang menang di Gelang Patah boleh menghancurkan negara ini, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Jika hancur negara ini kerana tercetusnya konfrontasi kaum akibat hasutan secara tidak langsungnya itu, Dr Mahathirlah yang bertanggungjawab.

"Kalau berulang lagi rusuhan kaum 13 Mei 1969, Dr Mahathirlah pencetusnya," tegas beliau.

Bagi Salahuddin, bekas Presiden Umno itu amat jelas anti-perpaduan dan sangat tidak bertanggungjawab apabila mendakwa kononnya konfrontasi kaum akan menggantikan kerjasama Melayu Cina di negara ini jika Lim Kit Siang menang di Gelang Patah.

Malah, katanya lagi, semakin terbukti dengan amat jelas kepada rakyat bahawa perbuatan mengapi-apikan kebencian antara kaum adalah satu-satunya senjata Umno untuk menghadapi kebangkitan rakyat dalam dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Menulis dalam blognya, Perdana Menteri keempat itu berkata, "Apabila Kit Siang memutuskan untuk bertanding kerusi majoriti Cina di Gelang Patah, ia adalah disebabkan beliau mahu orang-orang Cina di situ dan di Johor menolak untuk berkerjasama dan berkongsi dengan orang-orang Melayu.

"Konfrontasi kaum yang tidak sihat akan menggantikan kerjasama Cina-Melayu yang menyebabkan Malaysia stabil dan makmur. Kerjasama itu akan berakhir jika Kit Siang menang di Gelang Patah".

Salahuddin menyifatkan tulisan Dr Mahathir itu secara tidak langsung menghasut supaya dicetuskan konfrontasi antara kaum jika Kit Siang menang.

"Walaupun beliau tidak menghasut secara langsung, tetapi apa yang ditulisnya jelas merupakan taktik untuk menghasut secara tidak langsung.

"Ia taktik lama yang sudah biasa kita lihat," katanya.

Salahuddin berkata, sukar untuk ditolak kemungkinan mereka yang terpedaya dengan hasutan tidak langsung Dr Mahathir itu akan mengamuk dan mencetuskan konfrontasi antara kaum," katanya.

"Dr Mahathir mungkin memerah otak supaya tulisannya tidak dilihat menghasut tetapi semakin ia cuba untuk tidak kelihatan menghasut semakin terdedah niat yang cuba disembunyikannya itu.

"Kalau Dr Mahathir fikir cara dia menulis itu dapat menyembunyikan niatnya untuk mencetuskan konfrontasi kaum, ia tak ubah seperti menutup bangkai gajah dengan nyiru," katanya.

Bagi Salahuddin, Dr Mahathir hanya tahu melihat apa sahaja yang berlaku dari sudut pandangan perkauman Umno sahaja.

"Saya tidak mahulah kata Dr Mahathir menulis dari sudut pandangan perut busuk Umno tetapi bekas Presiden Umno itu sendiri pernah menulis Umno busuk hingga ke usus atau 'rotten to the core'.

"Dia hanya mampu melihat dari sudut itu sahaja dan tidak tahu apa-apa tentang perpaduan kaum yang semakin berjaya dibina oleh Pakatan Rakyat setelah dimusnahkan oleh sentimen perkauman yang tidak henti-henti diapi-apikan oleh Umno sejak selepas pilihan raya umum 2008 lalu," katanya.

Salahuddin menegaskan, tidak ada sebab sesiapa pun hendak berkonfrontasi jika Kit Siang menang di Gelang Patah.

"Kit Siang tidak membawa mesej perkauman sempit seperti Umno.

"Malah, beliau membawa semangat Datuk Onn Jaafar yang membuka keahlian Umno kepada semua kaum ketika beliau menjadi pemimpin parti itu," katanya.

Kit Siang sebelum ini menyeru semua pihak mencontohi pengasas Umno Datuk Onn Jaafar dengan bersikap melampaui sentimen perkauman dalam pilihan raya umum di Gelang Patah.

Calon Pakatan bagi Parlimen itu berharap "pertempuran" di kerusi itu merealisasikan "impian Malaysia" Datuk Onn ke arah penyatuan bangsa berbilang kaum, seperti tergambar daripada tindakannya untuk membuka keahlian Umno kepada semua pada 1951.

"Malah, saya merujuk kepada pengundi Gelang Patah sebagai rakyat Malaysia, bukan pengundi Cina, Melayu atau India demi mencapai 'impian Malaysia' masyarakat bersatu-padu," katanya.

JEMAAH MASJID AL FATAH 'MENANGIS'

Abu Musa, 12 Apr 2013 HARAKAHDAILY
Allahurabbi..rata-rata jamaah Masjid Al-Fatah tadi menangis dengan pengisian khutbah yg disampaikan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man:

1. Sekarang bukan lagi zaman menjadi penyokong, sekarang zaman semua kena menjadi petugas untuk menangkan Islam.

2. Jika ditakdirkan kita tewas, janganlah berasa dukacita diatas kekalahan, tapi berdukacitalah kerana kita tidak menyumbang kepada kemenangan. Yang telah bekerja keras tidak perlu bersedih, kerana itu adalah kehendak Allah.

3. Berilah sumbangan kepada perjuangan memenangkan Islam.

4. Di dalam sebuah peperangan yang sangat penting di zaman Nabi, Nabi menyuruh semua sahabat-sahabat menginfaqkan harta. Saidina Umar menyumbang separuh hartanya, Saidina Abu Bakar menyumbang semua hartanya termasuk jubah yg sedang dipakai, tetapi ada seorang jamaah yg kudung kedua dua tangan dan kakinya, menyumbang segantang kurma, hasil dia mengumpul setelah lama bekerja menjadi hamba mengangkat air dari perigi..

5.Yang kudung kaki dan tangan pon menyumbang untuk Islam, takkan kita setakat jadi penyokong, bila kalah nanti sedih, sedangkan orang lain berjaga sampai lewat pagi untuk gerakerja Islam, dia di rumah menonton tv!

6.Perjuangan ibarat sebuah bangunan.. semuanya saling memerlukan.. siapa yang jadi atap, jangan komplen kepada lantai..yang jadi tangga jangan komplen kepada dinding..yang jadi tiang jangan komplen kepada tingkap..

Sekarang, kita di mana sebenarnya.

Sunday, March 10, 2013

PRU13 : LUAR BIASA BILA LEPASI TEMPOH 5 TAHUN

Harakahdaily, 10 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Tempoh lima tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 8 Mac 2008 lalu, kini sudah genap malah sudah lebih dua hari jika dikira sehingga tarikh hari ini 10 Mac 2013.

Rata-rata rakyat mula bercakap tentangnya yang selama ini tidak sabar menantikan bilakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen untuk diadakan PRU13.

Bairpun perkiraan mudah itu tidak termaktub dalam perlembagaan, namun bagi mereka, kerajaan BN bermula tarikh 9 Mac 2013 iaitu semalam, sudah dianggap kerajaan sementara (caretaker) kerana pentadbirannya sudah melebihi mandat lima tahun yang diberikan oleh rakyat pada PRU12 lalu.

Penantian rakyat untuk PRU13 sejak lebih tiga tahun lalu ini terus membawa kepada satu persoalan baru, iaitu mampukah kerajaan yang BN yang dipimpin Najib pada hari ini mematuhi prinsip-prinsip­ umum kerajaan caretaker.

Antara perinsip umum tersebut termasuklah memisahkan Umno BN dari kerajaan, tidak boleh meluluskan projek mega dan tidak boleh membentuk dasar-dasar baru yang mengikat kerajaan yang dibentuk selepas PRU13.

Ini satu lagi faktor yang akan dinilai oleh rakyat terhadap tahap 'keadilan' dalam proses berdepan pilihan raya seperti yang dituntut dalam beberapa himpunan Bersih sebelum ini.

Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam satu kenyataan semalam berkata, Malaysia boleh mencipta sejarah dunia dan disenarai dalam Guinness Book of Records sebagai negara yang paling lama berada dalam keadaan teka-teki tarikh pilihan raya di mana kempen pilihan raya telah bermula sejak empat tahun dahulu lagi.

Malah, beliau juga telah menganggap Najib secara tidak rasminya bukan lagi perdana menteri yang sah bermula tarikh 9 Mac iaitu semalam.

"Apatah lagi Najib merupakan Perdana Menteri paling lama tanpa mandatnya sendiri iaitu hampir empat tahun," katanya yang turut melontar persoalan adakah Najib akan membubarkan parlimen pada tarikh 11 Mac 2013 iaitu esok jam 11.11 pagi.

Barang diingat, Najib menjadi perdana menteri hanya bermula 3 April 2009 iaitu bagi menggantikan Abdullah Badawi yang gagal memperoleh dua pertiga kerusi parlimen pada pilihan raya 2008 yang menyaksikan Tsunami politik dalam negara ini.

Dengan kata lain, jawatan perdana menteri yang disandang Najib sehingga hari ini, masih lagi atas mandat Pak Lah pada 2008 dan bukan mandat diri beliau sendiri.

Bagi Ketua Penggerak Pemantau PRU Kelantan, Mohammad Faizal Che Yusof pula, tempoh melebihi lima tahun ini satu yang luar biasa bagi negara ini.

Maka katanya, sangat wajar bagi kerajaan yang disifatkannya juga sebagai caretaker ini untuk menghormati konvensyen yang diterimapakai oleh kebanyakan Negara demokrasi dunia hari ini berhubung prinsip-prinsip­ umum kerajaan caretaker.

"Harus diingat, melepasi lima tahun mandate yang diberikan oleh rakyat adalah suatu keluar biasaan amalan di Malaysia.

"Meskipun Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan hal berkaitan kerajaan caretaker, sebagai sebuah negara yang mengamalkan system demokrasi pilihan raya, konvensyen yang mengiktiraf prinsip-prinsip kerajaan caretaker ini perlulah dihormati," katanya.

Friday, March 1, 2013

MANIFESTO: PAS GIAT BERI KEFAHAMAN KEPADA RAKYAT

Anis Nazri, 28 Feb 2013HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Tawaran manifesto Pakatan Rakyat kini sedang giat disampaikan kepada rakyat melalui jentera penerangan PAS, khususnya di parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) tumpuan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata jentera parti kini dalam usaha memberi kefahaman kepada rakyat di peringkat akar umbi berkaitan Manifesto Pakatan Rakyat.

Lebih-lebih lagi, katanya selepas manifesto itu mendapat beberapa komen daripada pemimpin Umno yang ternyata bimbang dengan manisfesto yang bersifat baru dan adil untuk semua.

"Secara gerak kerjanya, PAS sudah bergerak secara tuntas sebelum ini lagi.  Dengan manifesto ini pula, kita tambah giat lagi dengan penerangan secara berkelompok berkaitannya," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau juga berkata penerangan manifesto berbentuk bahan cetakan juga sedang dilakukan bagi memudahkan penerangan kepada rakyat.

Beliau berkata, sebaran berbentuk risalah juga sedang dicetak untuk kali kedua bagi memudahkan pengundi memahami dengan jelas berkenaan tawaran Pakatan Rakyat.

Tambah Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga, secara dasarnya PAS sudah menggerakkan jentera partinya ke kawasan-kawasan tumpuan sebelum ini.

"Kita bertambah giat lagi dengan menumpukan kepada pengundi kerana pilihan raya akan diadakan bila-bila masa dalam tempoh tidak sampai dua bulan ini," tegas beliau.

Tuesday, February 26, 2013

TG NIK AZIZ ASET TERBESAR PAKATAN - Anwar

Harakahdaily, 25 Feb 2013


(Pemimpin utama PAS, PKR dan DAP di Konvensyen Pakatan Rakyat ke - 4 hari ini)

SHAH ALAM: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan rekod kepimpinan yang ditunjukkan Tuan Guru Datuk Nik Aziz selama 22 tahun di Kelantan adalah aset terbesar Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya.

Bagi beliau, intergriti dan good governance yang ditunjukkan Tuan Guru Nik Aziz selama 22 tahun mentadbir Kelantan membuktikan kehebatan kepimpinan yang ada pada Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di Konvensyen Pakatan Rakyat ke 4 di Pusat Konvensyen Shah Alam tengahari tadi.

Kata Anwar, tidak ada mana-mana pemimpin di rantau sebelah sini yang boleh mengatasi kehebatan Tuan Guru Nik Aziz dari segi intergritinya.

Anwar juga berkata, Pakatan Rakyat juga berbangga dengan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Guan Eng hebat dari segi kecekapan dan ketelusan yang ditunjukkan oleh kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin beliau.

"Beliau juga sanggup mengaku kelemahannya untuk memahami keperluan Melayu Pulau Pinang.

"Selepas kita beritahu, dia telah memperuntukkan setengah bilion ringgit (RM500 juta) untuk perumahan di Pulau Pinang," kata Anwar.

Anwar juga berkata, Pakatan Rakyat sangat berbangga dengan kehebatan yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Dengan perancangan yang dibuat oleh Khalid, lihatlah apa yang dikecapi oleh rakyat Selangor sekarang," kata Anwar dalam ucapannya memuji kehebatan Khalid dalam membangunkan ekonomi Selangor.

Saturday, February 16, 2013

WANG UNTUK PSY LEBIH BAIK BAGI KEPADA OKU

Mohammad Faizal Che Yusof, HARAKAHDAILY
Sebagai mewakili suara OKU yang dianggarkan 15 peratus daripada rakyat Malaysia, kami amat merasa terkilan dan kesal terhadap pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri dalam menyambut perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Dalam suatu petunjukan yang melibatkan seorang penyanyi terkenal, Park Jae Sang (Psy) sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina di Kolej Han Jiang, kami difahamkan sejumlah RM2 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan Malaysia di bawah teraju Umno dan Barisan Nasional.

Walaupun kerajaan menafikan kos tersebut ditanggung olehnya, tetapi jumlah wang yang sebegitu banyak hanya untuk hiburan yang memakan masa beberapa minit bukanlah tindakan yang betul.

Apakah YAB Perndana Menteri yang juga memegang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat “KPWKM” sedar betapa jumlah perbelanjaan yang besar itu amat bermakna kepada pembangunan OKU di Negara ini?

Dengan perbelanjaan sebesar itu, alangkah baiknya ianya diserahkan kepada NGO-NGO yang berasaskan perkhidmatan kepada OKU. Pelbagai program bagi menggerakkan pelbagai aktiviti ke arah peningkatan potensi OKU dan kesedaran masyarakat kepada keperluan OKU boleh dilakukan.

Atas dasar pelbagai kepincangan yang berlaku inilah, kami tampil bersama kebangkitan rakyat bagi memastikan agenda pembangunan OKU berada pada tempat yang sewajarnya.

Kami penuh yakin ruang yang diberikan dalam Pakatan Rakyat umumnya dan PAS khususnya cukup untuk kami menyuarakan betapa pembangunan OKU di Malaysia selama ini perlu diperbetulkan agar ketempangan yang ada mampu dipulihkan.

Sikap kerajaan di bawah pimpinan umno hari ini jelas menunjukkan kerajaan tidak memberi fokus yang cukup untuk diberikan pembangunan yang menyeluruh kepada OKU. Hanya melalui perubahan politik sahajalah pembaikan mampu dilaksanakan.

Kami juga penyuh yakin hanya melalui perubahan kuasa politik sahajalah penstrukturan semula KPWKM dapat dilakukan bagi mewujudkan Kementerian Pembangunan OKU dan Kesejahteraan Masyarakat bagi memastikan OKU terbela pada masa hadapan.

Kami akan terus berusaha sedaya mungkin untuk menyuarakan hak-hak OKU dan marilah sama-sama kita berdoa agar perubahan kuasa politik mampu dilakukan agar Malaysia baru dapat dihasilkan sebaik PRU13 kelak.

Wednesday, February 13, 2013

MARKAS DAN PAPAN TANDA PAS DIKHIANATI

Khairul Azlam Mohamad, HARAKAHDAILY 13 Feb 2013


KUALA TERENGGANU: Perbuatan khianat terhadap markas PAS, bendera, kain rentang dan papan tanda besar parti semakin menjadi-jadi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Ini berikutan, beberapa siri ‘serangan’ dipercayai didalangi oleh sebuah parti politik yang semakin tergugat menjelang pilihan raya tidak lama lagi.

Tinjauan Harakahdaily mendapati provokasi tersebut dilakukan di beberapa lokasi serentak di Dewan Undangan Negeri (Dun) Alor Limbat, Rhu Rendang, Bukit Payong dan Bandar.

Perbuatan khianat itu menggunakan cat merah yang dimasukkan ke dalam telur dan dilemparkan ke markas-markas PAS, billboard serta dirosakkan kain rentang yang dipasang oleh parti.

Di Markas PAS Unit Peti Undi (UPU) Banggol Tok Ku di Kampung Baru Serada, Dun Alor Limbat turut dirosakkan papan tanda besar 10 Tawaran Awal Manifesto PAS Terengganu serta disimbahi cat merah pada bangunannya.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu dipercayai dilakukan selepas jam 3.00 pagi kerana sebelum itu kedai-kedai makan berhampiran masih beroperasi.

AJK Pemuda PAS Dun Alor Limbat, Mohd Taufik Yusof berkata perbuatan khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab itu disedari awal pagi sekitar jam 7.30 pagi.

Sementara itu, di Markas PAS UPU Kepong di Kampung Pengadang Baru turut menerima nasib sama disimbahi cat merah pada gambar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

Perbuatan khianat tersebut dipercayai dilakukan oleh kumpulan yang sama berdasarkan modus operandi menggunakan cat merah yang dimasukkan ke dalam objek telur.

Malah, lebih tidak bertanggungjawab apabila Markaz PAS di UPU Gelugor di Kampung Pengkalan Setar bukan sahaja disimbahi cat merah tetapi dilakarkan dengan lambang salib.


Followers