Sunday, September 26, 2010

SAMBUTAN HARI RAYA PAS CAWANGAN MERIAH


Muslimat juga turut hadir

YB Hj Mohd Anuar bin Sudin memberi ucapan


YB memberi sumbangan 'duit raya' kepada kanak-kanak


Minuman istimewa air kelapa muda , memang amat menyelerakan




* Sambutan hari raya gabungan 5 cawangan PAS ( Kpg Pdg Tembak , Kpg Banjar, Kpg Selabak Luar, Kpg Selabak Dalam dan Kpg Pdg Tembak Dalam )telah berlangsung pada 26 September 2010 Ahad bersamaan 17 Syawal 1431H bertempat di Markaz Pas Kawasan.
* Turut hadir YB Hj Mohd Anuar b Sudin ( ADUN Changkat Jong ) dan pimpinan Pas Kawasan Teluk Intan.
* Program bermula pukul 10.00 pagi dan berakhir pada 12.30 tengahari.
* Terima kasih diucapkan kepada semua hadirin dan urusetia yang bersama menjayakan program ini.

Saturday, September 25, 2010

JENAYAH : PERUNDANGAN SYARIAH PERLU AMBIL TEMPAT


Dzulfikar Mashoor HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ekoran kes jenayah yang tidak berkesudahan, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menggesa kerajaan pusat mula membincangkan secara serius perlaksanaan undang-undang syariah sebagai undang-undang alternatif di negara ini.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkara, kes jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang dibunuh dan dibakar seakan menggambar sistem perundangan sivil yang sedia ada dilihat kurang berkesan bagi membendung aktiviti jenayah.

"Cadangan kami, iaitu perlaksanaan syariah Islam atau undang-undang jenayah syariah Islam sebagai alternatif bagi mengatasi jenayah yang semakin parah ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media petang tadi di Pejabat Agung PAS selepas mesyuarat dewan itu hari ini.

Bagaimanapun katanya, rakyat seharusnya telebih dahulu diberi penjelasan berhubung keadilan perundangan Islam sebelum perlaksanaan dibuat sesuai dengan semangat demokrasi di tanah air.

Tambahnya lagii, alternatif itu juga selaras dengan muafakat yang dipersetujui bersama antara PAS, DAP dan PKR atas nama Pakatan Rakyat.

Ini kerana, kerajaan pusat sebelum ini pernah mengetepikan cadangan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu untuk melaksanakan undang-undang Syariah bagi memulihara sosial masyarakat.

Dari segi yang lain, beliau berkata, Dr. Rowan D. Wiliiams, seorang Paderi pernah mencadangkan undang-undang syariah sebagai perundangan alternatif bagi menangani kebejatan sosial di Barat.

"Kalau Barat melihat perlunya undang-undang syariah bagi mengekang gejala sosial dan jenayah yang begitu parah, kenapa tidak Malaysia yang majoritinya penduduk beragama Islam," soalnya sambil menganggap tindakan paderi itu adalah tidak salah mengikut lunas demokrasi.

Turut menyertai kenyataan media itu, Timbalan Ketua DPPP, Azman Shafawi dan Naib Ketua, Ahmad Sabki Yusof.

Wednesday, September 22, 2010

CEK 4 BILLION : KELANTAN SENARAI HITAM I'DA World


Rizal Tahir HARAKAHDAILY

KOTA BHARU, 22 Sept: Kerajaan Kelantan akan menyenaraihitamkan sebuah syarikat yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu berikutan pengumuman sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kerajaan negeri atau parti juga tidak pernah melantik Nik Din Nik Mat, yang juga adiknya mewakili beliau menerima replica cek berjumlah RM4 bilion pada majlis makan malam baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, di sini sebentar tadi.

Menurutnya lagi, Syarikat I’DA World Group Sdn Bhd (l’DA World) tidak mempunyai sebarang projek di negeri ini dan kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya.

“Saya tak hantar langsung wakil saya untuk menerima cek, malah media yang mendakwa penerima itu adalah wakil saya, karut belaka,” ujarnya.

Kerana itu, katanya syarikat berkenaan akan disenaraihitamkan.

Beliau bagaimanapun mengakui pemilik syarikat terbabit ada bertemu dengannya di rumah dan pejabat, namun ianya tidak membincangkan pasal perlantikan wakilnya hadir pada majlis itu nanti.

Dua malam lalu, syarikat I’DA World telah mengumumkan sumbangan RM4 billion kepada PAS Kelantan pada majlis makan malamnya yang diadakan disebuah hotel.

Replika cek berkenaan disampaikan oleh pengerusi eksekutif syarikat terbabit, Abdul Rahim Abdul Wahab kepada Nik Din yang juga adinda Tuan Guru.

Bagaimanapun, semalam Nik Din menafikan beliau mewakili mana-mana pihak.

Katanya, kehadiran beliau hanya memenuhi jemputan peribadi dari syarikat tersebut.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa ketika ditemui memberitahu tindakan syarikat terbabit boleh menjejaskan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut khususnya berhubung motif perkara itu.

“Ianya akan menjejaskan parti dan kerajaan. Kita semua tak hadir pada majlis itu sebab memang tak pernah bincangpun,” ujarnya.

Tuesday, September 21, 2010

HAPUS SEMUA GENGSTER, BUKAN INDIA SAHAJA


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Sept: PAS mahu pihak polis menumpukan usaha membanteras gengsterisme secara menyeluruh dan bukannya tertumpu pada kaum India sahaja seperti yang dipinta oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, jika pihak polis mengikut kehendak emosi Murugiah, masalah gengsterisme tidak akan selesai kerana ia bukan wujud kalangan kaum India sahaja.

“Kenyataan Murugiah dengan sendiri memberikan gambaran buruk tentang masyarakat India dan ini tidak sewajarnya dilakukan oleh beliau sebagai seorang menteri,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, gejala gengsterisme ini harus dihapuskan hingga ke akar umbi termasuk kalangan VIP dan ahli politik yang melindungi mereka.

Kumpulan gengster, katanya ada di mana-mana dalam negara kita termasuk dalam pilihan raya seperti serangan yang berlaku ke atas Markas Pemuda PAS ketika Pilihanr Raya Kecil Bagan Pinang.

Menurutnya, beberapa kawasan di Lembah Klang dikenali oleh masyarakat umum sebagai kawasan gengster seperti di Chow Kit, Jalan Pasar dan Jalan San Peng, Jalan Petaling dan Brickfield di Kuala Lumpur manakala di Selangor, kawasan Puchong dan Klang cukup ditakuti kerana menjadi sarang gangster dan ah long.

“Pemantauan dan siasatan terperinci untuk menghapuskan kumpulan-kumpulan ini yang sebahagiannya terlibat dengan jenayah berat termasuk membunuh, menculik, menyiksa dan menyerang mangsa mereka,” ujarnya.

Justeru, katanya PAS berharap agar pihak polis dapat menjalankan tugas mereka dengan jujur dan tidak terbabit sama dalam memberikan perlindungan atau bersubahat dengan kumpulan gangster.

PAS, tambahnya mahu satu jaminan daripada pihak polis tentang keselamatan rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata, negara ini sudah cukup terkenal sebagai negara transit dadah, pemerdagangan orang dan juga penyeludupan barang serta penjenayah dan amat merisaukan jika dalam negra sendiri gengterisma dibiarkan berleluasa.

“Hapuskan mereka tanpa mengira gengster India, Cina atau Melayu kerana tiada bangsa dan agama yang membenarkan kewujudan kumpulan samseng dalam komuniti mereka,” tegasnya.

Monday, September 20, 2010

GELARAN SULTAN MUHAMMAD KE- V MULA DIGUNAPAKAI


Mohamed Zainal Abidin Hussin HARAKAHDAILY
KOTA BHARU, 20 Sept: Penggunaan gelaran Sultan Muhammad V mula digunapakai dalam upacara rasmi kerajaan hari ini apabila Timbalan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan menggunakan istilah tersebut dalam perhimpunan bulanan kakitangan Kota Darulnaim pagi ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata dengan pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru bergelar Sultan Muhammad V dalam suasana merayakan Aidilfitri baru-baru ini akan menambahkan lagi kekuatan rakyat dan negeri Kelantan dalam mewujudkan persekitaran Islam yang telah dibina sejak 20 tahun lalu.

“Sepanjang Ramadan yang baru saja berlalu, masyarakat Kelantan dapat merasai dengan jelas persekitaran baru yang ada di negeri ini yang begitu jauh berbeza dengan apa yang ada sebelum ditadbir dengan pendekatan Islam,” kata beliau di hadapan lebih seribu kakitangan awam.

Masjid-masjid menurut beliau dipimpin oleh imam-imam yang menghafal 30 juzuk al-Quran dan mendapat latihan kepimpinan Islam yang berkualiti.

“Bandar kita bergema dengan laungan zikir dan suasana ibadah yang mampu manjauhkan segala bentuk keburukan dan maksiat yang dimurkai,” ujar beliau.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa penjawat awam Kelantan akan muncul sebagai pasukan terbaik dengan kualiti tinggi selepas sebulan menyertai tarbiyah Ramadan.

“Pelbagai program Ramadan seperti Qiamullail, tadarus Quran, solat sunat Tarawih dan pelbagai lagi sudah pasti akan mengangkat darjat kita semua menjadi mereka yang siap sedia memikul beban berkhidmat untuk rakyat sebagai hamba Allah yang terbaik (ahsanu amala),” jelas beliau lagi.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias yang menjelaskan kronologi pemasyhuran Sultan baru-baru ini berharap setiap anggota kakitangan memahami dengan baik isu ini agar dapat menjadi jurucakap kerajaan jika terdapat suara-suara sumbang yang cuba mengelirukan perkara sebenar.

“Kita sedar ada pihak yang cuba menggunakan akhbar untuk menimbulkan keraguan berkaitan pemasyhuran baginda Sultan, dan menjadi tanggungjawab saya untuk memberi penjelasan supaya semua pihak mendapat gambaran yang sebenar,” kata beliau.

Beliau kemudian menjelaskan dengan terperinci kaedah perlantikan Sultan yang baru berdasarkan pindaan kepada undang-undang tubuh kerajaan negeri yang telah diwartakan pada 20 Julai yang lalu.

“Kita turut sukacita kerana Duli Yang Maha Mulia Sultan yang baru berkenan untuk meminda beberapa kebiasaan supaya lebih bertepatan dengan kehendak Islam,” ujar beliau.

Antara lain, Aiseri mengumumkan penggantian penggunaan Daulat Tuanku dengan Allahu Akbar dan penggunaan gelaran Sultan Muhammad ke V bagi diri baginda.

Sunday, September 19, 2010

LAPORAN AUDIT BUKTI HASIL KEDAH MENINGKAT


Mohd Shubihi Muhamad Zain HARAKAHDAILY
ALOR SETAR, 19 Sept: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak meminta Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid meneliti laporan audit negara bagi mendapatkan bukti peningkatan hasil negeri 205 peratus seperti yang dikehendakinya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media ketika meraikan puluhan ribu pengunjung berbilang bangsa ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, petang semalam.

Kelmarin, bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kedah yang digugurkan itu meminta kerajaan negeri memberikan penjelasan mengenai dakwaan terdapat peningkatan mendadak hasil negeri 205 peratus tetapi tiada sebarang pembangunan yang dilaksanakan di negeri itu.

Menurut Azizan, laporan audit tersebut secara jelas menunjukkan peningkatan hasil negeri yang amat ketara selepas Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran dari Barisan Nasional (BN) yang diterajui Mahdzir.

"Laporan audit negara dibentangkan di dalam parlimen, kalau dia nak pertikai, bermakna dia tak yakin dengan apa yang dibahaskan di parlimen.

"Pembalakan menyumbang kepada peningkatan hasil yang amat ketara, dari RM8 juta setahun menjadi RM38 juta setahun. Budak sekolah pun boleh beza yang mana lebih tinggi di antara kedua-dua angka itu," katanya sinis.

Menurutnya lagi, bidang pertanian masih menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah seperti tahun-tahun sebelumnya walaupun tidak mengalami peningkatan yang ketara seperti bidang pembalakan.

Saturday, September 18, 2010

TAHYUL : SIARAN TV HARI RAYA TIDAK BINA MINDA


Mohd Ali Hashim HARAKAHDAILY


JERAI, 18 Sept: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar membidas kerajaan yang membenarkan siaran berunsur tahyul dan tidak berfaedah di televisyen sepanjang sambutan hari raya Aidilftri.


Beliau berkata, sepatutnya Kementerian Penerangan mengkaji semula semua siaran televisyen yang tidak menjurus kepada membina minda masyarakat.
"Mereka menghidangkan hiburan yang merosakkan minda rakyat yang menonton, khususnya remaja dan anak muda. Banyak siaran yang memaparkan kisah hantu dan tahyul seperti Susuk, Congkak, Jangan Pandang Belakang dan sebagainya tidak memberi manfaat.


"Apa sebenarnya yang ingin mereka paparkan ialah merendahkan martabat rakyat tanpa disedari. Rakyat juga diajar dengan kerja-kerja tahyul.


"Sepatutnya kementerian berasa malu kerana tahap program kita banyak menekankan perkara syirik dan palsu. Oleh kerana itu bagi mengubah sistem penyiaran ini, maka Pakatan Rakyat (PR) harus diberi peluang untuk menerajui Kerajaan Pusat," katanya lagi.


Beliau yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat turut menyatakan seandainya PR mampu menerajui Putrajaya, maka banyak program membina iman dan takwa akan dilaksanakan.


"Ini membuktikan Barisan Nasional (BN) sudah tidak mampu lagi untuk membina minda dan membentuk masyarakat melalui program-program yang membina.


"Kemungkinan besar mereka takut sekiranya minda rakyat dapat dibina melalui program kesedaran dan keimanan, maka sokongan kepada mereka akan semakin terhakis apabila kepalsuan dan retorik yang selama ini mereka amalkan terbongkar," ujarnya lagi.
Next >

Friday, September 17, 2010

PAKATAN RAKYAT LANCAR SEKRETARIAT SABAH


Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 17 Sept: Kerjasama dan komitmen antara PAS, PKR dan DAP akan memastikan Pakatan Rakyat dapat merampas Sabah dari Umno BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata kesemua parti dalam kompenen pakatan rakyat itu telah memeterai perjanjian bersama untuk tujuan tersebut dengan menubuhkan Sekretariat Pakatan Rakyat Sabah baru-baru ini.


Selain Nasharuddin yang mewakili PAS, pelancaran sekretariat tersebut juga disempurnakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan slogan 'Selamatkan Sabah, Selamatkan Malaysia'.Majlis pelancaran berlangsung sempena jamuan makan malam Pakatan Rakyat Sabah di Restoran Putera, Bukit Padang, Kota Kinabalu, Rabu lalu."PAS, PKR dan DAP telah melancarkan Pakatan Rakyat Sabah dan kita akan wujudkan satu sekretariat di Sabah bagi mentadbir hal ehwal Pakatan di sana," kata Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok ketika dihubungi Harakahdaily.


Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat berazam mahu membawa rakyat Sabah jauh ke hadapan berbanding ketinggalan pada waktu ini biarpun 47 tahun negeri itu merdeka dan diperintah Barisan Nasional."Kita dedahkan kepada rakyat yang hadir bahawa sudah sampai masanya untuk Pakatan Rakyat diberi peluang untuk mentadbir begeri itu kerana sudah 47 tahun negeri itu merdeka, namun Sabah masih ketinggalan di belakang dan baru sekarang kerajaan seolah-olah memberikan perhatian terhdap kebajikan rakyat negeri itu setelah lama diabaikan," jelas beliau.


Sementara itu, Anwar dalam ucapannya sewaktu majlis pelancaran itu berkata, Pakatan Rakyat berjanji untuk menghormati kuasa Autonomi Pakatan Rakyat Sabah dalam membentuk polisi negeri.Manakala Kit Siang dalam ucapannya pula berkata, pelancaran itu membuktikan Pakatan Rakyat telah bersedia sepenuhnya bagi menewaskan BN pada PRU 13 akan datang.

Thursday, September 16, 2010

PAS PERTAHAN PRINSIP ADIL UNTUK SEMUA ETNIK

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Sept: PAS mempertahankan prinsip bahawa kesemua etnik yang membina negara Malaysia ini perlu dilayan dengan adil dan saksama sesuai dengan keadilan sebenar yang diajar agama Islam.

Dalam perutusan Hari Malaysia, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS komited untuk menjadikan kepelbagaian etnik dalam negara ini sebagai asas memperkukuhkan negara Malaysia yang dicintai ini.

"PAS bukan sahaja akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum ini dengan berasaskan sikap Islam sebenar yang dinyatakan oleh Al-Quran dan ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w., bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan negara Malaysia itu sendiri," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Sambil mengucapkan Selama Hari Malaysia buat semua rakyat negara ini, beliau turut mengingatkan bahawa sikap memperlekehkan bangsa lain adalah sifat buruk yang mesti dijauhi oleh semua bangsa dan agama.

Selain itu menceroboh dan menghalang hak seseorang juga adalah amat bercanggah dengan prinsip keadilan Islam manakala sikap berlaku adil pula adalah merupakan ciri taqwa orang yang beriman.

Mengulangi pendiriannya dalam ucapannya di Muktamar Agung PAS yang lalu, beliau berkata kepelbagai etnik termasuk yang wujud di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama adalah satu kelebihan dan keistimewaan yang perlu dimanfaatkan.

"Kerencaman ini sekiranya diolah dengan baik akan menjadikan negara kita ini sebagai satu kuasa yang hebat, sebaliknya sebarang kesilapan akan membawa padah yang besar. Inilah yang kita lihat setelah 47 tahun negara Malaysia diwujudkan, dengan kelemahan pimpinan UMNO-BN yang sepatutnya sudah membawa negara tercinta ini berdiri teguh dan mampu untuk menjadi pelindung kepada rakyat," katanya.

Wednesday, September 15, 2010

TIADA RASA AIB PUNCA SANGGUP MEMBUNUH


HARAKAHDAILY


KOTA BHARU, 15 Sept: Pembunuhan ngeri jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga lagi rakannya turut mendapat simpati Menteri Besar Kelantan.
Sehubungan itu, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.


“Saya harapkan supaya keluarga mereka dapat bersabar dengan ujian Allah SWT, ini ditambah pula ia berlaku pada saat umat Islam sedang menyambut Hari Raya Idulfitiri.
“Sesungguhnya, tidak ada sesiapa yang boleh menerima perbuatan seorang manusia boleh membunuh orang lain. Nyawa seorang manusia itu tidak dimiliki oleh sesiapa pun hatta dirinya sendiri.


“Justeru Islam melarang membunuh diri kerana nyawa bukan milik manusia. Perbuatan sekejam ini berpunca daripada tidak wujudnya rasa malu dan aib di hati pembunuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya perasaan malu dan aib merupakan jentera keselamatan yang boleh mengawal diri manusia daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan mudharat sama ada kepada diri atau orang lain.


Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu kehendaki” – hadis riwayat Imam Bukhari.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berharap pemimpin negara sentiasa menghebahkan peringatan supaya rakyat bertaqwa dan gerun kepada Allah SWT.
Katanya, perlu diingatkan supaya rakyat merasa gerun dengan azab kubur dan seksa api neraka.


”Tanpa peringatan-peringatan seperti ini, tidak ada penghalang yang boleh mendinding manusia dari melakukan jenayah. Hasilnya, kita mendengar kes-kes pembunuhan kejam berlaku sepanjang masa tanpa mengira bangsa dan agama.
”Namun sayang sekali tugas memperingatkan manusia agar bertaqwa kepada Allah SWT hanya diserahkan kepada imam dan lebai sahaja.


”Ini seolah-olah persoalan iman dan taqwa ini hanya boleh disebut di mimbar masjid. Inilah benih yang dituai oleh sekular sekian lama dan kini menampakkan hasilnya,” ujarnya.
Sosilawati, 47, bersama pembantunya, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.


Kemudian pada 11 September lalu polis mengesahkan berdasar pengakuan empat suspek, mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting di Selangor.
Menteri Besar berkata, masyarakat diulit dengan demokrasi yang tidak pernah menyebut persoalan iman dalam sukatan pengajiannya.


Katanya, apabila iman tidak diperkenalkan, lahirlah generasi kepimpinan yang langsung tidak pernah tertarik untuk mengajak rakyat untuk beriman.
”Natijahnya terbentuklah suasana yang kita saksikan pada hari ini,” ujarnya.
Menurut beliau, sekiranya masalah iman dititikberatkan, insya Allah akan berputik rasa gerun dan takut kepada Allah SWT di hati rakyat.
Menurutnya, bukan gerun dan takut kepada undang-undang yang dibuat manusia sahaja.

Tuesday, September 7, 2010

FELCRA : PAS BELUM DEDAH, UMNO BN SUDAH CEMAS

Hazayani Zakaria harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Sept: Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman menafikan dakwaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bahawa pihaknya sedang mengedarkan risalah berunsur fitnah terhadap Felcra di kawasan penempatan peneroka.

Mazlan juga menyangkal dakwaan Zambry bahawa pihaknya sengaja membuat tohmahan terhadap Felcra bertujuan menimbulkan kebencian peneroka terhadap Umno Barisan Nasional (BN) sebaliknya menegaskan mereka mempunyai bukti yang kuat untuk didedahkan.

"Kalau mereka kata kita sengaja membuat fitnah dan tohmahan terhadap Felcra, sebenarnya saya sudah tegaskan beberapa kali kita punyai bukti dan selepas hari raya ini kita akan mendedahkan secara bersiri bukti-bukti yang ada pada kita," katanya.

Dalam satu majlis di Sitiawan semalam, Zambry 'menasihati' peserta rancangan Felcra supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai 'dakyah dan tohmahan' terhadap Felcra yang didakwa giat dijalankan oleh PAS.

Sebelum ini, Pengerusi Felcra Bhd, Datuk Tajuddin Abdul Rahman juga mendakwa PAS kini giat melancarkan "perang saraf" terhadap Felcra termasuk mengedarkan pelbagai risalah yang memburukkan agensi itu ke seluruh tanah rancangan Felcra.

Tambah Mazlan juga, pemimpin Umno BN termasuk Tajuddin mula cemas dengan pendedahan yang dibuat pihaknya setelah melihat kejayaan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) membuat pendedahan mengenai Felda.

"Saya berpendapat bahawa bila kita mula dedahkan isu Felcra mereka rasa cemas sebab mereka tahu berdasarkan pengalaman kita dedahkan isu Felda yang membangkitkan gelombang di kalangan rakyat.

"Mereka takut akan hadapi nasib yang sama dengan Felda dan bimbang segala penyelewengan yang dilakukan akan terbongkar," katanya lagi.

Ujarnya, Umno BN tidak perlu takut berhadapan dengan tuduhan jika mereka tidak bersalah.

"Mereka tdak perlu bimbang jika tidak melakukan apa-apa kesalahan tapi bila mereka rasa bimbang saya kira isu ini mendapat tempat yang istimewa sama ada pada Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, Tajuddin sendiri dan Zambry melatah kerana Felcra paling banyak di Perak," ujarnya yang juga pengerusi Anak.

Sementara itu, mengulas mengenai penubuhan satu lagi NGO iaitu Badan Bertindak Warga Felcra atau singkatannya (Bapa), Mazlan memberitahu, ianya akan dilancarkan secara rasmi selepas hari raya nanti.

Pengerusi penaja NGO itu akan diamanahkan kepada Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria manakala ahli jawatankuasa dan pengerusi NGO itu akan diserahkan kepada peserta Felcra sendiri.

"Selepas pelancaran Bapa kita akan mulakan siri pendedahan kita untuk kita buktikan apa yang kita cakap ini benar.

"Tajuddin pernah cakap ini rekaan semata-mata tapi saya tegaskan ini bukan rekaan dan kita ada bukti dan akan dedahkan satu demi satu," katanya.

Penubuhan Bapa adalah hasil himpunan warga Felcra di Changkat Lada, Perak pada 31 Julai lalu.

PAS MULAKAN TINDAKAN SAMAN TERHADAP ZAM

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Sept: PAS akan menghantar surat kepada bekas Menteri Penerangan, Datuk Zainudin Maidin (Zam) bagi meminta bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu itu memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnahnya terhadap parti Islam itu.

Pengerusi Lajnah Guaman PAS, peguam Mohamed Hanipa Maiden (gambar) berkata, jika Zam tidak berbuat demikian, beliau akan memfailkan saman terhadap Zam selepas hari raya ini.

"Saman ini akan difailkan atas nama Setiausaha Agung PAS," kata Hanipa kepada Harakahdaily. Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi mengesahkan perkara ini.

Selain Zam, beberapa akhbar yang menyiarkan kenyataan Zam ini akan dinamakan sebagai defendan dalam kes ini, kata Hanipa.

Zainuddin sebelum ini mendakwa kononnya PAS meminta Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj merampas harta orang cina ketika tragedi 13 Mei 1969 serta dakwaan kononya PAS menyebelahi Indonesia ketika konfrontasi antara Malaysia dengan negara tersebut.

Ia telah disiarkan dalam Utusan Online dan beberapa akhbar lain termasuk akhbar Cina.

Ekoran itu beberapa laporan polis telah dibuat oleh PAS di seluruh negara bagi membantah kenyataan itu.

Semalam, Zam dengan angkuhnya mempertahankan kenyataan beliau itu.

Menurut Hanipa, kenyataan Zam itu adalah fitnah yang sangat jahat dan tidak bertanggungjawab terhadap PAS tambahan pula ia dibuat di bulan Ramadhan.

Beliau juga mendapati kenyataan itu memutar belitkan fakta sejarah.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad menyelar kenyataan Zam itu.

Hujah Zam itu, jelasnya, bukan sahaja dangkal malah menjelaskan lagi bahawa beliau iadalah seorang yang istiqamah menentang perjuangan yang di bawa oleh PAS daripada muda sampai tua.

Beliau juga yakin, tujuan utama Zainuddin adalah untuk menimbulkan keresahan di kalangan orang Cina di negara ini terhadap PAS seperti beberapa serangan api perkauman telah ditiup dengan kencang di dalam negara ini hasil daripada provokasi Umno.

"Kalaulah PAS hendak rampas harta orang Cina, maka PAS tidak perlu minta bantuan Tunku Abdul Rahman.

"PAS boleh buat sendiri terhadap Cina di Kelantan yang minoriti. Hakikat yang berlaku ialah tidak ada seorang pun Cina yang dibunuh dan sebuah kedai pun yang dibakar oleh orang PAS di Kelantan," katanya.

Monday, September 6, 2010

PAS CABAR ZAINUDDIN DEDAH NAMA

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Sept: PAS yakin kedegilan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menarik balik tuduhannya adalah kerana sikap dendam mendalam sejak sekian lama terhadap parti itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, pemimpin Umno sebenarnya sakit hati kepada PAS kerana semua isu yang dibangkitkan mereka terkubur dan tidak mendapat sambutan rakyat.

"Malahan pemimpin PAS menjawab dengan matang dan tenang, berdasarkan nas syarak, ini yang menyebabkan Zainudin Maidin sakit hati," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau mengulas pendirian Zainuddin yang tetap mempertahankan tudahan bahawa PAS pernah berjumpa dengan Tunku Abdul Rahman dan menyuruh Tunku merampas harta orang Cina sewaktu peristiwa 13 Mei 1969.

Menurutnya, adalah satu perkara yang mustahil perkara yang sebesar itu, tidak diambil serius oleh Tunku.

Sehubungan itu, beliau mencabar Zainuddin mendedahkan siapakah nama pemimpin PAS yang didakwa berjumpa dengan Tunku tersebut.

"PAS adalah parti yang mempunyai dasar dan organisasi yang teratur.

"Sebarang keputusan dasar yang dibuat oleh mana-mana individu, daripada Mursyidul Am hinggalah ahli biasa tidak dianggap mewakili pandangan parti melainkan setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Pas Pusat, Syura dan Muktamar. Contohnya ketika Pas hendak menyertai Kerajaan Campuran dengan Perikatan, kemudian Barisan Nasional," jelasnya.

Hujah Zainuddin itu jelasnya bukan sahaja dangkal, malah menjelaskan lagi bahawa beliau iadalah seorang yang istiqamah menentang perjuangan yang di bawa oleh PAS daripada muda sampai tua.

Beliau juga yakin, tujuan utama Zainuddin adalah untuk menimbulkan keresahan di kalangan orang Cina di negara ini terhadap PAS seperti beberapa serangan api perkauman telah ditiup dengan kencang di dalam negara ini hasil daripada provokasi Umno.

"Kalaulah PAS hendak rampas harta orang Cina, maka PAS tidak perlu minta bantuan Tunku Abdul Rahman.

"PAS boleh buat sendiri terhadap Cina di Kelantan yang minoriti. Hakikat yang berlaku ialah tidak ada seorang pun Cina yang dibunuh dan sebuah kedai pun yang dibakar oleh orang PAS di Kelantan," katanya.

Ekoran kenyataan itu juga, beberapa laporan polis sudah dibuat oleh PAS meminta Zainuddin disiasat

AKUR BANTAHAN, TV3 TARIK BALIK IKLAN KONTROVERSI

Nazri Abdullah - Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Sept:
Setelah dikritik dan dibantah banyak pihak, stesen televisyen swasta TV3 hari ini menarik balik iklan kontroversi Aidil Fitri yang disiar stesen itu sejak beberapa hari lalu.Iklan tersebut didakwa seperti cuba menyamakan perayaan Aidil Fitri dengan unsur-unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memuatkan elemen menaiki beca terbang ala Santa Claus, bunga teratai dan pelita.Pihak mereka juga turut memohon maaf di atas penyiaran iklan tersebut yang telah mengguris hati umat Islam.Permohonan maaf itu diumumkan melalui Buletin Utama jam 8 malam tadi.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Pusat bercadang menghantar surat bantahan ke stesen televisyen tersebut dan juga kepada Kementerian Penerangan esok ekoran penyiaran iklan tersebut.Selain mengguris perasaan umat Islam, iklan tersebut juga dakwa mereka mengelirukan dan boleh menjerumuskan umat Islam ke kancah syirik.

Biarpun menepati konsep 1Malaysia, namun iklan tersebut dilihat mencemar kemuliaan Aidil Fitri yang akan disambut umat Islam tidak lama lagi.Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) digesa cermat dan memantau iklan, filem dan drama yang bertentangan dengan nilai dan syariat Islam sepanjang perayaan ini.

Iklan tersebut juga mendapat kritikan hebat umat Islam di laman FaceBook yang mandakwa TV3 sengaja mahu membangkitkan kemarahan orang Islam.Mereka juga mendakwa, iklan tersebut adalah yang paling rendah nilai dalam sejarah iklan TV3.

Sunday, September 5, 2010

IKLAN IDIL FITRI : PEMUDA PAS HANTAR BANTAHAN KE TV3

Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat akan menghantar surat bantahan ke stesen TV3 dan juga kepada Kementerian Penerangan berkaitan siaran iklan Aidil Fitri yang didakwa mengelirukan.

Iklan tersebut didakwa seperti cuba menyamakan perayaan Aidil Fitri dengan unsur-unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memuatkan elemen menaiki beca terbang ala Santa Claus, bunga teratai dan pelita.

Bantahan tersebut akan dihantar pada Isnin ini, 6 September 2010.

"Iklan Aidil Fitri ala Santa Claus ini juga dilihat sebagai satu perbuatan menghina agama Islam dan mendidik penonton khasnya kanak-kanak menjadi syirik.

"Ia sangat mengguris perasaan dan sensitiviti ummat Islam," kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS katanya menggesa agar TV3 segera membatalkan penyiaran iklan tersebut.

"Kalaupun pihak mereka mahu mempromosikan 1 Malaysia , janganlah keterlaluan sehingga mengenepikan persoalan sensitif mengenai agama dan pegangan hidup ummat Islam," katanya lagi.

Selain itu mereka mendesak agar TV3 memohon maaf kepada ummat Islam di atas penyiaran iklan yang bercanggah dengan Syara' dan memberi gambaran yang salah tentang Aidil Fitri sebagai satu hari yang mulia dalam diari ibadah ummat Islam .

Manakala Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) pula digesa memantau iklan, filem dan drama yang bertentangan dengan nilai dan syariat Islam sepanjang perayaan ini.

"Nampaknya tidak memadai iklan atau filem ditapis oleh pihak Finas jika perkara-perkara yang menjejas nama baik Islam masih terus berleluasa di dalam media elektronik negara kita," katanya.

Sementara itu, iklan tersebut juga mendapat kritikan hebat uamat Islam di laman FaceBook yang mandakwa TV3 sengaja mahu membangkitkan kemarahan orang Islam.

Mereka juga mendakwa, iklan tersebut adalah yang paling rendah nilai dalam sejarah iklan TV3.

Saturday, September 4, 2010

MANIPULASI ISU AGAMA DEDAH KEJAHILAN UMNO


Mohd Nasir Awang - HARAKAHDAILY

BESUT, 3 Sept: Meski pun Barisan Nasional (BN), khususnya Umno begitu beriya-iya menjatuhkan imej dan kredibiliti PAS menerusi manipulasi isu-isu berkaitan agama dan sentimen Melayu kebelakangan ini, kegelojohannya berbuat demikian sebaliknya lebih mendedahkan kejahilan parti itu terhadap ilmu Islam sebenarnya.

Di masa sama, kebijaksanaan dan keikhlasan PAS menerangkan kedudukan sesuatu isu berlandaskan ilmu Islam yang sebenar akhirnya berjaya menambat hati rakyat negara ini menjadikan parti itu sebagai alternatif kepada Umno/BN.

“Rakyat seluruh negara menunggu dengan penuh harapan agar PAS menerajui dan mendidik mereka dengan ilmu Islam, yang sentiasa membawa sinar kebenaran yang tak boleh dipertikaikan,” tegas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Beliau menyatakan demikian di dalam ceramahnya di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah, dekat sini malam tadi.

Turut berucap di majlis ceramah itu ialah Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar.

Menurutnya, para pemimpin PAS telah menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan yang amat mengagumkan masyarakat, terutama kalangan bukan Islam, dalam menangani beberapa isu berkaitan Islam dan Melayu kebelakangan ini.

“Kita tidak mudah melatah, bukan macam para pemimpin Umno yang bagaikan hilang akal, dibantu surat-suratkhabar yang dikuasai mereka memainkan isu-isu agama secara ekstrem dan mengapikan isu perkauman yang sempit secara tidak bertanggungjawab,” katanya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian merujuk manipulasi yang terlampau oleh para pemimpin Umno dan media kroninya dalam isu-isu terkini berkaitan agama.

Paling baru ialah isu seorang khatib mendoakan kesejahteraan untuk Ketua Menteri Pulau Pinang dan isu dua wakil rakyat bukan Islam memasuki surau dan masjid di Selangor.

Beliau mempersoalkan apa rasionalnya Umno terlalu memainkan isu berkenaan, sedangkan ia bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Beliau membawakan contoh dan bukti bahawa perkara sama telah dilakukan oleh para pemimpin bukan Islam dari komponen BN sendiri.

“Sebaik saja berita ini tersiar, pagi-pagi esoknya seorang bekas wakil rakyat BN di Johor telefon saya. Dia kata, ‘YB, this is too much (ini sudah melampau). Saya dulu pun masuk masjid, buat ucapan dalam masjid di kawasan saya. Umno tak kisah pun,” Salahuddin menceritakan luahan kecewa bekas wakil rakyat BN itu.

Beliau merujuk isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memasuki Surau al-Huda di Kajang, yang dijadikan bahan utama media arus perdana baru-baru ini. Isu itu dimanipulasi sepenuhnya oleh para pemimpin BN dan media kroninya, bukan sahaja di atas dakwaan penghinaan terhadap Islam, malah turut dijadikan bahan menyerang pendirian PAS berhubung isu agama.

Salehuddin turut menyebut pendedahan media siber mengenai tindakan seorang wakil rakyat bukan Islam di Parlimen Pontian yang juga memasuki masjid beberapa hari selepas itu.

“Adun Pulai Sebatang, seorang pemimpin MCA, masuk ke masjid rasmikan program tadarus dan khatam al-Quran. Kenapa Umno tak kecoh?” soalnya.

Beliau turut menarik perhatian hadirin kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Mac lalu yang menetapkan bahawa orang bukan Islam dibolehkan memasuki masjid dan surau, termasuk ruang solat.

“Sebab itu rakyat yang rasional jadi keliru (dengan reaksi terlampau para pemimpin Umno). Rakyat tertanya-tanya kenapa Umno seolah-olah orang hilang akal dalam isu ini, kenapa tak rujuk Majlis Fatwa?” soalnya lagi.

Baginya, tabiat buruk Umno itu menyebabkan parti itu semakin ditolak rakyat. PAS pula beliau yakin sedang bergerak dengan serius untuk mengambil tempat Umno dalam memperjuangkan nasib rakyat, terutama bangsa Melayu dan agama Islam.

Hadir sama Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Datuk Husain Awang dan Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.
Next >

Followers