Tuesday, October 12, 2010

MENTERI PUJI PAS JUMPA PEMBANGKANG INDONESIA


Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR, 12 Okt: Usaha ahli Parlimen PAS bertemu dengan pihak pembangkang Indonesia pada September lalu mendapat pujian daripada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman di Dewan Rakyat hari ini.


Anifah yang juga ahli Parlimen Kimanis merakamkan ucapan itu ketika sesi soal jawab lisan hari ini sebagai respons kepada ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa yang memberitahu bahawa pertemuan awal September lalu sebagai usaha menjernihkan hubungan Malaysia-Indonesia (gambar).


"Saya berterima kasih dengan inisiatif yang telah pun dijalankan oleh Yang Berhormat. Dalam jawapan saya tadi, saya mengatakan bahawa setiap lapisan masyarakat termasuk pemimpin politik harus mengambil satu langkah yang boleh memantapkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan Indonesia dan saya tidak pernah katakan bahawa hanya ahli Parlimen daripada Barisan Nasional ataupun kerajaan sahaja yangboleh memainkan peranan,” ujarnya.
Beliau juga berharap usaha yang dilakukan PAS itu turut dilakukan oleh ahli Parlimen dan pihak-pihak lain.


"Oleh itu saya mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha yang dilakukan oleh Yang Berhormat. Usaha seumpama itu saya menyanjung tinggi dan mudah-mudahan usaha seperti yang dilakukan oleh Yang Berhormat dan rakan-rakan yang lain akan diteruskan kerana ini bagi kepentingan bukan sahaja ahli-ahli Parlimen tetapi juga masyarakat kedua-dua negara," katanya.


Pada 1 September lalu, Nasharudin yang juga Timbalan Presiden PAS dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian, serta ahli Parlimen Tumpat, Kamaruddin Jaafar mengadakan pertemuan dengan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Reike Diah Pitalokal dan beberapa wakil pembangkang Indonesia yang lain
Pertemuan itu bagi membincangkan isu utama berhubung hak asasi manusia melibatkan pendatang dari Indonesia.


Dalam pertemuan di bangunan Parlimen itu, pihak pembangkang Malaysia dan Indonesia sepakat untuk meneruskan dan memperbaiki hubungan baik antara kedua-dua negara.
Nasharuddin juga mengulangi pendirian Kamaruddin dalam pertemuan tersebut bahawa satu kaukus Parlimen mengenai hubungan Malaysia-Indonesia perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan isu-isu membabitkan kedua-dua negara ini.


"Kami memandang keperluan menubuhkan satu kaukus hubungan Indonesia dan mlaysia di peringkat Parlimen bukan sahaja kepada pihak pemerintah yang mengambil bahagian tetapi ahli politik atau sesiapa sahaja yang boleh memainkan peranan," katanya.


Anifah sebelum itu menjawab soalan ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan tindakan yang telah dilakukan bagi menjamin hubungan Malaysia-Indonesia sebagai kerabat Asean sentiasa terpelihara agar peristiwa serangan ke atas Pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta tidak berulang kembali.

Sunday, October 10, 2010

JANGAN TERPENGARUH PROVOKASI UMNO DI GALAS


Rusli Yasmin HARAKAHDAILY


GUA MUSANG, 10 Okt: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa meminta supaya pemuda PAS dan Pakatan Rakyat tidak terpengaruh dengan provokasi Umno serta menunjukkan contoh akhlak yang baik dalam pilihan raya kecil Dun Galas.


"Kita masuk pilihan raya kecil Dun Galas bukan kerana kematian Chek Hashim (semata-mata) tetapi sebagai tanggungjawab dakwah dan jihad kita," katanya ketika merasmikan pelancaran jentera pemuda PAS di Markaz PAS Kawasan Gua Musang, petang semalam.
Sambil bekerja untuk menang dalam pilihan raya tersebut, katanya pemuda PAS juga diseru supaya menunjukkan akhlak yang baik kepada masyarakat setempat termasuk ahli-ahli BN dan Umno.


Katanya, Pemuda PAS juga mesti mengambil peluang mengimarahkan surau-surau dan masjid-masjid dengan program-program ibadah.
Badrul Hisham yang mewakili Angkatan Muda Keadilan pula mengingatkan kepada Pemuda Umno supaya tidak melakukan provokasi seperti mana di dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.


"Saya mengingatkan pemuda-pemuda Umno, ini bukan Bagan Pinang, ini adalah negeri Kelantan," tegasnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan.
Beliau turut menyatakan kesediaan Angkatan Muda Keadilan Rakyat bersama-sama PAS menggalas tanggungjawab di Dun Galas kali ini.


Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan pula menyeru setiap pemuda PAS mesti bersedia dari segi kekuatan fizikal, mental, dan spritual bagi menghadapi musuh dalam pilihan raya kali ini.
Nasrudin turut mensasarkan sekurang-kurangnya 5,000 pemuda akan turun ke Dun Galas.

JIKA NAJIB SEKALIPUN JADI CALON GALAS, PAS TETAP LAWAN


Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY


SHAH ALAM, 9 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, jika Datuk Seri Najib sekalipun menjadi calon Umno di Galas, PAS tetap akan bertanding.


Ianya kerana PAS telah menetapkan pendirian untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil tersebut yang dijadual 4 November ini."Kita akan melawan siapa sahaja, kalau Datuk Seri Najib yang bertanding sekalipun kita akan lawan."Kita sudah buat keputusan untuk bertanding," katanya.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan petugas media berhubung respon Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) hari ini.Ku Li pagi tadi menjelaskan beliau menerima tawaran sebagai Pengarah Pilihan Raya Galas, namun berhubung calon, beliau belum boleh memberi keputusan.Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata beliau tidak mahu menyentuh soal calon Umno kerana itu hak mereka.


Namun bagi PAS beliau berkata, parti itu mengambil kira semua aspek dalam menentukan keberkesanan kempen pada pilihan raya itu nanti.Ianya termasuk soal isu yang akan dibangkitkan yang dijangka sedikit berbeza dari PRK Manek Urai lalu memandangkan Galas lebih dekat dengan kawasan pekan."Dalam isu tempatan sudah tentulah berubah, masyarakatnya berbeza.


"Di Galas ada org asal, Tiong Hua, oleh sebab itu pendekatan, kita ambil kira.Ditanya soal calon PAS, beliau memberitahu sedang menunggu mesyuarat PAS Kelantan yang akan memutuskannya dalam masa terdekat.


"Kita menunggu mesyuarat PAS Kelantan dalam masa terdekat," katanya.Beliau sebelum itu melancarkan Briged Dewan Muslimat PAS (Briged Muslimat) di sini.

Friday, October 8, 2010

GALAS : SIAP SEDIA HADAPI SEGALA KEMUNGKINAN



Nazri Abdullah HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR, 8 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa jentera PAS bagi Pilihan Raya Kecil N45 Dun Galas, menyusun strategi dan gerak kerja dengan kemas berdepan sebarang kemungkinan.
Menurutnya, strategi dan perancangan yang kemas mampu untuk menghadapi sebarang tindakan tidak bermoral parti lawan.


"Saya percaya bahawa kita semua akan dapat menghadapi tindakan tidak bermoral parti lawan nanti dengan kita menyusun strategi dan gerak kerja yang kemas.
"Kita sekali-kali tidak gentar dengan sebarang ugutan yang menjadi mainan parti lawan sejak puluhan tahun," katanya.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas suasana beberapa pilihan raya kecil sebelum ini yang menyaksikan banyak tindakan tidak bermoral berlaku sepanjang kempen.
Ianya antara lain termasuk ugutan, rasuah kepada pengundi dan provokasi keterlaluan sehingga mencetuskan suasana tegang.


Bagaimanapun menurutnya, jika PAS mengatur strategi dengan baik, dan cukup prasyaratnya, parti itu mampu mengekalkan kerusi Dun tersebut.
"Insya Allah, kita akan mempertahankan kerusi di Dun Galas nanti," katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Dun Galas adalah pada 26 Oktober manakala 4 November tarikh mengundi.


Dalam pada itu, Kerajaan Kelantan semalam mengumumkan kemungkinan akan mengisytiharkan hari mengundi pada 4 November nanti sebagai cuti peristiwa.
Ianya bagi memudahkan rakyat negeri itu, khususnya pengundi di luar kawasan keluar mengundi dengan selesa.

Wednesday, October 6, 2010

SEMUA PETUGAS PAS, PAKATAN DIKERAH KE GALAS

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Sept: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua ahli dan petugas PAS, serta seluruh petugas Pakatan Rakyat dengan kepakaran yang berbagai supaya dapat turun ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan.

Ini, kata Presiden PAS itu, untuk sama-sama bertugas bagi mempertahankan kemenangan kerusi PAS di Dun Galas yang diperolehi menerusi Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Katanya, berikutan kekosongan kerusi N.45 Galas, PAS telah pun menggerakkan seluruh jentera pilihan raya PAS di peringkat pusat, negeri, kawasan dan Dun untuk berhadapan dengan pilihanraya kecil berkenaan yang akan diadakan pada 4 November ini.

Dalam Pilihan Raya Kecil itu nanti, tambahnya PAS akan meletakkan calon yang berwibawa dan selayaknya untuk memikul amanah rakyat di Dun Galas, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Almarhum Chek Hashim sepanjang tempoh beliau berdampingan dengan rakyat di Dun berkenaan.

“Bertugaslah dengan penuh semangat dan dedikasi dengan menggunakan segala bentuk ilmu kemahiran berpilihan raya, dan janganlah kita terperangkap dengan provokasi dan segala bentuk taktik buruk serta tidak bermoral yang akan dilakukan oleh lawan kita nanti.

“Sebagaimana pilihan raya kecil yang lepas, kita akan sekali lagi berhadapan dengan segala bentuk mainan media cetak dan televisyen yang berupa laporan berat sebelah, ugutan, cercaan dan rasuah janji pilihan raya terhadap pengundi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang percaya bahawa semua petugas akan dapat menghadapi tindakan tidak bermoral parti lawan nanti dengan menyusun strategi dan gerak kerja yang kemas, serta sekali-kali tidak gentar dengan sebarang ugutan yang menjadi mainan parti lawan sejak puluhan tahun.

“Insya Allah, kita akan mempertahankan kerusi di DUN Galas nanti,” tegasnya.

Monday, October 4, 2010

SELANGOR BERI BUKU TEKS AGAMA SECARA PERCUMA


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 4 Okt: Para pelajar sekolah rendah agama (SRA) seluruh Negeri Selangor mulai sesi persekolahan 2011 akan menerima buku teks agama percuma di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berkata, seramai 125,250 pelajar yang melibatkan 206 SRA akan menerima kemudahan itu.


Katanya, jumlah implikasi kewangan yang terlibat adalah sebanyak RM4,261,738 yang diluluskan melalui sumber Lembaga Zakat Selangor.


“Kerajaan juga bercadang untuk melebarkan skim dan kemudahan ini ke sekolah agama menengah, kelas al-Quran dan fardu ain dan prasekolah Jais di masa depan,” ujarnya yang juga Adun Gombak Setia.


(Gambar: Dr Hassan bersama tetamu veteran pada Rumah Terbuka Hari Raya di kediamannya, kelmarin.)


Selain itu, tambahnya, kerajaan negeri juga telah meluluskan kenaikan elaun pembersih kawasan di SRA gred B dari RM100 kepada RM500 dan SRA gred C dan prasekolah Jais dari RM100 kepada RM300.


“Sementara untuk keceriaan dan membersihkan kawasan di semua SRA gred A telah diswastakan,” katanya pada sidang media di kediamannya di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail, dekat sini, kelmarin.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM621,600 setahun untuk tujuan menaikkan elaun SRA gred B, gred C dan prasekolah Jais.

Saturday, October 2, 2010

TARBIYAH TARIK MINAT BUKAN ISLAM SERTAI PAS


Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY


MARANG, 2 Okt: Pemuda dan pemudi PAS harus menjadi agen parti untuk menyanggah tanggapan sesetengah pihak bahawa PAS sebuah gerakan tanpa tarbiah, sebaliknya parti politik semata-mata.
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, perkara yang membezakan pemuda PAS dengan orang lain ialah tarbiah yang menjadi salah satu sebab orang bukan Islam tertarik dengan parti ini sehingga wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
"Hasil daripada tarbiah dalaman sehingga menghasilkan ahli yang istiqamah dengan perjuangan parti menyebabkan orang bukan Islam tertarik dengan PAS.


"Sebab itulah daripada kelab penyokong, kini parti mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang menghimpunkan orang bukan Islam yang yakin dengan keikhlasan perjuangan kita," kata beliau ketika menyampaikan ulasan 'Pengukuhan PAS Melalui Tarbiah' di Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda di Masjid Rusila.
Sebelum itu, veteran PAS, Datuk Yahya Othman membentangkan kertas kerja pertama bertajuk 'PAS dan Tarbiah Islamiah'.


Kertas kerja itu menekankan tiga tonggak utama kekuatan pemuda iaitu iman, ilmu dan akhlak.
Nasharudin yang juga ahli Parlimen Bachok juga berkata, sebuah gerakan Islam di luar negara, Hamas turut mengagumi kejayaan PAS menarik orang bukan Islam untuk dekat dengan PAS.
"Sewaktu perjumpaan dengan gerakan-gerakan Islam di peringkat antarabangsa, pimpinan Hamas pernah memberitahu bahawa mereka akan belajar daripada PAS bagaimana untuk menarik orang bukan Islam," katanya.
Justeru pemuda dan pemudi, ujarnya perlu mengekalkan persepsi baik orang bukan Islam terhadap PAS.


"Orang bukan Islam memang meletakkan kepercayaan kepada PAS sehingga tidak takut untuk memberikan derma kepada parti kerana mereka yakin pemimpin PAS tidak menggunakan wang itu untuk kepentingan diri sebaliknya menggunakannya untuk kerja-kerja kebajikan," katanya.


Selain itu katanya, pemuda dan pemudi harus mementingkan ilmu pengetahuan agar perjuangan yang didokong tidak bertunjangkan semangat dan ikut-ikutan semata-mata.
Hari kedua ijtima' pagi tadi dimulakan dengan tafsir surah al-Hujurat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Followers