Friday, December 3, 2010

PEMUDA PAS SERTAI DEMO BANTAH KENAIKAN TARIF AIR

Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 3 Dis: Dewan Pemuda PAS akan mengerah ahlinya menyertai perarakan bersama-sama Menteri Besar Selangor bagi menyerahkan memorandum bantahan kenaikan tarif air kepada Yang Di-pertuan Agong, di Istana Negara, Ahad ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, biarpun himpunan itu bertembung dengan program Jambori Amal peringkat Kebangsaan Pemuda PAS di Melaka, komitmen dan sokongan pemuda PAS tetap diberikan dengan menghantar pemuda PAS Wilayah dan Selangor.

"Himpunan itu sebenarnya bertembung dengan Jambori Amal Kebangsaan pemuda PAS, tapi pada mesyuarat lajnah politik Selasa lalu, kita telah mengecualikan pemuda PAS Selangor dan Wilayah menyertai jambori dan minta mereka memberi tumpuan kepada himpunan itu nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Kerajaan negeri Selangor mensasarkan 100 ribu tandatangan rakyat bagi membantah kenaikan tarif 37 peratus air Selangor.

Memerandum bantahan yang ditandatangan itu dijangka akan diserahkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Sultan Mizan Zainal Abidin selepas perarakan yang bermula dari Masjid Negara, jam 12 tengah hari.

Kumpulan bantahan itu juga akan berbaju merah sebagai lambang bantahan mereka.

Mereka juga dijangka bertembung dengan dengan kumpulan NGO Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) yang akan berbaju hitam yang turut mengadakan demonstrasi di tempat berdekatan

Monday, November 29, 2010

PERTAHAN KEYAKINAN RAKYAT

Harakahdaily
SHAH ALAM, 29 Nov: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menggesa pemimpin Pakatan Rakyat supaya mempertahankan keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri yang diperintah.

Ini, katanya kerana Umno BN sentiasa berusaha untuk memecahkan keyakinan itu dan perpaduan di kalangan komponen Pakatan Rakyat menjelang Pilihan raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti.

Beliau berkata, ini kerana Umno BN tahu bahawa kemenangan yang dicapai oleh Pakatan Rakyat pada Pilihan raya ke-12 lalu kerana perpaduan.

Justeru, katanya Umno BN menggunakan media massa untuk meretak dan memecahkan perpaduan tersebut.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Persidangan Menteri Besar Dan Ketua Menteri Negeri-negeri Pakatan Rakyat di sini, pagi ini.

Turut berucap ialah Menteri Besar Kelantan dan Selangor, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Datuk Mustafa Ali.

Ustaz Azizan menambah, media massa sering menyiarkan perkara yang salah dan tidak benar mengenai Pakatan Rakyat supaya masyarakat tidak yakin kepada kerajaan Pakatan.

“Mereka (media) timbulkan suasana supaya orang tak yakin dengan kita,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya semua pemimpin Pakatan Rakyat mesti menjaga dan mempertahankan keyakinan rakyat terhadap kerajaan di negeri-negeri yang dikuasai.

Ini, katanya kerana suasana yang berlaku pada hari ini membuktikan bahawa rakyat merasa selesa di bawah kerajaan Pakatan Rakyat berbanding dengan era pemerintahan Umno.

Dalam mempertahankan keyakinan itu, katanya ia memerlukan kepada pengorbanan.

Mengenai Kedah, beliau berkata, usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri berjaya menyatukan rakyat sekalipun tidak mendapat publisiti daripada media massa.

Jelasnya, dengan pendekatan tersebut, rakyat Kedah merasa selesa dengan Kerajaan Pakatan rakyat negeri sekarang berbanding sebelum ini.

“Yang kata tak selesa, orang luar Kedah,” tegasnya.

Beliau juga menyarankan supaya kerajaan di negeri-negeri Pakatan Rakyat supaya membuat kajian dari semasa ke semasa apa yang disukai dan tidak disukai oleh kumpulan sasar.

Friday, November 26, 2010

PERSIAPAN TEMPAT CERAMAH TIMBALAN PRESIDEN PAS






Ceramah oleh Ustaz Nasharudin b. Mat Isa ( Timbalan Presiden PAS ) akan diadakan pada 27 Nov. 2010 ( Sabtu ) jam 9.00 malam bertempat di Markaz Pas Kawasan Teluk Intan, di Kpg Pdg Tembak.
* Seorang Hamba Allah telah sudi memberi sumbangan 2 lori pasir untuk ditambak di kawasan Markaz supaya kawasan lebih selesa.
* Tuan-tuan dan puan-puan dijemput hadir beramai-ramai.

Monday, November 22, 2010

MALAYSIA PERLU BERANI TEGUR KUASA BESAR


Nazri Abdullah HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 22 Nov: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu kerajaan Malaysia lebih berani menegur dan menyatakan keadilan terhadap sikap double standard kuasa-kuasa besar dunia.

Bercakap sewaktu Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Luar (Hubungan Dua Hala), Ahli Parlimen Marang itu berkata, Malaysia masih tidak memainkan peranan sewajarnya khususnya melalui Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Beliau merujuk kepada isu penindasan Israel terhadap rakyat Palestin, isu nuklear Iran dan isu cadangan penggunaan Dinar oleh Lapan Negara Membangun (D8) pada satu masa dahulu.

"Kerakusan Yahudi Israel sangat melampau sehingga halau rakyat Islam di sekitar Baitul Maqdis, merobohkan rumah-rumah mereka, membakar kampung halaman dan kebun-kebun mereka tanpa perhatian masyarakat antarabangsa.

"Perlu Malaysia sebagai sebuah negara ahli dalam OIC dan negara berkecuali, mengambil sikap lebih proaktif agar masalah ini tidak terus meruncing," katanya yang juga Presiden PAS.

Tambahnya, jika tindakan kejam itu dibiar terus berlaku, dikhuatiri ancaman keselamatan antarabangsa lebih besar akan berlaku.

Dalam isu nuklear Iran pula beliau mahu Malaysia bersikap adil dalam menyatakan pendirian.

"Kementerian Luar tidak tegas, kadang menyokong dan kadang-kadang menentang," katanya lagi.

Iran, katanya telah menjelaskan pengkayaan uranium mereka hanya sebagai sumber tenaga untuk kegunaan rakyat negara itu.

Sangat double standard, katanya jika Malaysia tidak pula menentang penggunaan nuklear oleh kuasa besar lain termasuk Israel dan Amerika Syarikat yang jelas diguna untuk persenjataan.

"Kita perlu sedar, kuasa barat begitu tidak adil dalam hal ini. Mereka membenarkan Israel guna nuklear untuk persenjataan sejak tahun 60an.

"Terbukti mereka guna bahan radio aktif dalam peperangan di Lubnan dan Gaza," katanya.

Dalam isu penggunaan Dinar yang dicadang negara D8 pula, Malaysia katanya gagal berperanan mempertahan cadangan itu sehingga ianya gagal dilaksanakan.

Cadangan tersebut juga, katanya sebelum ini turut disokong mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu melihat ekonomi Islam diperkukuhkan.

"Saya tidak tahu mungkin ada tekanan dari kuasa barat dan kita tidak berani hadapi tekanan ini padahal anggota yang ramai dalam OIC.

"Kenapa kita tidak manfaatkan kedudukan kita dalam OIC untuk bergabung menjadi satu kekuatan?" katanya.

Saturday, November 20, 2010

HASAD DENGKI PUNCA PUSAT ENGGAN IKTIRAF DINAR KELANTAN


Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 20 Nov: Tindakan kerajaan Pusat tidak mengiktiraf penggunaan Dinar dan Dirham Kelantan dibayangi sifat prejudis dan hasad dengki terhadap pemerintahan PAS, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu mengulas jawapan bertulis Menteri Kewangan terhadap soalan lisannya di Dewan Rakyat yang bertanya pendirian Kerajaan Pusat tentang pengenalan Dinar dan Dirham yang diterbitkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Menteri dalam jawapannya mendakwa penggunaan wang emas dan perak dalam urus niaga akan menyebabkan orang ramai menanggung risiko harganya yang sentiasa turun naik.

Selain itu, pengguna juga akan bermasalah untuk mengesahkan ketulenan emas atau perak serta kemungkinan berlakunya pemalsuan yang berleluasa.

"Amat malang sekali jawapan dari Menteri Kewangan adalah seperti tertera di atas.

"Ternyata apabila Kerajaan Negeri Kelantan memperkenalkan Dinar dan Dirham sebagai instrumen kewangan selain dari mata wang – ’legal tender’, kerajaan BN terus mengecam seolah-olah ia satu kesalahan.

"Prejudis itu juga terserlah dengan memaparkan pelbagai aspek negatif dan risiko yang kononnya akan menimpa rakyat dan pengguna," kata Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Kerajaan Kelantan melancarkan Dinar Emas pada 12 Ogos lalu atas penegasan ianya bukanlah matawang, tetapi hanyalah pengenalan kepada sistem barter trade (perdagangan pertukaran).

Menurut Dzulkefly, prejudis tersebut jelas boleh dilihat apabila Tun Dr Mahathir sendiri pernah melancarkan gold coin yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia satu ketika dahulu.

Pada 18 Julai 2001, sekeping syiling Kijang Emas seberat 1 auns harganya ialah RM1,082.

Hari ini pada tarikh 1 Julai 2010, ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104.

"Sungguh malang andainya pimpinan Umno terus menyimpan perasaan prejudis sehinggakan yang rugi ialah rakyat sementara kebaikan yang mahu disampaikan kepada umat terhalang kerana sikap yang sempit dan perasaan yang dilingkungi hasad.

"Pemikiran yang waras dan jiwa yang murni akan dapat mengenali betapa ’politik sempit’ dan kelonggaran pegangan kepada agama Islam akan meletakkan perhitungan kepentingan politik kepartaian mengatasi tuntutan kewajaran dan kebenaran yang dianjurkan oleh Islam," katanya.

Friday, November 19, 2010

PAS TIDAK PERLU CERAMAH JIKA MEDIA ADIL


Mohd Sabri Said HARAKAHDAILY
KEPALA BATAS, 18 Nov: PAS tidak akan bergelut lagi mengatur ceramah menerangkan isu kepada rakyat sekiranya media di Malaysia bersikap adil, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Ketika ditemui selepas menyampaikan khutbah Aidiladha di Markaz Tarbiah PAS Negeri Pulau Pinang di Pongsu Seribu, semalam beliau menyokong penuh tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang tidak membenarkan media pro Umno BN membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah.

(Gambar: Mohamad Sabu menyembelih lembu korban.)

Beliau menambah, isu banjir tidak sepatutnya dijadikan isu politik sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan negeri membantu mangsa banjir.

"Jika media di Malaysia bersikap adil dengan memberi ruang untuk PAS dan parti dalam Pakatan Rakyat bersuara di mana-mana siaran sama ada cetak atau elektronik, saya yakin PAS tidak payah lagi berceramah di sana ke mari malahan boleh menumpukan pada gerakan kebajikan dan dakwah," jelasnya.

Ini tidak, katanya media bersikap seperti 'jakun' membantu kerajaan BN yang nyata zalim serta takut kepada erti kekalahan sebenar.

Justeru itu, ujarnya mereka sanggup menggadai prinsip dan etika kewartawanan semata-mata mahu mengikut telunjuk kepimpinan yang telah terbukti rasuah dan melakukan penyelewengan.

"Mereka tetap jakun dari dulu sehingga hari ini, tidak sebagaimana media di Indonesia, Thailand dan Vietnam bakal mengikut rentak negara berkenaan," tegasnya.

Sementara itu, semasa berkhutbah beliau berpesan kepada umat Islam supaya memperhambakan diri kepada Allah Taala dengan melaksanakan semua suruhan sama ada ianya masuk akal atau sebaliknya.

Menurutnya, Nabi Ibrahim a.s. yang mendapat mimpi untuk menyembelih anaknya Ismail a.s terus sahaja melaksanakan arahan tersebut biarpun ianya tidak lojik bagi manusia yang jahil.

"Anak yang sedang membesar mana boleh dikorbankan, mesti ada perasaan sayang dan kasih. Tetapi, kerana ianya suruhan Allah SWT kena dituruti," jelasnya dalam program Korban Perdana anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang.

Lima ekor lembu dikorbankan dan dibahagikan kepada fakir miskin di cawangan-cawangan.

Saturday, November 13, 2010

PAS PERLU MENANG DENGAN KEKUATAN SENDIRI


Nazri Abdullah HARAKAHDAILY
SHAH ALAM, 13 Nov:

PAS perlu menang dalam pilihan raya dengan kekuatan sendiri bukan menumpang kelemahan Umno BN, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Katanya, biarpun Umno lemah namun kekuatan itu perlu dibina kerana cabaran paling besar adalah bukan untuk menang, tetapi kekuatan untuk mengisi kemenangan.

"Kita mahu supaya parti kita mencapai kejayaan dengan kekuatan kita sendiri, bukan dengan kelemahan yang ada pada lawan kita.

"Kita sedar bukan sahaja mahu menang, tapi mengisi kemengan," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar 'PAS Sedia Ganti Umno' di sini hari ini.

Antara pemimpin PAS Pusat yang hadir pada seminar itu ialah timbalannya, Nasharudin Mat Isa, naib, Salahuddin Ayub, ketua muslimat, Nuridah Mohd Salleh, setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali, pengarah pilihan raya, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman,

Dalam ucapan sebelum itu, beliau menggariskan tiga perkara bagi membina kekuatan dalam PAS agar parti itu mampu memerintah negara.

Pertama, katanya adalah kekuatan aqidah Islam di kalangan setiap ahli.

Ianya termasuk persoalan akhlak, ibadah dan tarbiyah yang mantap untuk melalui perjuangan yang penuh liku.

"Kalau sama sahaja kita dengan Umno, sama-sama tak sembahyang, sama-sama tak berjemaah, dan tak kuat hubungan dengan Allah, kita tidak akan menang," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Kedua, ujarnya adalah kekuatan pada organisasi yang baik termasuk cawangan yang banyak dan bergerak dan ahli yang ramai.

Antara sebab kawasan PAS kalah pada pilihan raya, katanya adalah kerana tidak mempunyai cawangan yang banyak dan tidak bergerak.

"Berlawan dengan Umno ni lebih teruk berlawan dengan orang gila dan bodoh.

"Orang gila dan bodoh tak boleh buat undang-undang, tapi Umno boleh buat apa sahaja untuk menangkan mereka. Sebab itu kita kena kuat," tambahnya lagi.

Manakala perkara ketiga katanya adalah strategi yang baik dan digerakkan ke akar umbi.

Strategi di semua peringkat jelasnya perlu diselaras agar memberi kesan yang besar pada setiap tindakan yang dibuat.

Umno berundur secara terhormat

Selain itu beliau turut meminta Umno mengaku kelemahan mereka dan berundur secara demokratik dengan memberi laluan kepada PAS dan Pakatan Rakyat memerintah negara.

Ia kerana parti itu sudah jelas lemah dan tidak mampu mengurus rakyat dan negara dengan baik.

"Hari ini Umno adalah teras kepada kepimpinan negara. Kita tahu masalah yang dihadapi walaupun cuba nak sembunyi dengan pelbagai undang-undang tapi akhirnya terdedah.

"Sebab itu kita mintak secara terhormat dan demokratik seperti berlaku di negara-negara lain, pilihan raya adil dan bebas di mana parti pemerintah yang mengalami masalah, sedia berundur. Tapi keadaan ini tak berlaku dalam negara kita," katanya.

Beliau bagaimanapun turut menggesa ahli agar meneruskan usaha dakwah kepada rakyat termasuk ahli Umno agar melakukan perubahan.

Menurutnya, PAS tidak akan menang dengan hanya mengharapkan kepada undi ahli sahaja malah juga memerlukan undi orang Umno.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad akan membentang kertas kerja bertajuk "PAS Ganti Umno; Rasional dan Tindakan".

Manakala AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar akan membentangkan tajuk "Umno dan Krisis Ketuanan Melayu".

* gambar dari idhamlim.blogspot

Followers