Friday, February 28, 2014

SPRM SAHKAN TIADA PENYELEWENGAN DI LEMBAH SIREH

KOTA BHARU: Menjelang pilihan raya umum lalu isu Lembah Sireh diterkam Umno sebagai senjata politik dengan menuduh berlaku penyelewengan membabitkan kerajaan negeri.

Malah sebuah NGO yang diasas bekas pemimpin Angkatan Muda Keadilan Kelantan, Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) menjuarai isu tersebut sehingga menganjurkan demonstrasi termasuk di hadapan Kota Darulnaim.

Kini selepas kira-kira dua tahun berlalu isu tersebut akhirnya terjawab apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan tidak ada elemen rasuah sebagaimana didakwa pihak tertentu di Lembah Sireh.

Pengarah SPRM Kelantan, Abd Aziz Aban dilaporkan berkata, SPRM menutup siasatan dakwaan berlaku penyelewengan projek di Lembah Sireh kerana tidak mempunyai elemen rasuah.

Dua tahun lepas Ketua Umno Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh dan Ombak membangkitkan isu tersebut dengan dakwaan berlaku penyelewengan.

Mereka mendesak kerajaan Kelantan menjelaskan status perjanjian kerajaan negeri dengan sebuah syarikat yang bertanggungjawab membangunkan Lembah Sireh hampir sedekad lalu.

Mengulas itu tersebut Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusoff berkata, isu Lembah Sireh sengaja dijadikan modal politik pihak lawan biar pun mereka tahu kawasan kini semakin pesat membangun.

“Sebelum ini mereka juga menuduh Kelantan tidak membangun, tetapi apabila kerajaan negeri dengan kerjasama pihak swasta mewujudkan bandar baru mereka pula kata ada penyelengan.

“Kawasan itu asalnya merupakan tanah pertanian yang sering ditenggelami air bah, namun sekarang muncul sebagai kawasan pertumbuhan baru.

“Bukan sedikit pelaburan dibuat pihak swasta biar pun ada terma perjanjian sebelum ini belum dilaksanakan syarikat,” katanya di sini.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Wan Yusoff Wan Mustapha berkata, banyak pertuduhan negetif yang dilempar terhadap kerajaan negeri kini dibersihkan SPRM dan mahkamah.

Katanya, baru-baru ini Mahkamah Tinggi memerintah Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan, Azmi Che Ali membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada Air Kelantan Sdn Bhd ekoran dakwaan fitnah.

Saturday, February 15, 2014

GST : Majlis Fatwa digesa keluar pandangan syarak

KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan digesa mengeluarkan pandangan segera berhubung status cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menurut pandangan syarak.

Perkara itu antara resolusi yang dicapai pada Seminar Audit Negara, Ekonomi dan Pecukaian Menurut Sisi Pandang Islam anjuran PAS Wilayah Persekutuan yang diadakan hari ini.

Mereka berpandangan bahawa, isu cukai khususnya GST dan isu ekonomi yang lain ketika ini wajar diberi pencerahan dari sudut syarak.

Selain itu, seminar tersebut juga mengusulkan supaya kerajaan mengkaji semula segala bentuk cukai yang dibebankan ke atas rakyat ketika ini.

Seminar sehari ini berlangsung di Dewan Surau Mustaqimah, Taman Jaya, Bandar Tun Razak.

Dua kertas kerja dibentangkan masing-masing  bertajuk " Audit Negara dan Sisi Pandang Islam " oleh Dr Azahar Yaakob dan "Pecukaian dalam Islam" oleh Dr Nazri Mansur.

Isu GST pula diulas oleh oleh ahli akademik Dr Zuhdi Marzuki.

Dalam pada itu satu lagi resolusi agar PAS mencerakinkan perbahasan mengenai tawaran-tawaran Islam antaranya sistem percukaian Islam sebagai penyelesaian yang bertepatan dengan tema Rahmat Untuk Semua.

Tuesday, February 11, 2014

HAPUS TOL, SYARIKAT KONSESI UNTUNG BERGANDA


1. Rakyat kononnya digembirakan dengan pengumuman tol yang tidak dinaikkan. Tetapi sebenarnya ia berita buruk kerana kerajaan terpaksa menggunakan duit rakyat juga untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi. Ertinya syarikat konsesi tetap untung dan rakyat juga terpaksa menanggung secara tidak langsung. Bukan sahaja syarikat konsesi untung menerusi pampasan tetapi mereka juga telah mendapat untung berganda daripada servis jalan raya yang melibatkan keperluan rakyat.

2. Rakyat berhak menuntut bukan sekadar kadar tol tidak dinaikkan tetapi sebaliknya diturunkan dan seterusnya dihapuskan kerana syarikat konsesi telah mengutip laba berganda yang tidak pernah rugi kerana perniagaan jalan bertol ini.

3. Hal ini kerana perniagaan lebuh raya bertol adalah perniagaan perkhidmatan seperti perkhidmatan telekomunikasi Maxis, Digi, Celcom, Yes4G dan Umobile. Ia mendatangkan profit margin (jurang keuntungan) yang tinggi. Menurut laporan kewangan 2013 Litrak Bhd yang mengendalikan Lebuhraya Damansara - Puchong [LDP] dan SPRINT, profit margin menghampiri 49%. Menurut Maybank Investment Bank Research, KESAS juga mencapai keuntungan pula mencecah 121% secara cumulative annual growth rate atau CAGR dari 2008 hingga 2012.

4. Lebih daripada itu, pertambahan pengguna jalan bertol yang semakin meningkat bererti keuntungan yang sentiasa meningkat dan bertambah tanpa risiko kerugian.

6. Jika sebelum ini rakyat mempunyai alternatif memilih jalan tidak bertol untuk sampai ke destinasi tapi tidak lagi pada hari ini. Lebuh raya bertol bukan satu pilihan mewah untuk rakyat tetapi adalah satu keperluan bagi mengelakkan kesesakan, menjimatkan masa dan kos penggunaan minyak. Malah lebuh raya bertol sendiri pun sesak apatah lagi jalan biasa.

7. Maka bagi satu perniagaan perkhidmatan yang mendapat jumlah pelanggan yang semakin bertambah, bukankah sepatutnya kadar tol semakin dikurangkan?

8. Dalam keadaan rakyat memerlukan lebuh raya bertol, ada pihak yang mengaut keuntungan berganda. Derita rakyat semakin bertambah. Harga minyak bertambah mahal. Lebuh raya pula semakin sesak. Kadar harga tol kekal. Syarikat konsesi pula mendapat pampasan keuntungan kerana tidak menaikkan tol. Duit rakyat terpaksa dibelanjakan untuk pampasan.

9. Atas alasan-alasan tersebut, maka memberi pampasan kerana tidak menaikkan tol hanyalah bertujuan untuk mengkayakan golongan tertentu secara melampau atas derita keperluan rakyat. Tol sepatutnya dihapuskan setelah syarikat konsesi mendapat keuntungan berganda daripada perniagaannya.

10. Perjanjian konsesi membolehkan syarikat memohon kenaikan tol tetapi atas sifat kerajaan yang mempunyai saham majoriti dalam syarikat konsesi, kerajaan boleh mengambil alih syarikat konsesi seterusnya membatalkan perjanjian.

11. Apapun, perjanjian konsesi yang tidak adil bagi rakyat ini berpunca daripada kegagalan kerajaan BN memperhalusi perjanjian konsesi sehingga merugikan rakyat. Maka kerajaan BN perlu dipertanggungjawabkan oleh rakyat atas ketidaktelitian ini.

12. Mengimbau sejarah kerajaan Saba' antara nikmat Allah yang dirasai oleh rakyat ialah lebuh raya aman membahagiakan yang menyingkatkan jarak dan masa perjalanan antara Yaman di selatan dan Syam di utara. Allah berfirman:

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْقُرَى الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا ْقُرَى ظَاهِرَةً وَقَدَّرْنَا فِيهَا السَّيْرَ سِيرُوا فِيهَا لَيَالِيَ وَأَيَّامًا آمِنِينَ

Maksudnya: "Dan Kami jadikan antara mereka (Yaman) dan negeri-negeri yang Kami limpahkan berkat kepadanya (Syam), beberapa negeri yang muncul dan Kami singkatkan antara negeri-negeri itu (jarak-jarak) perjalanan. Berjalanlah kamu di kota-kota itu pada malam hari dan siang hari dengan dengan aman." (Surah Saba' ayat 18)

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Saturday, February 8, 2014

HARGA BARANG :SEDARKAN RAKYAT YANG TAK FAHAM



KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan rakyat agar tidak leka dengan isu ketegangan kaum dan agama yang sedang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Sebaliknya beliau menegaskan, rakyat harus terus memberikan tumpuan kepada isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang cuba ditutup Umno-BN.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab ahli-ahli Pakatan Rakyat untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang masalah kos sara hidup yang semakin menghimpit.

"Malangnya setelah rakyat tidak disedarkan dengan apa yang menimpa mereka, rakyat dilalaikan dengan isu yang sengaja diadakan-adakan.

"Isu kelemahan Kerajaan BN, isu harga barang naik, isu gejala sosial dan kegagalan pendidikan ini merupakan kelemahan BN.

"BN nak tutup kelemahan dia buat satu isu iaitu isu agama dan perkauman supaya kita ralit dengan isu ini dan tenggelamkan masalah sebenar rakyat.

"Kita jangan terperangkap dengan permainan yang liar dan menipu ini tapi marilah kita bersama kepimpinan yang membuktikan kesetiaan mereka kepada perjuangan membela rakyat walaupun memakan masa berpuluh-puluh tahun," kata beliau swaktu berucap merasmikan Pelancaran Roadshow Kempen Jom Turun di Desa Pandan, dekat sini malam tadi.

Ustaz Hadi juga menggesa ahli PAS yang memahami isu sebenar untuk menyebarkan kesedaran kepada rakyat agar maklumat yang diperoleh tidak hanya berlegar dalam kalangan mereka yang faham sahaja.

"Malangnya kesedaran dan keinsafan tidak berlaku dalam kalangan rakyat dan tanggungjawab kita menyedarkan rakyat, menyampaikan penjelasan kepada mereka supaya mereka faham.

"Kepada saudara-saudara yang hadir tidak menjadi masalah, yang selalu dengar ceramah tapi apa yang penting maklumat perlu disampaikan kepada rakan yang tak ada maklumat, sedarkan dan insafkan mereka.

"Kita tidak boleh buat perubahan kalau tiap-tiap malam hadir ceramah syok sendiri sahaja tapi maklumat tidak sampai kepada pihak lan," katanya di hadapan kira-kira 500 hadirin.

Beliau turut menyentuh mengenai kegagalan BN melaksanakan sistem percukaian yang mematuhi syariat Islam sebaliknya mengenakan cukai yang turut membebankan orang miskin.

Katanya, sistem pembahagian zakat di negara ini juga gagal menyelesaikan masalah kemikinan dalam kalangan rakyat kerana zakat diberi bukan bertujuan memulihkan ekonomi mereka.

"Mengikut kaedah Islam beri bantuan mestilah boleh memulihkan ekonomi seseorang dan dia tidak perlu minta sedekah lagi. Kecuali orang miskin yang cacat yang tidak ada penjaga dan tidak boleh dipulihkan.

"Adapun orang muda yang menganggur yang tidak ada pendapatan, ini perlu dipulihkan ekonomi dengan bantuan yang membebaskan mereka daripada kemiskinan.

"Apa yang berlaku pada hari ni yang miskin tak dibebaskan tapi ditambah miskin yang baru, bertalu-talu dari semasa ke semasa," katanya.

Mengambil contoh negara Jepun, beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara Islam harus berasa malu kepada Jepun yang mengamalkan sistem ekonomi seperti yang diajar dalam Islam.

"Ada negara dalam dunia mengikut contoh Islam contohnya negara Jepun memberikan subsidi kepada petani-petani 99 peratus kerana kerajaannya nak menggalakkan makanan yang cukup bagi negara Jepun.

"Kalau berlaku peperangan atau bencana, makanan dia cukup, harga barang makanan boleh dibeli oleh rakyat miskin. Ini cara subsidi Jepun ditambah kemajuan industri. Kilang-kilang kereta, kapal yang dimiliki oleh orang kaya dikenakan cukai berganda dan tidak membebankan orang miskin. Ini cara yang Islam ajar. Malangnya negara Islam tidak ikut cara Islam dan ini sangat memalukan," katanya.

Berbeza dengan Malaysia katanya, yang sentiasa menaikkan cukai dan harga barang apabila berlaku krisis kewangan.

"Kita apabila tidak cukup duit naikkan cukai. Apabila naikkan cukai naikkan harga barang. Kedudukan ekonomi rakyat tidak meningkat, gaji tidak cukup, ini menempah jenayah maksiat, kemungkaran dan berlakulah gejala yang tidak sihat disertakan pendidikan yang gagal.

"Pendidikan yang membodohkan rakyat supaya mengabdikan diri kepada kerajaan sama ada benar atau salah," katanya.

Wednesday, February 5, 2014

POSTER ( IKLAN BARU )

KUALA LUMPUR: PAS akan turun sebagai jentera pembantu paling kuat untuk pilihan raya kecil (PRK) Dun Kajang bagi memastikan Pakatan Rakyat menang, selaras dengan penegasan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr. Hatta Mohd Ramli, berkata semua jentera parti di setiap peringkat dan negeri-negeri akan bergerak semaksima mungkin, khususnya jentera PAS Selangor bagi memenangkan calon PKR di Dun Kajang.

"Kita sokong dan sememangnya memberikan komitmen untuk membantu semaksima mungkin sepanjang kempen PRK ini. Saya nasihatkan semua jentera di peringkat dewan-dewan dan juga negeri-negeri untuk turun membantu dan mengikut perancangan yang diatur," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Selain itu, Dr. Hatta yang turut dilantik sebagai pengarah pilihan raya bagi PRK itu turut mengingatkan jentera parti membantu selagi boleh untuk PRK ini, sama ada dari bentuk kewangan, buah fikiran, kerja-kerja kempen dan sebagainya bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Katanya, beliau akan membentuk satu jawatankuasa pilihan raya di peringkat pusat, selain satu jawatankuasa di peringkat negeri yang akan dikendalikan dari kalangan PAS Selangor.

Pada 27 Jan lalu, Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh mengumumkan Adun Kajang, Lee Chin Cheh telah meletakkan jawatan.

Dun itu mempunyai 38,965 pemilih, merangkumi 48 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan 10 peratus India.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, MCA memenangi kerusi itu tetapi tewas pada PRU 2008 dan PRU 2013 kepada PKR.

Sunday, February 2, 2014

PRK KAJANG :UMNO LEBIH AWAL MEMBAZIR - SAIFUDIN ABDULLAH

KOTA BHARU: “Kalau hendak dikatakan membazir, maka Umno lebih awal membazir kerana berlaku dua pilihan raya kecil (PKR) di Selangor suatu ketika dahulu di parlimen Kuala Selangor dan Dun Permatang.
“Ini bermakna bukan kali pertama ada wakil rakyat letak jawatan bagi memberi laluan pilihan raya kecil diadakan,” kata bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Pada 1997 Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abu Hassan Omar meletak jawatan bagi menggantikan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, sebagai Menteri Besar Selangor.
Muhammad meletak jawatan ekoran pertuduhan di mahkamah Australia berikutan kegagalannya mengisytiharkan tunai RM2.4 juta ketika meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane pada Disember 1996.
Abu Hassan meletak jawatan sebagai anggota Parlimen Kuala Selangor untuk bertanding di Dun Permatang, yang mana ketika itu disandang Datuk Jamaluddin Adnan.
Pada pilihan raya kecil 29 Mei 1997 itu Barisan Nasional mengekalkan kedua-dua kerusi dan Abu Hassan dilantik menjadi Menteri Besar 6 Jun.
Saifuddin sekarang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of Moderates berkata, tidak ada sesuatu yang pelik apabila berlaku perletakan jawatan wakil rakyat bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil diadakan.
“Begitu juga dengan kes di Perak selepas pilihan raya umum 2008, seeloknya diadakan pilihan raya kecil apabila tiga Adun Pakatan Rakyat beralih sokongan kepada BN,” katanya pada diskusi anjuran kerajaan negeri di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC) malam tadi.
Diskusi sebagai gelanggang baru menggantikan wacana mengupas tajuk 'Demokrasi Di Malaysia' turut mengundang anggota parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad, manakala Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff bertindak sebagai moderator.
Khalid pula berkata, pilihan raya kecil Kajang diadakan sebagai sebahagian usaha untuk memperkukuhkan lagi Pakatan di Selangor ekoran berlaku beberapa isu sebelum ini.
Menurutnya juga Umno kini berhempas pulas mahu merampas Selangor selepas misi mereka pada pilihan raya umum lepas tidak menjadi kenyataan.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa untuk memperkukuhkan kedudukan Pakatan di Selangor. Dengan kedudukan sebagai wakil rakyat beliau boleh berperanan dengan lebih rasmi lagi.
“Sebelum ini beliau tidak boleh bertindak secara rasmi kerana tidak ada kedudukan di peringkat Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Followers