Tuesday, March 13, 2012

NAJIB PERSENDA AGONG BATAL SBPA?

Hazayani Zakaria, 13 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Ahli Parlimen PAS hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon maaf daripada Yang di-Pertuan Agong di atas kesilapannya berhubung pemansuhan Sistem Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA).

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan Najib membatalkan SBPA setelah Agong memperkenankan persaraan Kumpulan Premier dilihat menghina baginda.

"Pada 27 Disember 2011 Agong telah perkenan akan persaraan golongan premier.

"Batal SBPA ini macam persenda Agong, bulan 12 (Disember) bawa memo untuk dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, bulan 3 (Mac) batal SBPA. Najib perlu mohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau juga menuntut penjelasan Najib berhubung berhubung jumlah wang yang telah dihabiskan untuk tujuan perlaksanaan SBPA sejak ianya dicadangkan tahun lalu.

"1 Januari Kumpulan Premier ini dilantik semula secara kontrak. Apa status mereka sekarang?Mereka sudah bersara tapi SBPA dibatalkan sedangkan mereka dilantik melalui SBPA dan diperakui JPA mereka telah menerima gaji pada Januari dan Februari.

"Saya juga minta Najib jelaskan berapa jumlah yang telah dibayar kepada mereka, tapi Najib tidka jawab soalan saya," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Najib mengelak
Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar menyatakan kekesalan terhadap sikap yang ditunjukkan Najib sewaktu menjawab soalan di dalam dewan.

"Kita mengalu-alukan Perdana Menteri datang ke Parlimen dan menjawab soalan yang dibangkitkan.

"Tapi tak pernah berlaku dalam sejarah, Perdana Menteri mengelak untuk jawab soalan," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad pula menegaskan, rakyat berhak tahu bagaimana jumlah wang yang telah dibelanjakan itu.

Terdahulu, perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi soal jawab lisan dalam Dewan Rakyat.

Anwar dalam soalan tambahannya berkata, kerajaan mencadangkan SBPA secara terburu-buru sehingga menimbulkan keresahan penjawat awam dankemudiaanya membatalkannya juga secara tergopoh gapah.

Kemudian Mahfuz bangkit dan menyoal mengenai status Kumpulan Premier selapas SBPA dibatalkan.

Najib bagaimanapun tidak menjawab soalan itu sebaliknya mendakwa Mahfuz hanya mahu membela Kumpulan Premier sedangkan kerajaan katanya membela nasib 1.3 juta kakitangan awam.

"Dia hanya mahu jadi juara di kalangan 36 orang ini (Kumpulan Premier) tapi kerajaan sudah menjadi juara kepada 1.3 juta penjwat awam," katanya.

Jawapan itu menimbulkan sedikit kekecohan di dalam dewan apabila beberapa wakil Pakatan bangun mendesak Najib memberikan jawapan yang sepatutnya.

Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudiannya memberi amaran akan merehatkan mana-mana wakil yang terus membuat desakan itu.


Tuesday, March 6, 2012

MUHYIDDIN DIMINTA JAGA LEMBU SHAHRIZAT

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 6 Mac:
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikaikan tindakan penyelesaian PAS Pusat terhadap ribut kecil PAS Kedah ditempelak oleh Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Setiausaha Agong Datuk Mustafa Ali.

Muhyiddin dipetik akhbar Sinar Harian Online mendakwa tindakan PAS Pusat menubuhkan Jawatankuasa Pemandu bagi memantau sebarang keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kedah adalah satu ketidakpercayaan kepimpinan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

“TPM tak perlu mengada. Cukuplah dia jaga lembu Shahrizat,” selar Mustafa dalam smsnya ke Harakahdaily sebentar tadi.

Mustafa dipercayai merujuk kepada kelulusan projek bernilai RM250 juta Pusat Fidlot Kebangsaan yang diberikan oleh Muhyiddin ketika menjadi Menteri Pertanian pada 2007 kepada National Feedlot Corporation (NFC) yang dimiliki keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Projek ini kini berdepan dengan pelbagai dakwaan menyeleweng wang rakyat yang dipinjamkan untuk tujuan menjana keperluan daging lembu kebangsaan untuk harta-harta persendirian.

Dengan nada yang sama, Mohamad yang turut menempelak Muhiyiddin berkata timbalan presiden Umno itu lebih baik diam untuk membersihkan diri beliau daripada kemelut NFC.

“Azizan masih Menteri Besar, apa yang tidak percaya PAS Pusat pada beliau? PAS Pusat menaruh kepercayaan penuh pada MB Azizan untuk menerajui Kedah menghadapi PRU-13,” tegas Mohamad.

Selain itu, Mohamad turut menegaskan bahawa PAS tidak sama dengan Umno.

"Lihat isu NFC, Muhyiddin sampai sekarang tak berani melakukan apa-apa pada Shahrizat walaupun pendedahan-pendedahan yang melimpah.

"Sampai sekarang masih tiada penyelesaian dan terus menegakkan benang basah. Lebih baik beliau jaga diri sendiri dalam kemelut NFC daripada mengulas apa yang beliau tak faham,” bidas Mohamad ketika dihubungi sebentar tadi.

Pagi ini, Mustafa mengumumkan bahawa Jawatankuasa PAS Pusat akan bermesyuarat Isnin 12 Mac ini bagi membentuk jawatankuasa pemandu yang berperanan menjadi penasihat kepada kerajaan negeri yang disertai PAS.

Jawatankuasa ini pula hanya bersifat advisery (penasihat) sahaja dan bukannya mempunyai kuasa dari segi pentadbiran.

Ekoran itu, PAS kesal dengan tafsiran liar sesetengah media yang membuat tafsiran salah terhadap penubuhan jawatankuasa pemandu yang diumumkan PAS semalam.


Wednesday, February 22, 2012

IKTIRAF ISRAEL : BN PERLU MINTA MAAF

Aziz Muda, 21 Feb 2012 HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 21 Feb: Kerajaan BN perlu meminta maaf kepada seluruh rakyat negara ini dan seluruh rakyat Palestin kerana tindakannya yang mengiktiraf negara haram Israel.

Walaupun pihak kerajaan menafikan pengiktirafannya terhadap negara itu, tetapi tindakan-tindakan yang dilakukan jelas menunjukkan Kerajaan BN sebenarnya sememangnya mempunyai hubungan dan mengiktiraf negara haram regim zionis Israel.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, terdapat beberapa bukti yang tidak dapat disembunyikan yang jelas menunjukkan Kerajaan BN mengiktiraf negara haram Israel.

Menurutnya, bukti pertama boleh dirujuk kepada ketibaan pasukan kriket negara itu ke negara ini beberapa tahun lalu untuk turut sama menyertai satu kejohanan yang berlangsung di tanah air.

Katanya, walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, tetapi pasukan kriket negara itu telah dibenarkan memasuki negara ini dan ini jelas menunjukkan Kerajaan BN sememangnya mengiktiraf Israel.

"Terbaru, 16 Februari lalu, dua buah kapal dagang yang dimiliki oleh Israel telah berlabuh di Westport, Pelabuhan Klang. Jika tidak dengan kebenaran pihak kerajaan, takkan kapal dagang Israel itu boleh berlabuh di negara kita?

"Jadi ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan BN sememangnya mempunyai hubungan dengan Israel dan mengiktiraf negara Israel walaupun dinafikannya," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.

Selain itu, menurutnya, terdapat beberapa bukti lain yang jelas menunjukkan ujudnya hubungan antara Kerajaan BN dan Israel termasuk dalam bentuk perdagangan.

"Walaupun kerajaan mengatakan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan negara haram itu, tetapi Malaysia sebenarnya turut menghantar beberapa barangan perdagangan ke Israel, contohnya kelapa sawit," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, manakala hubungan antara Kerajaan BN dengan APCO pula turut memperjelaskan lagi perkara itu.

"Hubungan antara Kerajaan BN dengan APCO telah menyebabkan begitu banyak wang rakyat negara ini mengalir kepada regim haram Zionis Israel.

"Wang yang diperolehi oleh Israel itu pula turut digunakan oleh Israel untuk menyerang Palestin. Jadi apa ertinya itu semua? Kita amat kesal dengan segala tindakan Kerajaan BN berhubung perkara ini," tegasnya.

Walaupun Kerajaan BN cuba berselindung dengan pelbagai cara mengenainya, tetapi bukti yang menunjukkan Kerajaan BN mempunyai hubungan dan mengiktiraf Israel kini telah pun terbongkar satu demi satu.

"Jadi, apakah lagi alasan Kerajaan BN untuk menyembunyikan perkara itu? Di sebalik mereka menuduh orang lain yang mempunyai hubungan dengan Israel, mereka sendiri sebenarnya yang menjalin hubungan dan mengiktiraf negara haram regim Zionis Israel itu," ujarnya.

Tuesday, February 14, 2012

NIK AZIZ BERJAYA WUJUDKAN KEHARMONIAN PELBAGAI KAUM

Rizal Tahir, 14 Feb 2012 HARAKAHDAILY

KOTA BHARU, 14 Feb: Rakyat Kelantan pelbagai anutan agama di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, diakui berjaya mewujudkan keharmonian pelbagai kaum walaupun pemimpinnya beragama Islam.

Perkara itu diakui oleh Jawatankuasa Mempromosi Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMKPA) yang diketuai Datuk Azman Amin.

Perkara itu didedahkan pada pertemuan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, di JKR 10, di sini tengah hari tadi sempena lawatan selama empat hari.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh pelbagai anutan agama seperti Islam, Kristian, Budha, Sikh dan lain-lain anutan agama yang diketuai oleh ketua agama masing-masing.

Selain itu, jawatankuasa ini juga turut mengagumi Masjid Jubli Perak Rantau Panjang atau lebih dikenali Masjid Beijing memandangkan reka bentuknya berupa rumah ibadat Buddha.

Azman dalam ucapan aluannya berkata, anggota jawatankuasa berkenaan begitu berpuas hati dengan lawatan itu.

“Hasil pertemuan kami dengan penganut agama lain di negeri ini mereka mengakui begitu aman di bawah pentadbiran kerajaan negeri hari ini.

“Mereka juga mendakwa tiada sebarang masaalah yang dihadapi oleh kaum mereka di sini, perkembangan ini jelas membuktikan suatu kehebatan yang ada di negeri Serambi Mekah ini,” ujarnya. Kelantan dipilih negeri kedua dilawati selepas negeri Sabah.

Sementara itu, Daozhang Tan Hoe Chieow, melahirkan kekaguman di atas pembinaan Masjid Beijing.

“Kalau tak masuk dalam masjid ni, tentu saya anggap ianya rumah ibada kaum Buddha, sungguh mengagumkan,” ujarnya ketika berucap pada majlis lawatan di masjid tersebut.

Monday, February 6, 2012

PROVOKATIF: PAS GESA POLIS BERTINDAK ADIL DAN PROFESIONAL

Aziz Muda, 05 Feb 2012 HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 5 Feb: Pihak polis digesa bertindak adil dan profesional dengan tidak memihak kepada parti dan pemimpin-pemimpin tertentu dalam menangani setiap kejadian dalam masyarakat.

Suasana dalam masyarakat kita sekarang amat merbahaya kerana pihak yang berlawan dengan Pakatan Rakyat ternyata cenderung menggunakan tindakan-tindakan provokatif yang melampau, sehingga mengancam nyawa para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) berkata, perkembangan yang tidak sihat itu jika tidak ditangani dengan baik dari sekarang pasti akan lebih menyukarkan lagi pihak polis untuk menanganinya pada masa akan datang.

Menurutnya, kesemua kejadian yang berlaku itu pasti telah diketahui oleh pihak polis kerana ia telah dilaporkan oleh pihak-pihak berkenaan untuk tindakan pihak berkuasa.

Katanya, namun sehingga kini masih juga tidak terdapat tindakan yang sewajarnya dari pihak polis dengan menangkap dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

"Pada hal, kesemua insiden itu amat serius. Contohnya pada 3 Februari lalu, dua buah kereta dan rumah Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad telah dibakar yang jelas bukan sahaja memusnahkan harta benda, tetapi juga mengancam nyawa Dzulkefly dan keluarganya.

"Apakah mekanism polis untuk menyiasat dan menyelesaikan kes itu? Apakah pihak polis tak tahu kecenderungan penggunaan provokatif yang melampau dari pihak yang terbabit itu dalam hal ini?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 3.40 pagi ketika Dzulkefly dan enam anggota keluarganya sedang nyenyak tidur di tingkat atas.

Akibat kejadian itu, dua buah kereta kepunyaan Dzulkefly terbakar dan tingkat bawah rumahnya di Taman Universiti di Johor Bahru pula turut hangus terbakar.

Dzulkefli yang sedang nyenyak tidur terkejut mendengar letupan kuat akibat kebakaran keretanya dan ketika api sedang membakar, beliau sempat mengejutkan seluruh anggota keluarganya untuk keluar dari pintu belakang bagi menyelamatkan diri.

Menurut Mazlan, sebelum itu beberapa kejadian lain telah berlaku, termasuk letupan bom di kawasan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada hari keputusan kes tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan pada 9 Januari lalu.

Katanya, sebelum itu, turut berlaku kejadian-kejadian provokatif melampau lain dari pihak tertentu yang membabitkan pembakaran surau dan gereja di negara ini, di samping tindakan membaling babi ke dalam kawasan serta ke dalam surau dan masjid.

"Sekarang juga sudah sering terjadi rumah-rumah pemimpin Pakatan Rakyat yang dibaling dengan cat merah serta ancaman ugutan bunuh ke atas para pemimpin Pakatan Rakyat.

"Manakala ceramah-ceramah pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu diganggu dan diceroboh sehingga mencederakan orang awam," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor menegaskan, kesemua kes tersebut jelas menunjukkan penggunaan provokatif yang amat keras dari pihak-pihak terbabit yang sepatutnya disiasat dengan segera dengan terperinci oleh pihak polis.

"Tetapi sehingga sekarang masih juga tidak dilakukan tangkapan oleh pihak polis ke atas mereka yang terbabit, malah perkembangan penyiasatan pihak polis mengenai kejadian-kejadian itu amat mengecewakan," tegasnya.

Sebelum ini, tambahnya, penggunaan provokatif melampau seperti itu berlaku di luar negara dan mereka yang terbabit akan menggunakan mafia dan genstar untuk menjayakan perancangan jahat mereka itu.

"Kini, di negara kita juga sudah berlaku tindakan ganas seperti itu. Ini semua mula berlaku selepas PRU Ke-12 pada tahun 2008 lalu setelah Pakatan Rakyat mendapat sokongan yang kuat daripada orang ramai," katanya.

Kesemua tindakan tersebut, tegas beliau, jelas menunjukkan perkembangan yang tidak sihat terhadap politik di tanah air yang amat perlu dihentikan dan ditangani dengan baik oleh pihak polis.

"Sedangkan di negara-negara maju tidak berlaku sedemikian. Sebaliknya, perkembangan politik mereka berlaku dengan baik. Mereka menghadapi persaingan yang sihat, dengan menggunakan pendekatan hujah, intelektual serta tawaran alternatif kepada rakyat," ujarnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kesemua kejadian itu tidak dilakukan oleh orang biasa, sebaliknya didalangi pemimpin-pemimpin tertentu di negara ini.

Sehubungan itu, beliau bagi pihak PAS berhajat untuk menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, pada 8 Februari ini di Bukit Aman bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkembangan penyiasatan pihak polis mengenai kesemua kes tersebut, di samping keberkesanan tugas pihak polis dalam mengawal ketenteraman dan keselamatan negara.

"Dalam pertemuan itu, saya akan mendesak pihak polis agar menggunakan pendekatan yang betul dalam beberapa aspek termasuk mempercepatkan tindakan dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan," tegas beliau.

Tuesday, January 17, 2012

KALAU KAKI KENCING MANIS, TIDAK POTONG MERUGIKAN


Subky Abdul Latif, 16 Jan 2012 Harakahdaily

Pofesor. Madya Atorry Hussein kata, PAS telah rugi kerana memecat Datuk Hasan Ali.

Saya kata, memang tokoh akademik itu telah berkata betul seperti yang dirakamkan dalam surah al-Asri yang bermaksud, sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian.

Ketika dia dipecat, dia adalah ADUN PAS Gombak Setia. Apabila dia dipecat dari parti, maka PAS sudah tidak ada wakil rakyat di situ.

Siapa pun yang hendak menjaga kepentingan rakyat dan kawasan itu sesuai dengan kepentingan politik PAS di situ? Benar Hasan masih wakil rakyat di situ. Jika dia menjalankan tugasnya, maka dia sudah tentu tidak menjalankannya mengikut kepentingan PAS.

Seorang wakil rakyat PAS telah ditetapkan oleh PAS di zaman Dr. Burhanuddin al-Hilmy dulu mesti mendermakan 20 peratus dari elaunnya kepada parti. Bagi Anggota Parlimen kepada PAS Pusat dan bagi ADUN kepada PAS negeri. Apabila mereka pencen, maka caruman itu tinggal lima peratus saja.

Begitu juga kalau dia Menteri Besar atau Exco. Maka setiap bulan PAS dapat wang masuk 20 peratus dari elaun mereka dan lima peratus setelah pencen hinggalah mereka mati. Jika mereka dipecat peruntukan itu tentu hilang. Tidakkah rugi namanya?

Maka sebagai parti politik, PAS tidak sunyi dari kerugian. Ia juga rugi bila wakil rakyatnya kalah. Kalau ia menang, potongan elaun itu 20 peratus, tetapi bila kalah, PAS dapat lima peratus saja. Rugi juga.

Setelah Ustaz Hassan Shukri tidak jadi senator, dia bagi elaun pencennya setiap enam bulan sekali. Sebelum dia meninggal dia beri elaun untuk enam bulan yang akan datang. Didahulukannya pemberiannya itu. Bila dia mati, PAS tidak lagi dapat duit. Tidakkah PAS juga rugi?

Demikian apabila sekalian bekas wakil rakyat dan bekas senatornya mati. Banyak kerugian yang ditanggung oleh PAS?

Manusia itu begitu. Universiti melabor banyak terhadap profesornya untuk kepentingan kampusnya. Cukup kalau profesor itu lari ke universiti lain atau berhenti. Tidak rugikah universiti. Seperti Atorry Hussein, katakan tiba-tiba mati belum bersara. Tidak rugikah universiti? Tentulah rugi.

Kerajaan mengeluarkan beratus ribu belanja untuk menanggung seorang pelajar perubatan. Setelah tamat tempoh kontreknya berkhidmat dengan kerajaan dia letak jawatan bagi membuka klinik sendiri. Kerajaan telah kerugian dan terpaksa menanggung pelajar perubatan yang baru bagi mengganti doktor yang pergi itu.

Logiknya semua profesor itu diperlukan khidmatnya oleh universiti. Tetapi setengah profesor yang baik itu cenderung pula pada politik. Mereka pun berpolitik bersama pembangkang. Mereka sudah melanggar akta universiti. Universiti terpaksa buang mereka. Tentulah universiti rugi. Walau pun rugi tetapi universiti terpaksa buang juga mereka. Mengapa?

Antara profesor itu amat sayang pada isterinya. Tetapi isterinya sakit tenat. Menderita lama di hospital. Harapan pulih tidak ada. Dari menderita begitu, maka profesor redha, mati adalah lebih baik baginya. Profesor sayang padanya, apabila mati profesor kehilangan orang yang dikasihi. Rugi isteri mati, tetapi di sebaliknya memungkin profesor beristeri lain pula.

Semua manusia sayang akan kakinya. Tetapi apabila dia terkena sakit kencing manis, kakinya terpaksa dipotong. Apabila dipotong rugilah kakinya. Dia juga rugi kerana sudah tidak berkaki. Dia sayang pada kakinya. Tetapi kalau tidak dipotong kaki itu, dia pula akan mati cepat.

Oleh itu biarlah dia tidak berkaki asal dapat meneruskan hidup dalam keadaan cacat tetapi dapat lagi beribadat. Sesayang mana pun dia pada kakinya, tetapi dia terpaksa menerima hakikat membuang kakinya yang sudah tidak berguna dan memudaratkan jiwanya lebih baik.

Membuang kaki yang begitu lebih baik dari berkaki yang tidak berguna lagi.

Bukan PAS tidak sayang pada Hasan Ali. Tetapi politik itu, kata Tok Guru Haji Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya di muktamar lalu, ada fiqahnya. Mufti Perak mahir fiqah lain tetapi tidak mahir fiqah politik.

Yang PAS bertindak terhadap Hasan itu adalah mengikut kehendak fiqah politik. Kalau kaki kencing manis terpaksa dipotong, tidak memotongnya lebih merugikan.

Saturday, January 14, 2012

UNDI PAKATAN RAKYAT SEBELUM MALAYSIA BANKRAP

Aziz Muda, 14 Januari 2012HARAKAHDAILY

ALOR SETAR, 14 Jan: Seluruh rakyat negara ini diingatkan agar jangan memberikan undi kepada Pakatan Rakyat setelah Malaysia bankrap, sebaliknya perlu berbuat demikian pada Pilihan raya Umum ke-13 akan datang.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata, tindakan memberikan undi kepada Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 amat penting bagi membolehkan Pakatan Rakyat menyelamatkan negara dari kejadian itu.

Menurutnya, sekiranya undi diberikan kepada Pakatan Rakyat setelah Malaysia bankrap, ia sudah tidak bermakna lagi kerana tindakan tersebut ternyata telah terlewat

"Jadi untuk menyelamatkan Malaysia, undilah Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 ini. Jangan beri undi kepada Pakatan Rakyat setelah Malaysia bankrap.

"Kalau diberikan undi kepada Pakatan Rakyat setelah Malaysia bankrap, kami pun tak nak sebab kami tak mahu dikatakan kerajaan bankrap," katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini, hari ini.

Katanya, setiap rakyat negara ini perlu sedar, menurutnya, kenyataan mengenai Malaysia akan bankrap bukan rekaan tetapi ia diramalkan oleh tokoh ekonomi sendiri, Datuk Idris Jala dan kejadian itu diramalkan berlaku pada tahun 2019 nanti jika langkah-langkah mengatasinya tidak dilakukan.

Ramalan tersebut dibuat berdasarkan realiti yang berlaku di Malaysia sekarang di bawah pemerintahan BN yang penuh rasuah, penyelewengan, pembaziran wang rakyat sehingga hutang negara semakin meningkat melebihi RM450 bilion sekarang.

Mohamad Sabu menambah, ramalan Datuk Idris itu jelas menunjukkan rakyat negara ini sudah tidak boleh lagi memberikan kepercayaan kepada para pemimpin Umno BN untuk memerintah negara ini kerana mereka ternyata gagal menyelamatkan negara dari bankrap.

"Sebaliknya jika BN menang dalam pilihan raya nanti, Malaysia akan bankrap. Kata-kata ini mesti diratib selalu kepada orang ramai bagi menyedarkan rakyat mengenai perkara itu untuk menyelamatkan Malaysia dari kemusnahan jika terus menyokong Umno BN," ujarnya.

Konvensyen tersebut dihadiri kesemua pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Mursyidul Am PAS dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Followers