Sunday, March 10, 2013

PRU13 : LUAR BIASA BILA LEPASI TEMPOH 5 TAHUN

Harakahdaily, 10 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Tempoh lima tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 8 Mac 2008 lalu, kini sudah genap malah sudah lebih dua hari jika dikira sehingga tarikh hari ini 10 Mac 2013.

Rata-rata rakyat mula bercakap tentangnya yang selama ini tidak sabar menantikan bilakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen untuk diadakan PRU13.

Bairpun perkiraan mudah itu tidak termaktub dalam perlembagaan, namun bagi mereka, kerajaan BN bermula tarikh 9 Mac 2013 iaitu semalam, sudah dianggap kerajaan sementara (caretaker) kerana pentadbirannya sudah melebihi mandat lima tahun yang diberikan oleh rakyat pada PRU12 lalu.

Penantian rakyat untuk PRU13 sejak lebih tiga tahun lalu ini terus membawa kepada satu persoalan baru, iaitu mampukah kerajaan yang BN yang dipimpin Najib pada hari ini mematuhi prinsip-prinsip­ umum kerajaan caretaker.

Antara perinsip umum tersebut termasuklah memisahkan Umno BN dari kerajaan, tidak boleh meluluskan projek mega dan tidak boleh membentuk dasar-dasar baru yang mengikat kerajaan yang dibentuk selepas PRU13.

Ini satu lagi faktor yang akan dinilai oleh rakyat terhadap tahap 'keadilan' dalam proses berdepan pilihan raya seperti yang dituntut dalam beberapa himpunan Bersih sebelum ini.

Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam satu kenyataan semalam berkata, Malaysia boleh mencipta sejarah dunia dan disenarai dalam Guinness Book of Records sebagai negara yang paling lama berada dalam keadaan teka-teki tarikh pilihan raya di mana kempen pilihan raya telah bermula sejak empat tahun dahulu lagi.

Malah, beliau juga telah menganggap Najib secara tidak rasminya bukan lagi perdana menteri yang sah bermula tarikh 9 Mac iaitu semalam.

"Apatah lagi Najib merupakan Perdana Menteri paling lama tanpa mandatnya sendiri iaitu hampir empat tahun," katanya yang turut melontar persoalan adakah Najib akan membubarkan parlimen pada tarikh 11 Mac 2013 iaitu esok jam 11.11 pagi.

Barang diingat, Najib menjadi perdana menteri hanya bermula 3 April 2009 iaitu bagi menggantikan Abdullah Badawi yang gagal memperoleh dua pertiga kerusi parlimen pada pilihan raya 2008 yang menyaksikan Tsunami politik dalam negara ini.

Dengan kata lain, jawatan perdana menteri yang disandang Najib sehingga hari ini, masih lagi atas mandat Pak Lah pada 2008 dan bukan mandat diri beliau sendiri.

Bagi Ketua Penggerak Pemantau PRU Kelantan, Mohammad Faizal Che Yusof pula, tempoh melebihi lima tahun ini satu yang luar biasa bagi negara ini.

Maka katanya, sangat wajar bagi kerajaan yang disifatkannya juga sebagai caretaker ini untuk menghormati konvensyen yang diterimapakai oleh kebanyakan Negara demokrasi dunia hari ini berhubung prinsip-prinsip­ umum kerajaan caretaker.

"Harus diingat, melepasi lima tahun mandate yang diberikan oleh rakyat adalah suatu keluar biasaan amalan di Malaysia.

"Meskipun Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan hal berkaitan kerajaan caretaker, sebagai sebuah negara yang mengamalkan system demokrasi pilihan raya, konvensyen yang mengiktiraf prinsip-prinsip kerajaan caretaker ini perlulah dihormati," katanya.

Friday, March 1, 2013

MANIFESTO: PAS GIAT BERI KEFAHAMAN KEPADA RAKYAT

Anis Nazri, 28 Feb 2013HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Tawaran manifesto Pakatan Rakyat kini sedang giat disampaikan kepada rakyat melalui jentera penerangan PAS, khususnya di parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) tumpuan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata jentera parti kini dalam usaha memberi kefahaman kepada rakyat di peringkat akar umbi berkaitan Manifesto Pakatan Rakyat.

Lebih-lebih lagi, katanya selepas manifesto itu mendapat beberapa komen daripada pemimpin Umno yang ternyata bimbang dengan manisfesto yang bersifat baru dan adil untuk semua.

"Secara gerak kerjanya, PAS sudah bergerak secara tuntas sebelum ini lagi.  Dengan manifesto ini pula, kita tambah giat lagi dengan penerangan secara berkelompok berkaitannya," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau juga berkata penerangan manifesto berbentuk bahan cetakan juga sedang dilakukan bagi memudahkan penerangan kepada rakyat.

Beliau berkata, sebaran berbentuk risalah juga sedang dicetak untuk kali kedua bagi memudahkan pengundi memahami dengan jelas berkenaan tawaran Pakatan Rakyat.

Tambah Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga, secara dasarnya PAS sudah menggerakkan jentera partinya ke kawasan-kawasan tumpuan sebelum ini.

"Kita bertambah giat lagi dengan menumpukan kepada pengundi kerana pilihan raya akan diadakan bila-bila masa dalam tempoh tidak sampai dua bulan ini," tegas beliau.

Followers