Friday, October 22, 2010

DR ZULKEFLI DIPILIH PENUHI HASRAT PENDUDUK GALAS



Mohd Nor Yahya HARAKAHDAILY


GUA MUSANG, 22 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemilihan Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Dun Galas amat bertepatan dengan permintaan penduduk setempat.
Tambahan pula, Dr Zulkefli merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang juga memangku tugas Yang Dipertua berikutan kematian Chek Hashim Sulaiman.

Menurutnya, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Melayu di Dun Galas akan memberi sokongan padu dan berganding bahu dengan kaum Tionghua, India dan Orang Asli bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.

Bagi Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham, pemilihan Zulkefli Mohamad adalah bertepatan dengan kejayaan beliau yang telah memenangi undi bagi parlimen Gua Musang di Dun Galas dalam pilihan raya umum ke-12 dulu.
“Kami di pihak DAP mengucapkan tahniah di atas pemilihan beliau dan jentera DAP akan bergerak sebaik mungkin terutamanya dalam memberi penjelasan terhadap kewibawaan calon ini,” ujar beliau.

Ngeh juga berkata sebelum ini masyarakat Tionghua begitu takut untuk mengundi calon dari PAS kerana mereka telah termakan hasutan Umno yang mengatakan PAS sebuah parti yang menindas kaum lain.

“Kita akan mengambil pendekatan menjelaskan terhadap perkembangan di Perak semasa di bawah Pakatan Rakyat dulu yang mana Menteri Besarnya ialah dari orang PAS, tetapi kehidupan masyarakat lain terus mendapat pembelaan, lagi pun PAS di Kelantan sudah memasuki tahun ke dua puluh dan tiada pun kita dengan masyarakat lain ditindas atau dipinggirkan di sini,” katanya lagi.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, Dr Zulkefli telahpun dikenali ramai kerana sebelum ini pernah bertanding sebagai calon PAS bagi Parlimen Gua Musang dalam PRU 12.
Melalui tinjauan yang dibuat sebelum ini, ramai dari akar umbi bersetuju untuk menerima beliau sebagai calon.

“Pengisyitharan malam ini sebenarnya tidaklah mengejutkan pengundi di sini, kerana mereka telah menjangka dari segi jawatan dalam partipun beliau merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan,” ujar beliau.
Tuan Ibrahim juga berkata, dengan pengorbanan dan kesungguhan beliau bekerja untuk parti semasa Allahyarham Chek Hashim menjadi wakil rakyat telah terbukti.
“Jentera parti PAS akan meneruskan amanah ini dengan memperkemaskan setiap pelosok dan peti undi.

“Kita juga mengharapkan dengan sokongan masyarakat Tionghua, India dan Orang Asli dan dokongan orang Melayu akan berlaku perubahan besar dengan meningkatkan majoriti undi dan pengisytiharan malam ini juga adalah bersempena sambutan 20 tahun pentadbiran PAS di Kelantan,” katanya lagi.

Bagi Parti Keadilan Rakyat, kesepakatan dalam Pakatan Rakyat akan diterjemahkan dengan menggerakkan jentera pilihan raya kecil di Dun Galas.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun PKR kini sedang sibuk dalam urusan pemilihan parti, namun ia tidak menghalang usaha membantu calon yang telah mendapat mandat dari pimpinan Pakatan Rakyat.

“Insya Allah dengan jentera yang kita ada, kita akan membantu sebaik mungkin rakan-rakan kita yang lain seperti PAS dan DAP dalam usaha memberi penjelasan kepada masyarakat di sini dan usaha ini akan diteruskan dari masa ke semasa,” ujar beliau.

Bagi Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, jentera Pemuda PAS sudah lama bersiap untuk bergerak membantu calon PAS dalam pilihan raya kecil Dun Galas.
Menurut beliau lagi, Pemuda PAS telah berikrar untuk menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih walaupun ia bukan dari kalangan pemuda.

“Bagi kita dalam Pemuda PAS, setiap apa yang diputuskan oleh pimpinan parti itu jugalah keputusan kita dan jentera pemuda bersama dengan ulamak dan muslimat telah bersepakat untuk berjuang habis-habisan di sini bagi memastikan kemenangan dengan majoriti lebih selesa,” kata beliau lagi.

Thursday, October 21, 2010

NIK AZIZ : TOKOH 20 TAHUN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM



Salmah Mat Husain & Foto: Mohd Nor HARAKAHDAILY


KOTA BHARU, 21 Okt: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dinobatkan Tokoh 20 Tahun Membangun Bersama Islam sempena ulang tahun kerajaan Kelantan ke-20, malam tadi.
Sempena penganugerahan itu, Tuan Guru menerima cenderahati daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, pada acara yang penuh bersejarah itu.


Penganugerahan itu juga sebagai simbolik beliau menjadi tunjang pada pentadbiran Kelantan yang kini Menerajui Perubahan.
Saat biodatanya dibaca oleh penyair terkenal Kelantan, Abdul Hadi Yusof, Tuan Guru tidak dapat menahan sebaknya.


Turut hadir berangkat pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.


Terdahulu, Sultan Kelantan telah berkenan merasmikan ulang tahun pentadbiran kerajaan Kelantan tepat jam 10.30 malam pada program yang diadakan di Kelantan Trade Cantre (KTC).
Tuan Guru sewaktu berucap pada majlis tersebut mengimbau kembali sejarah kemenangan kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990 sehingga ianya turut menjadi perhatian dunia.


Katanya, Kelantan tiba-tiba sahaja menjadi perhatian dunia bukan hanya kerana menang bersih pada pilihan raya 1990, sebaliknya berusaha mengamalkan dasar Islam dalam pentadbiran.
“Ramai yang mencela, ramai yang menyindir kerajaan Kelantan hanya mampu bertahan hanya tiga bulan, kemudian akan bankrap dan jatuh.

Wednesday, October 20, 2010

'TAWAN' BANGUNAN UMNO SIMBOLIK TAWAN PUTRAJAYA



Salmah Mat Husain HARAKAHDAILY


KOTA BHARU, 20 Okt: Dengan ‘tertawan’nya bangunan Umno Bahagian Kota Bharu yang kini menjadi hak milik Dewan Pemuda PAS Kelantan, diharap ia menjadi simbolik untuk ‘menawan’ Putrajaya nanti.
Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata sekiranya bangunan milik Umno Bahagian Kota Bharu itu dapat ‘ditawan’ Pemuda PAS semoga ianya dijadikan perangsang untuk menawan negara pada pilihan raya umum akan datang.


Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan bangunan baru Dewan Pemuda PAS yang bernilai RM4.5 juta, pagi tadi.
Katanya, kejayaan itu hasil kemenangan perjuangan yang didokong semua pihak khususnya golongan pemuda dalam menggalas tanggungjawab menyebarkan dakwah Islam.
“Kalau kita dapat menawan Kota Bharu sebagai ibu negeri Kelantan, diharap pada masa akan datang kita dapat menawan Putrajaya,” ujarnya.


Majlis perasmian bangunan yang dinamakan Asy-Syabab Point itu berlangsung dengan penuh gilang gemilang apabila Tuan Guru diarak ke pejabat berkenaan dari JKR 10 dengan menaiki motosikal yang diiringi 20 orang pemuda.


Tarikh 20 Oktober dipilih tarikh perasmian dan 20 orang pemuda mengiringi Tuan Guru menaiki motosikal klasik diketuai Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Hafiz Musa sebagai simbolik sempena 20 tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau.
Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, pada sidang media berkata dana pembelian bangunan tersebut diperolehi dari sumbangan orang ramai.


Katanya, ianya telah dikumpul menerusi empat kepimpinan Dewan Pemuda bermula Datuk Takiyuddin Hassan lagi.
“Namun yang lebih penting kita juga turut membuat pinjaman bank,” ujarnya.

Tuesday, October 19, 2010

BANGUNAN UMNO KINI MILIK PEMUDA PAS KELANTAN





Wartawan Kita HARAKAHDAILY

KOTA BHARU, 19 Okt: PAS Kelantan mencatat satu lagi sejarah sempena genap usia 20 tahun pemerintahan apabila berjaya memiliki bangunan empat tingkat yang pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu.

Tentunya maruah Umno Kelantan sekali lagi tergadai kerana bangunan yang pernah dimiliki Umno Kota Bharu kini menjadi milik Dewan Pemuda PAS Kelantan.
Bangunan tersebut yang pernah terbengkalai dalam tempoh begitu lama berjaya disiapkan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.

Bagaimanapun selepas Zaid digugurkan daripada jawatannya atas dakwaan terbabit dengan rasuah politik ketika pemilihan di peringkat bahagian tersebut, bangunan itu menjadi lengang semula.
Ketika jawatan Zaid digantung, Umno Kota Bharu di bawah Datuk Fatmi Che Salleh gagal memasuki bangunan berkenaan.

Bangunan tersebut yang difahamkan dimiliki sepenuhnya Zaid selepas berjaya menyiapkan bangunan yang lama terbengkalai.
Ketika itu signboard Umno Kota Bharu dipasang di puncak bangunan yang boleh dilihat dengan jelas dari jambatan Sultan Yahya Petra pada waktu malam.

Pada April lalu, Umno Kota Bharu yang diketuai anggota jawatankuasanya, Datuk Kamaruddin Abdullah mengadakan perhimpunan di pekarangan bangunan terbabit di Jalan Sultanah Zainab menuntut Zaid menyerahkan bangunan berkenaan.

Zaid kini Penyelaras Pakatan Rakyat tetap tidak berganjak dan enggan tunduk terhadap desakan Umno Kota Bharu.
Dan hari ini berlangsung sejarah yang mengejutkan Umno Kelantan dan pusat apabila bangunan pejabat yang pernah menjadi pejabat Umno bertukar tangan menjadi milik PAS.

Dewan Pemuda PAS Kelantan membeli bangunan berkenaan dengan harga RM4.5 juta.
Majlis penyerahan geran hak milik oleh Zaid telah dilakukan tengah hari tadi di Gua Musang sempena kempen pilihan raya kecil Dun Galas.

Ia dibeli dengan harga RM4.5 juta yang bakal menjadi pejabat Pemuda PAS negeri dan pusat komersial.
Perjanjian jual beli ditandatangani antara Zaid dengan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim dan juga kepimpinan Pemuda PAS negeri yang diketuai, Abdul Latif Abdul Rahman yang disaksikan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.





Bangunan empat tingkat itu mempunyai dewan di bahagian atas yang boleh memuatkan seramai 700 orang, manakala dua tingkat lagi dijadikan pejabat.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, majlis bersejarah bagi menaikkan bendera PAS di hadapan bangunan tersebut akan dilakukan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi esok.

Katanya, majlis yang penuh bersejarah itu diadakan sempena genap 20 tahun usia kerajaan PAS dan bahang kempen pilihan raya kecil Galas sekarang.
“Kita bersyukur kerana Dewan Pemuda PAS Kelantan akhirnya berjaya memiliki bangunan sendiri di lokasi yang begitu strategik.

“Ini satu kejayaan besar dalam sejarah PAS yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lebih-lebih lagi bangunan itu pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi di Gua Musang.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, banyak kemudahan yang ada di bangunan berkenaan termasuk pendawaian elektrik dan kemudahan lain telah dirosakkan.

Katanya Dewan Pemuda terpaksa memperuntukan kira-kira RM500,000 lagi bagi memasang sistem pendawaian elektrik dan kemudahan lain yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya juga, Dewan Pemuda PAS yang kini berpejabat di Perhubungan PAS Negeri di Jalan Datuk’ Pati akan berpindah ke bangunan baru selepas kerja-kerja membaikinya siap dalam masa terdekat.

Sunday, October 17, 2010

PAS KAWASAN TELUK INTAN TAMBAH CAWANGAN BARU


* 16 Okt. 2010 bersamaan 8 Zulkaedah 1431H , jam 9.30 malam Pas Kawasan Teluk Intan berjaya menambahkan lagi satu cawangan baru, menjadi cawangan yang ke-30 dalam kawasan Teluk Intan.

* Cawangan baru tersebut ialah Pas Cawangan Padang Tembak Dalam, dengan tertubuhnya cawangan adalah diharapkan dapat memperkasakan lagi Pas Kawasan Teluk Intan khususnya di Kampung Padang Tembak yang kini bertambah penduduknya disebabkan terbinanya beberapa buah taman perumahan baru dan juga tanah-tanah Lot persendirian.

* Justeru dengan pertambahan penduduk yang ramai ini, Pas cawangan Kpg Padang Tembak telah bersetuju untuk menambah cawangan supaya Pas cawangan menjadi lebih mantap.

* Majlis Pelancaran Penubuhan dan mesyuarat Agung Pertama telah dirasmikan oleh ADUN Changkat Jong YB Hj Mohd Anuar b. Sudin.

* Majlis berlangsung dirumah Tn Hj Ramli b. Jilani selaku Ketua Cawangan pertama Pas Cawangan Padang Tembak Dalam, turut hadir YDP Pas Kawasan Teluk Intan Ustaz Hj Ismail b. Che Nik.
* Tn Hj Ramli menyerahkan borang keahlian Pas kepada YB Hj Mohd Anuar ( gambar )
*** foto ihsan intanhijau.blogspot.com ****

Thursday, October 14, 2010

TANGGUH GST : PAS SIFATKAN KEJAYAAN RAKYAT


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 14 Okt: PAS mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang menentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sehingga kerajaan menangguhkan perancangan tersebut.


Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Kementerian Kewangan semalam bahawa langkah berkenaan diambil bagi membolehkan kerajaan mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat untuk memastikan penguatkuasaan GST kelak akan diterima dengan baik oleh semua pihak.


“Inilah hikmahnya apabila kuasa rakyat semakin terserlah dan bilangan ahli parlimen Pakatan Rakyat yang ramai, menyebabkan mereka (kerajaan) merasa gerun perkara ini akan ditentang di dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.


Menurutnya, kerajaan juga memahami isu penderitaan rakyat jika tidak ditangani dengan sempurna akan membawa padah kepada BN dalam pilihan raya akan datang.
PAS, katanya mengharapkan kerajaan janganlah mencari jalan pintas untuk mendapatkan wang dengan mengenakan GST semata-mata, kerana ia melibatkan semua lapisan rakyat di negara ini, terutama kepada mereka yang berpendapatan rendah.


Justeru, tambahnya kerajaan perlu membetulkan pengurusan kewangan negara dahulu supaya lebih telus dan memerangi rasuah.
“Kos yang tiris inilah sebenarnya yang menyebabkan kerajaan pada hari ini tercekik sehingga memikirkan perlunya GST dilaksanakan.


“Janganlah merasa malu untuk belajar daripada pemimpin negeri Pakatan Rakyat yang telah terbukti kewibawaannya dalam menguruskan ekonomi di negeri masing-masing,” ujarnya lagi.

Wednesday, October 13, 2010

ISTANA KELANTAN LUCUT 'DATUK' IBRAHIM, WAN HASHIM

Rizal Tahir HARAKAHDAILY

KOTA BHARU, 13 Okt: Istana Kelantan menarik balik gelaran Datuk terhadap Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Wan Hashim Wan Daud.
Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias dalam sidang media di pejabatnya, Kota Darulnaim, pagi ini.

Menurutnya, Sultan Muhammad Ke V, hari ini telah mengampuni perkenaan untuk menarik pingat yang membawa gelaran Datuk daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, bekas setiausaha kerajaan negeri, Wan Hashim Wan Daud, Tengku Mohamed Shafei Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.
Kesemua darjah kebesaran itu ditarik gelarannya berkuat kuasa serta merta bermula hari ini, 13 Oktober.

Aiseri berkata, antara darjah kebesaran yang telah ditarik balik daripada Wan Hashim, pelantikan Ahli Darjah Kebesaran Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (S.P.S.K.) (Al-Ibrahimi 1).

“Perlantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.P.M.K) (Al-Muhammadi 11),” ujarnya.

Katanya, selain itu turut ditarik Perlantikan Ahli Yang Ketiga (Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (P.S.K) (Al-Ibrahimi 111), Pelantikan Ahli Yang Keempat (Bentara) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (B.S.K) Al-Ibrahimi V).

Sementara itu, menurut Aiesri lagi, Sultan Kelantan telah menarik balik tauliah daripada Ibrahim, pelantikan Darjah Kebesaran Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K.) (Al-Ismaili ll).

Pada masa yang sama, katanya Sultan Kelantan turut menarik balik tauliah Penganugerahan Bintang Seri Mahkota Kelantan (S.M.K) yang telah dikurniakan kepada Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim.

“Selain itu juga Penganugerahan Pingat Bakti (PB) dan Pelantikan Jaksa Pendamai (JP) yang telah dikurniakan kepada Tengku Abu Bakar Tengku Mansor juga telah ditarik balik berkuat kuasa pada 30 September lalu,” ujarnya.

Aiseri seterusnya memberitahu, penarikan balik pingat dan darjah kebesaran itu menjadi hak Sultan Kelantan yang dijalankan mengikut hemah dan budi bicara baginda.

Followers