Sunday, October 31, 2010

BALIK MENGUNDI SEKALIPUN MERANGKAK


Nazri Abdullah HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 31 Okt: Pengundi Dun Galas di perantauan digesa pulang mengundi pada 4 November ini sekalipun terpaksa merangkak, kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, adalah menjadi satu kewajipan untuk menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin sama ada di peringkat negara, negeri mahupun Dun, di kalangan orang yang beragama.

"Saya mintak tuan-tuan balik, kalau tak dapat balik dengan kapal terbang, balik dengan kereta, kalau tak boleh dengan kereta, balik berjalan kaki, meranggakak sekali pun kena balik.

"Dosa besar kita biar orang kafir, orang munafik 'ghanya' (merosakkan) ekonomi kita, akidah kita," katanya yang juga Mursyidul Am PAS.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada lebih 100 anak-anak Dun Galas di perantaun pada Majlis Minum Teh bersama Menteri Besar Kelantan di sebuah hotel di ibu negara petang tadi.

Hadir sama pada majlis itu, exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa, Datuk Takiyuddin Hassan, Abdul Fatah Mahmood, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Halim Abdul Rahman serta pimpinan PAS kawasan Galas.

Calon PAS bagi PRK Galas, Dr Zulkefli Mohamad bagaimanapun tidak dapat hadir kerana jadual kempen di kawasan yang padat dan hanya menghantar wakil calon.

Tambah Tuan Guru Nik Aziz lagi, perebutan menjaga negeri antara hak dan batil sudah berlaku sejak zaman Nabi lagi, dan apa yang berlaku hari ini bukan rekaan PAS tetapi tuntutan agama.

Beliau juga menggesa agar orang Islam khasnya di Galas tidak percaya dengan dakwaan Umno bahawa urusan pentadbiran negara adalah urusan politik bukan urusan agama.

"Bukan PAS dengan Umno sahaja yang berebut, Nabi Muhammad SAW dulu berebut jaga negeri dengan adik beradik dia Abu Lahab, Abu Jahal dan Abu Sufian.

"Patutnya yang lawan kita MCA, MIC< bukan Umno. Tapi nasib kita nak buat macam mana," katanya lagi.

Sementara itu, pada majlis sama, Tuan Guru turut menyerahkan bendera PAS kepada wakil anak-anak Galas di perantauan.

Beliau menyeru mereka agar memasang bendera tersebut pada kenderaan masing masing waktu pulang mengundi nanti.

Thursday, October 28, 2010

KERJASAMA : UMNO UMPAMA LEBAI MALANG

Hafiz Irwan HARAKAHDAILY

KOTA BHARU, 28 Okt: Umno terus membayangkan fobianya terhadap PAS apabila terus bertindak menghentam parti itu dalam isu kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hairan dengan sikap Umno yang dianggap sebagai sebuah parti bertaraf elit sebelum ini tetapi pendek akal untuk memahami konsep atau matlamat kerjasama PAS-DAP.

“Kadang-kadang terfikir juga pasal apa tak faham sangat Umno ini pada hal telah berkali-kali kita beri penjelasan. Perbezaan kerjasama antara Umno dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) amat jelas.

“Kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia semalam di bawah tajuk ‘TPM bidas ‘fatwa’ ikut suka Pas’.

“Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA,” Muhyiddin dipetik sebagai berkata ketika berkempen di Galas.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, secara umumnya pemimpin DAP hari ini tidak lagi menjadi kumpulan yang anti Islam sebaliknya beransur-ansur mengenali kesucian agama ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerjasama dengan DAP yang dikatakan sebagai chauvinis Cina tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Tuan Guru menyifatkan Umno masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit sehingga tidak tahu menilai kesyumulan Islam secara keseluruhan.

“Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama Lebai Malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, bila Melayu dan Islam ialah perkara yang sama.

“Apa yang mereka tahu, hanya mengkritik orang saja,” jelasnya.

PERBADANAN ASET KERETAPI (PAK) HUTANG KELANTAN RM 30 JUTA

Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 28 Okt: Ahli Parlimen Pasir Putih, Muhammad Husein meminta Menteri Pengangkutan Malaysia memberikan penjelasan mengenai hutang Perbadanan Aset Keretapi (PAK) kepada Kelantan.

Muhammad ketika membahaskan bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini memberitahu, PAK belum menjelaskan bayaran cukai tanah tahun 2010 bagi tanah-tanah negeri itu yang digunakannya sebanyak RM 30,216,658.70.

"Saya mendapat satu surat rupanya KTMB ini yang masuk ke Kelantan tak bayar hutang kepada Kelantan,cukai tanah berjumlah lebih RM30 juta. Jadi saya nak minta jawapan daripada Menteri apa sebenarnya yang terjadi," kata beliau.

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen selepas itu turut menunjukkan surat tuntutan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan kepada PAK yang terletak di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Menurut surat berkenaan, isu tuntutan bayaran cukai tanah tersebut telah dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Hasil Negeri pada 16 Mei lalu.

Mesyuarat itu memutuskan PAK menjelaskan terlebih dahulu bayaran cukai tanah yang tertunggak bagi tahun 2009 dan cukai tanah tahun 2010 yang berjumlah RM 3,958,273.70 iaitu jumlah sebelum 1 Julai tahun ini sebelum permohonan PAK untuk dikecualikan daripada menjelaskan jumlah baki bayaran cukai tanah mengikut kadar baru daripada tahun 1994 sehingga tahun 2008 berjumlah RM 26,258,385 diberi pertimbangan lanjut.

Berikutan PAK belum membuat apa-apa bayaran, mereka telah didenda lewat bayaran cukai tanah selepas 30 Jun tahun semasa dikenakan selaras dengan peruntukan kaedah 17, kaedah-kaedah Tanah Kelantan 1966.

Sehubungan itu, PAK perlu menjelaskan hutang sebanyak RM 4,552,016.70 sebelum penghujung tahun ini.

Wednesday, October 27, 2010

CANDU HIBURAN AGAR RAKYAT LALAI PETAKA RASUAH


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 27 Okt: PAS kesal terhadap cadangan kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ini adalah petanda pemimpin negara sudah bankrap idea dan muflis akhlak sehingga sanggup memperjudikan moral rakyat di negara ini.

“Kenapa pemimpin BN sanggup untuk mencadangkan idea yang melawan arus dan berpaling ke belakang seolah-olah tidak ada jalan lain untuk menjana kewangan di negara ini?” soalnya.

Katanya, ketika semua pihak memikirkan mengenai keruntuhan akhlak seperti buang bayi, perzinaan, gadis hilang, gadis lari rumah, pembunuhan, lumba haram dan sebagainya, tiba-tiba kerajaan boleh mencadangkan program yang boleh diibaratkan seperti meletak baja di sebelah tangan kanan dan mencurah racun di sebelah kiri.

“Apakah ini sabahagian daripada cadangan APCO Yahudi yang memang hendak menawan dunia melalui penaklukan moden tanpa pertumpahan darah sebaliknya dengan membunuh benih iman dan akhlak di negara ini,” soalnya lagi.

Mereka, ujarnya mencari jalan pintas dengan mencadangkan perkara tersebut untuk meningkatkan pendapatan negara sebagai sebuah negara maju 2020.

Tambahnya, lebih mengejutkan lagi Projek Penggerak Ekonomi (EPP) juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.

“Walaupun projek ini untuk menarik pelancong luar negara berhibur dan berbelanja, namun kesannya tetap akan dirasai oleh rakyat di negara ini.

“Sebenarnya rancangan ini untuk menjadikan rakyat lalai dengan hidangan ‘candu hiburan’ dan melupakan malapetaka rasuah yang terus mencengkam negara di tangga ke 56,” ujarnya.

Buktinya, kata beliau Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4. Markah itu membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

Laporan Ketua Audit Negara 2009, ujarnya menggambarkan kegagalan kerajaan umno BN berterusan tidak menunjukkan kebolehan mengurus sehingga banyak berlaku ketirisan di banyak kementerian.

Menurutnya, walaupun dengan berbagai slogan yang dikemukakan seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP), namun hasilnya adalah sama sahaja.

Beliau berkata, semuanya akibat kejahilan dan rosaknya integriti di kalangan pemimpin negara menyebabkan pelabur luar meluat untuk datang ke negara ini.

Buktinya, kata beliau laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara Asean, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD1,381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD7,318 juta pada 2008.

Katanya, kejatuhan nilai pelaburan itu adalah yang tertinggi berbanding negara Asean lain.

Tuesday, October 26, 2010

KERJA KUAT PASTIKAN PAS MENANG


Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

GUA MUSANG, 26 Okt: Dr Zulkefli Mohamad menyeru semua petugas PAS dan Pakatan Rakyat supaya bekerja kuat bagi mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas pada 4 November ini.

Dalam ucapan sulungnya di hadapan ribuan penyokong selepas diisytiharkan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam PRK Dun Galas, beliau mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir memberi sokongan.

"Saya minta, selepas ini kita sama-sama bekerja kuat untuk memastikan kemenangan PAS di Galas ini," katanya.

Dalam sidang media, Dr Zulkefli berkata, tumpuan utamanya adalah menemui rakyat Galas menjelaskan agenda beliau.

Beliau memberitahu, akan berusaha meneruskan usaha yang telah dilaksanakan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

"Saya akan teruskan usaha Allahyarham.

"Saya harap pengundi Galas bijak menilai dan akan memberi undi kepada saya mewakili Pakatan Rakyat," katanya.

Berhubung tuduhan pihak tertentu bahawa beliau pernah ditangkap khalwat, Dr Zulkefli menganggap isu tersebut telah selesai.

PRK Dun Galas menyaksikan pertandingan dua penjuru antara beliau dan calon BN, Abdul Aziz Yusof

Monday, October 25, 2010

BEKAS AHLI USNO TINGGAL BN, ISYTIHAR SOKONG PAKATAN

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Okt: Bekas Ahli Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) kini mengisytiharkan menyokong Pakatan Rakyat dan bersedia berkerjasama memenangkan calon PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Penaja pertubuhan itu, Datu Badaruddin Tun Datu Hj Mustapha memberitahu, mereka beralih angin menyokong Pakatan Rakyat akibat kecewa dengan sikap kerajaan khususnya bahagian Pendaftar Pertubuhan (ROS) Malaysia yang menolak permohonan mereka untuk menubuhkan Kelab Usno Sabah.

"Jesteru kami telah membuat ketetapan pada mesyuarat AJK Penaja Ex-Usno kali ke 12 hari ini, 24 Oktober, selaras dengan kehendak bekas ahli Usno untuk mentransformasi Usno ke arah pembangkang, maka hari ini kami ingin ucapkan sayonara kepada Barisan Nasional," katanya.

Menurutnya, pelbagai usaha melalui rundingan telah dibuat sejak 2007 bagi merealisasikan hasrat 3000 ahli mereka untuk menubuhkan Usno dalam bentuk NGO, namun pendaftaran mereka ditolak oleh ROS.

"Kami telah berusaha menubuhkan Kelab Usno Sabah...kami telah temui Perdana Menteri, kami telah menemui Ketua Menteri Sabah bagi menerangkan hasrat kami yang tidak mengganggu kepentingan politik Umno di Sabah, bahkan memberikan sokongan terbuka kepada Barisan Nasional bagi mengelak syak wasangka, " ujarnya kecewa apabila segala usaha tersebut gagal.

Sehubungan itu katanya, mereka bersedia mengadakan kerjasama dengan Pakatan Rakyat berdepan Pilihan Raya Umum Ke-13 dan akan memberi kerjasama kepada wakil pakatan di Sabah untuk PRK Batu Sapi.

Beliau juga menggesa pihak-pihak tertentu yang berhasrat menubuhkan semula Usno sebagai parti politik agar membatalkan niat tersebut kerana yakin ianya akan gagal dan sia-sia.

Malah mereka menyeru pihak tersebut, rakyat Sabah termasuk bekas ahli Usno agar menyertai mereka berganding bahu dengan Pakatan Rakyat.

"Bagi maksud Pilihan Raya Kecil Batu Sapi 4 November, Ex-Usno Sabah menyeru supaya semua ahlinya, semua bekas Usno yang berada dalam Umno di kawasan berkenaan, mengubah haluan memberikan undi dan sokongan kepada calon pembangkang," katanya.

Usno ditubuhkan pada 23 Disember 196, diasaskan oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun, Ketua Menteri ketiga Sabah dan berjaya memerintah negeri selepas memenangi pilihanraya negeri 1967.

Bagaimanapun, penguasaan Usno di Sabah hanya berjaya sehingga tahun 1976 apabila tewas kepada Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya).

Selepas kekalahan itu, Usno seringkali meneruskan hasrat untuk menyertai pilihanraya negeri sehingga tahun 1990, namun hanya memenangi beberapa buah kerusi, dan tidak cukup untuk membentuk kerajaan semula.

Usno kemudian dibubar setelah bergabung dengan Umno pada tahun 1991.

Sunday, October 24, 2010

REALISASI AGENDA PAS GANTI UMNO


Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 23 Okt: Agenda PAS menggantikan Umno hendaklah direalisasikan oleh pendukung parti dengan menekankan kepada gerakan dakwah terhadap golongan Umno dan golongan atas pagar, mengelakkan serangan peribadi dan memperbanyakkan aktiviti penerangan melebihi serangan.

Demikian antara resolusi Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu ke-14 yang diadakan di perkarangan Surau Kampung Tanjung Batu Rakit, yang berakhir petang ini.
Di samping itu, Dewan Himpunan Penyokong PAS hendaklah diperkasakan sebagai wahana untuk menjadikan saluran bagi menolak fahaman asabiah perkauman tokok pimpinan Umno BN dan NGO upahan seumpama Perkasa yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia seterusnya berintima’ dengan perjuangan PAS bagi menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

“Marilah kita sama-sama meletakkan komitmen untuk melaksanakan resolusi-resolusi yang mewakili hampir keseluruhan cadangan dan lontaran idea yang telah diberi oleh perwakilan dan ulasan pimpinan bertunjangkan kepada ucaptama Tuan Guru Presiden,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Resolusi ijtimak, Mohd Draman ketika membacakan resolusi itu.
Berikut ialah resolusi penuh.

Menyedari bahawa Barisan Nasional (BN) sedang berada di ambang keruntuhan dalam menghadapi pelbagai masalah luaran dan dalaman, sedang PAS Negeri Terengganu terus melangkah memperkasakan kekuatannya bagi memenuhi harapan besar yang diberikan oleh rakyat bagi membawa perubahan kepada negeri Terengganu.

Berasaskan hakikat ini, Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu kali ke-14 yang diadakan pada 23hb Oktober 2010, bersamaan 15 Zulkaedah 1431H yang bertemakan “Demi Kedaulatan Islam; Perkasakan Jihad” dengan sebulat suara membuat gagasan dan resolusi bahawa saf kepimpinan PAS Negeri Terengganu di semua peringkat beriltizam untuk:
Bagi menghadapi pilihan raya umum yang ke-13, maka jentera pilihan raya mestilah digerakkan bermula dari sekarang di semua peringkat mengatasi perancangan dan gerak kerja Umno BN dengan memberi tumpuan kepada pengemaskinian urusan pemilih dan keahlian serta penguasaan ke atas pengundi sasaran.

Meningkatkan kefahaman dan penghayatan petugas-petugas PAS di semua peringkat bagi mengikis penyakit atau budaya negatif seperti futur, isti’jal, ukhuwah yang longgar dan seumpamanya.
Menegaskan bahawa setiap anggota jemaah sama ada pemimpin, petugas atau ahli parti, hendaklah memperkukuhkan sifat-sifat kualiti peribadi dan meningkatkan keupayaan diri dalam memperkasakan jihad dengan memperkukuhkan wala’, thiqah dan intima’ terhadap pimpinan dan jemaah.

Merealisasikan agenda PAS mengganti Umno dengan menekankan kepada gerakan dakwah terhadap golongan Umno dan golongan atas pagar, mengelakkan serangan peribadi dan memperbanyakkan aktiviti penerangan melebihi serangan.


Menyokong, meneruskan dan memperkukuhkan kerjasama politik di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat melalui kaedah tahaluf siyasi tanpa menggadai prinsip perjuangan di samping menjadikannya sebagai satu ruang dakwah.

Menerus sumbangan dan komitmen semua petugas dan kepimpinan yang sedia ada dalam memperkasakan PAS benar-benar sebagai sebuah gerakan Islam yang syumul.
Meneruskan proses pembudayaan petugas-petugas PAS dengan gerak kerja berasaskan kepada perancangan yang sistematik dan berstrategi membina keyakinan masyarakat terhadap PAS sebagai kerajaan alternatif ataupun kerajaan menunggu.

Memperkasakan Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai wahana untuk menjadikan saluran bagi menolak fahaman asabiah perkauman tokok pimpinan Umno BN dan NGO upahan seumpama Perkasa yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia seterusnya berintima’ dengan perjuangan kita bagi menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

Followers