KUALA LUMPUR:
Kerajaan BN masih meneruskan kerja borosnya manakala memangsakan rakyat
dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk meningkatkan
pendapatan.
“Oleh itu, PAS tetap membantah pelaksanaan GST,”
tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu
kenyataan.
Katanya, pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan
apabila kerajaan mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan
operasi dan bukannya terus berboros dengan duit rakyat.
“Pengurangan
subsidi dan kini GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara
yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja,” ujarnya lagi.
Berikut ialah kenyataan penuh beliau.
Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan langkah baru untuk menambahkan pendapatan negara.
Ia adalah cara mengambil duit daripada rakyat melalui cukai yang dikatakan saksama sebagai pendapatan kerajaan.
Peluasan
asas cukai ini mustahak untuk Malaysia, dakwa sesetengah pihak kerana
hanya kira-kira 10 peratus daripada penduduk yang bekerja membayar cukai
pada masa ini.
PAS tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, kerana rata-rata rakyat sedang membayar cukai tersembunyi tanpa diketahui mereka.
Umpamanya pembelian kereta, semua rakyat yang mempunyai kereta sudah dikenakan cukai.
Dengan
GST, mereka yang tidak mempunyai kereta dan tidak mempunyai pekerjaan
tetap sehingga tidak layak membayar cukai pun dikenakan cukai atas
setiap pembelian.
Lebih-lebih lagi, rakyat Malaysia tidak
diberikan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan GST apabila GST
diumumkan pada kadar yang sebegitu tinggi pada 6 peratus.
Di Singapura, kadar GST diperkenalkan pada kadar 3 peratus sebelum beransur menjadi 7 peratus.
Ada
yang berkata masyarakat kampung tidak akan merasai beban daripada GST.
Ingin diingatkan bahawa kebanyakan barangan yang dijual di kedai-kedai
runcit di kampung datangnya juga daripada para pembekal di bandar.
Barangan
itu sudahpun dikenakan GST ketika tiba di kedai runcit. Walaupun kedai
runcit yang kecil itu dikecualikan daripada GST kerana tidak melepasi
had minimum perolehan tertentu, barangan yang dijual kepada masyarakat
kampung sudah tentunya pada harga yang lebih tinggi kerana sudah
dikenakan GST oleh pembekal.
Jangan terlalu gembira dengan
pengumumkan pelbagai barangan asas seperti tepung, gula, beras dan garam
tidak dikenakan GST. Hakikatnya, apa-apa yang dihasilkan daripada
tepung, gula, beras dan garam kepada makanan siap yang sampai ke tangan
pengguna boleh dikenakan GST.
Perkara terpenting dalam perlaksanaan GST ialah penguatkuasaan, bab yang kerajaan BN terkenal sebagai kelemahannya.
Untuk
memastikan GST berfungsi dengan baik yakni menjana pendapatan yang
seharusnya bagi kerajaan, penguatkuasaan kepada semua yang mengenakan
GST perlu dilakukan secara saksama dan adil.
PAS terbayang akan
berlaku masalah di mana kedai yang tidak layak mengenakan GST, akan
sengaja mengenakan GST kepada pelanggannya untuk pendapatan lebih.
Lebihan wang hasil daripada peratusan tambahan GST itu pula tidak
dilaporkan kepada kerajaan kerana penguatkuasaan dan pemantauan yang
lemah.
Akhirnya, rakyat membayar GST ini bukan untuk pendapatan
kerajaan tetapi untuk mengkayakan lagi mereka yang tidak
bertanggungjawab ini.
Akibat rasuah yang berleluasa, PAS juga
terbayang banyak syarikat yang terlepas daripada hukuman atau denda
kerana menggunakan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga barang yang
dikenakan kepada rakyat awam.
Sesungguhnya, dengan masalah
penguatkuasaan yang lemah dan juga rasuah yang masih berleluasa, iklim
Malaysia masih tidak sesuai untuk pelaksanaan GST, lebih-lebih lagi
apabila BN masih berkuasa.
Lihatlah bagaimana kerajaan BN cuba
untuk mengurangkan defisit negara. BN tidak mengurangkan perbelanjaan
pengurusan, malah perbelanjaan pengurusan meningkat RM15.8 bilion,
daripada RM201.9 bilion pada 2013 kepada RM217.7 bilion pada 2014
berbanding peningkatan pendapatan sebanyak RM15.5 bilion daripada
RM208.6 bilion pada 2013 kepada RM224.1 bilion pada 2014.
Pengurangan
defisit bajet sebenarnya dicapai dengan memotong peruntukan pembangunan
sebanyak RM3.2 bilion daripada RM49.7 bilion pada 2013 kepada RM46.5
bilion pada 2014.
Keadaan ini dijangka berterusan sehingga 2015
di mana GST bakal dilaksanakan. Ini bermakna kerajaan BN masih
meneruskan kerja borosnya manakala memangsakan rakyat dengan GST untuk
meningkatkan pendapatan.
Oleh itu, PAS tetap membantah
pelaksanaan GST. Pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan
mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasi dan bukannya
terus berboros dengan duit rakyat.
Pengurangan subsidi dan kini
GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca
daripada sikap boros kerajaan berbelanja.