Sunday, March 14, 2010

BERITA PAS WILAYAH DALAM AKHBAR BAHASA CINA




Akhbar Cina Press dan Nanyang Siang Pau lebih bersifat terbuka dengan menyiarkan berita program PAS berbanding dengan akhbar berbahasa melayu... Kalau adapun beritanya akan diputar belit.
http://paswp.blogspot.com

Friday, March 12, 2010

MB,EXCO,PEGAWAI BASAH KUYUP KETIKA SOLAT ISTISQA

HARAKAHDAILY

KOTA BHARU, 12 Mac: Hujan yang turun di sekitar bandar raya ini membasahkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan serta ribuan rakyat yang menyertai solat sunat istisqa.
Hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa yang diadakan di Padang Perdana pagi tadi.
Solat tersebut diimamkan Menteri Besar bermula kira-kira jam 8.30 pagi.
Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membawa surah pada rakaat pertama tiba-tiba hujan turun agak lebat sehingga membasahkan ribuan yang menunaikan solat.
Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut.
Semua yang hadir termasuk pembesar negeri dan pegawai kanan kerajaan kelihatan basah kuyup.
Program tadi dihadiri hampir kesemua pegawai kanan kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.
Solat Istisqa tersebut merupakan kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali diadakan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang.
Cuaca kering dan panas kini melanda seluruh negara sehingga ada tempat paras sungai dan empangan semakin surut dan tanah-tanah menjadi merekah.
Ketika membaca khutbah Menteri Besar memalingkan badan ke arah kiblat seketika sebagai mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika baginda mengerjakan solat Istisqa.

TEMPOH MOHSIN TARIK BALIK KEPUTUSAN TAMAT - UST AHMAD AWANG


Harakahdaily

BAGAN SERAI, 12 Mac: Malam tadi tamatlah tempoh tujuh hari yang diberikan oleh pendukung Pakatan Rakyat (PR) Bagan Serai kepada ahli parlimen kawasan ini, Mohsin Fadzli Samsuri untuk menarik balik keputusannya meninggalkan PR.

Mulai malam esok, mereka mulai mengadakan solat hajat selama tujuh hari memohon kepada Allah agar ahli parlimen itu insaf atau menyerahkan kembali mandat rakyat itu dengan meletakkan jawatan.

Majlis solat hajat akan diadakan esok bermula dengan solat Mghrib di Balai Kuliah Tasawur Islam Simpang Empat Semanggol, kata bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Awang .

Katanya, semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu, beliaulah yang memperkenalkan Mohsin kepada orang ramai khasnya masyarakat Cina dan PAS Kawasan Bagai Serai.

Beliau yang juga Ahli Majlis Syura berkata, solat hajat itu akan berakhir Jumaat depan di Masjid Tinggi Bagan Serai,” ujarnya.

"Saya cuba hubungi dia (Mohsin), sejak keluar berita, hanya semalam dia sms balas saya dan tolak apa yang kami minta. Apa yang kami minta supaya tidak sokong Bebas, tidak sokong BN dan sokong Pakatan sama ada dalam atau luar parlimen.

"Selepas tamat tempoh, dia nampaknya berkeras dan kami akan mengadu kepada Allah memohon petunjuk daripada-Nya kerana dia khianat amanah rakyat masalah pilihan raya lalu," ujarnya.

Mohsin (gambar kiri) mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 3 Mac lalu dengan alasan kecewa Pakatan mengkritik institusi raja dan kehakiman dan tidak puas hati sikap PKR menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Beliau juga meletak semua jawatan dalam parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Pada PRU ke-12 lalu, Mohsin yang mendapat 18,943 undi menewaskan calon BN, Datuk Zainal Abidin Zin dengan majoriti 3,413 undi.

Monday, March 8, 2010

TOLAK PERPADUAN DENGAN UMNO UNTUK SAMPAIKAN ISLAM


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam bahkan perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam.

Dalam perutusan sempena dua tahun Pakatan Rakyat hari ini, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menambah, meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam.

Berikut ialah perutusan penuh beliau

Selama ini kita tidak berfikir untuk menyebar Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebar Islam sesama orang Islam. Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam. Sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

Sebaliknya, PAS ada alasan dan sebab-musababnya kenapa menolak perpaduan dengan Umno. Antaranya:

1. Perjuangan Umno sebenarnya amat dhalalah (sesat sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.

2. Tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS. Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN, seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS. Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977. Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno. Malah, PAS telah ditendang keluar. Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN.

3. Oleh sebab itu, PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.

4. Begitu pula, semenjak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti. Pun begitu, pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan. Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN.

5. Sekarang PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat. Ia suatu perkembangan baik, memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP, kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam. Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam. Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca Al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam.

Jadi, bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini, sukacita kiranya para pemimpin dan pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat. Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara.

Sehubungan dengan itu, demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka pihak PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu ”hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam” bersempena Muktamar PAS akan datang.

Ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan. Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff adalah suatu titik persetujuan awal kita bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan. Sekaligus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut.

Sebenarnya, melalui seminar sedemikian, PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam. Di samping PAS tidak seharusnya lupa terhadap jasa dan pengorbanan para ulama’ dan pemimpin Islam terdahulu. Dan sesungguhnya, pemimpin PAS sekarang begitu terhutang budi kepada para ulama’ terdahulu, kerana berkat hasil usaha mereka jugalah, sekarang ’orang Kelantan’ sudah berada di mana-mana sahaja dalam pelbagai sektor pembangunan Negeri dan Negara.

Dan, apa yang telah dilaksanakan di Kelantan hari ini adalah suatu simbol kejayaan politik Pakatan Rakyat. Maka, PAS dan kerajaan Kelantan hari ini sudah membuat banyak penambahbaikan kepada kedudukan dan kefahaman Islam itu sendiri. Ia turut merangkumi kehendak politik rakyat pelbagai kaum. Semuga akan datang, akan lahir kalangan pemimpin Islam yang mewakili pelbagai kaum – kalangan orang Cina atau India – layak menyambung sejarah Islam. Ini kerana sejarah awal Islam membuktikan orang Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam daripada orang Melayu. Ia bermakna, orang Cina dan India layak dan mustahak turut sama menyebarkan Islam di negara ini.

Apa yang utama, penglibatan semua kaum dalam politik dan dakwah akan menyuburkan lagi nikmat persaudaraan di sebalik Allah Subhanahu wa taala jadikan manusia itu pelbagai kaum.
Firman-Nya, maksudnya, "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).[al-Hujuraat, 49: 13]

Semoga amalan dan kebajikan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Panjang usia Pakatan Rakyat, panjanglah keadilan untuk semua rakyat.



Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Mursyidul Am PAS,

merangkap Menteri Besar Kelantan.

22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010.

Friday, March 5, 2010

KONVENSYEN ULAMA MUDA PAS PERAK 7 MAC

oleh :Johari Jaafar

IPOH, 4 Mac: Satu program bagi mengumpulkan ulama muda di seluruh Perak akan diadakan pada 7 Mac ini di Hotel Seri Malaysia di sini bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Program tersebut merupakan Konvensyen Ulama Muda PAS Perak akan dirasmikan oleh Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Ustaz Shuaid Din, manakala majlis penutupnya akan dilakukan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussein.

Demikian dinyatakan Timbalan Pengarah Konvensyen, Mohd Hafez Sabri yang ditemui di Pejabat PAS Negeri Perak hari ini.

Menurutnya, dua kertas kerja akan dibentangkan, iaitu `Wakafkan Diri Untuk Islam' oleh Ustaz Ahmad Lutfi Arifin dari Dewan Ulama PAS Kedah. Manakala kertas kerja kedua bertajuk `Nak Seribu Daya', yang akan dibentangkan oleh Ustaz Ridhwan Mohd Nor, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat.

Program itu mensasarkan penyertaan daripada ulama muda muslimin dan muslimat serta mereka yang lepasan pengajian Islam dalam dan luar negara.

Menurut Hafez lagi, tujuan konvensyen tersebut adalah untuk mengumpulkan semua ulama muda di seluruh negeri ini, dalam masa yang sama ianya bertujuan membantu mengumpulkan jentera PAS di semua peringkat.

Selain itu katanya, ia juga ingin merapatkan ukhuwah Islamiah serta menyebarluaskan peranan ulama muda PAS.

"Di majlis itu juga kita adakan slot bersama Ulama Pelapis Pusat," jelasnya.

Beliau menyeru ulama-ulama muda dan mereka yang lepasa pengajian Islam dari dalam dan luar negara hadir beramai-ramai ke majlis tersebut. Peserta hanya dikenakan bayaran RM10 seorang untuk makan dan kertas kerja.

Mereka yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 013-3190807.

HARAKAHDAILY

JANGAN TAKUT DENGAR CERAMAH PR

OLEH Hashim Abdullah

KUALA KRAU, 4 Mac: Rakyat di negara ini tidak perlu takut mendengar ceramah politik yang dianjurkan Pakatan Rakyat kerana fungsi parti politik adalah untuk membela rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Berucap pada ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau, di Felda Jengka 17, dekat sini, semalam, Tuan Ibrahim berkata rakyat perlu membebaskan diri mereka daripada resapan budaya Umno yang mahu rakyat terkongkong daripada mendapat maklumat secara bebas.

“Corak pentadbiran dan pengurusan pemerintahan Umno yang banyak menyeleweng menyebabkan negara kehilangan berbilion-bilion ringgit. Banyak isu yang belum selesai seperti isu PKFZ, kehilangan injin jet, stadium runtuh, kapal selam yang tidak boleh menyelam.

“Penyelewengan ini cuba ditutup dengan mereka mencipta berbagai isu bagi mengalih pandangan dan tumpuan rakyat. Mereka cuba tutup, maka sebab itu rakyat kena hadir ceramah bagi mendapatkan maklumat yang tidak mampu didedahkan media. Rakyat termasuk orang Umno tak perlu takut hadir ceramah. Tak perlu takut pada orang politik kerana tugas orang politik untuk membela dan menjaga rakyat,” katanya.

Turut berceramah ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Sharil Azman dan Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

HARAKAHDAILY

Tuesday, March 2, 2010

MAULIDUR RASUL - amalkan setiap hari dan sepanjang tahun

http://www.blogtokguru.com


Firman Allah SWT yang bermaksud :

“...dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).”
(Surah al-Hasyr 59:7)

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT yang telah memberikan kita kesempatan meneruskan hidup sebagai khalifah-Nya di bumi ini. Seterusnya diberikan pula kesempatan untuk menyambut Maulidur-Rasul bagi tahun 1431H pada kali ini.

Allah SWT mengutus para nabi dengan tujuan untuk mengajak manusia mengabdikan diri kepada-Nya. Para nabi tidak diutus semata-mata untuk mengajar manusia membangunkan bumi ini semata-mata, tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana menyelamatkan diri di akhirat kelak.

Di atas dasar itulah, para nabi termasuklah Nabi Muhammad saw diutus oleh Allah SWT. Lantaran itu, kebangkitan Rasulullah saw adalah untuk memastikan umat manusia hidup di dalam dakapan hidayah berpaksikan kepada keimanan dan ketakwaan.

Sehubungan dengan itu, sambutan Maulidur-Rasul tidak boleh hanya sekadar memperingati tarikh lahir baginda semata-mata, ia tidak boleh terhenti setakat perayaan dan majlis-majlis keramaian sahaja. Lebih jauh lagi, ia perlu diiringi dengan kehendak untuk mematuhi sunnah Rasulullah saw.

Semangat Maulidur-Rasul tidak boleh hanya hidup pada bulan ini sahaja, tetapi ia perlu untuk terus hidup setiap hari dan sepanjang tahun.

Ia tidak boleh disambut dengan perarakan yang besar dan hebat semata-mata dengan menepikan hasrat sebenar dari kebangkitan Rasulullah saw iaitu mengajak manusia beriman dan melaksanakan perintah Allah SWT.

Bagi pihak kerajaan negeri Kelantan, di bawah dasar Membangun Bersama Islam, kami akan terus komited dengan usaha dan hasrat melaksanakan syariat Islam di dalam pentadbiran.

Dalam hal ini, Rasulullah saw yang juga sebagai seorang pemimpin akan dijadikan sebagai model ikutan yang terbaik di dalam mengurus tadbir negeri.

Itulah misi kerajaan negeri Kelantan di dalam mentadbir amanah yang diberikan oleh rakyat dengan izin Allah SWT ini.

Semoga Allah SWT memberikan kita ganjaran di atas segala amalan kebaikan yang kita lakukan. Salam Maulidur-Rasul 1431H.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul Am PAS.

Followers