Friday, November 12, 2010

KEDAH BELANJA RM 2 JUTA BANTU MANGSA BANJIR


Ali Hashim HARAKAHDAILY

ALOR SETAR, 11 Nov: Kerajaan Negeri Kedah telah membelanjakan hampir RM2 juta bagi membantu mangsa banjir yang terlibat dalam bencana yang menimpa negeri Kedah baru-baru ini.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada sidang media di sini semalam.

Menurut beliau lagi sumbangan bagi mangsa banjir tersebut telah disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi penyediaan segala bentuk keperluan seperti makanan dan seumpamanya.

"Selain dari bantuan tersebut, tenaga kerja dan logistik turut disediakan bagi membantu banjir yang berpindah ke tempat perpindahan. Namun begitu bagi mereka yang tidak berpindah kemungkinan bantuan dalam bentuk lain akan dipertimbangkan.

"Sebelum ini adanya dakwaan mangsa banjir yang tidak menerima bantuan datangnya dari mereka yang enggan berpindah ke pusat pemindahan yang telah ditetapkan, " katanya lagi.

Azizan juga berkata, sehingga semalam jumlah mangsa banjir yang telah pulang ke rumah adalah seramai 45,583 mangsa yang terdiri dari 11,840 keluarga.

Manakala seramai 12,185 mangsa yang terdiri dari 3181 keluarga masih lagi ditempatkan di 23 buah pusat pemindahan.

Katanya lagi antara pusat pemindahan yang telah ditutup ialah dalam daerah Padang Terap, Pokok Sena dan Pendang.


(Gambar: Pegawai kanan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah, Zulkifli Yahya melihat bungkusan yang disiapkan sebelum diserahkan kepada mangsa banjir)

Sementara itu 11 pusat pemindahan di Kubang Pasu dan 12 di Kota Setar masih lagi beroperasi sehingga keadaan dipastikan selamat sebelum mangsa banjir dibenarkan pulang kerumah masing-masing.

Beliau juga menyelar Kerajaan Pusat yang cuba mempolitikkan isu bantuan kepada mangsa banjir apabila mendakwa kerajaan negeri tidak mampu untuk menyalurkan sumbangkan kepada mangsa yang terlibat.

"Sebenarnya kita tidak pernah memohon bantuan dari Kerajaan Pusat bagi membantu mangsa banjir di negeri ini. Kita hanya meminta bantuan dari Perak. Manakala Pulau Pinang dan Selangor pula menawarkan bantuan yang berupakan minuman dan bekalan air bersih.

"Perak menyalurkan bantuan yang berupa logistik, lori tangki serta 120 sukarelawan bagi membantu melicinkan perjalanan membantu mangsa banjir. Kita juga berterima kasih kepada mereka kerana sanggup untuk mengenepikan perbezaan fahaman ideologi demi kemanusiaan, " ujarnya lagi.

Monday, November 8, 2010

TIADA PEGAWAI KELANTAN RASUAH SEJAK 1990


HARAKAHDAILY

KOTA BHARU, 8 Nov: Sejak PAS menerajui Kelantan pada Oktober 1990 sehingga sekarang tidak ada pegawai kerajaan yang didapati terbabit dengan kesalahan rasuah.

Nombor sifar itu diberitahu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (gambar) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

Pegawai terbabit dari golongan profesional dari gred N41 hingga N54.

Bagaimanapun menurutnya bilangan kakitangan sokongan dari gred N1 hingga 28 yang terbabit dengan kesalahan rasuah dicatat sebanyak 15 kes.

“Bagi kes jenayah pula hanya mencatat lima kes membabit pegawai profesional negeri sejak 1990 sehingga 2010.

“Manakala bagi kakitangan sokongan pula sebanyak 14 kes bagi kesalahan jenayah,” katanya menjawab soalan Zulkifli Mamat (PAS-Pulai Chondong).

Timbalan Menteri Besar berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada dasar Membangun Bersama Islam yang diterap kerajaan negeri kepada kakitangan awam sejak 1990 sehingga sekarang.

Katanya, dasar itu berjaya diselami dalam jiwa setiap kakitangan kerajaan negeri sehingga mengelakkan diri daripada kegiatan rasuah dan jenayah.

Menjawab soalan tambahan Mohamed Mustapha (PAS-Demit) katanya, buku panduan dasar Membangun Bersama Islam akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Kita lakukan selaras dengan tuntutan agama,” katanya.

Sunday, November 7, 2010

KEDAH SEDIA RM 1 JUTA BANTU MANGSA BANJIR


Harakahdaily
ALOR SETAR, 7 Nov: Kerajaan Negeri Kedah telah memperuntukkan hampir RM1 juta untuk membantu mangsa banjir di samping RM500,000 daripada wang zakat yang diumumkan Sultan Kedah semalam.

Exco kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi (gambar) berkata, soal kerajaan negeri tidak membantu mangsa banjir tidak berbangkit langsung di negeri ini.

"Yang menjadi masalah adalah media yang tidak membuat liputan untuk kerajaan negeri," kata beliau.

Kerajaan negeri, katanya, telah menubuhkan Bilik Gerakan Banjir peringkat negeri dan daerah.

Di peringkat negeri ia diketuai oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri manakala di daerah di ketuai Pegawai Daerah.

"Memandangkan SUK di Mekah, Timbalan SUK, Datuk Haji Ahmad Mat Isa yang ketuai operasi ini," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Selain jentera kerajaan, NGO dan parti politik khasnya PAS dan Pakatan Rakyat juga terlibat.

"Dakwaan Shahrizat Jabatan Kebajikan Masyarakat agensi pusat tak betul. Pengarahnya staff kerajaan negeri. Ia agensi bersama," katanya.

Beliau mengaku jabatan itu paling banyak membantu magsa di samping kerajaan tempatan, polis, bomba dan juga jabatan kesihatan dan pelajaran.

Hari ini, kata Phahrolrazi, pihaknya bersama JKR akan bersama syarikat yang menjaga konsesi trek berkembar, Gamuda, akan menyiasat kalau projek itu menyebabkan laluan banjir tersekat.

"Memang di Jalan Tun Razak dan Jalan Sultanah ada isu itu, kita akan siasat secara menyeluruh hari ini," katanya.


(Gambar: Pengerusi surau As Siddiqin, Bandar Tasik Puteri, Rawang menyerahkan sumbangan kepada ustaz Ghazali Omar (kanan) untuk diserahkan kepada mangsa banjir di Kedah)

Sementara itu, sumbangan dari luar datang mencurah-curah untuk membantu mangsa banjir di negeri Kedah.

Tengahari ini, Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali menyerahkan sumbangan RM400,000 dari kerajaan negeri Selangor kepada kerajaan negeri Kedah.

Bantuan juga diserahkan oleh kawasan-kawasan PAS di seluruh negara di samping kutipan dibuat di masjid dan surau untuk diserahkan kepada mangsa banjir.

Pemuda PAS kawasan Selayang telah menghantar kira-kira 50 kampit beras dan diserahkan di bilik oeparasi banjir PAS yang terletak di Kompleks PAS Kedah, dekat Kota Sarang Semut.

Saturday, November 6, 2010

PAS KEDAH PERLU SUMBANGAN BANTU MANGSA BANJIR


Izwan Abdul Halim Harakahdaily

ALOR SETAR, 6 Nov: PAS Negeri Kedah telah membuka Bilik Gerakan Banjir di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut dalam usaha memberikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Penolong Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad berkata, bilik gerakan tersebut akan beroperasi 24 jam dan akan mengkoordinasikan bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa banjir.

PAS Kedah juga, katanya, telah menyusun tenaga sukarelawannya terdiri daripada Pemuda, Muslimat, Unit Amal dan Nisa’ untuk menjayakan bantuan tersebut.

Tambahnya, pada ketika ini pihak PAS Kedah amat memerlukan sumbangan orang ramai berupa air mineral, tuala wanita, lampin bayi dan biskut.

Sehubungan itu, beliau menyeru mereka yang prihatin untuk membantu usaha tersebut melalui sumbangan terus ke bilik gerakan banjir.

Katanya lagi, para dermawan yang berhasrat untuk turut serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir juga boleh terus berhubung dengan PAS Kedah agar kenderaan dan lokasi penyerahan sumbangan dapat ditentukan.

Sumbangan wang tunai juga boleh dihulurkan melalui akaun Maybank 552170001133 atas nama Majlis Tindakan Bencana Alam BPPNK.

Sebarang pertanyaan boleh menghubunginya di talian 012-482 7563 atau Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya di talian 019-4704740 dan 04-748 1120.

( gambar dari Kedahlanie.blospot)

Thursday, November 4, 2010

PAS BEDAH SIASAT GAGAL PERTAHAN DUN GALAS


Harakahdaily

GUA MUSANG, 4 Nov: PAS akan melakukan bedah siasat terhadap kegagalan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas pada pilihan raya kecil yang diadakan hari ini.

Biar pun begitu jentera pilihan raya PAS Kelantan berpuas hati dengan gerak kerja kempen yang dijalankan dan bantuan jentera dari luar serta rakan-rakan dari Pakatan Rakyat.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, kesungguhan ditunjukkan jentera kempen begitu memberangsangkan sekali sehingga ramai tenaga dari luar datang membantu.

“Namun kita juga mengesan ada penyokong di peringkat Unit Peti Undi (UPU) tidak keluar mengundi mungkin berpunca dari masalah tertentu.

“Kegagalan mereka keluar mengundi menyebabkan prestasi pilihan raya umum lalu gagal dipertahankan,” katanya di sini.

Pada pilihan raya kecil hari ini calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff mendapat 5,324 undi, manakala calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed memperolehi 4,134 undi.

BN mendapat majoriti sebanyak 1,190 undi. Dan peratusan keluar mengundi sebanyak 83 peratus.

Keputusan rasmi pilihan raya tersebut diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dun Galas, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid.

Abdul Fatah yang juga Adun Bukit Tuku berkata, faktor peningkatan ketara pengundi Orang Asal kepada BN kerana penglibatan secara langsung agensi kerajaan terutamanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), tentera dan Rela di penempatan mereka.

Katanya, penglibatan secara langsung agensi kerajaan terbabit dengan mengawal sepenuhnya masyarakat Orang Asal menyebabkan mereka tidak berani memberi sokongan kepada calon PAS.

“Biar apa pun PAS akan melakukan post mortem bagi mengenal pasti punca sebenar kemerosotan undi pada pilihan raya kecil ini. Selain jentera kerajaan pusat kita perlu lihat ada faktor sampingan lain,” ujarnya.

Wednesday, November 3, 2010

BERI ZAKAT PUN DITUDUH 'RASUAH'


Hafiz Irwan HARAKAHDAILY

GUA MUSANG, 3 Nov: Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mempertikai laporan yang mendakwa Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi wang kepada masyarakat Orang Asal yang diislamkannya sebagai rasuah.

Abdul Halim berkata, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebenarnya menyampaikan wang zakat kepada tiga masyarakat Orang Asli selepas mengislamkannya di perkampungan Orang Asli, Sandrop.

“Bukan rasuah tapi zakat kepada tiga Orang Asli. Saya sudah mengesahkan perkara ini. Wang itu diberi kepada tiga Orang Asli selepas Tok Guru mengislamkan mereka.

“Zakat boleh dibayar di mana-mana atau pada bila-bila masa. Apatah lagi kepada saudara baru yang memeluk Islam. Takkanlah beri zakat kepada tiga orang itu rasuah,” katanya dalam sidang media di markas PAS di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendakwa Mursyidul Am PAS memberi wang kepada mereka yang terbabit sebagaimana dilaporkan akhbar Utusan Malaysia.

Akhbar berkenaan hari ini menyiarkan gambar Mursyidul Am PAS menyampaikan wang kepada Orang Asli selepas diislamkannya di perkampungan Orang Asli Sandrop.

Visual yang sama turut disiarkan berita TV3 malam tadi.

Ekoran itu, Timbalan SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tindakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz itu melanggar seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak mempunyai kuasa menyiasat atau mengambil tindakan ke atas Mursyidul Am PAS itu sekiranya kes tersebut benar-benar berlaku.

Justeru, Abdul Halim meminta SPR perlu bersikap terbuka dalam isu tersebut kerana ia boleh mencemar kredibiliti badan bebas itu selain dipandang sebagai berpihak.

“SPR biarlah terbuka, jangan melihat bila Tok Guru beri duit sikit lalu dikatakan rasuah. Kalau ia meragukan buatlah laporan polis atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysaia (SPRM).

“Jangan keluar kenyataan yang seolah-olah SPR boleh dilihat sebagai memihak,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim yakin pemberian ‘wang ihsan’ akan berleluasa di kawasan Dun Galas menjelang tempoh pilihan raya yang berbaki tidak sampai 24 jam lagi.

“Saya yakin ‘wang ihsan’ akan melebar di sini pada pilihan raya ini yang dikeluarkan kepada golongan-golongan tertentu yang dikelaskan sebagai golongan miskin terutama golongan atas pagar,” katanya.

“Walaupun sekarang ini ia diberi di tempat-tempat lain tapi akan diberi juga di sini kerana di sini juga ramai orang miskin. Ini menampakkan ‘wang ihsan’ itu diberi seolah sogokan untuk menarik undi,” katanya.

Tuesday, November 2, 2010

RON 97 'TAHNIAH' KERAJAAN MENYUSAHKAN RAKYAT


Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 2 Nov: PAS mengucapkan 'tahniah' kepada kerajaan Umno BN di atas keputusan menaikkan 5 sen harga petrol RON 97 bermula tengah malam tadi.

Ketika diminta mengulas perkembangan terbaru itu, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli secara sinis turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sekali lagi menyusahkan rakyat.

"Tahniah, sebab terus menerus buat keputusan yang menyusahkan rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Harga petrol RON 97 dinaikkan 5 sen lagi mulai hari ini tanpa sebarang pengumuman.

Berikutan itu, harganya kini menjadi RM2.15 seliter.

Bagaimanapun harga pertrol RON 95 dan diesel tidak berubah.

"Nampaknya kerajaan sekali lagi mengambil kesempatan tarik subsidi rakyat, kita tak dengar pun ada kenaikan minyak di pasaran dunia.

"Ini terbukti kerajaan akan terus naikkan harga barang, tak kira waktu pilihan raya atau tidak," katanya.

Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2011 sebelum ini mengumumkan pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat bernilai RM5 bilion bagi menarik pelabur dan pelancong.

Bagaimanapun menurut Hatta, dengan keputusan menaikkan harga minyak tersebut, membuktikan bajet yang dibentang mementingkan projek mega dari keperluan rakyat.

"Kita bercakap tentang kedudukan kewangan negara yang mantap, dalam masa sama kerajaan alihkan beban kepada rakyat.

"Saya ingatkan kepada rakyat terutama pengundi Galas dan Batu Sapi bahawa akan ada lagi kenaikan harga barang diumum kerajaan Umno BN selepas ini," katanya yang juga Koordinator Protes.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim di Dewan Rakyat hari ini bagaimanapun menjelaskan, kenaikan tersebut adalah biasa kerana harga petrol RON 97 sebelum ini diletakkan dalam apungan dan boleh meningkat mengikut pasaran dunia.

Followers