Thursday, September 6, 2012

MELAYU WAJIB KUATKAN PAS DALAM PR

Tuan Guru Abdul Hadi Awang,HARAKAHDAILY 06 Sep 2012
Tempoh masa lebih setengah abad sudah mencukupi bagi orang Melayu memberi kepercayaan kepada UMNO menjadi teras BN memimpin negara. Jangan salahkan kaum lain sekiranya berlaku kesilapan sehingga Melayu, agamanya, bangsanya dan bahasanya terpinggir. Semua kaum telah menerima hakikat secara perlembagaan bertulis bahawa Islam agama persekutuan, hak istimewa bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Raja berperlembagaan. Dalam masa yang sama hak kaum lain wajib diberi dengan adil.

UMNO yang berkuasa dengan sokongan majoriti besar khususnya daripada penganut Islam berbangsa Melayu wajib dilakukan muhasabah dengan adil, bijak dan bertanggungjawab. Orang Melayu jangan menipu diri sendiri. Allah berfirman dalam surah Arra'du, Ayat 11 yang bermaksud

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya  dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa Yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya."

Agama Islam

Walaupun Islam diletakkan dalam perlembagaan atas desakan kumpulan Islam bersama PAS kepada Suruhanjaya Reid, tetapi mereka menerima dengan penafsiran bahasa dan fahaman mereka terhadap agama. PAS menghargai dan menerima hakikat mencapai kemerdekaan terlebih dahulu, bersama pemimpin generasi awal UMNO dengan iringan doa dirahmati Allah di alam barzakh kerana bersama mendukung kemerdekaan. PAS mengambil keputusan bersusah dan berkorban menjadi parti pembangkang, supaya manjadi kekuatan di luar kerajaan bagi menyempurnakan kemerdekaan itu dengan acuan maruah agama dan bangsa tanpa terikat lagi dengan acuan  pemikiran warisan penjajah.

Al Marhum Tan Seri Syed Ja’afar Al Bar menegaskan kepada saya, hanya beberapa minggu sebelum beliau meninggal dunia ; ”Adalah lebih baik PAS berada diluar BN membetul keadaan dan tidak bijak berada didalam." Tegas beliau ketika PAS berada dalam Barisan Nasional.    Kenyataan ikhlas kerana melihat UMNO tidak mempedulikan kepada perubahan yang sepatutnya selepas mencapai kemerdekaan.

Sepatutnya Islam ditafsirkan dengan bahasa Al Quran, bukannya bahasa Inggeris. UMNO yang tidak membuat perubahan menyebabkan Islam terus berada ditahap yang tidak berdaulat, dengan cara pentadbiran agama Islam yang lama diatur sejak zaman penjajah. Namun ketinggian moral pentadbiran bersih oleh generasi awal UMNO dapat menarik beberapa orang tokoh bangsa lain menganut Islam.

Mengikut kajian ilmu pentadbiran dan pengurusan Islam, menunjukkan bahawa penjajah British lebih banyak terpengaruh dengan sistem pentadbiran Islam melalui kajian orentalisnya, tetapi mereka menolak aqidah dan syariat yang sempurna. Adalah lebih mudah mengambil alih negara daripada penjajah British daripada penjajah bangsa lain. Hanya sedikit perubahan perlu dilakukan dengan dimasukkan roh Islam dan petunjuk syariatnya.

Malangnya UMNO tidak mengorak langkah yang maju dengan membuat perubahan yang positif dan pro-aktif dengan yang baik dikekalkan yang tidak baik dibuang. Para pemimpin UMNO lebih leka dengan perubahan bersifat kebendaan untuk menarik rakyat memberi sokongan semata-semata untuk menang pilihanraya. Tanpa dinafikan perlunya banyak masjid yang didirikan, bangunan pusat Islam, bangunan sekolah agama, Tabung Haji, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam dan sebagainya. Masalahnya ialah roh dan pengisiannya tidak mengikut acuan Islam yang sempurna secara ikhlas dan berta’abud dengan petunjuk Al Quran dan Sunnah yang banyak. Keadaan ini menjadikan sehingga  asasnya bocor, kedudukan Islam lebih lemah daripada zaman penjajahan, sehinggakan pemimpin Melayu Islam dan bangsanya tidak mampu menjadi contoh Islam yang sempurna kepada seluruh manusia.

Al Marhum Maulana Abu Hasan Ali Al Nadawi, tokoh ulama dan pemikir Islam yang tersohor menegaskan dalam bukunya : (Kembali Semula Kepada Islam ), menegaskan :” Pelaksanaan Islam dengan cabarannya  berlaku dua cara pendekatan. Samada melaksanakan Islam secara Ibadah, dengan yakin kepada janji Allah dunia dan akhirat, atau laksanakan Islam secara Jibayah, dengan mimilih secara akal manusia yang hanya mencari pengaruh untuk berkuasa dengan sokongan rakyat semata-mata “.

Yang kedua inilah yang dilakukan oleh UMNO sehingga boleh berlaku salah faham terhadap Islam dikalangan penganut yang jahil dan lebih lagi dikalangan bukan Islam. Apabila Islam dilihat  bukan melalui kacamata ajarannya yang sempurna dan murni, tetapi dilihat daripada kecuaian pemimpin UMNO. Lebih merbahaya lagi apabila menunjukkan contoh negatif saperti tidak bermoral, rasuah, penyalahgunaan kuasa, politik wang dan sebagainya. Sehingga Tun Dr Mahathir sendiri pernah membuat kenyataan terbuka dan telah dua kali keluar masuk UMNO. Al Marhum Tunku Abdul Rahman pula meninggalkan UMNO dan berucap di pentas PAS sebelum meninggal dunia.

Peranan pengajian Islam kalangan umat Islam dilemahkan dengan kawalan bertauliah sejak zaman penjajahan, diteruskan oleh Umno bagi meneruskan pengaruh sekulerisme dalam masyarakat Islam. Agenda menghapuskan tulisan jawi yang tidak dapat dilaksanakan oleh penjajah dan melemahkan penguasaan bahasa Arab dikalangan pelajar aliran Islam berjaya dibuat dibawah pemerintahan UMNO.

Seterusnya UMNO menggunakan media khususnya berbahasa Melayu, bagi mencetuskan perkara yang meragukan dan salah faham terhadap Islam, seperti Isu Syariat Islam. Ia difikirkan boleh menjadi bahan untuk menakutkan kalangan bukan Islam dan mengelirukan penganut Islam yang jahil seperti  hukum poligami, pesaka, undang-undang jenayah hudud dan qisas, haramnya riba secara menyeluruh, hak wanita, hiburan  dan lain-lain yang memerlukan ilmu dan pelaksanaan untuk difahami.

Islam itu wajib diimani seluruhnya dan dilaksanakan semuanya. Beriman sebahagian dan menolak atau ragu sebagiannya adalah merosakkan iman. Beramal dengan sebahagian dan menolak sebagiannya pula menyababkan tasawur yang salah terhadap Islam dan menyebabkan  celaka dunia dan akhirat.

Hak Istimewa

Kaum bukan Melayu yang faham tidak membantah adanya hak istimewa kerana memahami hakikat majoriti Bumiputera khususnya orang-orang Melayu terpinggir dengan penyusunan masyarakat ciptaan penjajah. Mereka tidak membantah hak istemewa yang dicatit tanpa menafikan hak yang adil kepada semua  kaum lain. Namun hak ini disalah guna, sehingga kaum Melayu dan bumiputera tidak mampu bersaing dengan sendiri, tetapi ditongkat oleh UMNO demi agenda politik berkuasa semata-mata dan mengambil kesempatan mencari kekayaan diri, keluarga dan rakan sekeliling tetapi tidak memperkasakan kaum Melayu dan bumiputera. Contoh yang jelas ialah tanah rezab Melayu dan pinjaman disalah gunakan, sehingga Bank Bumiputera dileburkan dan beberapa agensi dijadikan alat mengaut keuntungan bagi kalangan tertentu sahaja dan banyak bantuan tidak sampai kepada sasaran dan tidak mencapai matlamat.

Bahasa Kebangsaan

Bahasa Melayu yang dijadikan bahasa kebangsaan terpinggir bukan sahaja dilemahkan daripada menjadi bahasa ilmu, bahkan dipinggirkan penggunaannya dalam amalan rasmi dan masyarakat umum. Bahasa yang pernah diperkasakan oleh tamadun Islam serantau dan digunakan oleh lebih tiga ratus juta manusia, tiba-tiba menjadi dagang terpinggir ditengah pemimpin dan masyarakatnya sendiri.

Ketika bangsa lain berjaya diperkasakan dengan bahasa masing-masing, seperti Jepun, Jerman, China dan lain-lain, kita hanya sekadar bergaya dengan bahasa penjajah tetapi bangsa sendiri lemah jiwanya kerana membelakangi bahasanya, kerana bahasa adalah jiwa bangsa.

Kedudukan Politik

Kelemahan kuasa politik Melayu terhakis adalah kerana mengatur strategi kemenangan UMNO secara salah dan jangka pendek. Kelemahan politik Melayu di Singapura, Pulau Pinang dan Pantai Barat, adalah kerana penyusunan kerusi menguatkan kuasa UMNO bukannya memperkasakan Melayu Islam. Melayu ditanam semangat hanya UMNO parti tunggal yang menjaga hak Melayu, seolah-olah mengganti Tuhan  Maha Esa, memberi rezeki dan menyara hidup mereka.

Kaum lain boleh memilih parti lain dan menguasainya. Apabila MCA, MIC dan Gerakan tidak bermaya, mereka berpindah kepada DAP atau PKR atau DHPP. Maka Melayu terus berpaut dengan ranting UMNO yang sudah berpenyakit dan menyalahkan kaum lain.

Kedudukan jumlah kerusi Melayu masih besar kerana kedudukan majoritinya, tetapi  jumlah kerusi tanpa perubahan politik dalam kalangan bangsa Melayu sendiri tidak mampu mempertahankan kedudukan mereka. Melayu Islam dapat diperkasakan dengan PAS yang berdasarkan Islam mengikut undang-undang tubuhnya yang berbeza dengan UMNO. PAS telah membuktikan kemampuannya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Walaupun UMNO menghalang pemerintahannya secara khianat terhadap agama dan bangsanya sendiri secara tidak bermoral dan melanggar adab demokrasi dan perlembagaan semata-mata mahu berkuasa dalam penyakit tua yang tidak sembuh. UMNO sanggup bermusuh dengan PAS dan kerajaan pimpinan PAS kerana Islamnya, lebih dahsyat daripada bermusuh dengan kaum lain.

Mutakhir ini adanya kalangan tokoh Melayu Islam dalam UMNO meninggalkan UMNO, bersama kalangan tokoh ilmuan, kakitangan kerajaan dan pasukan keselamatan menyertai PAS. Ia adalah petunjuk positif kepada pengundi Melayu Islam secara khusus supaya mereka membuat perubahan bersama PAS menggantikan UMNO sebagai kuasa pemerintahan. Perubahan sekadar ini tidak mencukupi tanpa sejumlah besar ahli UMNO dan orang-orang Melayu yang bergantung dengannya secara khurafat .

Kalau mahu selamatkan Melayu dan perkasakannya, wajib masuk PAS yang mendaulatkan Islam, bukannya masuk UMNO yang memikul Islam tanpa pelaksanaan sepenuhnya setelah lebih satu abad memikul amanah. Inilah pembetulan yang wajib dilakukan.

Kata Khalifah Umar bin Al Khattab R.A. “Kembali kepada yang benar adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan “. Akhirnya renunglah kepada firman Allah yang tersebut diatas.dan Firman Allah yang bermaksud

"Dan jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu."

Melayu Tegakkan Islam yang sempurna, bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum juga akan selamat, kerana Islam itu Rahmat Allah kepada seluruh alam dan adil untuk semua kaum.

Tegakkan Melayu dengan mengapikan semangat perkauman, Islam hanya sampingan, Melayu bersama UMNO, tidak mampu lagi memimpin, kerana hilang meruah dan lemah jiwanya. Selamat berhijrah kepada ahli-ahli UMNO kepada PAS.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

USTAZ AZIZAN CERIA DAN PENGERUSIKAN MESYUARAT EXCO

Hazayani Zakaria,HARAKAHDAILY 05 Sep 2012
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak hari ini mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Helmi Khalid berkata, kesihatan Azizan semakin baik dan mampu menghadiri majlis-majlis rasmi.

"Ustaz Azizan sedang mempengerusikan mesyuarat dan beliau nampaknya sihat walafiat," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily kira-kira jam 11 pagi ini.

Akhbar Sinar pula melaporkan, Azizan kelihatan ceria ketika tiba di Wisma Darul Aman hari ini bagi mempengerusikan mesyuarat Exco.

Ketibaan beliau disambut oleh Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Rasli Basir.

Ketika ditemui di pekarangan lobi Wisma Darulaman, Azizan yang ceria sempat berseloroh dengan jurugambar dan wartawan yang tiba sejak  jam 10 pagi untuk merakamkan wajah beliau buat pertama kali selepas dilaporkan mengalami masalah kesihatan.

“Tengoklah sendiri, saya sihatkan,” katanya, sambil ketawa.

Azizan sempat bergurau dengan wartawan, mengatakan keadaan beliau semakin baik malah dirinya semakin kacak sejak kembali sihat.

(Ustaz Azizan kelihatan ceria apabila tiba dengan ditemani Setiausaha Akhbarnya, Helmi)

“Makin kacak tak,” katanya, sambil mengenyitkan mata, lapor wartawan Sinar Harian.
Menurut Helmi, Azizan masih perlu berehat dan mendapat rawatan susulan di KMC.

Awal minggu lalu, Azizan dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah (KMC) di Alor Setar akibat keletihan kerana terlalu banyak menghadiri program sepanjang Ramadan.

Doktor juga menasihatkan beliau agar berehat di hospital untuk memastikannya mendapat rehat yang cukup.

Kali terakhir Azizan mempengerusikan mesyuarat Exco ialah pada Ahad, 5 Ogos lalu.

Sabtu lalu juga, Azizan yang kelihatan semakin pulih dilihat menghadiri Majlis Rumah Terbuka PAS Kedah.

Sunday, September 2, 2012

PEMUDA PAS SARAWAK GESA TV3 MOHON MAAF

Harakahdaily, 02 Sep 2012
BINTULU: Dewan Pemuda PAS Sarawak menggesa pihak TV3 memohon maaf ekoran kenyataan seorang pengacaranya melabelkan Bintulu sebagai kawasan dhaif.

Ketuanya, Mohd Arifiriazul Paijo (gambar )  berkata, kenyataan spontan pengacara Nurul Syuhada Nurul Ain semasa lintas langsung stesen itu kelmarin "benar-benar mengguris hati rakyat Sarawak".

"Kenyataan spontan mengenai kedhaifan Bintulu ini menunjukkan ketidakpedulian pengacara TV3 tersebut, yang juga merupakan seorang wartawan. Jika kualiti kewartawanan di TV3 adalah sebegini rendah, tidak hairanlah berita-berita di TV3 setaraf berita kedai kopi, penuh fitnah dan tangkap muat.

"Tidak hairanlah, saban hari berita di TV3 dipenuhi cerita dongeng, tuduhan dan fitnah terutama kepada parti Pakatan Rakyat. Rakyat hendaklah sedar hakikat TV3 bukanlah suatu saluran televisyen yang boleh dipercayai," luahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arifiriazul yang juga Ketua Penerangan PAS Miri, Bintulu merupakan bandar ketiga terbesar di Sarawak dan menjadi hub industri LNG di Sarawak dan merupakan antara penyumbang utama pendapatan negara.

Beliau juga berkata, isu ini juga timbul kerana kegagalan kerajaan negeri membangunkan negeri Sarawak, hingga dilabel dhaif.

Masyarakat umum katanya masih menganggap Sarawak sebagai negeri miskin dan dhaif, kecuali di kawasan bandar seperti Kuching.

"Ini merupakan satu persepsi umum yang ada benarnya. Dengan hasil minyak mencecah 100000 tong sehari, ditambah pula hasil gas dan pembalakan, negeri Sarawak merupakan negeri paling kaya hasil bumi.

"Namun hakikat yang perlu diterima oleh rakyat ialah negeri bertuah ini masih mundur dan terbelakang berbanding negeri-negeri lain," katanya.

Semalam, Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) juga dilapor mahu Nurul Syuhada meminta maaf secara terbuka atas kenyataannya itu bagi meredakan kemarahan penduduk.

Pandi berkata, Nurul Syuhada kurang arif mengenai Bintulu sehingga beranggapan Bintulu sebagai daif walhal Bintulu merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan hasil gas dan minyaknya.

"Kami menggesa pihak TV3 memohon maaf atas ucapan semberono pengacara mereka mengenai Bintulu.

"Kami menasihatkan pihak TV3 mewajibkan kerja rumah kepada semua wartawan mereka sebelum menerbitkan sesuatu berita. Biarlah intergriti wartawan lain tidak terjejas dengan kesilapan pengacara ini," kata Arifiriazul.

Sunday, August 26, 2012

HUDUD : PAS AKAN LAKSANA IKUT SALURAN DEMOKRASI

Harakahdaily, 25 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS akan melaksanakan hukum hudud melalui proses demokrasi yang sedia ada.

Malah ujarnya, usaha itu telah dimulakan sejak tahun 90-an lagi apabila Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 diperkenalkan dikedua-dua negeri itu.

Sebelum itu lagi katanya, mereka telah memperkenalkan draf undang-undang itu kepada NGO Islam dan bukan Islam dan pernah mengemukakan usul agar isu perlaksanaan hudud dibincangkan di parlimen.

"PAS terima hudud secara positif dan hudud ini kewajipan orang Islam.

"Kita akan terus langsungkannya melalui ruang demokrasi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik dan Pilihan Raya PAS di Pejabat Agung parti itu petang ini.

Ditanya berhubung Pengerusi DAP Karpal Singh yang sering mengeluarkan kenyataan menentang perlaksanaan hudud, presiden PAS itu berkata ianya bukan sesuatu yang pelik bagi PAS.

"Masalah Karpal lawan tak pelik. Sebab itu Allah menurunkan surah Al-Maidah yang mana orang Yahudi dan kafir tidak menyokong Islam dan Allah turunkan ayat itu.

"Yang kita peliknya Umno yang lawan. Malah ambil langkah-langkah yang menyekat," katanya.

Beliau turut memberi contoh surat amaran dari pusat yang dihantar kepada kerajaan Kelantan apabila menyatakan hasrat mahu melaksanakan hudud di negeri itu.

Malah katanya Umno sanggup kempen kepada pelabur asing agar tidak datang melabur kerana negeri ini akan dilaksana hukum hudud.

"Karpal bukan kerajaan, tidak ada kuasa, yang ada kuasa ni BN yang dikuasai Umno. DAP berhak berhujah dan PAS mendokong demokrasi.

"Bahkan kalau PAS ada kuasa (memerintah) macam Umno sekarang, PAS tak akan tutup mulut sesiapa yang nak tegur termasuk kakitangan kerajaan," katanya.

Tuesday, August 14, 2012

ETNIK ROHINGYA DI ARAKAN MAKIN KRITIKAL

Harakahdaily, 14 Ogos 2012
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendapat berita terkini dari Arakan berkenaan nasib umat Islam Rohingya tertindas menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut dalam seminggu lagi.

 Menurut Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid, sejak dari Ramadhan umat Islam di sana tidak boleh solat hampir semua di masjid pada semua waktu terutama di bandar.

“Hanya masjid di kampung sahaja yang dibenarkan solat Zohor dan Asar sahaja. Solat Jumaat tidak dibenar sama sekali.

“Hanya dibenarkan 10 orang sahaja, itu pun perlu bagi senarai nama kepada pihak polis. Solat tarawih tidak dibenarkan sama sekali di semua masjid,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, di daerah Maungdaw terdapat 178 masjid dan surau sementara di kawasan bandar ada lebih kurang 20 masjid.

Menurutnya, hampir semua harta di rumah etnik Rohingya yang diserang dirampas terutama di kawasan kuarter 5, selatan Maungdaw.

Beliau menjelaskan, kebanyakan mereka tidak dapat berpuasa kerana  ketiadaan makanan sama sekali.

Tambahnya lagi, jika ada yang berpuasa hanya memakan nasi sahaja tanpa sebarang lauk dan meminum air telaga dan air hujan kerana sekarang musim hujan.


Menurut Azmi, makanan tidak dapat dibeli kerana tidak selamat untuk membeli di kedai etnik Rakheine dan memang, tidak dibenar menjual makanan kepada orang Islam, jika ada yang menjual dijual dengan harga dua kali ganda.


“Kesengsaraan kaum Rohingya pada bulan Ramadhan kali ini amat meruncing. Laporan yang Mapim terima jelas menunjukkan bahawa mereka tidak akan menikmati Aidil Fitri untuk tahun ini,” ujarnya.


Justeru, kata Azmi, Mapim sangat mengharapkan semua pihak dari kalangan umat Islam di seluruh negara tidak melupakan penderitaan saudara Islam di Arakan.

“Mereka sangat mendambakan sumbangan bantuan dengan kadar segera,” ujarnya.


Sehingga ini, kata Mohd Azmi bantuan makanan sebanyak 5 kontena sudah siap dihantar.

Menurutnya, Mapim hanya menunggu kebenaran masuk ke Arakan dan kesediaan pihak kerajaan untuk kapal kargo masuk ke pelabuhan.

Thursday, August 2, 2012

'SEBANGSA, SENEGARA, SEJIWA' TEMA MERDEKA PAKATAN

Harakahdaily, 01 Ogs 2012
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk memilih tema ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ sebagai tema Hari Kemerdekaan ke-55 menggantikan tema ‘Janji Ditepati’ oleh kerajaan.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tema Hari Kemerdekaan Pakatan Rakyat, Datuk A Samad Said pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Tropicana di sini hari ini.

“Kita harus bermula dengan bangsa untuk membina negara. Jadi negara, bangsa dan jiwa itu diambil seringkasnya, dengan tidak ada apa-apa niat kecuali itulah niatnya – untuk menyatakan secara kudus dan tulus.

“Kami rumus dan ranumkan sehingga kami memilih “Sebangsa, Senegara, Sejiwa,” kata Pak Samad yang juga Sasterawan Negara.

Turut serta pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Ahli Jawatamnkuasa Bersih, Dr Toh Kin Woon dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Jawatankuasa itu turut dianggotai bekas Pengarah Eksekutif  Women’s Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah dan bekas Pengerusi Proham, Tan Sri Simon Sipaun

Menurut Pak Samad, tema itu menurutnya diambil daripada cadangan yang diilhamkan Alhaimi Adam yang diterima daripada jawatankuasa itu melalui emel bersama 250 cadangan lain.

Ditanya sama ada tema baru itu akan dicadangkan kepada kerajaan, Pak Samad berkata ia terpulang kepada kerajaan sama ada mahu mengambil tema baru itu atau sebaliknya.

“Dia (kerajaan) kena ingat, (tema ini) datang dari rakyat sendiri. Kalau dia tak nak dengar kita (Pakatan Rakyat) tak apa…tapi dengar kata rakyat,” ujarnya.

Mustafa Ali pada sidang media sama pula berkata, pemilihan tema oleh Pakatan Rakyat lebih inklusif, ada semangat kebersamaan, merangkumi sentimen dan jiwa seluruh rakyat Malaysia.

Ianya juga jauh berbeza dengan tema Janji Ditepati yang lebih mirip kempen politik Umno BN.

“Kita turut cadangkan logo dan lagu mesti serasi dan selari dengan tema yang dicadangkan. Kami akan hantar secara rasmi kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Tuesday, July 31, 2012

PAKATAN TUBUH JK PILIH TEMA HARI KEMERDEKAAN

Hazayani Zakaria, HARAKAHDAILY 31 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menubuhkan jawatankuasa pemilihan tema Hari Kemerdekaan bagi menukar tema yang diberikan kerajaan, 'Janji Ditepati' yang merupakan slogan Barisan Nasional.

Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan dianggotai bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil, bekas ahli jawatankuasa kerja Gerakan, Dr Toh Kin Woon dan pengarah eksekutif  Women's Aid Organisation ( WAO), Ivy Josiah.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, jawatankuasa itu akan memilih tema Hari Kemerdekaan yang dicadangkan oleh rakyat, selepas Pakatan membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk berbuat demikian.

"Sebelum ini kita beri tempoh seminggu kepada kerajaan untuk tukar tema hari merdeka agar lebih inklusif dan merangkumi semangat kemerdekaan rakyat Malaysia," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat bersama wakil DAP dan PKR.

Beliau berkata, selepas pengumuman tersebut, Pakatan menerima lebih kurang 250 cadangan tema kemerdekaan daripada pelbagai pihak.

"Setakat ini kita terima lebih kurang 250 cadangan tema daripada rakyat, jadi kita tubuhkan jawatankuasa untuk memilih tema yang terbaik," katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari.

Followers