Saturday, September 28, 2013

USTAZ AZIZAN, PERJUANGANMU KAMI TERUSKAN

Hambali Akram, HARAKAHDAILY
Berita kepergian Bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar pagi diterima dengan penuh redha. Takziah kepada keluarga beliau dan semoga tabah menghadapi ketentuan Ilahi ini.

Sebagai penyokong dan ahli PAS tentunya berita ini menyedihkan, apatah lagi mengenangkan sumbangan bakti allahyarham yang begitu banyak kepada agama dan parti. Namun, perjuangan menegakkan Islam akan diteruskan oleh pejuang-pejuang yang lain. Pemimpin datang dan pergi – tentunya gerak kerja yang telah dimulakan oleh Tan Sri Azizan akan kami teruskan dan mantapkan lagi.

Walaun tidak berjaya mempertahankan Kedah daripada jatuh ke tangan Umno-BN dalam PRU13 yang lalu, tidak bermakna beliau gagal. Hal ini kerana, kegagalan dan kejayaan dalam perjuangan Islam dan PAS bukanlah semata-mata menyertai dan menang pilihan raya, malah lebih dari itu yakni dakwah. Hakikatnya, jika hendak disenaraikan segala jasa bakti beliau sepanjang berjuang dalam PAS, tentu terlalu panjang untuk dititipkan.

Oleh hal yang demikian, saya percaya bahawa ahli-ahli PAS yang lain juga menjadikan kepergian Tan Sri Azizan ini sebagai pemangkin semangat untuk kembali dengan lebih cemerlang dalam pilihan raya yang akan datang.

Yang patah akan tumbuh yang hilang akan berganti. Semoga semoga rohnya dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan para solihin.
ma dengan penuh redha. Takziah kepada keluarga beliau dan semoga tabah menghadapi ketentuan ilahi ini.

Wednesday, September 25, 2013

MENTERI BIASA PUN GUNA PENGIRING?

Harakahdaily, 24 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kenapa tiba-tiba sekarang seorang menteri meminta rakyat memberi penghormatan dan laluan kepada golongan VIP sedangkan rakyat yang sedang terperangkap dalam kesesakan juga sudah cukup sengsara deritanya?

Bukankah lebih baik dan disanjung tinggi jika golongan VIP juga sanggup bersama-sama dengan rakyat biasa mengharungi kesesakan jalanraya tanpa sebarang keistimewaan?

“Atau kalau tidak mahu terperangkap dalam kesesakan, keluar awal dan rancang perjalanan dengan baik,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya, hari ini.

Baginya, bukankah terlihat angkuh dan sombong jika seorang pemimpin atau VIP diberi keistimewaan begitu

Lagi pula, ujarnya bukanlah sikap pengguna jalanraya begitu buruk sehingga permintaan sebegini dibuat.

Ini, katanya kerana mereka biasanya tiada halangan untuk memberi laluan jika melibatkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau golongan diraja tertentu lantaran memahami desakan tugas dan selalu berkejar dengan masa. “Apa yang berlaku, ada menteri biasa pun turut menggunakan pengiring dan tidak sanggup bersesak bersama-sama dengan rakyat kebanyakan. Inilah yang menimbulkan rasa meluat rakyat,” tulisnya lagi.

Wednesday, September 11, 2013

SAYA CAKAP LAIN MEREKA TULIS LAIN - TG NIK AZIZ

Aslani M, HARAKAHDAILY 11 Sep 2013
KOTA BHARU: “Akhbar tulis tu tidak betul, saya cakap lain mereka tulis lain. Bukan saya sebut tidak perlu pilih bukan ulama, kerana semuanya dalam PAS dipanggil ulama.

“Profesional pun ulama juga, begitu juga ulama pun profesional. Sengaja ada pihak hendak sebut dua nama, sedangkan sebenarnya satu sahaja,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam reaksi terbarunya.

Beliau ditemui hari ini ketika menghadiri persidangan khas Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Baru-baru ini akhbar arus perdana cuba memberi gambaran Mursyidul Am mahu ulama dipilih menduduki jawatan Timbalan Presiden PAS.

Laporan tersebut dilihat banyak pihak seperti ada agenda tertentu bagi melaga-laganya kepemimpinan dalam PAS dengan mengasingkan golongan profesional dan ulama.

Polemik tersebut seperti sengaja diuar-uarkan memandangkan muktamar tahunan PAS dijangka berlangsung pada akhir November hadapan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, ulama adalah mereka yang boleh bercakap dengan dalil al Quran dan Hadis biar pun bertali leher atau memakai songkok.

“Percakapan dia berdasar kepada al Quran dan Hadis. Ada pihak sekarang sengaja hendak pelaga-lagakan ulama dan professional. Mereka ini orang yang berfikiran kebangsaan.

“Ini bukan cara memberi ilmu kepada rakyat tentang gerakan Islam. Kita bangun berucap bukan pandai-pandai kita sendiri. Orang pertama yang membuat ucapan ialah Nabi Muhammad saw.

“Jadi bila berucap kita sambung apa yang diberitahu Nabi Muhammad saw dengan membawa dalil al Quran dan Hadis. Ini barulah kita benar-benar jadi pendokong gerakan Islam, bukan sekadar ahli PAS sahaja,” ujarnya.

Oleh yang demikian katanya, mana-mana pemimpin PAS berucap hendaklah diikat dengan nas al Quran, Hadis dan Sirah.

QARYAH RAMADAN DINOBAT PANORAMA TERBAIK ASIA PASIFIK

Aslani M, 10 Sep 2013

KOTA BHARU: Panorama di Qaryah Ramadan dipilih sebagai gambar terbaik sempena perhimpunan agung Tourism Promotion Organization For Asia Pacific Cities (TPO) tahun ini.

Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) mewakili Kota Bharu mengatasi 69 bandar raya lain dari rantau Asia Pacific.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, MPKB BRI menerima hadiah terbaik dengan mengetengahkan suasana di Qaryah Ramadan pada pameran yang diadakan.

Katanya, program tersebut diadakan sempena Perhimpunan Agung TPO kali keenam yang diadakan di Daejeon Metropolitan City, Korea.

Program berlangsung pada 4 hingga 7 September lalu bertempat di Daejeon Simposium TPO dan TPO Daejeon International Travel Fair.

”Seramai 15 delegasi dari Kelantan yang diketua Exco Pelancongan menyertai program berkenaan bersama wakil daripada Ipoh, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Kelantan juga mengentengahkan aktiviti pelancongan yang diwakili Khalifa Suite Hotel dan H&H Travel bagi menggambarkan suasana menarik di sini.

“Kelainan yang kita pamerkan dengan imej pelancongan bermesej Islam dan budaya kehidupan masyarakat timur,” katanya di sini.

Perhimpunan Agung TPO tahun ini bertema "Revitalisasi Industri Pelancongan melalui Pertubuhan Antarabangsa."

Beliau juga berkata, Kota Bharu dipilih sebagai tempat berlangsung forum TPO tahun hadapan berikutan pencapaian cemerlang di Daejeon.

Katanya, pemilihan Kota Bharu sebagai satu penghormatarn besar kepada Kelantan dan Malaysia amnya yang dijangka disertai 200 peserta dari 70 bandar besar di rantau Asia Pasifik.

Sunday, September 8, 2013

KENAPA TUKAR TANDA HARGA BARU?

Harakahdaily, 07 Sep 2013
KUALA LUMPUR: “Bila ditanya, kenapa tukar tanda harga baru? Jawab mereka kerana ada kenaikan harga. Oh! Begitu cepat dan mendadak sekali,” kata Dr Azman Ibrahim (gambar).

Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Terengganu itu berkata, untuk mendapatkan kepastian, hari Jumaat 6 September semalam, beliau ke pasaraya yang dimaksudkan tersebut dan mendapati bahawa memang benar terdapat kenaikan harga barangan dan sungutan pelanggan boleh didengar dengan jelas.

“Apa mekanisma aduan yang diguna pakai kementerian dan menteri ini sehingga begitu mudah beliau membuat kesimpulan, tiada aduan kenaikan harga barang ekoran kenaikan harga minyak?” tanya beliau sebagai respons kepada kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Kenyataan beliau seperti di bawah.

"Tidak banyak aduan tentang kenaikan harga barang, contohnya di Wilayah Persekutuan, hanya 3 aduan yang kita terima," kata Menteri KPDNKK.

Saya sangat sangsi dengan ketepatan kenyataan menteri KPDNKK ini yang pernah mencadangkan, kalau harga ayam mahal, maka jangan makan ayam.

Buktinya, pada pagi khamis, 5 September kira-kira 2 hari lepas, seorang pengadu yang membeli belah di sebuah pasaraya  di bandar Kubang Kerian mengadu sambil memberikan maklumat kepada saya bahawa berdasarkan pemerhatiannya didapati di bahagian sudut barang-barang keperluan harian, pekerja-pekerja pasaraya tersebut sedang sibuk menukar tanda harga di sebahagian besar barang-barang keperluan harian seperti lauk pauk dan sayur-sayuran.

Bila ditanya, kenapa tukar tanda harga baru? Jawab mereka kerana ada kenaikan harga. Oh! Begitu cepat dan mendadak sekali...

Untuk mendapatkan kepastian, hari Jumaat 6 September semalam, saya ke pasaraya yang dimaksudkan tersebut dan mendapati bahawa memang benar terdapat kenaikan harga barangan dan sungutan pelanggan boleh didengar dengan jelas.

Apa mekanisma aduan yang diguna pakai Kementerian dan menteri ini sehingga begitu mudah beliau membuat kesimpulan, tiada aduan kenaikan harga barang ekoran kenaikan harga minyak?

Apakah pegawai-pegawai terbabit benar-benar memantau atau sekadar memberikan laporan yang menyedapkan hati menteri.

Saya masih ingat, ketika krisis bekalan minyak masak di Terengganu yang saya timbulkan atas kapasiti Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Terengganu kira-kira lebih setahun yang lalu, pegawai KPDNKK Terengganu malah menafikannya walaupun hakikatnya bekalan minyak masak memang sukar didapati.

Lebih melucukan lagi apabila mereka membawa wartawan ke sebuah pasaraya di Kuala Terengganu, bergambar sambil memegang botol minyak masak cap bunga matahari untuk membuktikan bahawa bekalan minyak ada dan mencukupi tanpa dia sedar bahawa botol yang dipegang adalah minyak bunga matahari yang harganya adalah lebih mahal berkali ganda dari minyak sawit serta tidak menjadi pilihan pengguna.

Yang kita timbulkan adalah krisis bekalan minyak sawit bukannya bekalan minyak matahari atau minyak jagung tetapi pegawai datang bergambar dengan botol minyak bunga matahari!

Hal-hal remeh seperti ini sebenarnya boleh menjejaskan kredibiliti KPDNKK di mata masyarakat umum. Pengguna tak selalunya akan datang mengadu dan pegawai-pegawai jangan hanya menunggu aduan di dalam bilik berhawa dingin. Mereka perlu proaktif turun ke lapangan kerana meraka dibayar gaji antaranya untuk tujuan itu.

Friday, September 6, 2013

DEDAH BAGAIMANA HASIL PETRONAS DIBELANJA

Harakahdaily, 06 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan  pimpinan Dato’ Seri Najib Razak disaran meminda Akta  Pembangunan Petroleum 1974 untuk menjadikan syarikat minyak negara Petronas  bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukan sekadar bertanggungjawab kepada Perdana  Menteri.

Langkah ini penting bagi menjamin ketelusan tadbir urus kewangan kerajaan dan  syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu di samping  mempertahankan kepentingan Petronas daripada  terus 'diperah' oleh kerajaan dengan dipaksa menyerahkan keuntungannya tanpa  ketelusan, malah dapat menjawab persoalan mengapa harga runcit petrol tidak  diturunkan apabila harga minyak mentah di pasaran antarabangsa mencatat kenaikan.

Gesaan ini dibuat sebuah badan pemikir bebas, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dalam kenyataan media dikeluarkan Pengarah Eksekutif Kajian Politiknya, Ooi Heng.

Menurut Oii, Najib ketika merasmikan Seminar Minyak dan Gas Asia 2013 (AOGC) di Pusat  Konvensyen Kuala Lumpur, 10 Jun lalu mengakui industri minyak dan gas menyumbang  lebih 40 peratus kepada pendapatan negara.
Malah Petronas dijangka menjana RM131.4 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).

Bagaimanapun pada 27 Ogos lalu, syarikat minyak itu mengumumkan bayaran dividen RM27  bilion kepada kerajaan bagi 2013, susut RM3 bilion berbanding tahun lalu.

"Ini bermakna pendapatan kerajaan akan menurun memandangkan Petronas adalah  penyumbang terbesar kepada sumber pendapatan kerajaan," ujar Oii.

Pada 2 September, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan mengumumkan harga diesel  dan minyak petrol RON95 dinaikkan sebanyak 20 sen seliter mulai tengah malam, 3  September.

Menurut Najib, ia salah satu langkah rasionalisasi atau penyusunan semula subsidi  yang dilaksanakan secara berperingkat oleh kerajaan dan bertujuan mengukuhkan  kedudukan kewangan negara dalam menghadapi persekitaran ekonomi dunia yang mencabar.

Oii menambah, keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu diburukkan lagi dengan  penurunan pendapatan kerajaan, penurunan eksport negara, kejatuhan nilai ringgit,   defisit fiskal yang tinggi dan pertumbuhan ekonomi negara yang gagal mencapai  sasaran.

Pemotongan subsidi minyak, ujarnya bertujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan di  samping mengganti balik pendapatan kerajaan yang berkurangan.

"Penting sekali, kenaikan harga minyak ekoran penstrukturan semula subsidi ini bakal  diikuti dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)," tegasnya.

Petronas adalah pembayar cukai dan sumber hasil terbesar negara yang membentuk  sekurang-kurangnya 30 peratus hasil kerajaan persekutuan.

Namun jelas Oii, butiran-butiran tentang bagaimana hasil yang disumbang itu dibelanja  dan digunakan oleh kerajaan tidak ditunjukkan dalam akaun rasmi atau didedahkan.

"Berikutan itu KPRU berpendapat, Petronas harus bertanggungjawab kepada Parlimen dan  tidak lagi disembunyikan daripada tatapan wakil rakyat dan rakyat Malaysia," ujarnya.

Followers