Tuesday, July 26, 2011

KERAJAAN DIGESA SERIUS TANGANI JUALAN ARAK


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Gabungan Pertubuhan NGO Islam Malaysia (ACCIN) meminta pihak kerajaan supaya menangani dengan serius isu penjualan arak tanpa kawalan yang sedang berlaku di dalam negara.

Setiausahanya, Dr Mohd Roslan Moh Noh berkata, ACCIN meminta supaya tindakan lebih tegas dikenakan terhadap orang Islam yang didapati meminum arak.

Katanya, pihak jabatan agama perlu lebih hebat memantau kawasan-kawasan 'panas' untuk mencegah perbuatan tersebut.

“ACCIN bimbang dengan gejala ini dan melihat ianya boleh menjejaskan modal insan yang ingin dibina di dalam negara kita,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, golongan yang minum dan ketagih arak perlu dibendung, ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana mereka boleh menyebabkan berlaku banyak masalah sosial.

Oleh itu, ujarnya wajar bagi pihak kerajaan dan pelbagai agensi yang bertanggungjawab supaya memberikan perhatian serius tentang masalah tersebut.

Gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam bukan kerajaan terdiri daripada Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Research And Information Centre On Islam (RICOI), Persatuan Darul Fitrah Malaysia, Persatuan Al-Hunafa’, Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Pertubuhan Jama’ah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persekutuan Seruan Islam Selangor & W.P (JAM’IYAH), Islamic Information & Services Foundation (IIS).

Persatuan Dakwah Islamiah & Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia (AL-HIDAYAH), Interactive Muslimah Association (IMAN), Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (GEPIMA), Persatuan Kebajikan & Pengubatan Islam Malaysia (DARUSSYIFA), Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), World Assembly Of Muslim Youth (WAMY) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Saturday, July 16, 2011

HIBURAN: TINDAKAN AZIZAN BETUL, TIDAK PERLU RUNDING


Harakahdaily

BANGI, 15 Julai: Tindakan kerajaan Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengeluarkan arahan bertulis mengarahkan semua pusat hiburan di negeri itu menghentikan operasinya pada Ramadan ini adalah satu tindakan yang betul.

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyokong penuh tindakan tersebut kerana ia menguatkuasakan undang-undang yang telah sedia ada iaitu Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang perlu dihormati oleh setiap rakyat tanpa mengira kaum.


“Tindakan Datuk Seri Azizan adalah satu tindakan yang betul kerana ia berdasarkan undang-undang. Oleh itu, Isma menyokong tindakan beliau dan tidak timbul isu ia perlu dirunding semula,” kata presidennya, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman dalam satu kenyataan.

Katanya, sebagai menghormati bulan Ramadan yang mulia, pihak pengusaha pusat hiburan perlu mematuhi arahan tersebut walaupun sepatutnya aktiviti maksiat diharamkan bukan sahaja pada bulan Ramadan semata-mata.

“Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia bagi umat Islam, maka ia perlu dihormati dengan menghentikan aktiviti hiburan dan maksiat. Ia bukan sahaja patut diharamkan pada bulan ini, malah sepanjang tahun,” katanya.

Tambahnya, Isma juga berpendapat bahawa langkah yang diambil oleh pihak kerajaan negeri amat sesuai dengan imej Malaysia sebagai negara Islam.

Mengulas berkenaan tuntutan pihak DAP yang mahu perkara itu dirunding semula, Abdullah menyatakan bahawa tindakan melaksanakan undang-undang dan menegakkan syiar Islam tidak perlu dirunding sebaliknya harus dihormati oleh semua pihak.

Merujuk kepada kenyataan MCA pula, Abdullah mahu MCA menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara Islam yang merdeka dan memiliki undang-undang sendiri.

“MCA perlu terima hakikat bahawa Malaysia adalah negara Islam yang merdeka dan ada undang-undang sendiri. Jadi, tidak perlu merujuk kepada mana-mana norma asing seperti deklarasi hak asasi manusia atau sebagainya,” jelas beliau.

Wednesday, July 6, 2011

HIMPUNAN BERSIH UNTUK NASIHATI PEMERINTAH



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Himpunan aman Bersih yang menurut cadangannya akan diadakan dengan kerjasama pihak keselamatan dan pihak berkuasa di Stadium Merdeka pada 9 Julai nanti merupakan salah satu usaha menyampaikan nasihat kepada pemerintah dan rakyat yang diperintah secara baik.

Hal ini bersandarkan hadis Nabi s.a.w. riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat,” iaitu “(Nasihat) bagi Allah, bagi Kitab-Nya, bagi Rasul-Nya, bagi pemerintah orang-orang Islam dan rakyat mereka,” demikian menurut Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr. Khairuddin Razali.


Menurut beliau lagi, dalam konteks Bersih, nasihat adalah bertujuan agar pilihan raya yang menjadi tempat rakyat memilih teraju pemerintahan dijalankan oleh pihak berkenaan secara lebih telus dan adil dalam semua sudut dan bagi semua pihak.

Katanya, ketelusan dan keadilan akan menjurus kepada terpilihnya mereka yang beramanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah pemerintahan negara.

“Kita dalam masa yang sama menjunjung kasih di atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai tonggak negara dan payung rakyat jelata terhadap hasrat sebahagian rakyat mendapatkan hak mereka menyatakan pandangan dan nasihat dengan cara aman dan dibenarkan oleh perlembagaan negara,” ujarnya.

Menurutnya, keamanan dan kemakmuran negara serta perpaduan antara rakyat akan sentiasa utuh sekiranya kerjasama semua pihak sama ada pihak berkuasa yang memerintah dan rakyat yang diperintah dapat digembleng atas dasar kebajikan dan taqwa.

“Insya Allah ini sepertimana yang dianjurkan oleh al-Quran menerusi firman-Nya dalam surah al-Maa`idah, ayat 2 bermaksud “dan bekerjasamalah kamu atas dasar kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bekerjasama atas dasar dosa dan permusuhan,” ujar beliau lagi.

Followers