Tuesday, January 1, 2013

2013 : RUNTUHKAN KEZALIMAN GANTIKAN KEADILAN

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 31 Dis 2012
Harapan saya setiap hari hanyalah untuk melihat tertegaknya Islam sebagai agama yang syumul di bumi Malaysia ini. Sudah terlalu lama sekular berakar umbi dalam politik sehingga mengakibatkan kerosakan yang dahsyat. Jika dibiarkan berterusan, Melayu pun tidak terbela, Islam pun entah ke mana.
Sempena kedatangan tahun baru 2013 ini, saya menyeru semua pihak agar memperbaharui tekad untuk meruntuhkan kezaliman dan menggantikannya dengan keadilan. Perlihatkan keindahan Islam di dalam kehidupan di segenap sudut agar ia dipandang tinggi oleh orang lain. Saya optimis masa depan yang cerah untuk Islam di seluruh pelosok dunia. Insya-Allah.

Tahun 2013 ini juga akan menyaksikan berlakunya pilihan raya umum ke-13. Gunakanlah hak untuk memilih ini dengan sebaik-baiknya. Jangan silap membuat pilihan. Jika silap akan menyebabkan kita menyesal di hari Akhirat.

Yakinlah, setiap anggota badan termasuk tangan yang mengundi juga akan menjadi saksi terhadap amalan manusia di padang Mahsyar.

Semoga kita semua terus diberikan hidayah dan taufik oleh Allah SWT dan memasukkan kita di dalam golongan hamba-hamba-Nya yang beriman.

Amin.
Kota Darulnaim,

17 Safar 1434/31 Disember 2012

Sunday, December 30, 2012

AMANAT : BERI RUANG SAYA JAWAB LIVE DI TV1 , TV3

Khairul Azlam Mohamad, HARAKAHDAILY 29 Dis 2012

MARANG: PAS sedia menjawab segala polemik yang ditimbulkan dalam isu ‘Amanat Haji Hadi’ dengan syarat diberi peluang satu jam secara langsung melalui RTM oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan diberi peluang kepada beliau satu jam secara ‘live’ dalam RTM dan TV3 bagi menjelaskan isu amanat tersebut.

Malah, beliau turut menyatakan kesediaan merungkai permasalah isu ‘Amanat’ yang diucapkannya dalam satu ceramah di Banggol Peradong, Manir pada tahun 1981.

“Saya minta beri peluang satu jam di saluran RTM, TV1 atau TV3 untuk saya jelaskan secara ‘live’, bukan rakaman.

“Jika saya bercakap di sini nanti akan diputarbelitkan dan satu kenyataan bertulis akan saya berikan. Sama ada saya tarik balik atau tidak ‘amanat’ itu, beri peluang saya bercakap satu jam secara langsung dahulu,” tegasnya selepas Majlis Pelancaran Petugas Muslimat PAS Marang PRU13 di Dewan Tok Guru, Rusila Marang, hari ini. (Gambar atas)

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media yang mahukan penjelasan beliau bahawa ‘Amanat’ pada tahun 1981 itu yang didakwa menjadi punca pecah belah dalam masyarakat umat Islam di negara ini.

Menurutnya, ruang masa siaran secara langsung selama satu jam itu sudah memadai bagi menjelaskan kekeliruan kepada rakyat berhubung isu tersebut.

“Saya minta Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim beri saya satu jam masa secara ‘live’ pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Satu jam sudah memadai, saya bersedia tapi jangan pukul 3.00 pagi sudah, biar waktu siaran (biasa) di TV1, TV2 atau TV3,” ujarnya kepada wartawan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan isu ‘amanat’ tersebut sering kali dimainkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) setiap kali menjelang pilihan raya.

Menurut Ustaz Abdul Hadi, sebuah kitab ‘Mustika Hadis’ keluaran Jabatan Perdana Menteri lebih 'teruk' dari ucapannya yang dinamakan ‘amanat’ tersebut.

Hadir sama pada sidang media itu Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali.

Video http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=nGKkLFrmyh0 (Buletinonline)

Thursday, December 27, 2012

SARANAN DARI PAS : GANTI 'God' DENGAN 'TUHAN' ELAK POLEMIK

Harakahdaily,26 Dis 2012

KUALA LUMPUR: PAS hari ini menyatakan pendirian bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan 'Tuhan' dan bukannya 'Allah' untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal Bible.

Bagaimanapun, PAS boleh menerima bahawa orang Kristian berhak menggunakan nama Allah dalam gereja atau sebarang upacara agama mereka sebagaimana keputusan PAS sebelum ini.

“Memandangkan Bible Bahasa Melayu adalah terjemahan dari teks asal bahasa Inggeris, maka sewajarnya istilah God tidak bermaksud Allah, kerana terjemahan tepat ialah Tuhan. Maka sewajarnya ia diterjemahkan menurut maksud asal,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Hujah Tuan Ibrahim, menterjemahkan God dengan Allah akan mengelirukan penganut Kristian dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam serta boleh mengelirukan orang Islam jika digunakan di tempat awam termasuk dalam Bible terjemahan.

“PAS melihat isu penggunaan nama Allah di dalam terjemahan Bible dalam Bahasa Malaysia tidak mencerminkan maksud sebenar dari teks asal serta mengelirukan pelbagai pihak.  Bahkan cadangan tersebut juga telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan orang Islam dan penganut Kristian,” kata beliau.

Tuan Ibrahim turut menjelaskan bahawa nama Allah adalah sensitif dan kesuciannya mesti dipelihara oleh umat Islam.

“Ia tidak boleh dibuang merata tempat atau digunakan nama tersebut pada tempat yang tidak layak baginya seperti menyamakan dengan makhluk, bersifat dengan sifat makhluk, seperti menganggap ia ada anak, isteri, makan, tidur dan berjalan sebagaimana makhluk,” terang Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Sehubungan itu, katanya, permintaan untuk menggunakan nama Allah dalam terjemahan Bible Bahasa Melayu tidak wajar, bahkan di kalangan masyarakat Barat pun mereka tidak menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada God samada dalam pertuturan, penulisan atau filem.

“Perkataan yang sering digunakan ialah ‘Lord’,” tambahnya.

Walaupun penggunaannya tidak bertentangan dengan tradisi ilmu dan budaya di kalangan ahli  kitab (Yahudi dan Nasara),   tetapi  keluar dari khilaf atau mengelak berlakunya kekeliruan dan polemik adalah jalan terbaik, kata Tuan Ibrahim.

“Ada perkataan yang sensitif bagi sesetengah agama, seperti kalimah Dua Shahadah dan Allah, tidak boleh disebut secara sewenang-wenangnya dalam konteks yang tidak tepat kerana ia boleh menimbulkan kemarahan dan ketidaksenangan yang tidak perlu dalam masyarakat majmuk di negara kita dan situasi negara masa kini,” terang beliau.

Isu kalimah Allah timbul semula  selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Kerajaan Pusat membenarkan kitab Bible bahasa Melayu menggunakan perkataan tersebut.

Menekankan bahawa ada dalil-dalil yang membenarkan atau harus kepada bukan Islam menggunakan Allah, Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berpendapat situasi semasa di negara ini amat tidak sesuai sekali kerana kenyataan itu bakal dilihat umat Islam sebagai ofensif and berbentuk provokasi sehingga mengugat keamanan yang sedia ada jika tidak dikawal.

“Satu lagi fakta yang perlu difikirkan adalah, mengapa gereja-gereja di Eropah termasuk United Kingdom (UK) dan Vatican City di Itali tidak menggunakan Allah untuk God, malah negara-negara majoriti Kristian juga tidak pernah sibuk ingin menggunakan nama Allah ini.

“Malah dalam filem-filem bercorak agama terbitan Hollywood, pihak Kristian tidak pernah di skrip menggunakan Allah bila menyeru tuhan, mereka hanya gunakan God atau Lord sahaja. Ini kerana itulah yang terpakai di sisi Kristian seluruh dunia sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman turut melahirkan pendapat yang sama bahawa istilah God lebih sesuai digantikan dengan istilah Tuhan.



Berikut ialah kenyataan penuh Tuan Ibrahim:


Bible Bahasa Melayu menggantikan istilah ‘God’ dengan Tuhan


PAS berpendirian bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan Tuhan dan bukannya Allah untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal.

Memandangkan Bible Bahasa Melayu adalah terjemahan dari teks asal bahasa Inggeris, maka sewajarnya istilah God tidak bermaksud Allah, kerana terjemahan tepat ialah Tuhan.

Maka sewajarnya ia diterjemahkan menurut maksud asal. Manakala menterjemahkan God dengan Allah akan mengelirukan penganut Kristian dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam serta boleh mengelirukan orang Islam.

Bagaimanapun, PAS boleh menerima bahawa orang Kristian berhak menggunakan nama Allah dalam gereja atau sebarang upacara agama mereka sebagaimana keputusan PAS sebelum ini.

PAS melihat isu penggunaan nama Allah di dalam terjemahan Bible dalam Bahasa Malaysia tidak mencerminkan maksud sebenar dari teks asal serta mengelirukan pelbagai pihak.

Bahkan cadangan tersebut juga telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan orang Islam dan penganut Kristian.

Harus diingat, bagi umat Islam, nama Allah merupakan nama yang khusus yang mesti dipelihara kesuciannya.

Ia tidak boleh dibuang merata tempat atau digunakan nama tersebut pada tempat yang tidak layak baginya seperti menyamakan dengan makhluk, bersifat dengan sifat makhluk, seperti menganggap ia ada anak, isteri, makan, tidur dan berjalan sebagaimana makhluk.

Sehubungan itu,  permintaan untuk menggunakan nama Allah dalam terjemahan Bible Bahasa Melayu tidak wajar, bahkan di kalangan masyarakat Barat pun mereka tidak menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada God samada dalam pertuturan, penulisan atau filem. Perkataan yang sering digunakan ialah ‘Lord’.

Walaupun penggunaannya tidak bertentangan dengan tradisi ilmu dan budaya di kalangan ahli  kitab (Yahudi dan Nasara),   tetapi  keluar dari khilaf atau mengelak berlakunya kekeliruan dan polemik adalah jalan terbaik.

Ada perkataan yang sensitif bagi sesetengah agama, seperti kalimah Dua Shahadah dan Allah, tidak boleh disebut secara sewenang-wenangnya dalam konteks yang tidak tepat kerana ia boleh menimbulkan kemarahan dan ketidaksenangan yang tidak perlu dalam masyarakat majmuk di negara kita dan situasi negara masa kini.



Tuan Ibrahim Tuan Man
 

Ketua Penerangan PAS Pusat

26 Disember 2012

Wednesday, December 26, 2012

PROJEK TANAH UPAYAPADU: UMNO DIMINTA TANYA AWANG ADEK

Harakahdaily, 25 Dis 2012
KOTA BHARU: Beberapa badan bukan kerajaan dan Umno diminta bertanya kepada bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia, Datuk Dr Awang Adek bin Hussin berkaitan pembangunan tanah di Gua Musang.

Ini kerana, beliau yang menandatangani surat sokongan agar projek membabitkan Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan  Upayapadu Plantation Sdn Bhd dilaksanakan.

Demikian kata Ustaz Fadli Shaari (gambar), Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan dalam satu kenyataannya hari ini.

Surat yang ditandatangani oleh Awang Adek adalah kedua selepas surat pertama dari Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia pada masa itu iaitu Datuk Peter Chin Fah Kui kepada Upayapadu Plantation Sdn Bhd pada 12 Oktober 2005.

Penjelasan Fadli ini merujuk kepada beberapa laporan akhbar yang masih lagi memainkan isu berkenaan sekeping tanah seluas tanah 10,526 hektar milik kerajaan negeri Kelantan yang didakwa sebagai habuan kepada pemimpin DAP Perak agar mereka sudi menyerahkan kerusi Menteri Besar Perak kepada PAS selepas pilihanraya umum 2008.


(Surat Awang Adek dan Peter Chin yang menyokong projek)

Sekalipun penjelasan telah diberikan panjang lebar dalam kenyataan sebelum ini, tetapi kelihatan pemimpin UMNO bersama beberapa NGO pro UMNO masih belum faham atau 'berpura-pura untuk tidak faham'.

Hari ini, 25 Disember 2012, dilaporkan di dada-dada akhbar desakan NGO Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wira PERKASA dan Pertubuhan Minda Orang Muda (MOM) agar penjelasan dibuat oleh YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan.

Begitu juga akhbar semalam 24 Disember 2012 di mana Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Haji Mohd Fatmi Haji Che Salleh juga turut mengeluarkan kenyataan yang sama nadanya.

"Kenyataan-kenyataan ini seolah-olah ingin menyebut bahawa projek yang dilaksanakan oleh syarikat ini ialah rahsia sehingga ia terdedah dengan laporan blog pisau.net," katanya.

Menurut beliau, ia bukan projek rahsia kerana telah dimaklumkan kepada Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia.

Surat kelulusan pula telah dihantar kepada pihak Upayapadu Plantation Sdn Bhd pada 12 Oktober 2005 dan ditandatangani sendiri oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia pada masa itu iaitu Datuk Peter Chin Fah Kui.

"Salinan surat-surat tersebut saya kepilkan bersama untuk rujukan," kata Fadli dalam kenyataannya.

Justeru, katanya, beliau meminta semua pihak di Kelantan terutama pemimpin UMNO dan NGO-NGO boleh bertanya terus kepada Dato Dr Awang Adek berkenaan isu ini.

Menyentuh kenyataan Pengerusi OMBAK agar YAB Tuan Guru Menteri Besar mendakwa blogger pisau.net jika benar ia merupakan satu fitnah, Fadli menulis, "saya kira OMBAK boleh bersabar."

"Mana tau, jika nasib baik, OMBAK pun boleh dimasukkan bersama dalam senarai defendan nanti," katanya berikutan cadangan Menteri Besar Kelantan agar pihak yang memfitnahnya sebelum ini disaman.

Tuesday, December 25, 2012

PAS UCAP TAHNIAH KEPADA RAKYAT MESIR

Harakahdaily, 24 Dis 2012

(Pengiraan undi menunjukkan majoriti rakyat Mesir menyokong perlembagaan baru Mesir)

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat Mesir yang majotirinya telah menyatakan sokongan terhadap draf perlembagaan baru negera itu.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Datuk Kamarudin Jaffar berkata, keputusan terbaru itu membuktikan tahap kematangan rakyat Mesir berperanan dalam sebuah negara demokrasi.

"Bagi PAS, kita melihat ini satu keputusan sangat baik untuk pentadbiran baru Mesir.

"Semoga ianya mampu memacu Mesir ke arah menjadi sebuah negara demokrasi yang lebih membangun," kata Kamarudin (gambar kanan) kepada Harakahdaily.

Ikhwanul Muslimin, kumpulan yang menyokong parti kepimpinan Presiden Mohammed Morsi, kelmarin mengumumkan 'keputusan akhir' tidak rasmi selepas dua pusingan pengundian yang menunjukkan 64.01 peratus mengundi menyokong perlembagaan baru berbanding 35.99 peratus menentang.

Pada pengundian pusingan pertama 15 Disember lalu yang diadakan di sepuluh wilayah mencatatkan 56.2 peratus menyokong dan 43.4 peratus menolak.

Pada pengundian pusingan kedua di 17 wilayah kelmarin pula menyaksikan 71.43 peratus rakyat Mesir menyokong dan 28.57 peratus tidak menyokong perlembagaan baru itu.

Draf perlembagaan baru, digubal susulan kebangkitan rakyat tahun lalu yang membawa kepada kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.

Thursday, December 20, 2012

PRESIDEN PAS DISERANG KERANA NAMA DICADANG SEBAGAI PM

Harakahdaily, 20 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Serangan terhadap Presiden PAS berhubung 'Amanat Haji Hadi' dipercayai dibuat semata-mata kerana ada ura-ura nama Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disenaraikan sebagai calon Perdana Menteri (PM).

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, memang menjadi tradisi bahawa sesiapa sahaja selain Umno yang disebut-sebut menjadi calon perdana menteri akan diserang habis-habisan.

“Sudah tentu, rakyat masih ingat bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang kerana namanya disenarai sebagai PM.

"Kini Tuan Guru Haji Hadi pula diserang, sedangkan namanya hanya disebut oleh perwakilan di dalam Muktamar PAS bagi menolak tohmahan Umno bahawa kalau Pakatan Rakyat menang, DAP akan jadi PM,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, doktrin Umno di kalangan pengundi Melayu di kampung-kampung bahawa DAP akan menjadi Perdana Menteri gagal apabila timbul isu Presiden PAS disebut sebagai calon PM.

“Hasilnya, kini muncung senapang Umno mula dihalakan kepada Presiden PAS pula.

"Kita yakin selepas ini pelbagai tohmahan, tuduhan, fitnah akan dibuat ke atas beliau, kerana di Malaysia sesiapa yang dicadangkan sebagai PM, akan menjadi sasaran serangan media BN,” kata beliau lagi.

Tuan Ibrahim juga mengimbau kembali sejarah pertubuhan al-Arqam yang diserang habis-habisan setelah mengeluarkan sebuah buku yang menggambarkan Ashaari Mohammad sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia.

“Sedangkan asal bantahan hanya kepada amalan Aurad Muhammadiah sahaja. Begitulah nasib sesiapa yang disenarai sebagai Perdana Menteri.

"Walaupun kita mengakui ada beberapa amalan dan keyakinan bertentangan dengan syarak, tetapi antara sebab hebatnya serangan adalah kerana disebut untuk menjadi PM,” kata beliau.

Justeru katanya, rakyat mempunyai satu peluang yang cerah untuk menghentikan mitos bahawa jawatan perdana menteri ini hak eksklusif Umno sahaja dengan menyokong Pakatan Rakyat sebagai kerajaan persekutuan yang baru.

Friday, December 14, 2012

BERSIH 2.0: KERAJAAN DIPERINTAH BAYAR RM 70,000 KEPADA MAHFUZ DAN SALAHUDIN

Harakahdaily, 14 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan penangkapan terhadap dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub pada hari Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu adalah salah.

Sehubungan itu mahkamah mengarahkan kerajaan membayar gantirugi kepada kedua-dua mereka masing-masing RM70,000.

Mahfuz dan Salahudin sebelum ini memfailkan saman malu terhadap empat pihak ekoran penangkapan salah terhadap mereka itu.

Saman itu difailkan terhadap Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Daerah Brickfields dan seorang anggota polis, Inspektor Mohd Zaid.

Mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan gantirugi teladan, kos serta lain-lain relif atau perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Kedua-dua pemimpin dan ahli parlimen PAS itu diwakili oleh empat peguam iaitu Zulhazmi Shariff, Faiz Fadzil, Abdul Aziz Hamzah dan Surya Putra Taulan.

Pada 9 Julai lalu, mereka ditahan di Stesen Sentral Kuala Lumpur ketika perhimpunan Bersih 2.0.

Penahanan tersebut adalah di luar kawasan yang diwartakan polis sebagai kawasan larangan untuk dimasuki oleh beberapa individu termasuk mereka.

Mereka ditangkap kira-kira pukul 11.50 pagi sebelum ditahan hampir 10 jam di lokap polis di Balai Polis Jinjang.

Followers