Monday, August 30, 2010

SAMAN PETRONAS DEMI MARUAH RAKYAT- NIK AZIZ


Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Tindakan memfailkan saman terhadap Petronas adalah atas dasar menjaga kehormatan harta rakyat negeri Kelantan yang telah dirampas oleh Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, sebagai ketua kerajaan bertanggungjawab, beliau perlu memastikan hak rakyat Kelantan dikembalikan walau terpaksa ke mahkamah.

"Wajib atas saya sebagai ketua kerajaan dan penolong-penolong saya menjaga harta Kelantan dengan apa cara sekalipun samaada dengan rundingan, termasuk juga melalui mahkamah.

"Kami hari ini datang kerana menunuaikan tugas agama menjaga harta rakyat Kelantan iaitu petroleum, gas dan sebagainya," kata Nik Aziz pada sidang media selepas selesai memfailkan saman berkenaan dan menunaikan solat hajat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pagi tadi.

Mursyidul Am PAS itu turut berkata, dalam al-Quran ada dinyatakan mengenai lima perkara yang mesti dijaga iaitu akidah, nyawa, harta, nasab dan maruah.

Justeru, beliau dan exco kerajaan negeri memilih untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah sebagai jalan penyelesaian memandangkan tuntutan secara rundingan agar royalti petroleum dikembalikan kepada negeri tidak diendahkan Kerajaan Persekutuan.

"Kami datang ke mahkamah ini kerana saya sebagai ketua negeri dan rakan-rakan daripada exco mahu mempertahankan harta kami," katanya lagi.

Tambahnya, beliau bagi pihak kerajaan negeri yang mewakili rakyat Kelantan amat berharap agar mahkamah dapat mengadili kes itu seadil-adilnya kerana soal keadilan terkandung dalam al-Quran yang wajib diikuti oleh orang Islam.

"Kami berdoa kepada Allah S.W.T minta semua yang mengendalikan urusan harta kami ini iaitu peguam, hakim dan sebagainya supaya terbuka pintu hati mereka, ingat kepada keadilan. Keadilan ini wajib ditunai dan diseru dalam al-Quran sebelum ada PBB di muka bumi ini, sebelum ada apa-apa akta di dunia ini," katanya lagi.

Kira-kira jam 9.30 pagi tadi kerajaan Kelantan memfailkan saman di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.

Selepas itu, Tuan Guru Nik Aziz yang diiringi kepimpinan kerajaan negeri, ahli-ahli parlimen PAS, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan kira-kira 200 orang menunaikan solat hajat di Masjid Wilayah.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, mereka yakin berada di pihak yang benar kerana segala fakta mengenai royalti petroleum termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974 jelas membuktikan Kelantan berhak mendapat royalti tersebut.

"Kita sebelum ini teleh menghubungi Petronas, Perdana Menteri dan membuat kenyataan yang menjelaskan kedudukan Kelantan dari segi hak petroleum seperti mana perjanjian petroleum 1974 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974," katanya.

Menurutnya juga, tiada sebarang kekeliruan dalam perjanjian itu dan mendapat sokongan bekas pengerusi petronas pertama, Tengku Razaleigh Hamzah yang menandatangani perjanjian tersbut bagi pihak Petronas dengan negeri-negeri termasuk Kelantan.

Dalam perjanjian tersebut dinyatakan bahawa jika pengeluaran petroleum dan gas berlaku sama ada di daratan atau di lautan sesuatu negeri, maka negeri tersebut berhak mendapat royalti sebanyak lima peratus setahun.

Namun, royalti berkenaan tidak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan sejak tahun 2004.

Manakala peguam kanan Tommy Thomas yang mewakili kerajaan Kelantan optimis untuk memnenagi kes tersebut berdasarkan pengalaman beliau berhadapan dengan Kerajaan Terengganu dalam kes yang sama.

"Kita yakin boleh menang kes ini dan kita sangat berharap dapat menang untuk mengembalikan hak rakyat Kelantan," katanya.

Sunday, August 29, 2010

TIDAK FAHAM AGAMA PUNCA POLEMIK


Rizal Tahir HARAKAHDAILY
KOTA BHARU, 29 Ogos: Isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana ianya antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu ini menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni.

“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.

“Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid”, katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu, yang kini hangat diperkatakan.

“Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, tindakan mempolemikkan isu tersebut juga bukan sahaja akan menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam, malah bertentangan dengan sunnah Nabi.

“Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi,” ujarnya.

Dalam Islam menurutnya, Muaalaf ditafsir dengan tiga golongan iaitu mereka yang baru memeluk Islam, belum Islam tetapi cenderung memeluk Islam dan orang bukan Islam tetapi menghormati dan tidak menentang Islam.

“Jadinya dalam tiga ini hanya satu sahaja yang kita guna. Dua lagi kita biarkan menyebabkan masyarakat kita semakin jauh dengan yang bukan Islam,” ujarnya.

Menyentuh mengenai tidak menutup aurat ketika memasuki masjid, Tuan Guru berkata, mungkin masalah penjaga masjid tidak memberitahu kepadanya.

Tuan Guru berkata demikian sewaktu majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan media anjuran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), di rumah anak yatim Taman Sabariah.

Seramai lebih 170 orang anak yatim menerima sumbang wang hari raya dari PMBK.

Saturday, August 28, 2010

UMNO TENTANG MAJLIS FATWA


Abdul Aziz Mustafa HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Tindakan Umno mengapi-apikan isu bukan Islam memasuki Masjid dilihat menentang keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan, mempolitikkan kunjungan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu.

Muzakarah Kali Ke-90 jawatankuasa tersebut yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, mengikut keputusan itu, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

"Nyatalah histeria Umno dan konco-konconya itu memalukan umat Islam dengan tindakan mereka yang bukan-bukan sehingga perkara yang diputuskan halal pun diharamkan oleh mereka," kata Mahfuz.

Keharusan tersebut juga sebagai cara menunjukkan keindahan Islam kepada bukan Islam.

Umat Islam juga dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya.

"Umat Islam janganlah mengizinkan diri mereka diperbodohkan oleh politik perkauman Umno," jelasnya.

Dalam pada itu Teo Nie Ching menjelaskan beliau hanya mahu menyampaikan sumbangannya bagi memperbaiki pagar seperti yang diminta oleh pihak pengurusan surau tersebut.

Mengenai tindakan memasuki ruang solat utama di surau itu, Teo berkata, beliau hanya memenuhi jemputan.

"Pada hari tersebut mereka menjemput saya masuk.

"Saya tidak dinasihatkan oleh (pengurusan) surau untuk memakai tudung. Saya (pun pada mulanya) tidak menyangka saya boleh masuk surau itu," jelasnya.

Friday, August 27, 2010

DINAR,DIRHAM BOLEH RUNTUHKAN EKONOMI YAHUDI


HARAKAHDAILY
KOTA BHARU, 26 Ogos: Datuk Husam Musa berkata, penggunaan sistem dinar dan dirham secara tidak langsung akan memberi pulangan ekonomi yang lebih tinggi kepada umat Islam, sedangkan golongan Yahudi semakin runtuh.

“Kerana itu mereka sedaya mungkin akan menghalang serta mengkritik dengan pelbagai dakyah untuk menakutkan umat Islam sendiri yang ingin menggunakan sistem terbabit,” ujarnya.

Justeru itu, katanya golongan Yahudi serta penentang agama Islam yang lain sehabis mungkin akan menentang umat Islam menggunakan mata wang syariat dinar dan dirham, kerana sistem itu akan merugikan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat Kelantan itu berkata, sekiranya umat Islam akan bersatu menggunakan Dinar dan Dirham dalam urusan jual beli, golongan tersebut akan mengalami kerugian yang tenat.

Beliau berkata demikian ketika meraikan rombongan Persatuan Maahad Tahfiz al-Quran Malaysia (Permata), yang diketuai pengerusinya, Ustaz Nazaruddin Jalaludin.

Permata dalam rangka pertemuannya dengan Husam untuk menyatakan sokongan pihak berkenaan terhadap penggunaan Dinar dan Dirham.

Pada masa yang sama, Permata bercadang untuk membayar gaji menggunakan kaedah itu kepada kakitangannya di seluruh negara.

Beliau seterusnya memberitahu, Dinar dan Dirham bukan mata wang, sebaliknya seumpama penukaran barang belian seperti kupon dan cek sebagai alat kewangan.

“Kalau kita boleh membeli barangan di majlis-majlis tertentu menggunakan kupon, kenapa Dinar dan Dirham tidak boleh, sedangkan ianya disebut sendiri oleh Allah dalam al-Quran,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan negeri akan memberi penerangan secara hikmah kepada mereka yang tidak memahami perkara itu.

Nazaruddin ketika berucap pada pertemuan itu memberitahu pihaknya akan menggunakan Dinar dan Dirham sebagai bayaran gaji kepada kakitangannya.

Jelasnya, walaupun ianya tidak dibayar sebanyak seratus peratus menggunakan sistem tersebut, namun sekurang-kurang ia akan dilaksanakan sebagai menyatakan sokongan pihak mereka terhadap usaha kerajaan negeri.

Pada masa yang sama, pihaknya juga akan turun ke bawah untuk mengadakan ‘road show’ bagi memberi penerangan kepada rakyat berhubung perkara itu.

“Ramai yang masih kabur berhubung perkara ini,” ujarnya.

Sehingga kini, sebanyak 58 buah sekolah tahfiz di seluruh negara bergabung di bawah Permata.

Dianggarkan sebanyak RM30,000 hingga RM70,000 dibelanjakan setiap bulan untuk pengurusan dan pembayaran gaji kakitangan guru di bawah Permata.

Monday, August 23, 2010

GUNA DINAR, DIRHAM BAYAR ZAKAT FITRAH


Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Rakyat Kelantan diseru menunaikan bayaran zakat fitrah tahun ini menggunakan dinar atau dirham Kelantan.

Selain sebagai tanda sokongan kepada usaha Kelantan, ianya juga sebagai mengembalikan syiar Islam yang sejak dahulu menggunakan dinar dan dirham sebagai mata wang.

"Balik Kelantan, bayar zakat fitrah dengan dirham Kelantan," kata Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Berbuka Puasa Persatuan Anak Darul Naim (Persada) Kuala Lumpur dan Selangor, di ibu negara kelmarin.

Turut berucap pada majlis itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyatakan hasratnya untuk membayar zakat fitrah tahun ini menggunakan dinar dan dirham.

Hasrat sama juga turut dizahirkan para Exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta pemimpin PAS negeri itu.

Selain itu, rakyat Kelantan termasuk yang berada di perantauan turut diseru membayar zakat fitrah dengan dinar atau dirham.

Isu dinar dan dirham yang diperkenal Kelantan menjadi kontroversi apabila kerajaan pusat menganggap ianya bertentangan dengan undang-undang.

Menurut mereka, hanya kerajaan Persekutuan melalui kelulusan Bank Negara, boleh mengeluarkan mata wang.

Kelantan bagaimanapun berpendapat, pengeluaran dinar dan dirham tersebut hanyalah untuk kegunaan rakyat negeri itu sesama mereka atau sebagai perhiasan.

Sunday, August 22, 2010

DINAR : TIADA MASALAH JIKA RAKYAT KELANTAN SETUJU

Written by Nazri Abdullah HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, tiada masalah jika kerajaan Kelatan mahu menggunakan dinar emas dan dirham perak sesama rakyat negeri itu.

Menurutnya selagi rakyat negeri itu bersetuju menggunakan dinar dan dirham sebagai alat pertukaran, maka tidak timbul sebarang masalah.

"Undang-undang kata Bank Negara sahaja yang dibenarkan kerajaan persekutuan, keluarkan wang sebagai mata wang.

"Kalau nak ganti itu memang salah, tetapi kalau nak guna sesama dia tidak salah saya rasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di satu majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau lagi, kejayaan penggunaan dinar dan dirham bergantung kepada keyakinan masyarakat terhadap wang berkenaan.

Berucap sebelum itu, beliau juga berkata, kerajaan Kelantan bagaimanapun mesti memberi penerangan secara meluas agar rakyat negeri itu itu keliru dengan nilai dinar dan dirham tersebut.

"Tapi nak guna dirham untuk seluruh negara tak bolehlah. Kerajaan Kelantan tak ada kuasa di bawah undang-undang.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga tidak boleh dipersalahkan sekiranya masyarakat tidak mahu menggunakan dinar dan dirham tersebut.

Turut berucap di majlis anjuran Persatuan Anak Darul Naim Selangor dan Wilayah Persekutuan (PERSADA) itu ialah exco kanan kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa.

Husam berkata, dinar adalah bersifat pelengkap kepada ringgit dan kedua-duanya boleh digunakan.

Alasan tidak munasabah

Beliau turut membidas pihak yang yang mendakwa mengguna dinar akan merugikan kerana mudah dipalsukan dengan menganggap alasan tersebut tidak munasabah.

"Ringgit pun boleh dipalsukan, tapi bank negara boleh membezakan yang tulen dan palsu.

"Dinar pun ada alat yang boleh bezakan yang tulen atau palsu.

Selain itu dinar jelasnya lebih stabil kerana ianya aset yang sentiasa berkembang dan harganya meningkat mengikut masa berbanding mata wang dunia.

"Kalau judi bola boleh dihalalkan, tapi hairan kenapa tak boleh iktiraf dinar dan dirham," katanya.

Saturday, August 21, 2010

WASPADA TIUPAN API PERKAUMAN UMNO BN


Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 20 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua lapisan rakyat dalam negara ini agar dapat bertenang dan menilai dengan adil akan tiupan api perkauman yang saban hari semakin menebal oleh pimpinan Umno BN.

“Kepada seluruh rakyat dalam negara kita, marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik songsang mainan Umno BN ini, dengan kita sama-sama meletakkan negara di landasan yang sepatutnya dalam menghadapi cabaran zaman yang mendatang, ke arah suasana yang lebih adil dan aman di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, lewat hari ini.

Justeru, menurutnya, permasalahan yang dibangkitkan oleh Presiden MCA berbentuk resolusi dari kongres ekonomi yang dianjurkan oleh parti itu baru-baru ini adalah merupakan satu lagi manifestasi kegagalan Barisan Nasional dalam memahami kehendak keadilan yang perlu dilaksanakan terhadap rakyat pelbagai kaum dalam negara kini.

Beliau berkata, keadaan itu tambah merumitkan apabila MCA yang merupakan satu parti yang dianggotai oleh golongan elit dan kaya yang tidak membela nasib rakyat bawahan berketurunan Cina yang memerlukan.

Kegagalan itulah juga, ujarnya yang turut dikongsi bersama oleh parti MIC.

Menurutnya, orang Melayu dalam negara ini juga tidak boleh lagi terus percaya bahawa Umno akan membela nasib mereka, setelah selama puluhan tahun rakyat sama-sama melihat bagaimana sistem yang ada dalam negara ini ini menuju kepada pengagihan hasil ekonomi negara kepada kelompok Umno-putra.

Katanya, ketidakadilan ini bukan sahaja dirasai oleh pelbagai kaum yang wujud dalam negara ini, bahkan juga berlakunya diskriminasi terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang berlainan fahaman politik dengan kerajaan yang dipimpin oleh Umno-BN.

“Bukan itu sahaja, politik perkauman sempit dan laungan bersifat rasis kini telah menjadi bahan ugutan dan senjata untuk meraih sokongan oleh pimpinan BN di kala terdesak, seolah-olah rakyat dengan begitu senang boleh dipengaruhi pada zaman langit terbuka ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Friday, August 20, 2010

BUKU MUTIARA KATA NIK AZIZ DILANCAR


Muhammad Yusri Amin HARAKAHDAILY

KOTA BHARU, 20 Ogos: Dalam usaha menyebar luaskan pemikiran Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena sambutan 20 tahun PAS memerintah Kelantan pada Oktober 2010 di samping mempertingkatkan perjuangan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) telah berjaya menerbitkan buku Himpunan 110 Mutiara Kata Nik Aziz Sepanjang 2010.

Buku berdasarkan petikan kata-kata hikmat Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan itu disempurnakan pelancarannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri Dr Mohd Fadzli Hassan di Medan Ilmu di sini pagi tadi.

Ketua Penerangan DPPNK, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata dengan penerbitan bukut tersebut diharap mampu memberi nilai tambah dalam memperteguhkan akidah dan keyakinan ahli dan penyokong PAS umumnya selain memperluaskan penyebaran pemikiran terkini Tuk Guru Nik Aziz yang menjadi ‘ikon’ kepada Pakatan Rakyat.

“Buku itu juga membentangkan isu terkini Tuk Guru mengenai dakwah Islamiah khususnya terhadap non-muslim, dan dalam masa yang sama ‘mempersiapkan’ Pakatan Rakyat untuk menduduki Putrajaya.

“Dalam buku tersebut, pembaca dapat meneliti perkembangan pemikiran Tuk Guru selepas 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan, bahkan selepas tempoh itu kita dapat merasai apa yang Tuk Guru sendiri mahu mewariskan kepada rakyat di negeri ini khasnya dan umat Islam amnya,” katanya yang juga penyusun buku tersebut.

Buku setebal 126 halaman dengan cetakan edisi pertama sebanyak 4,000 unit dan dijual dengan harga RM10 sebuah itu sudah terjual 600 unit pada majlis pelancaran pagi tadi.

Pada majlis yang sama turut dilancarkan buku Program Penghayatan Solat dan Tadarus Al-Quran Pelajar Baru Pasti.

Hadir sama Ketua DPPNK, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang.
Next >

Wednesday, August 18, 2010

PERKAUMAN : PAS BERI AMARAN PADA MCA


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: “Saya memberi amaran kepada MCA supaya jangan bermain dengan politik perkauman yang sempit untuk meraih semula sokongan Cina yang semakin luntur kepada BN,” kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa (gambar).

Amaran itu dibuat ekoran resolusi Kongres Ekonomi Cina Malaysia yang menggesa kerajaan untuk mengurangkan ekuiti bumiputera dalam sektor ekonomi baru-baru ini dilihat tidak matang dan tidak wajar.

Malah, katanya tindakan MCA yang menyokong dan memastikan resolusi tersebut diteruskan membuktikan mereka memperjuangkan politik perkauman yang sempit.

Menurutnya, apa yang diperjuangkan oleh MCA jelas menunjukkan bahawa parti-parti komponen Barisan Nasional gagal mendapat konsensus yang mantap untuk memerintah negara setelah berlaku penafian 2/3 kuasa majoriti di Dewan Rakyat pada 8 Mac 2008 yang lalu.

Manakala Pakatan Rakyat pula, ujarnya telah sama-sama bersetuju untuk berpegang teguh dengan Dasar Pakatan Rakyat yang telah ditandatangani oleh PAS, PKR dan DAP pada bulan Disember 2009 yang lalu.

Berdasarkan dasar tersebut, beliau berkata Pakatan Rakyat akan melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain sepertimana yang termaktub dalam Perkara 153.

“Ini membuktikan bahawa PAS, PKR dan DAP tetap akan mempertahankan perkara ini bila menerajui kerajaan nanti,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Sebaliknya, dalam konteks hari ini, beliau memberi amaran kepada MCA supaya jangan bermain dengan politik perkauman yang sempit untuk meraih semula sokongan Cina yang semakin luntur kepada BN sehingga ia telah menimbulkan rasa kegelisahan di kalangan rakyat Malaysia.

Monday, August 16, 2010

TIDAK BELAJAR ILMU AKHIRAT PUNCA MASALAH SOSIAL


Salmah Mat Husin & Foto Rizal Tahir HARAKAHDAILY

KOTA BHARU, 16 Ogos: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru para pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Timur Tengah memanfaatkan ilmu yang ada sebaik mungkin.

Katanya, gejala sosial yang berlaku di negara ini seperti jenayah, pembuangan bayi, dadah, pecah rumah dan sebagainya, hanya kerana mempelajari ilmu dunia semata-mata dan tidak mendalami ilmu akhirat.

“Mereka tidak belajar agama Islam yang berakhir dengan akhirat menyebabkan jenayah dan sosial semakin teruk berlaku," ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan golongan terbabit meneruskan perjuangan Islam yang diusahakan pejuang zaman kini.

Katanya, bersesuaian dengan ilmu Islam yang dipelajari, masyarakat mengharapkan mereka meneruskan kesinambungan perjuangan Islam untuk masa yang akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap meraikan pelajar Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang akan meneruskan pengajian mereka ke Mesir, Jordan dan Morocco.

Seramai 283 orang pelajar yang bakal meneruskan pengajian dalam pengajian Islam, tahfiz, kedoktoran bakal berlepas ke negara terbabit pada bermula 18 Ogos hingga 4 Oktober ini.

Sementara itu, sebanyak RM28 300 telah disumbangkan oleh Tabung Kebajikan Badan Perhubungan PAS Kelantan kepada pelajar.

Tabung yang dipengerusikan oleh Datuk Mohd Amar Abdullah itu diberikan sebagai menghargai pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian mereka ke Timur Tengah.

Sunday, August 15, 2010

PAS TERAJUI REALISASI KE PUTRAJAYA


Mohd Ali Hashim - HARAKAHDAILY
BUKIT MERTAJAM, 15 Ogos: PAS akan menerajui dan merealisasikan aspirasi serta cita-cita besar presiden dan parti untuk menjadikan langkah ke Putrajaya sebagai satu realiti dan bukannya dongengan semata-mata.

Demikian dinyatakan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub semasa menyampaikan ucapan pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden anjuran Lanjah Penerangan PAS Pulau Pinang di Yayasan An-Nadhoh, Penanti, pagi tadi.

Beliau juga berkata, dalam era globalisasi kini PAS harus dilihat sebagai sebuah parti yang jelas sedang menuju ke arah perjuangan universal yang memperjuangkan keadilan untuk semua.

"Waktu ini adalah masa untuk kita membuktikan bahawa PAS semakin penting dan mampu untuk menjadi sebuah parti yang proaktif, progresif serta tidak berfikiran konvensional.

"Masyarakat juga sedang melihat dan bertanya apakah PAS serius dan mampu untuk merealisasikan cita-cita besar ini," katanya.

Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PAS bukan lagi sebuah parti kecil yang bersifat kedaerahan atau kenegerian.

Sebaliknya, semua ahli PAS harus mengubah persepsi masyarakat bagi melihat parti itu sebagai sebuah kuasa yang mampu untuk memberi pembelaan kepada rakyat dalam skop yang lebih luas dan positif.

Tambahnya lagi, PAS harus memandang ke belakang sebagai sempadan dan melihat perjuangan serta perit jerih pemimpin yang lalu bagi membina sebuah perjuangan yang sekarang ini telah berjaya melayari bahtera untuk menuju ke Putrajaya.

Saturday, August 14, 2010

PRESIDEN PAS TUNAI UMRAH


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam tadi selamat berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah sempena bulan Ramadhan ini.

Beliau bersama isteri dan anaknya serta 60 anggota rombongan lain berangkat kira-kira jam 2.50 pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat Qatar Airways menuju ke Jeddah.

Menurut Setiausaha Politiknya Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Tuan Guru dijangka berada di sana selama dua belas hari bermula hari ini sehingga 24 Ogos ini bersamaan 14 Ramadhan 1431.

Sepanjang tempoh berada di sana, Tuan Guru turut akan mengikuti perkembangan politik terkini tanah air dari semasa ke semasa.

"Beliau (Abdul Hadi) akan menghubungi saya setiap hari untuk menanyakan perkembangan politik Malaysia," kata Samsuri ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Thursday, August 12, 2010

KELANTAN LANCAR MATAWANG SYARIAH DINAR, DIRHAM




Salmah Mat Husain HARAKAHDAILY

KOTA BHARU, 12 Ogos: Selepas empat tahun Dinar Kelantan dilancarkan, hari ini di di bawah kepemimpinan ulama sekali lagi dicetus sejarah apabila melancar pula matawang syariah, Dinar dan Dirham Kelantan.Majlis bersejarah itu disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan Trade Centre (KTC).


Program sempena Ramadan tersebut dianjurkan bersama Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan Kelantan Golden Trade Sdn Bhd.





(Gambar: Tuan Guru menyampaikan logo dinar kepada peniaga yang menerima mata wang dinar dirham untuk jual beli.)


Pada majlis perasmian terbabit Menteri Besar melakukan gimik pelancaran dengan menyimpan dinar dan dirham ke dalam sebuah mesin untuk simpanan Tabung Haji.
Matawang Dinar dan Dirham Kelantan boleh digunakan untuk pembayaran gaji, zakat, mas kahwin dan perniagaan.


Pada 2006 kerajaan negeri melancarkan Dinar Kelantan dalam tiga bentuk iaitu satu dinar penuh berukuran 23 mm dengan berat 4.25 gm bernilai RM332.25.Selain itu separuh dinar bersaiz 20 mm (1.06 gm) bernilai RM176.76) dan suku dinar bersaiz 21 mm (0.5 gm) bernilai RM99.38.Kini nilaian dinar tersebut sudah meningkat berbanding ketika dilancarkan.

Dinar tersebut mendapat sambutan menggalakkan untuk simpanan nilai dan mas kahwin.
Pada majlis pelancaran itu, sejumlah RM100,000 telah dibeli orang ramai.

Wednesday, August 11, 2010

PAS PERLU POPULARKAN PEMIKIRAN BARU


Dzulfikar Mashoor HARAKAHDAILY


PETALING JAYA, 11 Ogos: PAS wajar mempopularkan pemikiran-pemikiran yang lebih baru sekiranya parti itu mahu merealisasikan satu komuniti Islam yang kuat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak, kata Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar.
Beliau ketika menyampaikan perutusan sempena menyambut bulan Ramadhan berkata, Rasulullah s.a.w sendiri sebenarnya melakukan 'rancangan jangkauan panjang' atau long range planning kalau dilihat pada ekspedisi Hijrah ar-Rasul ke Yathrib (Madinah).


"Inilah ilmu pemikiran strategik yang Rasulullah s.a.w. tinggal pada kita di mana ekspedisi hijrah ke Madinah itu adalah long range planning, satu persiapan untuk melengkapkan persiapan yang lain, iaitu pembukaan Kota Makkah," ujarnya semalam.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kerangka dinamik itu sudah tentu menuntut PAS mempunyai 'pendekatan bertahap' (step by step approach) yang tersendiri.
"Persiapan masyarakat sivil Madinah sendiri menunjukkan Rasulullah s.a.w. mengiktiraf kerakyatan orang-orang Aus dan Khazraj sebelum wujud masyarakat Ansar di samping Muhajirin yang datang dari Makkah.


"PAS perlu berani dekati masyarakat bukan Islam serta perkasakan sokongan yang sedia ada di kalangan orang-orang bukan Melayu sejak tsunami politik dua tahun lalu," ujarnya sambil menganggap dokongan orang-orang Islam dan Melayu tetap penting untuk perjuangan PAS.
Baginya, PAS sepatutnya tidak perlu takut dengan tohmahan Umno yang kononnya PAS bakal menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR sekiranya terus bersama Pakatan Rakyat pada PRU13 kelak.


"Buat apa kita takut dengan tohmahan pemimpin tertentu dalam Umno, mereka tidak sedar bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri bersedia memeterai perjanjian politik dengan tiga kaum Yahudi serta Majusi untuk menghadapi kezaliman pemimpin-pemimpin Arab di Makkah yang akhirnya membawa pada penubuhan negara Madinah yang cukup moden dan kuat," beliau menambah.
Tidak cukup dengan itu, beliau berkata, PAS wajar meluaskan hubungan tidak langsung dengan kaum profesional supaya cara berfikir kepemimpinan PAS senantiasa ajaib dan di luar kotak.


"Untuk memenangi Peperangan Khandaq, cadangan golongan profesional seperti Salman al-Farisi gali parit sebagai benteng pertahanan yang cukup ajaib sendiri akhirnya diterima Rasulullah s.a.w.
"Untuk pilihan raya umum depan, PAS tidak boleh lagi menggunakan strategi-strategi lalu, kena ada sesuatu yang saya anggap thinking outside the box," ujarnya.


Dengan konsep berfikir di luar kotak, tambahnya, mampu membuntukan serta melemahkan serangan Umno ke atas PAS dan Pakatan Rakyat di samping memecahkan muafakat politik dalaman BN pada pilihan raya umum depan.


Dari segi yang lain, PAS mesti dilihat menguasai ilmu pemikiran literal supaya rakyat lebih yakin dengan kepemimpinan PAS berbanding Umno.
"Kalau dahulu, Khalifah Umar al-Khattab mengambil langkah inovatif berijtihad solat tarawih dari 8 rakaat pada 20 rakaat berjamaah, masyarakat kita sekarang popularkan pula budaya tazkirah, takkan PAS mahu dilihat tidak mahu dilihat berfikir lebih literal dalam urusan agama, dalam pentadbiran negara lebih dari itu.


"Apa yang penting yang nak saya ketengahkan bukannya jumlah rakaat solat tarawih tetapi ialah lateral thinking yang dibawa oleh seorang khalifah," ujarnya sambil mengajak seluruh pemimpin dan ahli PAS mengambil kesempatan mendekati rakyat sempena 'bulan tarbiah' Ramadhan.

Sunday, August 8, 2010

KELANTAN HANTAR SKUAD BOLA SEPAK TUNAI UMRAH


Mohd Nor Yahya HARAKAHDAILY


KOTA BHARU, 8 Ogos: Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM245 ribu bagi membiayai 35 pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menunaikan umrah kali ini.
Ia ditunaikan selepas kerajaan negeri berjanji untuk membawa pemain negeri ke Mekah setelah berjaya menduduki naib johan Piala FA tahun lepas.

Pemergian rombongan tersebut malam tadi turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood (gambar).
Abdul Fattah berkata, walapun terdapat beberapa pemain yang tidak ikut serta rombongan itu, mereka tidak akan diberi wang tunai sebagai gantinya kerana hasrat kerajaan ialah untuk membawa menunaikan umrah.

“Kerajaan negeri sebelum ini telah menjelaskan bahawa akan menaja 34 pemain dan pegawai dan ketua jurulatih Sathianathan pula akan mendapat wang yang sama jumlahnya dengan kos umrah iaitu RM7 ribu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis penutup Konvesyen Belia 2010 di Balai Islam, semalam.

Abdul Fattah berkata terdapat empat pemain yang tidak ikut serta iaitu Indra Putra Mahyuddin, Halim Napi, Safwan Ibrahim dan Khalid Jamlus dan tempat mereka telah diganti dengan Ahli Lembaga Kafa sendiri termasuk Timbalan Presiden FAM yang juga Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut beliau lagi, sehingga kini beliau tidak mengetahui alasan sebenar kenapa mereka tidak ingin sertai rombongan tersebut dan cuma dimaklumkan bahawa Safwan mempunyai masalah ibunya yang sedang sakit.

Beliau juga berharap dengan tertunainya hasrat kerajaan itu dapat meningkatkan lagi semangat pemain.

Menyentuh janji tahun ini, Abdul Fattah berkata setakat ini tidak dapat diputuskan lagi dan akan melihat perkembangan semasa bolasepak Kelantan.

Wednesday, August 4, 2010

Pemuda Pas cabar Zambry debat bajet tambahan


Johari Jaafar HARAKAHDAILY


IPOH, 4 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mencabar Menteri Besar BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk berdebat kerana tindakan terdesak untuk meluluskan Rang Undang-Undang Usul Pembekalan Tambahan (Bajet Tambahan) RM80 juta semalam yang tidak berfungsi dengan baik, di mana-mana sahaja.
Setiausahanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss (gambar) berkata, rakyat perlu mengetahui ke manakah wang rakyat itu dibelanjakan kerana tiada penjelasan bertulis yang lengkap di dalam Dun Perak.
Ini, katanya kerana kelulusan tersebut masih kabur dan tidak dijelaskan dengan tepat, maka pihaknya mempelawa Zambry berada di atas satu pentas bagi memperjelaskan isu tersebut.
“Kenapa perlu takut berdepan dengan rakyat jika merasakan Barisan Nasional (BN) melakukan perkara yang betul?
“Kenapa perlu tipu rakyat dengan berselindung di sebalik Bajet Tambahan tersebut yang bukannya atas kepentingan rakyat. Kenapa menafikan defisit yang sebenar jika kewangan kerajaan negeri stabil?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Pihaknya juga merasa malu dengan pencapaian kerajaan Perak di bawah Zambry yang dikatakan hebat dalam ekonomi dan pembangunan rakyat.
Katanya, amat menjelikkan apabila defisit kerajaan negeri lebih merudum berbanding kerajaan negeri lain, apatah lagi jika dibandingkan dengan kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR).
Justeru, katanya Pemuda PAS negeri menunggu tarikh, tempat dan masa yang diputuskan Zambry pada bila-bila masa.

Tuesday, August 3, 2010

Umno bertahan dengan tentera upahan


Zulkifli Sulong HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR, 3 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan keberadaan Umno sehingga kini adalah kerana 'tentera upahan' yang dibayar untuk mempertahankan parti itu agar kekal berkuasa.Kenyataan Abdul Hadi ini dibuat dalam sessi sembang dengan beliau di pejabat Harakah semalam ketika negara sedang menyaksikan tindakan keras diambil oleh polis terhadap pelbagai program anjuran pelbagai pihak khasnya Pakatan Rakyat.


Ia dikatakan dibuat berdasarkan arahan agar menyekat semua program Pakatan Rakyat termasuklah majlis memperingati 50 tahun ISA di seluruh negara dan Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak, Changkat Lada, Pasir Salak.36 telah ditangkap polis di majlis memperingati ISA di seluruh negara termasuk di Kota Bharu manakala 16 di perhimpunan Felcra di Pasir Salak."Umno sekarang hidup dengan tentera upahan. Mungkin kenyataan saya ini kasar sedikit tetapi itulah realitinya.


Bukan aqidah atau ideologinya yang memenangkan Umno tetapi jentera kerajaan," kata Abdul Hadi.Bagaimanapun, beliau yakin, masyarakat tidak akan boleh ditipu Umno untuk selama-lamanya."Apa yang perlu adalah kita sabar dalam perjuangan disertakan dengan kerja kuat. Sejarah pilihan raya khasnya pilihan raya kecil di negara ini membuktikan PAS akan menang di kawasan yang kita kuat dan banyak cawangan," katanya lagi.Beliau memberikan contoh kejayaan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Bukit Gantang kerana kerja kuat dan cawangan PAS yang banyak di situ."Oleh itu, sebagai persiapan saya menyeru supaya PAS memperbanyakkan cawangan di seluruh negara.


Kenapa Kelantan dan Kedah kita menang? Kerana di sana banyak cawangan PAS," kata beliau dalam pertemuan itu.Abdul Hadi menolak teori yang mengatakan pencapaian PAS akan merosot dalam pilihanraya umum ke 13 selepas berjaya besar dalam pilihan raya umum ke 12 lalu."Saya tidak percaya kepada teori sebegini termasuk ramalan sotong. Saya yakin kalau kita kerja keras dan betul strateginya kita akan menang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.


Mengikut sejarahnya, kejayaan PAS akan turun naik dalam pilihanraya umum di mana pencapaian PAS akan jatuh dalam pilihan raya yang melibatkan persempadanan semula kawasan pilihan raya kerana BN sentiasa menggunakannya untuk kepentingan parti yang memerintah itu.


Dalam pertemuan itu juga Abdul Hadi menyeru umat Islam di negara ini memberikan peluang kepada PAS pula untuk mentadbir negara bagi menggantikan Umno yang sudah diberi peluang lebih 50 tahun."Melayu dan Islam tetap menjadi teras politik di negara ini. Sudah lebih 50 tahun Umno diberi peluang untuk mentadbir dengan konsep ketuanan Melayu berlandaskan sekularisme barat dan Islam hanya hadir tanpa kuasa.


"Saya rasa sudah tiba masanya Melayu kembali kepada Islam dan memilih PAS untuk menggantikan Umno bagi mentadbir negara ini," kata Abdul Hadi.Beliau juga berkata, kerajaan BN sekarang sengaja memberikan subsidi kepada rakyat dalam keadaan yang sangat sedikit.

"Subsidi ini sekadar untuk membolehkan rakyat hidup tetapi rakyat tidak boleh berlari. Ia sengaja dibuat untuk mengawal rakyat," kata beliau dalam pertemuan itu.

Sunday, August 1, 2010

Umno punca kuasa politik Melayu terdesak


Mohd Sabri Said -HARAKAHDAILY


KEPALA BATAS, 1 Ogos: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, kuasa politik Melayu berada dalam keadaan terdesak sejak kebelakangan ini angkara pemimpin Umno.
"Memang politik Melayu terdesak tapi harus ingat angkara siapa jadi begitu. Bukankah Umno yang buatnya tersepit. Tapi bagi PAS, ia tidak rumit kerana tidak gunakan Melayu sebaliknya Islam," tegasnya ketika berceramah di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Kepala Batas, semalam.


Sikap yang ditunjukan oleh Umno kononnya mahukan perpaduan, sambungnya, bukan serius tetapi hanya lakonan bagi menyelamatkan parti itu daripada karam.
Tegasnya, PAS dan Pakatan Rakyat akan diperkukuhkan untuk berhadapan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum akan datang.


"Kali ini, insya Allah kita tidak menurut dan kena berpegang kuat pada keputusan yang telah dibuat bagi menghukum Umno dan BN. Kita harap rakyat tidak termakan dengan jerat terbaru mereka yang sengaja dicipta untuk merenggangkan hubungan Pakatan Rakyat," jelas beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat.


Sekarang ini, ujarnya berbagai perancangan cuba dilaksanakan untuk memecahkan PAS yang diakitkan kononnya untuk berbaik dengan Umno atas perkauman Melayu.
Katanya lagi, semua serangan Umno menerusi isu perkauman ternyata gagal dan ada yang memakan diri parti perkauman Melayu itu sendiri.


"Biarlah ustaz Umno berkokok sesama sendiri dan kita kena memastikan ukhwah kita terus kuat dan menjadi benteng dakyah jahat Umno kerana yang penting ialah hancurkan Umno dan BN untuk capai kemenangan di Malaysia.


“Bila menang di peringkat Pusat, baru kita laksanakan dasar Islam yang menjadi cita-cita perjuangan," tambahnya.

Followers