Thursday, September 6, 2012

USTAZ AZIZAN CERIA DAN PENGERUSIKAN MESYUARAT EXCO

Hazayani Zakaria,HARAKAHDAILY 05 Sep 2012
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak hari ini mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Helmi Khalid berkata, kesihatan Azizan semakin baik dan mampu menghadiri majlis-majlis rasmi.

"Ustaz Azizan sedang mempengerusikan mesyuarat dan beliau nampaknya sihat walafiat," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily kira-kira jam 11 pagi ini.

Akhbar Sinar pula melaporkan, Azizan kelihatan ceria ketika tiba di Wisma Darul Aman hari ini bagi mempengerusikan mesyuarat Exco.

Ketibaan beliau disambut oleh Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Rasli Basir.

Ketika ditemui di pekarangan lobi Wisma Darulaman, Azizan yang ceria sempat berseloroh dengan jurugambar dan wartawan yang tiba sejak  jam 10 pagi untuk merakamkan wajah beliau buat pertama kali selepas dilaporkan mengalami masalah kesihatan.

“Tengoklah sendiri, saya sihatkan,” katanya, sambil ketawa.

Azizan sempat bergurau dengan wartawan, mengatakan keadaan beliau semakin baik malah dirinya semakin kacak sejak kembali sihat.

(Ustaz Azizan kelihatan ceria apabila tiba dengan ditemani Setiausaha Akhbarnya, Helmi)

“Makin kacak tak,” katanya, sambil mengenyitkan mata, lapor wartawan Sinar Harian.
Menurut Helmi, Azizan masih perlu berehat dan mendapat rawatan susulan di KMC.

Awal minggu lalu, Azizan dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah (KMC) di Alor Setar akibat keletihan kerana terlalu banyak menghadiri program sepanjang Ramadan.

Doktor juga menasihatkan beliau agar berehat di hospital untuk memastikannya mendapat rehat yang cukup.

Kali terakhir Azizan mempengerusikan mesyuarat Exco ialah pada Ahad, 5 Ogos lalu.

Sabtu lalu juga, Azizan yang kelihatan semakin pulih dilihat menghadiri Majlis Rumah Terbuka PAS Kedah.

Sunday, September 2, 2012

PEMUDA PAS SARAWAK GESA TV3 MOHON MAAF

Harakahdaily, 02 Sep 2012
BINTULU: Dewan Pemuda PAS Sarawak menggesa pihak TV3 memohon maaf ekoran kenyataan seorang pengacaranya melabelkan Bintulu sebagai kawasan dhaif.

Ketuanya, Mohd Arifiriazul Paijo (gambar )  berkata, kenyataan spontan pengacara Nurul Syuhada Nurul Ain semasa lintas langsung stesen itu kelmarin "benar-benar mengguris hati rakyat Sarawak".

"Kenyataan spontan mengenai kedhaifan Bintulu ini menunjukkan ketidakpedulian pengacara TV3 tersebut, yang juga merupakan seorang wartawan. Jika kualiti kewartawanan di TV3 adalah sebegini rendah, tidak hairanlah berita-berita di TV3 setaraf berita kedai kopi, penuh fitnah dan tangkap muat.

"Tidak hairanlah, saban hari berita di TV3 dipenuhi cerita dongeng, tuduhan dan fitnah terutama kepada parti Pakatan Rakyat. Rakyat hendaklah sedar hakikat TV3 bukanlah suatu saluran televisyen yang boleh dipercayai," luahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arifiriazul yang juga Ketua Penerangan PAS Miri, Bintulu merupakan bandar ketiga terbesar di Sarawak dan menjadi hub industri LNG di Sarawak dan merupakan antara penyumbang utama pendapatan negara.

Beliau juga berkata, isu ini juga timbul kerana kegagalan kerajaan negeri membangunkan negeri Sarawak, hingga dilabel dhaif.

Masyarakat umum katanya masih menganggap Sarawak sebagai negeri miskin dan dhaif, kecuali di kawasan bandar seperti Kuching.

"Ini merupakan satu persepsi umum yang ada benarnya. Dengan hasil minyak mencecah 100000 tong sehari, ditambah pula hasil gas dan pembalakan, negeri Sarawak merupakan negeri paling kaya hasil bumi.

"Namun hakikat yang perlu diterima oleh rakyat ialah negeri bertuah ini masih mundur dan terbelakang berbanding negeri-negeri lain," katanya.

Semalam, Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) juga dilapor mahu Nurul Syuhada meminta maaf secara terbuka atas kenyataannya itu bagi meredakan kemarahan penduduk.

Pandi berkata, Nurul Syuhada kurang arif mengenai Bintulu sehingga beranggapan Bintulu sebagai daif walhal Bintulu merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan hasil gas dan minyaknya.

"Kami menggesa pihak TV3 memohon maaf atas ucapan semberono pengacara mereka mengenai Bintulu.

"Kami menasihatkan pihak TV3 mewajibkan kerja rumah kepada semua wartawan mereka sebelum menerbitkan sesuatu berita. Biarlah intergriti wartawan lain tidak terjejas dengan kesilapan pengacara ini," kata Arifiriazul.

Sunday, August 26, 2012

HUDUD : PAS AKAN LAKSANA IKUT SALURAN DEMOKRASI

Harakahdaily, 25 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS akan melaksanakan hukum hudud melalui proses demokrasi yang sedia ada.

Malah ujarnya, usaha itu telah dimulakan sejak tahun 90-an lagi apabila Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 diperkenalkan dikedua-dua negeri itu.

Sebelum itu lagi katanya, mereka telah memperkenalkan draf undang-undang itu kepada NGO Islam dan bukan Islam dan pernah mengemukakan usul agar isu perlaksanaan hudud dibincangkan di parlimen.

"PAS terima hudud secara positif dan hudud ini kewajipan orang Islam.

"Kita akan terus langsungkannya melalui ruang demokrasi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik dan Pilihan Raya PAS di Pejabat Agung parti itu petang ini.

Ditanya berhubung Pengerusi DAP Karpal Singh yang sering mengeluarkan kenyataan menentang perlaksanaan hudud, presiden PAS itu berkata ianya bukan sesuatu yang pelik bagi PAS.

"Masalah Karpal lawan tak pelik. Sebab itu Allah menurunkan surah Al-Maidah yang mana orang Yahudi dan kafir tidak menyokong Islam dan Allah turunkan ayat itu.

"Yang kita peliknya Umno yang lawan. Malah ambil langkah-langkah yang menyekat," katanya.

Beliau turut memberi contoh surat amaran dari pusat yang dihantar kepada kerajaan Kelantan apabila menyatakan hasrat mahu melaksanakan hudud di negeri itu.

Malah katanya Umno sanggup kempen kepada pelabur asing agar tidak datang melabur kerana negeri ini akan dilaksana hukum hudud.

"Karpal bukan kerajaan, tidak ada kuasa, yang ada kuasa ni BN yang dikuasai Umno. DAP berhak berhujah dan PAS mendokong demokrasi.

"Bahkan kalau PAS ada kuasa (memerintah) macam Umno sekarang, PAS tak akan tutup mulut sesiapa yang nak tegur termasuk kakitangan kerajaan," katanya.

Tuesday, August 14, 2012

ETNIK ROHINGYA DI ARAKAN MAKIN KRITIKAL

Harakahdaily, 14 Ogos 2012
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendapat berita terkini dari Arakan berkenaan nasib umat Islam Rohingya tertindas menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut dalam seminggu lagi.

 Menurut Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid, sejak dari Ramadhan umat Islam di sana tidak boleh solat hampir semua di masjid pada semua waktu terutama di bandar.

“Hanya masjid di kampung sahaja yang dibenarkan solat Zohor dan Asar sahaja. Solat Jumaat tidak dibenar sama sekali.

“Hanya dibenarkan 10 orang sahaja, itu pun perlu bagi senarai nama kepada pihak polis. Solat tarawih tidak dibenarkan sama sekali di semua masjid,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, di daerah Maungdaw terdapat 178 masjid dan surau sementara di kawasan bandar ada lebih kurang 20 masjid.

Menurutnya, hampir semua harta di rumah etnik Rohingya yang diserang dirampas terutama di kawasan kuarter 5, selatan Maungdaw.

Beliau menjelaskan, kebanyakan mereka tidak dapat berpuasa kerana  ketiadaan makanan sama sekali.

Tambahnya lagi, jika ada yang berpuasa hanya memakan nasi sahaja tanpa sebarang lauk dan meminum air telaga dan air hujan kerana sekarang musim hujan.


Menurut Azmi, makanan tidak dapat dibeli kerana tidak selamat untuk membeli di kedai etnik Rakheine dan memang, tidak dibenar menjual makanan kepada orang Islam, jika ada yang menjual dijual dengan harga dua kali ganda.


“Kesengsaraan kaum Rohingya pada bulan Ramadhan kali ini amat meruncing. Laporan yang Mapim terima jelas menunjukkan bahawa mereka tidak akan menikmati Aidil Fitri untuk tahun ini,” ujarnya.


Justeru, kata Azmi, Mapim sangat mengharapkan semua pihak dari kalangan umat Islam di seluruh negara tidak melupakan penderitaan saudara Islam di Arakan.

“Mereka sangat mendambakan sumbangan bantuan dengan kadar segera,” ujarnya.


Sehingga ini, kata Mohd Azmi bantuan makanan sebanyak 5 kontena sudah siap dihantar.

Menurutnya, Mapim hanya menunggu kebenaran masuk ke Arakan dan kesediaan pihak kerajaan untuk kapal kargo masuk ke pelabuhan.

Thursday, August 2, 2012

'SEBANGSA, SENEGARA, SEJIWA' TEMA MERDEKA PAKATAN

Harakahdaily, 01 Ogs 2012
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk memilih tema ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ sebagai tema Hari Kemerdekaan ke-55 menggantikan tema ‘Janji Ditepati’ oleh kerajaan.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tema Hari Kemerdekaan Pakatan Rakyat, Datuk A Samad Said pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Tropicana di sini hari ini.

“Kita harus bermula dengan bangsa untuk membina negara. Jadi negara, bangsa dan jiwa itu diambil seringkasnya, dengan tidak ada apa-apa niat kecuali itulah niatnya – untuk menyatakan secara kudus dan tulus.

“Kami rumus dan ranumkan sehingga kami memilih “Sebangsa, Senegara, Sejiwa,” kata Pak Samad yang juga Sasterawan Negara.

Turut serta pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Ahli Jawatamnkuasa Bersih, Dr Toh Kin Woon dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Jawatankuasa itu turut dianggotai bekas Pengarah Eksekutif  Women’s Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah dan bekas Pengerusi Proham, Tan Sri Simon Sipaun

Menurut Pak Samad, tema itu menurutnya diambil daripada cadangan yang diilhamkan Alhaimi Adam yang diterima daripada jawatankuasa itu melalui emel bersama 250 cadangan lain.

Ditanya sama ada tema baru itu akan dicadangkan kepada kerajaan, Pak Samad berkata ia terpulang kepada kerajaan sama ada mahu mengambil tema baru itu atau sebaliknya.

“Dia (kerajaan) kena ingat, (tema ini) datang dari rakyat sendiri. Kalau dia tak nak dengar kita (Pakatan Rakyat) tak apa…tapi dengar kata rakyat,” ujarnya.

Mustafa Ali pada sidang media sama pula berkata, pemilihan tema oleh Pakatan Rakyat lebih inklusif, ada semangat kebersamaan, merangkumi sentimen dan jiwa seluruh rakyat Malaysia.

Ianya juga jauh berbeza dengan tema Janji Ditepati yang lebih mirip kempen politik Umno BN.

“Kita turut cadangkan logo dan lagu mesti serasi dan selari dengan tema yang dicadangkan. Kami akan hantar secara rasmi kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Tuesday, July 31, 2012

PAKATAN TUBUH JK PILIH TEMA HARI KEMERDEKAAN

Hazayani Zakaria, HARAKAHDAILY 31 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menubuhkan jawatankuasa pemilihan tema Hari Kemerdekaan bagi menukar tema yang diberikan kerajaan, 'Janji Ditepati' yang merupakan slogan Barisan Nasional.

Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan dianggotai bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil, bekas ahli jawatankuasa kerja Gerakan, Dr Toh Kin Woon dan pengarah eksekutif  Women's Aid Organisation ( WAO), Ivy Josiah.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, jawatankuasa itu akan memilih tema Hari Kemerdekaan yang dicadangkan oleh rakyat, selepas Pakatan membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk berbuat demikian.

"Sebelum ini kita beri tempoh seminggu kepada kerajaan untuk tukar tema hari merdeka agar lebih inklusif dan merangkumi semangat kemerdekaan rakyat Malaysia," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat bersama wakil DAP dan PKR.

Beliau berkata, selepas pengumuman tersebut, Pakatan menerima lebih kurang 250 cadangan tema kemerdekaan daripada pelbagai pihak.

"Setakat ini kita terima lebih kurang 250 cadangan tema daripada rakyat, jadi kita tubuhkan jawatankuasa untuk memilih tema yang terbaik," katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari.

Monday, June 11, 2012

Kes Bukit Kepong : Pengadu minta Mat Sabu dibebaskan

Harakahdaily, 11 Jun 2012
PULAU PINANG: Perbicaraan kes Haji Mohamad Sabu yang didakwa kerana dikatakan memfitnah polis Bukit Kepong di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaaan menyaksikan kegemparan apabila pengadu kes tersebut beberapa kali meminta maaf kepada beliau dan meminta Mahkamah membebaskannya dari pertuduhan.

Saksi pendakwa tersebut Visvanathan a/l Muthu iaitu seorang pesara polis yang memberi keterangan beliau hari ini berulang-ulang kali meminta maaf kepada Mat Sabu sambil mengangkat tangannya kepada Mat Sabu dan meminta mahkamah membebaskan beliau.

Beliau berkata demikian apabila di soal balas secara panjang lebar oleh peguambela Mat Sabu, Mohamed Hanipa Maidin di Mahkamah Sesyen hari ini.

Semasa pemeriksaan balas tersebut beliau mengakui bahawa laporan polis yang beliau pada 27 Ogos 2011 adalah semata-mata berdasarkan laporan Utusan Malaysia pada tarikh yang sama.

Berikut adalah antara lain petikan soal balas Hanipa dengan saksi tersebut.

Soalan peguambela (S): Kamu setuju kamu sendiri tak dengar ceramah Mat Sabu?
Jawapan saksi(J): Ya, setuju.

S: Kamu setuju apabila kamu tak dengar apa yang Mat Sabu kata, kamu sebenarnya tak tahu apa yang Mat Sabu kata?
J: Ya. Setuju.

S: Cuba kamu lihat laporan laporan akhbar Utusan dan petikan ucapan Mat Sabu, setuju tak apa yang ditulis oleh Utusan adalah tidak sama dengan apa yang Mat Sabu kata?
J : Ya, setuju.

S : Mat sabu tak ada kata perkataan komunis langsung dalam ucapan beliau tapi Utusan ada kata, betul tak?
A : Betul.

S: Kamu setuju atau tidak apa yang kamu tulis dalam laporan polis kamu yang katakan Mat Sabu menfitnah polis dan menyokong komunis adalah tidak betul?
J : Ya, setuju.

S : Jadi laporan polis kamu tidak betul dan saya katakan bukan Mat Sabu yang memfitnah polis tetapi kamu yang sebenarnya memfitnah Mat Sabu dalam laporan polis kamu?
J : Ya, saya setuju. Saya mahu minta apology (maaf) kepada beliau (sambil tunjukkan tangan minta maaf pada Mat Sabu yang ada di kandang orang kena tuduh).

S : Dalam laporan polis kamu ada sebut minta polis ambil tindakan undang-undang Mat Sabu, kamu masih mahu 'stick' kepada apa yang kamu katakan?
J : Tidak, saya mahu minta maaf pada Mat Sabu dan 'he is now my brother'. Saya mahu Mat Sabu dibebaskan.

S: Kamu kata Mat Sabu derhaka pada Yang Dipertuan Agong, saya ingin tanya pada kamu macam mana kamu boleh kata dia derhaka kepada Agong, sedangkan pada masa peristiwa Bukit Kepong Malaysia belum wujud dan Yang Di Pertuan Agong pun belum ada. Macam mana Mat Sabu boleh derhaka pada benda yang belum ada?
J :Saya tidak boleh jawab soalan itu.

S: Jadi kamu setuju kamu tidak cakap benda betul dalam laporan polis kamu?
A: Setuju.

Saski juga mengakui dia tidak tahu di mana Bukit Kepong dan apabila terus ditanya oleh Hanipa beliau menyatakan Bukit Kepong terletak di Selangor dan Hanipa lantas menyampuk "Itu Kepong bukan Bukit Kepong!"

Saksi tersebut yang mengidap diabetik beberapa kali terpaksa berhenti memberi keterangan kerana dikhuatiri akan pengsan kerana berdiri terlalu lama.

Apabila disoal semula oleh pihak pendakwa saksi sekali lagi meminta maaf pada Mat Sabu dan berkata beliau menyesal (kerana buat laporan polis ke atas Mat Sabu).

Selepas selesai memberikan keterangan saksi tersebut dilihat berjalan menuju ke kandang Mat Sabu dan terus bersalam dengan  beliau dan meminta maaf sekali lagi.

Kes kemudiannya ditangguhkan ke 13,16 dan 17 Julai depan kerana Hanipa memaklumkan mahkamah bahawa Mat Sabu sedang menunggu tarikh rayuannya di Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang enggan membatalkan pertuduhan ke atas beliau.

Mat Sabu diwakili oleh Mohamed Mohamed Hanipa Maidin, Amin Zulkifli dan Nasar Khan manakalan Encik Husaini mewakili pihak pendakwa.

Galeri Mahkamah yang dipenuhi pemerhati turut menyaksikan kehadiran Ustaz Salleh Man, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan Ahli Majlis dari DAP iaitu saudara Francis.

Followers